Khamis, 29 Julai 2010

Maaf …kerna membuatkan cintamu pada-Nya terhalang!

Assalamualaikum!
Seutus salam selaut kasih saya tuturkan kepada kalian!


Lewat malam tadi, saya berfikir mengenai dosa dan pahala. Dosa yang sengaja dilakukan ataupun sebaliknya. Pahala yang sedang dikutip atau yang masih belum dikutip lagi. Segala perbuatan pada hari ini akan menjadi timbang di akhirat kelak. Astaghfirullah!



Untuk helaian pada hari ini ,sekali lagi fikiran saya terdetik untuk menukilkan soal cinta di antara teruna dan dara. Bukan untuk menggalakkan cinta sebelum ijab dan qabul. Itu sudah pasti! Dan pada kali ini saya hanya ingin menyentuh sedikit soal rasa cinta yang hadir dalam hati setiap insan. Apakah cinta itu khilaf ?


Khilafkah cinta?
Atau khilafkah pencinta?



Kebanyakan pada hari ini, banyak kisah cinta yang menenggelamkan pahala dan menimbulkan dosa. Benar, mencintai seseorang merupakan satu perkara yang baik. Apatah lagi mencintai seseorang adalah kerana Ilahi. Seperti dalam hadis rasulullah yang bermaksud:
Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga kamu mencintai muslim seperti kamu mencintai diri kamu sendiri



Sungguh mulia cinta! Syukur atas segala rasa cinta!



Namun, awas! jaga hati apabila mencintai kerana cinta bisa membuatkan seseorang jauh dari Ilahi. Sentiasa menghambat cinta manusiawi yang menyebabkan seseorang terlupa akan Tuhan yang Maha Cinta.



Sungguh cinta itu seakan mutiara dari dasar lautan! Namun hanya sedikit sahaja mereka yang bisa memiliki mutiara berkelipan indah!



Jujur dari hati saya, saya tidak pernah mengharamkan rasa cinta daripada bersemi dalam hati. Kerana cinta itu merupakan satu fitrah manusia. Namun, hanya tingkah sahaja yang perlu diperbetulkan agar cinta itu berada dalam landasan benar. Tidakkan pernah tergelincir.



Awas! Andai salah mengesksperisikan cinta, itu bukan cinta sejati!


Bagaimanakah khilaf dalam mengekspresikan cinta? Pernah saya belajar daripada seseorang mengenai ini dan saya juga pernah menulis tentang eksperisi cinta dalam helaian maya yang lalu.



Cinta tidakkan pernah meminta
Cinta hanya pernah memberi
Cinta sejati bukan cinta menambah dosa
Tetapi pemangkin pahala



Itulah yang saya tekankan kepada sesiapa yang bertanyakan kepada saya tentang cinta.



Kadang –kadang apabila seseorang yang sedang mencintai seseorang akan membuatkan orang yang dicintainya berdosa tanpa sengaja. Itulah bukan cinta sejati. Andai benar si pencinta itu cinta akan kekasihnya, sudah pasti ia tidakkan pernah membenarkan kekasihnya memegang bara api neraka akibat dosa .apakah dosa yang dimaksudkan di sini hanya dosa zina( adultery)? Dosa di sini bukan hanya termasuk dosa zina (adultery) tetapi persoalaan yang timbul bagaimanakah pula zina hati? Sesungguhnya untuk merungkaikan hal ini, kalian harus soal pada hati tentang ini kerana hanya hati yang bisa menjawabnya.




Maaf andai cinta yang diluah
Menjadi kisah sedih

Maaf andai cinta yang diberi
Tidak berguna pada hari pembalasan kelak

Maaf andai cinta yang dicetus
Menjadikan dosa tercetus

Maaf andai cinta yang dikarang
Menjadi cintamu pada-Nya terhalang

Semoga kalam untaian yang dikarang
Tanpa lagu tanpa seni
Tanpa suara tanpa kata-kata
Ditenung bait-baitnya
Moga tercipta satu
Solusi keramat

Rabu, 28 Julai 2010

Tiada Suara Bertandang hanya Kekuatan Bertamu

Assalamualaikum!
Bismillahirramanirrahim!


Ya Ilahi!
Ya Jabbar!
Ya sami’!
Pada waktu langit berbintang bersaksikan kerlipan cahaya
Pada masa cahaya mentari menutup sirnanya
Kami rebah di sini
Menangis teresak-esak
Air mata membasahi wajah
Sesaknya nafas kami
Sakitnya batin kami
Melihat biah di bumi tarbiah
Yang dahulu barakahnya
Tersohor di alam nusantara



Ya Rabb!
Lihatlah !
Biah bumi yang kami pijak ini
Destinasi tempat kami
Menadah ilmu duniawi dan ukhrawi



Ya Ilahi!
Kami semakin resah
Sehinggakan gelisah kami
Tidak dapat kami rungkaikan
Dengan bicara kata
Atau tulisan aksara



Ya Rahman!
Bumi ini sekarang sudah berubah
pemijak –pemijak tanah barakah ini
sudah Bergalang ganti
Mereka semakin tidak takut dengan peringatan-Mu
Mereka sudah tidak mahu mendengar laungan
Allahuakbar di persada pentas
mereka sudah mula melalut
dengan suara demokrasi!
Dengan suara kebebasan bersuara!



Ya Rabb!
Kami tahu
Tanah ini juga bersedih duka
Apabila insani durjana
Tidak pandai memuja-Mu
Semakin hari semakin kelam berdosa
Semakin hari semakin lalai dengan cinta duniawi



Ya rahim!
Engkaulah pemujuk hati kami!
Ayat-ayat kalam-Mu
Menjadi peneman setia kami
Tatkala kami didesak
Turun daripada melaungkan
tentang
Pahala kebenaran
Dosa kejahatan



Ya Allah
Padamu kami bermohon
Bermunajat meminta
Berikanlah kesatuan di antara kami
Bersatu dalam menuju misi yang jitu
Agar bisa kami menangkis segala marabahaya
Cacian dan hinaan
Dan
Limpahilah bumi ini
Dengan desiran bayu Islam
Bertemankan lautan kasih
Pada-Mu Tuhan Maha Kasih!



Izzati Anas
‘Tiada suara bertandang hanya kekuatan bertamu ‘
Universiti Sultan Zainal Abidin
Terengganu

Ahad, 25 Julai 2010

RAHSIAMU...BUKAN RAHSIA LAGI. MAAF!



Assalamualaikum!
Selamat sejahtera ke atas kalian!


Rahsiakan rahsiamu
Dalam simpanan rahsia
Usah dibuka rahsia
Andai dibuka sengaja
Pasti kelak menjadi dosa

Rahsiakan kebencian yang ada
Simpannya di dalam dada
Takut-takut meluah kata
Menjadi mengumpat kata

Setiap manusia biasa termasuk saya pasti pernah mengumpat... Astaghfirullah!Astaggfirullah! Jadi, marilah kita sama-sama mengelakkan perbuatan mengumpat sesama insan. Eratkan ukhuwwah tanpa mengumpat!
Namun, ada juga mengumpat yang dibolehkan. Kalau begitu, apakah perkara yang dibolehkan untuk seseorang mengumpat? Jadi, kalau nak tahu jawapan, carilah dan usahalah untuk mengetahuinya.




• Maafkan kesilapan atau kesalahan yang telah saya lakukan.

REDHAMU TEKADKU




Telah aku ulangi dosa lalu
Setelah aku bersujud mengharap maghfirah-Mu
Kuberundur lagi daripada-Mu
Mengikis pahala lalu

Tuhan!
Aku datang padamu lagi
Aku hadir dengan rasa salah
Membuatkan aku hamba bersalah
Sudah bertimbun dosa baru
Kulakukan
menjadikan aku
manusia tidak tahu malu

sekali lagi
aku bersujud
berharap meminta
aku menghina diri
memohon ampun
atas salah dan silap

sekali lagi aku bertekad
tidak akan kuulangi
dosa itu
dan dosa ini

Jumaat, 23 Julai 2010

Please, raise your hand!



Please
Raise your hands!
To express your rights

Please don’t be afraid
To tell the world
What the principle you hold


Let's begin our steps
Together
On the right way
On the straight path
Don’t let the evil
Be a winner

Please
Raise your hands!

22 July 2010
Tara tiana
‘Speak for justice’
University of Sultan Zainal Abidin
Terengganu

Rabu, 21 Julai 2010

Maka syurga yang dicipta-Nya untuk siapa?

Assalamualaikum!
Bismillahirrahmanirrahim
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

“ Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh berbuat yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orangt-orang yang beruntung.”
Surah ali-Imran ayat 104




Sepertinya saya harus berterus terang di sini kerana tempoh hari saya dapat merasakan ucapan seseorang itu tertuju kepada saya kerana sebelum ini, saya ada mengeluarkan pendapat mengenai sikap dan keperibadian sekumpulan mahasiswa di sini. Tetapi, di sini saya tidak akan memberitahu secara spesifik siapakah mereka itu. Ketika itu, sedikit gundah dihati saya tatkala memegang mikrofon di dewan itu. Tangan terketar-ketar;dada berdebar-debar kerana apa yang akan saya sampaikan itu merupakan satu bukti saya akan menongkah arus bukan mengalir bersama arus yang deras. Mata –mata mereka memandang saya. Lalu, dengan lafaz basmallah saya pun menyebut satu persatu antaranya:

“Apakah malam jumaat kita boleh mengadakan nyanyian? Nyanyian yang melalaikan kita. Islam tidak melarang kita untuk berhibur tetapi Islam juga meletakkan batas-batas”

“ walaupun kita bukan pelajar pengajian Islam tetapi kita kan muslim?”

“ pernah ketika itu, anda telah mengadakan satu program. Tetapi, di sana batas-batas ikhtilat tidak dijaga. Ada diantara lelaki jatuh di atas perempuan ketika bermain tarik tali yang ketika itu permainannya tidak mengasingkan para pemainnya.”

Namun, tempik saya ketika itu tidak diangguk oleh mereka. Serak suara saya ketika itu dipertikaikan oleh mereka.

Ketika ini, saya dijadikan sindiran walaupun sesetengah daripada mereka tidak menyebut nama saya tatkala mereka berucap di hadapan mahasiswa-mahasiswa. Tetapi, sinis itu cukup membuatkan saya terasa.
Ada diantara mereka mengatakan:


You are absolutely wrong, izzati. Semua mahasiswa kita baik-baik belaka. Mereka yang tidak kenal akan kita akan mengatakan kita ini tidak baik( jawapan yang diberikan selepas saya memberi komen di hadapan khalayak)

“Di sini tiada pelajar yang baiknya terlalu baik…dan di sini juga tiada pelajar yang jahat sejahat-jahatnya. Kita adalah sama.”

“Kebanyakan mahasiswa-mahasiswa lain akan melihat kita kerana kita merupakan kumpulan mahasiswa yang minority. Jadi kalau kita buat sesuatu kita akan mudah dilihat buruk ”


Di sini saya ingin bertanya kepada mereka yang berkata sedemikian.



Saya tidak mengatakan semua mahasiswa-mahasiswa ******* adalah tidak baik. Tetapi, kebanyakan mahasiswa kita dilihat tidak baik kerana mereka tidak menggambarkan seperti seorang muslim. Lihalah pakaian mereka yang mencolok mata, ikhtilat lelaki dan perempuan tidak terjaga, mengadakan program yang menyebabkan iktilat tidak terjaga dan banyak lagi.
Firaman Allah dalam surah al-Baqarah :11 dan 12 yang bermaksud:


“Dan apabila dikatakan kepada mereka,’ janganlah membuat kerosakan di bumi!’ Mereka menjawab , ‘sesungguhnya kami justeru orang-orang yang melakukan kebaikan.”
“ Ingatlah, sesungguhnya merekalah yang membuat kerosakan tetapi mereka tidak menyedari”


Perkataan baik itu memberikan banyak maksud.
1) Berakhlak mulia dan menjadi seorang muslim yang taat kepada perintah Allah
2) Ramah dengan manusia tetapi tidak menjaga hubungan dengan Allah


Ketika saya memberikan pandangan tempoh hari, saya bukan menekankan hubungan manusia dengan manusia. Tetapi, saya menekankan supaya mahasiswa-mahasiswa ini lebih menitikberatkan nilai-nilai Islam. Bukan hanya adanya kematian, baru kita akan membuat doa tahlil dan bacaan yasin di surau-surau. Apakah hanya dengan kematian, kita baru berasa perlukan Allah?Islam itu luas dan hanya mentality mahasiswa-mahasiswa yang menyempitkan mengenai agama. Satu lagi! Bukan kerana kita kumpulan mahasiswa yang minority menyebabkan kita menjadi tumpuan mahasiswa lain, tetapi tingkah kita yang tidak mencerminkan sebagai seorang muslim itu membuatkan mahasiswa lain menggeleng kepala .

Saya memberikan komentar tersebut pada hari itu bukannya untuk mencari kesalahan orang lain. Tetapi, saya hanya berasa saya perlu lakukan sesuatu untuk kita semua. Saya tidak mahu kalau saya tahu sesuatu itu haram, saya diamkan. Dan saya juga berharap, mereka yang tertinggi kuasanya diantara para mahasiswa akan lebih berhati-hati dalam mengadakan sesuatu program agar tidak ada lagi percampuran lelaki dan perempuan yang tidak terjaga daripada diadakan. Semoga program yang yang menjurus ilmu duniawi akan diadakan tanpa mengenepikan hukum agama.

Andai di dunia ini tidak ada yang baik dan tidak ada yang jahat. Maka syurga itu diciptakan untuk siapa? Neraka itu diciptakan untuk siapa?.

Andai engkau membenciku
Bencilah!
Bencilah samahu-mahumu
Tetapi, jangan pernah engkau dustakan
Apa yang pernah kukatakan
tentang dalil-dalil Illahi
yang akan membuatkan dirimu rugi
seperti firman kalam Allah yang bermaksud:
“dan janganlah sekali-kali engkau termasuk orang yang mendustakan ayat-ayat Allah ,nanti engkau termasuk orang yang rugi” ( Surah Yunus: 95)


Engkau katakan bahawa engkau seorang muslim
Yang cintakan saudara muslim seperti engkau mencintai dirimu sendiri

Apakah engkau belum mengetahui
Bahawa aku juga muslim
Seperti dirimu
Aku juga cinta pada saudara semuslimku
Jadi
Setiap butir bicaraku itu
Tanda cintaku padamu
Aku tidak mahu dosa itu ada padamu
Dan aku juga tidak mahu dosa itu ada padaku





Wallahua’lam.
Saya hamba yang hina dan faqir di sisi Allah

Isnin, 19 Julai 2010

DI LANGIT BIRU TERTULIS DURRAH SOFIAH

Assalamualaikum!
Bismillah wal hamdulillah




Lihatlah awan!
Lihatlah ia !
Putih suci tanpa noda
Aku hanya wanita biasa
Yang hanya ada dosa
Dalam amal
Dalam qalb



Dia muslimah solehah! Itulah yang sering saya lontarkan dalam hati saya apabila mata tertumpu kepada mana-mana muslimah yang bertudung labuh, berjubah, berstokin;menundukkan pandangan dan menjaga ikhtilat apabila berhadapan dengan seorang insani lelaki.

‘Terpandang, Teringat Tuhan. Memandang, Memuji Tuhan...itulah durrah sofiah( permata suci)


Sesungguhnya, saya berasa amat kerdil apabila berhadapan dengan wanita-wanita yang saya panggil sebagai Durrah Sofiah. Saya sepertinya tidak layak untuk berbicara dengan mereka.


Bicara mereka mengenai Tuhan
Lafaz mereka adalah sakinah
Benar!
Diriku terlalu jauh dengan mereka
Betapa aku kecewa
Perjalananku adalah perjalanan fatamorgana
Biarkan aku berhijrah
Ke dataran sufi
Melangkah ke negeri taqwa



Kini, saya hanya mampu melihat diri saya yang jauh terkebelakang. Jauh daripada ilmu-ilmu agama. Saya terus malu melihat diri saya sebegini. Sedangkan Durrah Sofiah, sudah bisa berbicara lalu diungkapkannya dalil-dalil daripada kitab suci al-Quran.


Astaghfirullah
Sempitnya dada
Teringatkan dosa –dosa kelmarin
Yang akan menyeret ku
Ke neraka jahanam
Ya Rahman
Ya Rahim
Hamba menadah harapan setulus hati
Meminta diri dikasihi
Ampunkanlah hamba
Ya ‘Azim
Bajailah kekhilafan hamba
Dengan titisan iman
Agar hati hamba ditumbuhi
Cahaya iman lalu
Menjadi Durrah Sofiah



Pembaca yang saya kasihi sekalian,



Sesungguhnya, dengan penuh pengharapan kasih, andai saya melakukan sesuatu yang menyalahi agama maka nasihatilah saya. Dan andai kalian ingin berkongsi ilmu dengan saya, ucapan terima kasih saya utarakan. Kalian, merupakan ustaz/ustazah saya!
Saya hanyalah seorang muslimah yang punya hasrat ingin menjadi Durrah Sofiah hamba; Tuhan yang selalu ingat padaNya suatu hari nanti.

Jumaat, 16 Julai 2010

DI BAWAH TERIK MENTARI ,AKU MENANTIMU

Assalamualaikum!
Bismillahirrahmanirrahim dan salam ukhuwwah fillah


Di bawah redup mentari,jari jemari terasa ingin menari-nari di atas papan kekunci yang sudah lama ditinggalkan. Sedang akal mencari-cari ayat-ayat untuk dikarang di helaian ini; mencari perkataan yang sesuai untuk ditinta. Setulusnya, saya ingin mencurahkan apa yang terbuku dalam hati saya di sini namun agak kurang enak untuk dibicarakan. Jadi ,saya biarkan ia ternoktah di sini.




Setiap insan yang punya rasa dalam hati, pasti menginginkan seorang sahabat atau teman untuk berada di samping dirinya tatkala di waktu senang atau susah.



Kalau ditanya tentang sahabat sejati
AKU akan katakan
bahawa
sahabat sejati adalah sahabat yang tulus
suci daripada igauan kelam
yang membelengu diri dan
menjadi cahaya pada sahabatnya


AKU begitu rindu
akan suasana
apabila AKU bertempik kepada hadirin dewan
tentang benar
tentang salah
dia pasti bangkit
sambil mengatakan
‘saya sokong !’



Inilah ciri-ciri sahabat yang sangat saya butuhkan. Saya tidak butuh seorang sahabat yang cantik rupawan, pandai berkata-kata atau kelihatan elegan di mata manusia. Semuanya tidak!



Sudah bertahun lamanya saya mencari sahabat sebegini. Lebih-lebih lagi di masa genting ini. Sudah banyak peristiwa yang saya lalui tanpa seorang sahabat.



Bila saya bersuara
Mereka bangkang
Bila saya berdiam diri
Saya berdosa



Inilah kondisi saya sekarang. Bila saya bersuara dengan menggunakan mikrofon di dewan, pasti ada suara-suarang sumbang yang berbunyi. Ketika inilah saya memerlukan seseorang yang berani menyokong saya secara terang-terangan. Ya, memang ramai yang mengatakan kepada saya bahawa saya seorang yang berani berkata benar walaupun risiko tetap ada untuk dibenci oleh mereka yang bencikan kebenaran. Tetapi, saya hanya seorang mahasiswi; seorang perempuan yang kadang-kadang mudah menangis lemah. Saya sangat perlukan seorang teman.



Kucemburu melihat langit berdua dengan tanah
Kukagumi kesetiaan dua merpati kasih
Aku
Hanya mampu sendiri dibuai bayang-bayang sendiri

Selasa, 6 Julai 2010

Kenali Penyakit Anda

assalamualaikum!


Pada hari ini saya ingn berkongsi mengenai penyakit migrain.Kenapa? ini kerana kebanyakan dalam kalangan kita sendiri kurang mengetahui mengenai penyakit ini.Maklumat yang akan saya kongsikan ini bersumberken laman web :http://www.ehoza.com.




Migrain juga dikenali sebagai hemikrania, perkataan Greek yang membawa maksud sebelah tengkorak. Ia juga dikenali sebagai vascular headache. Sakit kepala yang berlaku berulang, berdenyut-denyut selalunya terjadi sebelah kepala sahaja. Ada juga yang bermula di sebelah kepala sahaja dan kemudiannya melarat kedua-dua belah kepala. Dalam kes yang teruk, migrain menyebabkan pening (nausea), muntah, cirit-birit, pengekalan cecair badan (retention of fluid) dan sensitif kepada bunyi dan cahaya.

Jenis-jenis migrain yang utama

Classic migraine

Lebih kurang 10% hingga 15% pesakit migrain mengalami migrain jenis ini. 10 hingga 30 minit sebelum berlakunya migrain, tanda-tanda awal (warning) berlaku. Tanda-tanda ini dikenali sebagai aura atau prodrome dan ia berlaku selama 5 - 15 minit. Tanda-tanda aura ini adalah seperti berikut :

- Terlihat cahaya terang (bright spots),
- Garisan zigzag (zigzag lines),
- Penglihatan berganda (double vision),
- Buta sementara (temporary blindness),
- Kebas (numbness),
- Kepala terasa berpusing (dizziness),
- Pening (drowsiness),
- Sukar bercakap (slurred speech) dan keliru (confusion).
* Selepas tanda-tanda ini hilang, migrain mula menyerang.

Aura dikatakan disebabkan oleh saluran darah yang menghantar darah ke otak dan tisu sekelilingnya mengecil sementara, jadi menghad penghantaran darah ke bahagian tersebut. Ini menyebabkan gangguan pada saraf rasa dan pengawalan motor. Bagaimanapun ada juga yang mengatakan bahawa aura bermula di sistem saraf - satu fenomena yang dikenali sebagai spreading depression of the cortex. Ada kajian yang menunjukkan bahawa pengaliran darah hanya bertambah beberapa jam selepas aura terjadi dan sakit kepala bermula.

Common migraine

Tanpa warning terlebih dahulu seperti classic migrain. Lebih biasa terjadi. Sebab-sebab terjadinya migrain Ia berlaku bila saluran darah mengembang dan mengecut dengan cepat.

Migrain juga dikaitkan dengan proses pembengkakan (inflammasi). Kenapa ia berlaku sedemikian masih belum dikenalpasti secara jelas. Bagaimanapun, beberapa perkara penting yang menyebabkan fenomena ini berlaku adalah seperti yang dinyatakan di bawah :

i) Keturunan
Saluran darah individu tertentu tidak begitu sensitif kepada kesan-kesan penyejukan (effect of cooling). Membran platlet pula tidak mampu mengekalkan serotonin dengan effektif (serotonin adalah bahan kimia dalaman yang boleh mengecutkan saluran darah).

ii) Pemakanan
Makanan yang mengandungi monosodium glutamate MSG (seperti Ajinomoto), cheese,
nitrate, coklat, kekacang, alkohol dan aspartame boleh menyebabkan migrain. Ada antara makanan ini yang mengandungi tyramine atau phenylethylamin yang boleh bertindak mengembangkan saluran darah, jadi menyebabkan migrain. Kemungkinan juga makanan ini menyebabkan reaksi allergik yang akan menyebabkan migrain.

iii) Diet
Menurunkan kandungan gula dalam darah mungkin menyebabkan migrain. Ini kerana kandungan gula yang rendah menyebabkan saluran darah mengembang.

iv) Tidak makan atau lambat makan mengikut waktu juga boleh menyebabkan terjadinya migrain.

v) Orang yang kerap meminum minuman yang mengandungi kaffein seperti kopi, teh, nescafe, coca-cola dsb selalu menghadapi caffeine withdrawal syndrom bila mereka cuba menghentikan tabiat mereka secara mendadak. Sindrom ini sama dengan migrain. Ini adalah kerana kaffein menyempitkan saluran darah, dan memberhentiannya akan menyebabkan saluran darah mengembang.

vi) Hormon.
Turun naik hormon wanita, oestrogen, dikaitkan dengan kejadian migrain. Migrain mungkin tidak disebabkan oleh oestrogen secara terus, tetapi disebabkan oleh paras oestrogen yang tidak menentu naik dan turun.

vii) Mengandung.
Selalunya kejadian menurun semasa mengandung.

viii) Haid.
Ramai wanita yang mengalami migrain sebelum, semasa dan selepas datang haid.

ix) Pil perancang.
Ada pil perancang yang mengandungi oestrogen. Ini boleh menyebabkan migrain.

x ) Menopause (putus haid).
HRT (hormone replacement therapy) yang menggunakan hormon termasuk oestrogen menyebabkan mereka yang mengambilnya mengalami migrain.

xi)Tidur.
Berlaku pertukaran dalam masa tidur dan jaga. Terlebih atau terkurang tidur juga menyebabkan migrain.

xii) Pemakanan yang tidak teratur.

xiii) Ubat
Ubat yang menyebabkan saluran darah mengembang boleh menyebabkan migrain. Begitu juga dengan beberapa persediaan herba seperti yang mengandungi ginkgo biloba.Penggunaan berlebihan ubat migrain juga boleh menyebabkan migrain.

xiv) Penyebab-penyebab lain.
- Perubahan cuaca.
- Cuaca terang matahari atau lampu.
- Bunyi bising yang kuat. Bau yang kuat.
- Menonton tv, memandang skrin komputer dengan lama.
- Stress dan tekanan emosi. Sesetengah orang mengalami migrain selepas menghadapi tekanan emosi dan sesetengahnya semasa menghadapi tekanan emosi.
- Jantina. Perempuan lebih kerap (tiga hingga empat kali lebih kerap berbanding lelaki).
- Merokok.


Rawatan Tanpa ubat

i) Menghadkan pemakanan dan makan secara teratur. Perempuan yang menghadapi migrain sebelum haid perlu mengurangkan pemgambilan garam kerana garam boleh menyebabkan fluid retention.

ii) Pengurangan stress seperti senaman yang kerap dan teratur dan mengamalkan
teknik-teknik untuk mengurangkan tegangan badan.

iii) Kenakan benda yang panas seperti menggunakan botol air panas ke tempat yang kena.

iv) Kenakan benda yang sejuk seperti beg yang mengandungi ais.

v) Cara hidup yang lebih teratur seperti makan secara teratur dan dapatkan tidur yang cukup.

vi) Baring di tempat yang gelap dan senyap pada permulaan migrain.

vii) Biofeedback. Pesakit diajar mengawal pengembangan dan pengecutan otot dan
saluran darah. Teknik ini lebih berkesan jika diajar kepada pesakit kanak-kanak.

viii) Rawatan lain yang mungkin boleh menolong anda ialah refleksologi (urut saraf kaki). Petua orang-orang tua seperti basahkan bahagian bawah (iaitu dari kaki ke badan dan ke kepala) dahulu semasa anda mandi mungkin juga berkesan.

Ubat

a ) Ubat pemberhenti.


i) Vasocontrictors. Ergotamine dan dihydroergotamine mengecutkan saluran darah. Penting untuk mengambilnya pada permulaan migrain.

ii) 5-HT agonist seperti Sumatriptan, Naratriptan, Zolmitriptan, Rizatriptan. Ia berfungsi dengan bertindak menggantikan fungsi serotonin.

iii) Isometheptene.

iv) Kombinasi aspirin + acetaminophan + caffeine.

B ) Ubat melegakan.

i) Analgesic (ubat tahan sakit) termasuk narcotic analgesic tetapi ia boleh menyebabkan ketagihan.

ii) Corticosteroid untuk migraine yang lama (sehingga 24 jam) kerana ia boleh mengurangkan inflamasi.

c) Ubat pencegahan.

i) Sesuai untuk yang menghadapi migrain dua kali atau lebih setiap bulan atau migrain yang terlalu teruk sehingga menganggu perjalanan hidup seharian.

ii) Beta blocker terutamanya propranolol melancarkan perjalanan darah.

iii) Calcium channel blocker melancarkan perjalanan darah.

iv) Non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs), aspirin. Aspirin mengurangkan sakit dan juga mengurangkan pengumpulan platlet.

v) Ubat anti-depressant seperti amitryptyline boleh mengawal kandungan serotonin.

vi) Riboflavin atau vitamin B2 dalam lingkungan 400mg sehari. Herba, Antara rawatan herba yang digunakan untuk melegakan sakit migrain ialah St.John's wort (hypericum), feverfewdan gastrodia. Kelebihan rawatan jenis ini ialah ia tidak melibatkan ubat-ubatan yang selalunya mempunyai kesan-kesan sampingan yang tidak baik. Bagaimanapun, rawatan herba mengambil masa yang lebih lama dan memerlukan pesakit mengambil herba tersebut untuk jangkamasa lama sebelum kesannya dapat dilihat.

TEORI MENGENAI MIGRAIN

Teori tentang migrain disebabkan oleh pengembangan saluran darah sahaja tidak boleh dibuktikan sepenuhnya. Ada yang menyangkalnya dengan bertanya sekiranya teori di atas betul, kenapa migrain berlaku di sebelah kepala sahaja. Saraf (nervous system) bertindak balas terhadap perkara-perkara yang menyebabkan migrain seperti stress. Ini menyebabkan spasm di saluran darah yang kaya dengan saraf seperti arteri di tapak otak kepala. Spasm ini menutup atau mengecilkan beberapa saluran arteri yang membekalkan darah ke otak.

Apabila ini berlaku, pengaliran darah ke otak berkurangan. Pada masa yang sama, platlet (partikel yang berfungsi mengawal pembekuan darah) melekat antara satu sama lain dan ini menyebabkan bahan kimia serotonin dikeluarkan oleh badan. Serotonin ini mengecilkan lagi saluran darah arteri - jadi mengurangkan lagi bekalan darah ke otak. Pengurangan pengaliran darah ke otak ini menyebabkan bekalan oksigen ke otak berkurangan. Itulah sebabnya tanda-tandanya seperti pendengaran dan percakapan yang terganggu sama seperti tanda-tanda orang yang kena strok (angin ahmar). Bila bekalan oksigen berkurangan, ada saluran darah arteri yang mumbuka lebih luas untuk memenuhi permintaan tenaga daripada otak. Pembesaran saluran darah arteri ini mengeluarkan bahan yang menyebabkan kesakitan iaitu prostaglandins daripada tisu-tisu dan sel-sel darah.

Bahan-bahan yang menyebabkan inflamasi (pembengkakan) seperti neuropeptides dan yang menyebabkan meningkatnya sensitiviti kepada rasa sakit juga dikeluarkan. Bahan-bahan ini dan juga pengembangan saluran darah arteri menyebabkan terjadinya migrain.

Jenis-jenis migrain yang lain

i) Hemiplegic migraine - rasa lemah sebelah badan. Gene yang berkaitan dengan familial hemiplegic migraine ini boleh dikenalpasti.

ii) Ophtalmoplegic migraine - sekeliling mata.

iii) Basilar artery migraine - berlaku disturbance di saluran darah arteri ke otak yang utama.

iv) Benign exertional headache - disebabkan aktivit-aktiviti seperti berlari, batuk, bersin.

v) Status migraine - berlaku sehingga 72 jam atau lebih. Kesakitan yang dirasa sangat teruk.

vi) Headache-free migraine - tidak sakit kepala, tetapi pening, masalah penglihatan, sembelit, cirit-birit.

Migrain di kalangan kanak-kanak

Sebelum baligh kejadian migrain di kalangan kanak-kanak lelaki dan perempuan sama. Selepas itu, selalunya lebih ramai perempuan mengalami migrain. Selalunya kanak-kanak mengalami migrain di kedua-dua belah kepala atau di bahagian hadapan kepala sahaja. Jangkamasanya pula lebih pendek - ia mungkin berlaku selama 30 minit sahaja. Berbanding dengan migrain dewasa, migrain di kalangan kanak-kanak selalunya menyebabkan masalah perut yang lebih teruk. Antara tanda-tanda migrain berlaku ialah muntah, cirit-birit, selalu kencing, dahaga dan berpeluh.

Sabtu, 3 Julai 2010

KULAFAZKAN KATA CINTA TERAKHIR

Bismillah
Assalamualaikum dan salam cinta mahabbah buat para pembaca yang selalu ada cinta di hatinya.

Selawat serta salam kepada junjungan besar Rasululullah saw serta ahli keluarganya.


Sesungguhnya, jari jemari saya kini sedang rancak menari di atas helaian maya bagi melakar aksara-aksara roman untuk bacaan para pembaca sekalian. Mungkin, ada diantara pembaca sekalian sudah muak bagi isu yang akan dibicarakan oleh saya di sini. Tetapi, eloklah saya katakan mungkin ini merupakan tulisan saya yang terakhir membicarakan soal cinta antara si teruna dan si dara atau apapun yang semakna dengannya.


Kini,
Di sini,
Bulan menyaksikan
Sang pahlawan gagah mati kerana cinta akan perempuan
Tetapi
Di sana
Mentari dan bulan menyaksikan
Sang pahlawan mati kerana cinta akan Tuhan


Sebenarnya, cinta adalah subjek utama di dunia ini. Dengan mencintai Illahi, Rabb semesta alam serta segala cakerawala, manusia; si hamba akan lebih taat kepada Tuhannya. Tiada bantahan atau bangkangan bagi seorang hamba yang cinta akan rabbnya. Tanpa cinta dalam hati manusia, maka setiap manusia akan saling bermusuhan, berbunuhan tanpa ada rasa belas kasihan.


Sering mereka katakan
Kepadaku
Cinta adalah anugerah terindah
Tetapi ia akan membuatmu rebah lemah
Bila dirimu tersalah langkah
Dalam mengekspresikan cinta pada jalan yang salah


Inilah yang ingin saya katakan kepada kalian yang saya cintai. Inilah yang akan saya nukilkan dalam helaian ini dan sudah pasti tulisan ini menjadi simbol terhadap prinsip yang saya pegang.


Dahulu, saya pernah mendengar ceramah yang berkisar cinta muda mudi di sebuah dewan besar yang bertempat di Universiti tempat saya tadahi ilmu duniawi dan ukhrawi. Di sana, ada di antara pensyarah yang menjadi ahli forum mengatakan:

Jika sekarang anda berseorangan tanpa si kekasih
Biarlah anda sebegitu sehingga takdir jodoh sampai sudah
Jika sekarang anda berdua dengan si kekasih sehinggakan susah untuk melepaskan pergi
Pastikan anda tidak membuat maksiat( zina( terdapat pelbagai jenis jenis-jenisnya))
bolehkah anda pastikan anda tidak akan melakukan maksiat walau sebesar zarah?


Dan saya masih ingat juga apabila seseorang yang saya sangat hormati keperibadiannya iaitu Mantan YDP PMKI UDM, Saudara Khairul Azwad b. Ibrahim. Beliau pernah memberikan ‘tazkirah’ mengenai cinta di Surau Habibah ketika itu saya baru menjadi mahasiswi di sana. Kata beliau:

Benarkah cinta antara muda mudi tanpa ikatan perkahwinan adalah symbol cinta sebenar?
Benarkah si kekasih cinta akan kekasihnya?
Walhal
Dia sedang menarik kekasihnya
Ke neraka bersamanya.
Mengapa?
Kerana banyak maksiat dalam percintaan yang bersemi tanpa ikatan nikah
Dan pastinya maksiat akan mendorong seseorang masuk ke lembah neraka


Sungguh, ketika saya mendengar bicara beliau tentang ini, kepala saya mengangguk tanda setuju. Namun, dengan bersetuju sahaja tidak mencukupi andai tingkah tidak seiring anggukan tadi bukan?

Namun ujar beliau ketika itu, jangan mudah untuk mengatakan cinta itu haram. Hal ini disebabkan tiada lagi fatwa yang mengatakan cinta itu haram. Namun, dibolehkan jika seseorang ingin mengharamkan untuknya seorang d
aripada bercinta sebelum kahwin.


Pada titis tinta tinta terakhir ini, saya cuba sampaikan maksud tersirat entri ini:

Jika ada diantara kalian sudah jatuh hati kepada yang lain. Jagalah hati dan akal
Namun, jika kemampuan ada dalam genggaman tangan untuk mengikat janji setia di atas nama ijab dan qabul maka rebutlah peluang itu.

“ dan nikahlah orang-orang yang masih membujang di antara kamu, dan juga orang-orang yang layak (menikah) dari hamba-hamba sahayamu yang laki-laki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberI kemampuan kepada mereka dengan karunia-Nya. Dan Allah Maha Luas( pemberiannya), Maha Mengetahui “
Surah an-Nur:32

‘ andai cinta itu hadir sebelum akad nikah, maka sebaiknya ekspresikan cinta itu selepas ijab dan qabul’. semoga perhubungan dimulakan seiring tuntutan syara'dan perkahwinan akan diberkahi Illahi selamanya.

Khamis, 1 Julai 2010

Status sudah berubah Bila Umur Meningkat

Assalamualaikum!


Saat sudah bertukar jam dan bulan sudah bertukar tahun. Rasanya baru diberi nafas daripada Illahi untuk menyedut udara segar di bumi milik-Nya Rabb. Kini, saya sudah menginjak dewasa yang sudah pasti sedang melalui proses kematangan dari aspek fisik dan juga mental. Sudah hampir 20 tahun saya berada di sini. Yang pasti, di sini ada bahagia, ada duka. Andai di sisi saya hanya ada bahagia, maka ucapan syukur tidakkan pernah saya ucap. Andai duka selalu sahaja yang hadir dalam hati, sudah pasti hati saya sudah dipenuhi putus asa dan tidak akan bersemangat untuk bahagia.


Bahagia dan duka selalu ada
Dalam gerimis sang perasa
Hadirnya tidak diduga
Merentas ilusi kepada realiti



Angka umur 20 tahun adalah angka yang saya nantikan. Entah mengapa. Mungkin ketika itu, saya fikir seseorang yang berumur 20 tahun adalah seseorang yang dikatakan bukan remaja dan bukan juga dewasa. Saya juga fikir,semua kata-kata mereka yang berumur 20 tahun akan diterima oleh 'orang-orang tua' dan tidak akan ada lagi yang berkata ' jangan campur urusan orang tua'.


- dari hari ke hari status diri berubah dari gadis kepada wanita,-


Jika dahulu saya sering ingin berbicara seperti orang dewasa, jika dahulu saya acapkali ingin berfikir ala ‘orang tua’, dan sekarang saya harus berbuat sedemikian. Kini , saya bukan kanak-kanak lagi. Masa depan sudah hampir!


Ironinya, kini rasa saya ingin pulang ke zaman sekolah rendah untuk memperbetulkan semua kesilapan yang telah saya lakukan di waktu itu. Saya juga ingin menikmati kenikmatan ketika menjadi anak kecil yang tidak perlu berfikir apa-apa. Menjadi periang dan sering tertawa bersama teman sekelas. Ah, kenangan itu menjelma lagi! Saya juga berasa Ingin pulang ke zaman sekolah menengah bagi mempersiapkan diri untuk cabaran hari mendatang.


Saya tidak tahu mengapa tiba-tiba saya terasa ingin menulis tentang ini. Tentang umur. Tentang kedewasaan. Mungkin tulisan ini hanya sekadar luahan.



p/s:


Dalam tulisan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada kawan saya Ahmad Muzani yang baru melangsungkan perkahwinannya di Mesir. Beliau baru sahaja berumur 20 tahun dan pelajar di Universiti al-Azhar Mesir. Sebenarnya, beliau tidak pernah saya kenali walaupun saya dan beliau satu sekolah ( Kolej Sains dan Teknologi al-Quran dan sekarang sekolah tersebut ditukar nama sebagai Sekolah Imtiaz terengganu. ) Semoga bait muslim yang beliau bina dirahmati dan diberkati Illahi.



Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada kawan saya , Shazana ( kawan satu kuliah) berumur 20 kerana selamat bersalin anak perempuan pada akhir April lalu. Semoga permata hati menjadi penghubung cinta antara beliau dan suaminya.


Dan kepada sahabat-sahabat saya yang akan berumah tangga bagitahu yer. Jangan lupa jemput saya. Bagi kawan-kawan sekolah rendah ( satu batch)pula, siapa yang nak pecah rekod kahwin awal?hehehe.
Click to view my Personality Profile page

helaian yang dilihat

jalan-jalan dari