Sabtu, 25 Disember 2010

LAMBAIAN AKHIR

Assalamualaikum!

Penghujung Disember sudah hampir berakhir. Menutup lembaran lama untuk membuka lembaran kitab baharu.


Untuk tahun 2011, saya akan ‘renovate’ blog ini supaya tampak lebih matang daripada sebelum ini, insyaAllah.Sepanjang dua tahun ini, saya menulis dalam blog ini, saya telah memfokuskan lebih kepada wanita, cinta, keluarga, persahabatan dan kehidupan sebagai pelajar bukan daripada aliran agama di universiti.



Wanita dan cinta sangat berkaitan. Kerana cinta, sebahagian wanita sanggup menurunkan ‘gred’ kehormatannya. Kehormatan tidak semestinya jatuh apabila di ‘rape’ atau sebagainya. Tetapi, hanya berjalan berdua-duaan dengan lelaki ajnabi juga boleh menjatuhkan gred maruah.



Jadi, kerana itulah saya menulis tentang wanita dan cinta. Saya tidak mahu sahabat-sahabat mahupun saya sendiri yang terlibat dalam kancah cinta itu. Sudah beberapa kali dalam penulisan lalu, sudah saya tekankan bahawa cinta itu merupakan satu perasaan yang semua insan tidak terlepas daripadanya, namun bagaimana cinta itu diekspreskan itu ada hukumnya. Samaada haram, halal atau harus atau juga makruh.

Ada juga yang bertanyakan akan diri saya; apakah saya pernah jatuh hati dengan seseorang? Senang je jawapannya. Jawab saya, siapapun dia hatta seorang ustaz… dia tetap manusia. dan manusia tidak terlepas untuk sukakan seseorang kerana itu lumrah bagi setiap anak Adam. Begitu juga saya. titik!


Keluarga dan persahabatan juga menjadi tema dalam penulisan saya. keluarga merupakan satu inspirasi saya dalam segenap aspek. Tiada yang menyayangi saya sehebat mereka. Tiada yang cinta akan saya sehebat cinta mereka.


Persahabatan pula saya dapat tuntaskan bahawa, seorang sahabat yang setia tidak semestinya di sisi, namun kehadiran doanya selalu dirasa pada setiap waktu.

Sahabat-sahabat sekalian,

Untuk tahun2011 ini, saya punya impian tersendiri apabila memikirkan tentang cita-cita dalam hidup. Apakah yang saya mahu dalam hidup ini atau apakah yang patut saya lakukan untuk umat masyarakat? Itulah persoalan yang sering timbul di benak fikiran saya. saya tidak mahu menghabiskan waktu dengan begitu sahaja kerana saya tahu di atas pundak saya sudah tergalas tanggungjawab.

Untuk tahun ini juga, saya akan menamatkan pengajian saya dalam diploma undang-undang (sivil) pada bulan 6 ini, InsyaAllah. Doakan saya agar saya dapat menyambung pengajian dalam bidang Syariah untuk sesi Julai 2011/2012 di UNISZA. Walaupun sivi dan syariah adalah dua jurusan berbeza namun ia di bawah bumbung yang sama iaitu UNDANG-UNDANG. Saya sukakan undang-undang kerana saya sendiri sudah gariskan undang-undang (prinsip) terhadap diri saya . saya tidak dapat hidup tanpa prinsip!



Lambaian Terakhir,
Tulus,
Izzati a.k.a insan

Khamis, 23 Disember 2010

PERHATIAN: STATUS SUDAH BERUBAH = CIK KEPADA PUAN

Assalamualaikum!
Bismillahirrahmanirrahim.

Setanggi cinta mewangi di atmosfera bumi
Menyentuh rongga-rongga sanubari
Antara Hawa dan Adam
Mengubah haram menjadi halal
Dalam satu lafaz sakinah
‘ aku terima nikahnya…’





Alhamdulillah, tanggal 25 disember 2010 a.k.a pada hari sabtu depan, sahabat a.k.a senior saya Nik Khadijah akan melangsungkan perkahwinannya begitu juga pensyarah saya untuk subjek Land law ;Mdm Nor Aida.Barakallah!



Alhamdulillah, dengan izin Illahi mereka telah dipertemukan dengan pangiran hati. Tiada lagi rahsia jodoh. Tabir sudah tersingkap. Begitulah takdir Illahi yang penuh misteri.

Saya masih ingat, buat pertama kali Mdm Nor Aida masuk ke kelas dan sebelum bermulanya kuliah, beliau sempat berkenalan dengan kami(para pelajar). Ketika kami sedang berta’ruf, beliau agak terkejut apabila mendapat tahu salah seorang daripada kami sudah berkahwin. Beliau kelihatan kaget kerana kebanyakan daripada kami berumur dalam lingkungan 20 tahun. kami cuba memberi peluang untuknya meneka siapakah gerangan yang sudah berkahwin.


Tahu tak siapa? Orang yang pertama beliau teka ialah….

“ awak ker izzati?” Tanya beliau. Saya tergamam dan malu. Saya?
“Tidak…” jawab saya.

Tambah beliau lagi,
“ biasanya, mereka yang berjilbab labuh , nampak wara’ ni kahwin awal.”

Dalam hati saya berkata:
Malunya… calon pun tak de apatah lagi kahwin. Tak semestinya pakai tudung labuh kahwin awal…

Apapun , saya doakan agar Kak Nik dan Mdm Nor Aida bahagia dalam menempuh onak cabaran yang pasti ada dalam setiap bahtera cinta. Bukan bahtera cinta andai tidak pernah dilanda ombak, bukan bahtera cinta andai setiap purnama berima dingin.
***************
Izzati, awak bila lagi? ini jugalah antara soalan yang cukup famous atau question of the year pada tahun ini. Walaupun bagi saya waktu ini adalah waktu yang masih awal lagi untuk ditanya soalan sebegitu kerana Saya masih muda!

Ada yang Tanya lagi…

Izzati apakah antara ciri-ciri ‘future husband awak? Aduh! Soalan yang sukar. Cuma, yang hanya saya boleh jawab adalah…bukan ciri – ciri tentang ‘dia’ yang saya suka tetapi untuk ciri yang sebaliknya.

Saya senaraikan antara sifat-sifat lelaki yang saya tak suka:


1) lelaki yang suka mendekatkan dirinya kepada perempuan yang disukainya dengan cara bersms atau menelefon,

2) jiwang karat,

3) suka hantar mesej yang tak penting a.k.a yang ada ayat-ayat yang agak jiwang sebab saya saya rasa saya adalah fitnah baginya lagipun saya tidak suka ayat yang jiwang

4) tak bersahaja kerana menunjukkan itu bukan dirinya sebenar


5) bercakap lembut (seperti dibuat-buat) dengan perempuan

6) suka memuji(setiap hari memuji..contohnya, cantik, comel) kerana pujian itu adalah sesuatu yang saya tidak sukai.


7) tiada prinsip hidup

8) mudah meluahkan perasaan suka kepada wanita sebab bagi saya lelaki yang ‘gentle’ dia akan bagitahu ibu dan bapa perempuan tersebut akan perasaannya


setakat itu sahaja. kalau ada penambahan akan ditambah lagi... maaf, entri ini bukannya formal ... jadi, ada ayat-ayat yang agak sempoi digunakan


p/s: doakan agar adik saya yang no.2 dipermudahkan pertemuan dengan jodohnya…Amin.

Jumaat, 10 Disember 2010

“ DI MANA ALLAH?”, TANYA SI KECIL BUAH HATIKU

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum

“ izzah, Allah suka kalau izzah pakai kain tudung”, ujar saya kepada adik bongsu saya yang kini hampir berumur 4 tahun.
“izzah, kalau izzah buat baik, Allah suka…nanti buleh masuk syurga dan dalam syurga ,izzah boleh minta apa sahaja yang izzah mahu.”, bagitahu saya kepada adik saya sewaktu bercanda dengannya.

Begitulah, cara yang saya pilih untuk menyemai pengetahuan tentang Allah, syurga atau sesuatu yang mudah mengenai aqidah kepada adik-adik saya( yang masih belum bersekolah). saya tidak mahu terlalu melulu untuk mengatakan bahawa Allah akan marah kalau mereka melakukan sesuatu yang salah. Ini adalah disebabkan, saya ingin menanamkan kepada mereka bahawa Allah itu Maha Cinta, Maha penyayang dan tidak Zalim kepada hamba-Nya.
Alangkah negatifnya persepsi mereka terhadap Allah andai sebelum mereka benar-benar kenal Allah saya telah menakut-nakutkan mereka dengan sifat-sifat Allah yang lain seperti al-Hakam , al-Muntaqim dan lain-lain.

Pernah satu ketika , adik saya yang masih kecil bertanya pada saya:

“ kak, mana Allah”, berulang-ulang tanyanya. Saya menjawab dengan semampu mungkin. Namun, bagi saya, jawapan yang saya utarakan itu belum cukup memuaskan. Waktu itu, saya fikir bagaimanakah cara yang terbaik untuk menjelaskan kepadanya dengan seringkas mungkin tetapi mudah difahami.
Alhamdulillah, pada hari ini, Allah menemukan saya sebuah buku yang bertajuk Bila Anak-Anak Bertanya Tentang Allah dan Alam Ghaib tulisan Muhammad Muhyidin. Buku inilah yang perlu saya hadam sebelum persoalan lain yang ditimbulkan oleh Si Kecil saya.


Sahabat sekalian,

Memang benar soalan Di Mana Allah itu sangat mudah untuk dijawab, tetapi andai persoalan itu ditanya oleh si kecil jawapannya menjadi terlalu sukar untuk dihamburkan. Jadi, untuk persediaan akan datang andai ditaklifkan menjadi seorang ibu atau bapa atau guru sekolah rendah, saya syorkan buku ini menjadi salah satu buku yang perlu anda hadam sebelum taklifan itu diletakkan atas pundak anda.

Apapun, selamat membaca!


Ingin jadi kakak solehah!
Kakak a.k.a Sulong

Isnin, 6 Disember 2010

SETELAH JARI JEMARI BERHENTI MENARI UNTUK SEDETIK


Assalamualaikum
Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah … saya titipkan hamdalah kepada Tuhan yang selayaknya untuk disyukuri atas segala nikmat yang dikurniakan kepada hamba-Nya.

Sahabat yang saya cintai,

Sudah lama rasanya , jari jemari saya tidak menekan punat kekunci untuk menulis sesuatu di halaman ini dek saya dihambat masa untuk menelaah pelajaran kerana peperiksaan akhir semester telah bermula. Dan Alhamdulillah, dua tiga hari yang lepas, tempoh peperiksaan telah berakhir.

Semasa tempoh peperiksaan tersebut, saya seperti tidak percaya kerana dengan izinnya dapat menulis jawapan 2 booklet selama 2 jam setengah untuk setiap lima subjek. Bagaikan bukan saya yang menulis… seperti ada satu kuasa yang membuatkan saya menulis jawapan tersebut. Ya, dengan kuasa Illahi.

Bukan ingin mendabik dada, apatah lagi jawapan tersebut belum tentu betul dan tepat. Tetapi, kadang-kadang sebagai seorang pelajar kita lupa kepada Allah seuasai menduduiki jawapan. dalam hati pasti ada yang berkata” aku dapat jawab dengan usaha aku”. Bagi saya itulah perkataan yang kurang ajar dan zalim kepada Allah. tidakkah tanpa izin Illahi kita boleh menjawab soalan itu dengan mudah? Dan bagaimana setelah kita berusaha namun ketika di dalam dewan peperisaan kita tidak dapat menjawab soalan tersebut dengan mudah?

Ucaplah hamdalah, implementasikan syukur dalam setiap ketaatan

Di sini juga saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat tahun baharu hijrah ;1432h kepada sahabat sekalian. Semoga amalan dan ilmu kita semakin bertambah daripada tahun yang sudah.Dan kurang sebulan lagi, kita juga akan memasuki tahun baharu masihi;2011.

Tahun 1432h dan 2011m beerti usia saya akan menginjak ke 21 tahun. Usia yang signifikan dengan remaja dewasa. Alhamdulillah, jika dahulu saya berharap sangat saya dapat merasai bagaimana rasanya berumur 21 tahun. Dan kini, Allah telah memilih saya untuk itu. Saya sudah dewasa!


Saya juga berharap, pada usia 21 tahun, Allah akan makbulkan doa saya tentang itu. Doa apa? It’s secret … haza sir. Cuma, saya mohon sahabat sekalian ‘aminkan’ doa saya semoga diperkenankan Illahi.

Dan terakhirnya, selamat melangkah tahun baharu dengan langkahan berima kekuatan, meninggalkan kejahilan silam.

Saya,
Alfaqirah ilaLlah
Tara tiana a.k.a Izzati Anas
Unisza

* ahad depan bermulanya praktikal di BBG..
Click to view my Personality Profile page

helaian yang dilihat

jalan-jalan dari