Jumaat, 24 Februari 2012

Subhanallah : Istimewanya Anugerah Ini

Menjadi seorang ibu itu tidak mudah. Dan perasaan seseorang apabila menjadi seorang ibu juga adalah satu perasaan yang sukar digambarkan. Subhanallah!

Begitu juga menjadi seorang kakak yang berperanan ‘sebagai seorang kakak’ juga tidak mudah dan perasaan apabila menjadi seorang kakak juga sememangnya sukar digambarkan. Subhanallah!

Apabila, seseorang dipilih oleh Allah untuk menjadi seorang kakak kepada adik-adiknya, satu perasaan untuk menjadi pelindung kepada adik-adiknya akan wujud. Begitu juga apabila salah seorang adiknya sakit, pasti hatinya gusar bagaimanakah untuk merawat adiknya yang sedang sakit.

Pendek kata, naluri seorang kakak seperti naluri seorang ibu. Ketika rumah bersepah yang sudah pastinya dilakukan oleh adik-adik yang kecil, si kakak inilah yang akan mengemas rumah tanpa perlu berleter. Kerana baginya, leteran itu akan menyebabkan sifat ‘kekakakan’ sebagai seorang kakak yang sabar terhakis.

Apabila, ibu bapa pergi bekerja, kakaklah yang sememangnya harus menggalas peranan sebagai ibu di rumah. Menyiapkan sajian untuk adik-adik, check their homeworks and everything kena lakukan. Selain itu, seorang kakak juga harus pandai berkomunikasi dengan adik-adik. Komunikasi ini penting untuk menjadikan hubungan adik beradik bertambah erat dengan sentiasa bertanya masalah mereka, bertanya pendapat mereka tentang sesuatu, dan tidak terlalu straight menegur mereka atau dengan kata lain harus berhemah dalam teguran apabila mereka melakukan kesalahan.

Ketika ini, Allah memberi peluang kepada saya untuk menjadi seorang kakak sulong kepada 6 adik. Lima lelaki dan seorang adik perempuan(bongsu). Subhanallah, indahnya perasaan menjadi seorang kakak. Subhanallah, indahnya perasaan apabila boleh melakukan sesuatu untuk adik-adik. Biar lelah sedikit, asalkan adik-adik dapat merasai kehadiran seorang kakak yang berperanan sebagai seorang kakak. Bukan menjadi seorang kakak yang tidak memainkan peranan seperti seorang kakak.

Pesan saya untuk mereka yang bergelar kakak!

Sungguh, usah suka berleter kepada adik-adik… andai masih ada adik yang kecil, bermainlah dengan mereka.Turunkan sedikit level ‘kematangan’ (namun harus ada hadnya) semata-mata ingin mereka tahu kalian bukan sekadar kakak tetapi mereka juga boleh berkongsi masalah dengan kalian.

saya akui masih banyak lagi yang sepatutnya saya lakukan sebagai seorang kakak…semoga Allah memberikan kesempatan untuk saya menjadi seorang kakak yang baik kepada adik-adik…


Istimewanya anugerah ini,
Adik-adik kurniaan Illahi,
Wan Muhammad Izzat…
Wan Muhammad Izzul…
Wan Muhammad Izzuddin…
Wan Muhammad Izzrusyaidi…
Wan Muhammad Irsyad…
Wan Nur Izzah…
Untuk kakak yang bernama Wan Nur Izzati!

Khamis, 23 Februari 2012

tautkan hati -hati kami



'Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi-Mu, bertemu untuk mematuhi (perintah)Mu, bersatu memikul beban dakwah-Mu. Hati-hati ini telah mengikat janji setia mendaulat dan menyokong syariat-Mu, maka eratkanlah ikatan-Nya ya Allah.

Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini. Tunjuklah kepada hati-hati ini dengan limpahan iman jua keyakinan dan keindahan tawakkal kepada-Mu. Hidup suburkan hati-hati ini dengan pengetahuan sebenar tentang-Mu.

Jika Engkau mentakdirkan mati, maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong.

Ya Allah, perkenankanlah permintaan ini. Ya Allah restuilah dan sejahterakanlah junjungan kami Muhammad, keluarga dan para sahabat baginda semuanya. Amin."

Rabu, 22 Februari 2012

semoga akhirnya damai

Semoga cerita akan ternoktah
dengan pengakhiran yang mendamaikan
Mungkinkah kini manik-manik resah
Akan menjadi titis yang mendamaikan
Untuk pengakhiran?

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya” surah al-Baqarah:286.

Doakan saya!
Izzati Anas
Unisza

Jumaat, 17 Februari 2012

kerana Allah, I luv U!



Berat hati untuk meninggalkan ibu dan abah. Walaupun sudah melangkaui umur 20 tahun. Kata orang, dah besar-besar, tak perlu sedih-sedih lagi untuk berpisah dengan ayah dan bonda. Kalau sedih- sedih, itu namanya manja!


Namun, kata saya, hanya mereka sahaja yang saya ada di dunia ini. hanya mereka sahaja yang saya ada yang saya percaya. Hanya mereka sahaja yang saya ada yang menyayangi saya. Jadi, tentulah saya akan berasa sedih untuk berpisah dengan mereka walaupun hanya seketika. Belum ada lagi ketika ini, seseorang yang sentiasa menyayangi saya dan doanya sentiasa ada untuk saya kecuali ibu dan abah saya.

Untuk sekian kalinya, saya hadirkan kalimah tulus ini
Ibu abah…kakak cintakan ibu abah kerana Allah


Kakak,
unisza

Rabu, 15 Februari 2012

wajah mereka ada cinta

Assalamualaikum!

Bangunan itu…
Wajah-wajah mereka…
Spirit…

Kenangan lalu menyapa lagi. Seakan baru sahaja berlalu. Bagaikan 10 tahun itu baru sahaja berlabuh. ingin sahaja kembali kepada 10 tahun lepas. Menjadi seorang gadis kecil yang polos.

Kenangan demi kenangan datang lagi. Mungkin kenangan itu mahu diriku mengambil sebarang pengajaran atau teladan dari peristiwa lalu untuk menjadi bekalan hari mendatang.


KENANGAN 1: BANGUNAN ITU SEKOLAHKU

Bangunan itu…

Sekolah buruk itu pernah menjadi sekolahku. Sekolahku yang bersebelahan dengan Sekolah Menengah untuk pelajar-pelajar cina yang bangunanya sungguh besar dan tersegam indah. Jauh bezanya dengan sekolahku. Sekolahku dulu hanya ada bangunan yang hanya siap yang asas sahaja. Kipas pun belum ada. Dan udara percuma dari Allah menjadikan kami berasa dingin sedikit ketika waktu matahari ada di atas kepala. Alhamdulillah.

Di sekolah itu,
Bangunannya tidak indah-indah,
Tanahnya berdebu-debu,
Bukan seperti sekolah sebelah,
Yang tidak punya tanah coklat,
Yang hanya ada tanah hitam bertar,
Tapi tetap kusyukuri,
Kerana sekolahku itu sekolah agama,
Sekolah yang memberi ajar tentang Islam,
Itulah sekolahku yang memberi cahaya,
Sekolah rendah islam an-Nur!

Sekolah itu, memberiku banyak sekali pengalaman yang tidak mungkin akan kukutip di tempat yang lain. Di sekolah itu, Tuhan telah memberiku sejuta pelajaran yang sungguh berharga dan tidak akan sama harganya dengan bintang-bintang di langit.

Semangat untuk belajar, persaingan sihat antara rakan sekelas,persahabatan yang tulus,cikgu-cikgu yang ikhlas mengajar itulah kenangannya. Ah, betapa indah jika dapat kuundur masa…

KENANGAN 2: MEREKA GURUKU

Masih kuingati, wajah-wajah guru yang pernah mengajarku. Cikgu Halimah, cikgu Haszarah,Ustaz Omar, Ustaz Saufi, Ustaz Nik, Ustaz Rosdi,Sir Mat Ali, Cikgu Zalini, Cikgu Azizah. Mereka banyak berjasa kepadaku dan rakan-rakan yang lain. Pengorbanan mereka mengajar kami tidak akan sama dengan nilai pendapatan yang mereka perolehi bulanan. Pengorbanan mereka sangat tinggi terhadap kami.

Cikgu Halimah, adalah individu yang sangat aku sayangi. Beliau mengajarku subjek matematik. Tidak pernah kudapat A dalam subjek itu. Namun, kesungguhan beliau mengajarku sehingga petang secara intensif meningkatkan prestasiku dan rakan-rakanku yang lain. Melihat kesungguhannya untuk mengajarku dan sahabat yang lain menjadikanku lebih bersemangat untuk belajar. Sehingga satu hari, aku hampir menitiskan air mata apabila mendapat A dalam subjeknya.

Cikgu saya sayang cikgu kerana Allah…


Ustaz Omar, cukup terkenal dengan sifatnya yang garang. Namun, garangnya bertempat. Alhamdulillah, diriku tak pernah lagi dimarahinya. Ustaz Omar merupakan ustaz yang mengajar dalam subjek bahasa arab dan al-quran.

Ibu berpesan padaku, agar aku menyayangi guru lebih-lebih lagi guru yang mengajar al-Quran. Al- quran itu membawa kepada kenalnya kita kepada Tuhan.

Ustaz, saya sayang ustaz kerana Allah…


Sekarang, apabila aku menjadi mahasiswi, aku jadi rindu kepada guru-guruku yang mendidikku agar diriku menjadi seorang manusia yang terdidik dan berjasa kepada ummah.

AKU;ANAK DIDIKMU:

Kini, aku mencari spirit yang hilang…aku mencari jalan pulang…untuk membalas segala jasa guru-guruku..untukku menjadi seorang murid yang selalu mendoakan guru-gurunya…sampai mati aku tidak akan melupakan dirimu…

Ya Allah, Engkau ampunkanlah dosa-dosa guru-guruku… bahagiakanlah mereka di dunia dan akhirat…kerana aku cinta mereka kerana-Mu, ya Allah.


Sungguh..aku merinduimu guru-guruku…
Anak didikmu
Izzati anas
Kelas 6 AMAL( UPSR 2002)
SRI AN-ANUR

Isnin, 13 Februari 2012

sempatkah?

Menyepi
Untuk muhasabah sanubari
Koreksi diri
Untuk merobah
Meroboh tembok jahiliyyah
Lestarikan tarbiyah
Sebelum ajal singgah
Sempatkah?




(universiti... akan kujadikan sebagai medan tarbiyyah… bukan sekadar mengejar ilmu duniawi bahkan menjadi sebuah medan untuk diriku ditarbiyyah)



Pss: inshaAllah, akan berangkat ke UniSZA pada 18 Feb… semoga di sana diriku sabar dalam proses ditarbiyyah..


-my little Hero,Irsyad-

Jumaat, 3 Februari 2012

Pulang ke Jalan Syurga

Waktu-waktu lalu yang saling berangkai telah melakar sebuah sketsa bagi seorang insan dengan warnanya tersendiri. Waktu –waktu yang sudah lepas tidak mungkin akan dikembalikan walau apapun gantiannya. Kerana tiada gantian untuk waktu. Waktu muda tidak akan pernah dialami oleh setiap insan sebanyak dua kali di dunia ini. Tidak akan pernah!



Bila kepala mendongak ke langit pekat di waktu malam yang berbintang. Sekilas pandang, mata akan tertumpu pada bintang-bintang yang begemerlapan. Cubalah,setiap dari insan mencongak berapakah bintang di birai langit sana. Cuba andaikan betapa waktu-waktu lalu kita telah habiskannya dengan dosa-dosa sebanyak butir-butir bintang di langit. Andai dapat dihitung bintang-bintang itu, cubalah hitung pula air lautan dari tujuh benua. apakah dosa-dosa itu telah berlalu tanpa ada pintaan taubat kepada Tuhan.



Cubalah kita tinggalkan hiruk piruk manusia. Terperuk di tempat yang sunyi tanpa ada mata-mata yang memandang. Ketika itu pejamkan mata, tarik nafas perlahan-lahan. Lalu Tanya pada diri, apakah yang telah kita lakukan sepanjang kita bergelar seorang mukalaf. Apakah kita telah melaluinya tanpa ada dosa sedikitpun bak setitis embun di waktu dinihari. Atau apakah dosa-dosa yang telah kita akui itu telah kita mohon ampun dari Allah; pencimpta segala makhluk?



( monolog: sungguh, bila mengimbau waktu-waktu yang baru pulang ke lipatan sejarah, bagaikan ada dosa-dosa yang telah dilakukan. Sepertinya, dosa-dosa itu telah menghitamkan hari-hari yang bakal dilalui. Sungguh, tanpa taubat…hari mendatang pasti akan begitu. Berjalan seperti masa lalu yang banyak dengan dosa-dosa. )





Ayuh, marilah kita sama-sama mengakui bahawa kita sudah tidak muda lagi. hari-hari yang bakal kita jalani telah memendekkan usia kita. Rumah kata pergi, kubur datang mari! Ayuh, kita sama-sama pulang ke jalan fitrah sebagai seorang insan kepada Tuhannya. Ayuh, marilah kita sama-sama pulang ke jalan syurga kerana asal usul datuk kita; nabi Adam adalah syurga! Jom, taubat!



Semoga hati-hati kita masih lagi ada satu rasa untuk bertaubat.

Semoga mata-mata kita masih diberi waktu untuk berlinangan air mata kerana taubat.

Semoga kita diberi kesempatan untuk bertaubat.

Semoga Allah masih mencintai kita…kerana dengan cinta-Nya pasti Dia tidak akan mencampakkan hamba yang dicintai-Nya ke neraka jahannam. Tanpa cinta-Nya, boleh diibaratkan hidup insan tidak akan begemerlapan selama-lamanya. Bagaikan bulan tidak pernah terbit diwaktu malam selama ia diciptakan!

Semoga Allah menerima taubat kita.



Firman Allah s.w.t dalam surah al-mu’minun ayat 2 yang bermaksud:

“turunnya al-Quran ini dari Allah yang Maha Kuasa lagi Maha Mengetahui. Yang Maha Mengampunkan dosa dan Yang Maha Menerima Taubat; yang Berat azab-Nya; yang Melimpahkurnia;tiada Tuhan selain Dia;kepada-Nya tempat kembali”

helaian yang dilihat

jalan-jalan dari