Khamis, 29 Mac 2012

Updated

Alhamdulillah…
Syukur atas kurniaan Illahi…Iman dan Islam

Kini, saya sudah jarang-jarang menulis. Kata hati laksanakanlah urusan yang lebih afdhal dilakukan terlebih dahulu. Jadi, mungkin itu salah satu faktor mengapa saya jarang-jarang update blog :)

Terkini, banyak hal dan perkara yang berlaku sudah merubah sedikit demi sedikit kehidupan saya yang lalu. Sehingga saya berasakan bahawa saya sudah semakin dewasa. Bukan lagi kanak-kanak yang boleh dimanjakan.


Kini, tanggungjawab demi tanggungjawab tergalas. Amanah demi amanah terpikul di bahu. Semuanya harus digalas dengan baik.


Kata orang, kita harus belajar bagaimana untuk fokus dua perkara dalam satu masa.

Dan kini, saya sedang belajar untuk pandai membahagikan masa. Antara pelajaran , persatuan dan keluarga( even duk unisza sekalipun...keadaan keluarga di KB mesti diupdate selalu)! Mungkin untuk masa hadapan, saya perlu fokus untuk empat perkara dalam satu masa. Mana tahukan? Walau dirancang perjalanan hidup dengan rapi, ia tidak semestinya mengikut acuan kita. Jadi, seharusnya…saya harus bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan perubahan demi perubahan dalam kehidupan. Ops, lari tajuk!


Kini, saya masih ada hutang dengan teman baik saya. saya masih belum punya waktu untuk menulis sesuatu yang dipintanya. Katanya untuk sebuah nasihat. inshaAllah saya akan menulis walaupun saya bukannya seorang baik mahupun solehah. Saya hanya wanita biasa-biasa sahaja yang imannya ada jatuh dan bangun…turun dan naiknya.

AWak…kalau wak baca tulisan ni..inshaAllah saya akan tulis untuk wak. Maaf ambil waktu yang lama.Sama-sama kita upgradekan peribadi kita kea rah Durrah Sofiah ye. Sayang awak kerana Allah…moga ukhuwwah kita bertaut untuk selamanya…



kini dan terkini,
saya masih begini...


(next week cuti mid sem)

Khamis, 15 Mac 2012

ALLAH SEBAIK-BAIK PENOLONG


Allah ada bersama kita!

Ketika manusia lain berjalan sambil berteman, kita memandangnya dengan bahagia. Kata kita: alangkah bahagianya mereka mempunyai teman bicara.
Ketika manusia lain memandang kita dengan perasaan pesimis terhadap apa yang kita pegangi,kita bersedih hati. Kata kita: aku kini sudah tidak punya siapa-siapa lagi!.

Bertenanglah! Allah bersamamu!


Sahabat!


Saya pernah dibiarkan sendirian sepi oleh sahabat-sahabat saya sendiri. Dek kerana saya berpegang kepada prinsip bahawa saya tidak mahu membuat persembahan pada malam Annual Dinner bagi semester tersebut kerana persembahan yang mahu dibuat ada kaitan dengan suara wanita. Jadi, saya tegaskan bahawa saya mahu mengecualikan diri daripada sebarang persembahan untuk malam tersebut.

Dan untuk pertama kali saya dipandang sinis oleh sebahagian sahabat sekelas saya. Kata mereka, saya tidak up-to-date a.k.a jumud!

Sahabat!
Peribadi saya juga pernah diserang apabila saya menetapkan pendirian bahawa saya tidak mahu berkongsi kereta dengan kawan lelaki saya. Maksudnya, kawan lelaki menjadi pemandu untuk saya dan sahabat lain ke perpustakaan di Bandar untuk membuat sedikit research. Saya tolak. Saya tidak mahu saya ada rekod itu. dan saya ambil jalan mudah tanpa menyusahkan sesiapa dengan menaiki van. Selesai masalah!
Namun, ada suara sumbang mengatakan saya ini jumud lagi. marah-marah. Saya pun tidak tahu kenapa mereka emotional apabila saya memilih jalan yang saya pilih.

Sahabat!

Saya juga pernah disindir oleh ‘orang besar’ persatuan fakulti saya setelah memberi pandangan terhadap attitude sebahagian Flairians ketika itu di dewan kuliah utama. Saya hanya mampu tersenyum untuk tidak menangis. Ketika itu juga, tiada seorang pun menyambut komentar saya itu dengan sokongan secara zahir. Sepertinya saya bersendirian ketika itu tanpa sebarang kekuatan dari teman-teman.


Sahabat!


Ketika peristiwa demi peritiwa tersebut menghujani diri saya, saya berasa sangat sedih. Terasa diri saya ini tidak punya siapa-siapa. ketika air mata saya jatuh, entah mengapa satu perasaan yang mendamaikan terbit. Bagaikan jasad saya bersendirian namun terasa hadirnya Allah mendengar curahan hati saya. Lantas, saya tekadkan bahawa biarlah saya berpegang kepada apa yang saya pegang selama ini asalkan benar di hadapan Allah. Biarlah manusia mengungkapkan kata-kata nista asalkan Allah redha.


Sahabat!

Yakinlah bahawa Allah bersamamu di saat manusia mencemuhmu. Yakinlah bahawa Allah bersamamu ketika engkau berjalan sendirian tanpa sahabat. Yakinlah bahawa Allah adalah sebaik – baik penolong di saat dirimu memerlukan pertolongan.


Yakinlah!

Yakinlah pada Allah!

Yakinlah!

Ahad, 4 Mac 2012

if Allah brings u to it

Mimpi-mimpi indah itu adalah

satu ujian dari Tuhan

Untuk menduga kita

Membuatkan kita berada dalam persimpangan

Dilema untuk memilih

Antara untuk memanifestasikan mimpi

Dengan warna realiti yang Tuhan redha

Atau

Untuk terus mengulit mimpi indah tanpa ada

cahaya Tuhan Yang menyuluh



Kita masih di sini

Dengan mimpi – mimpi indah

Masih tidak berganjak untuk

Memilih antara

Dua warna yang bisa mengubah

Seluruh kehidupan kita



Kita masih di sini

Bersama mimpi-mimpi indah

Jiwa terus hanyut melelahkan

Kerana tidak yakin untuk memilih

Kerana dalam sanubari tidak

Punya sentuhan tawakal dan redha



Pegangilah kata-kata bahawa

Takdir itu telah membawa kita bersama ke denai ini

Justeru itu

Pilihlah jalan redha Tuhan yang bisa

Kita tadah pahala berganda bersama

Bagi setiap ibadah




Moga kelak

kita akan saling tersenyum

kerana redha Tuhan yang kita pilih

telah membawa kita ke syurga bersama



-sentuhan aksara -

Sabtu, 3 Mac 2012

Pilihlah...kerana pilihan ada di tangan kita

Mungkinkah mimpi-mimpi indah ini adalah ujian buat kita? Mungkinkah ini adalah bicara Allah untuk kita memilih antara mengimplementasikan mimpi-mimpi indah ini dengan cara yang Allah redha(dan menjadikan mimpi ini satu realiti) atau kita hanya menanti waktu untuk bertahan dalam ujian?


Sesungguhnya, antara kita ada yang tidak tahan ujian begitu juga ada antara kita yang bisa mengambil option yang pertama. pilihan ada di tangan kita. Petunjuk sudah Allah berikan melalui kalam-Nya. Cuma, kitalah yang harus tsabat dengan pilihan kita.

Rabbi yassir wala tuassir yaa karim.
permudahkanlah urusan kami..ya Rabbuna.




menulis dengan hati:
-cahaya kemuliaanku-
Wan Nur Izzati

anak kecil



''Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya,ibunya telah megandungkanya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan( dari awal mengandung hingga akhir menyusuinya)dan tempoh menceraikan susunya dalam masa 2 tahun.(Dengan demikian bersyukurlah kepada-Ku dan kedua-dua ibu bapamu dan ingatlah kepada Aku jualah tempat kembali.(untuk menerima balasan)''. (Surah Lukman, ayat 14)


Cerita 1:


Kereta yang dipandu Abah telah membawa saya dan keluarga ke rumah atuk saya. Semasa dalam perjalanan, Abah ketawa kecil. Lalu, saya pun bertanya kepada
Abah:

Saya: Abah, kenapa ?

Abah: Abah terkenangkan masa kakak kecil dulu.Sekarang ni dah besar, nanti akan kahwin dan abah pun dah tak lama…

Ayat Abah terhenti di situ. Tidak bersambung. Ayat yang terakhir itu walaupun tidak dihabiskan namun ia mempunyai makna tersendiri. Pilu!

Saya: kakak mana besar lagi, abah. Kakak ni masih baby! Hehe.

Saya bergurau. Saya tidak mahu suasana dalam kereta jadi suram. Saya tidak mahu Abah menganggap saya sudah dewasa walaupun umur saya pada tahun ini genap 22 tahun. Bukan sebab saya ingin terus menjadi anak manja atau saya masih tidak matang dalam berfikir. Tetapi… ah, susah untuk melafazkannya!


Cerita 2:


Saya masih di situ bersama izzah. kami bermain sambil bergurau mesra. Ibu yang dari tadinya melIhat teletah kami tersenyum.

Ibu: kak macam budak-budak..ibu dulu dah tak de nak main macam tu (ibu tersenyum)

Saya: Bu, kakak memang budak-budak,.hehe.
Ibu: tapi, masa ibu umur sama dengan kakak, ibu dah kawin dah..

Saya: kakak tak kahwin lagi..jadi, kakak masih kecil lagi. macam izzah…sama-sama kecil. Hehe…

Saya bergurau.


Cerita ketiga:


Sahabat : enti duk mana sekarang?

Saya: duk kat library…

Sahabat: sibuk tak sekarang ni?

Saya: tak…kenapa?

Sahabat saya mengajak saya ke kem untuk meninjau-ninjau tempat untuk dijalankan program. Dan saya minta masa sekejap darinya untuk meminta keizinan dari ibu. Maklumlah masa itu, abah outstation ke China.
Sahabat saya itu jadi ketawa kecil apabila saya memberitahunya begitu. Dia pun membalasnya, bahawa tempat tersebut dekat dengan Unisza. Bukannya jauh.
Mungkin baginya, hal begitu tak perlulah untuk memohon keizinan dari ibu. Namun, bagi saya…saya perlu meminta keizinan dari ibu.


Saya ingin menjadi anak kecil untuk ibu dan abah


Saya tahu, saya sudah menginjak dewasa. Bukan lagi pelajar sekolah rendah atau menengah. Itu memang fakta!

Rama i sahabat saya cakap saya ni boleh dianggap sebagai matang kerana pembawaan diri saya sebegitu (Wallahua’lam , mungkin kata-kata tersebut benar atau mungkin salah)

Dan saya juga mahu dianggap dewasa oleh kebanyakan orang. Bukan masih budak-budak lagi.

Cuma, di hadapan ibu abah…saya mahu menjadi anak kecil. (Anak kecil di sini bukan beerti tak pandai mengurus diri atau tidak berdikari.)

Maksud anak kecil bagi saya adalah, saya ingin menjadi anak yang diperhatikan oleh ibu dan abah. Dan biasanya anak kecil akan menghargai ibu bapa mereka melebihi anak-anak yang menganggap diri mereka sudah dewasa. Dan inilah sebabnya saya ingin menjadi ‘baby’.

Apabila saya menjadi anak kecil… apa-apa yang akan saya lakukan atau sedang lakukan saya akan beritahu ibu dan abah. Saya tidak mahu melakukan sesuatu di luar pengetahuan mereka kerana bagi saya, saya masih di bawah jagaan mereka. mereka sudah membesarkan saya dari kecil sehingga dewasa. Saya tidak mahu, apabila saya dewasa, saya melakukan apa-apa sesuka hati saya tanpa mereka tahu.


Kesimpulan


Sebagai anak, walaupun kalian sudah mencapai umur dewasa, hargai mereka agar mereka merasakan diri mereka cukup penting dalam kehidupan kalian. Kalau ada apa-apa yang selayaknya untuk mereka tahu, berbicaralah kepada mereka.

Berbicaralah kepada mereka dengan lemah lembut. Tataplah wajah mereka puas-puas kerana masa yang berbaki ini akan menemui jalan tamatnya. Mungkin esok, kalian yang akan meninggalkan mereka terlebih dahulu atau mereka yang akan meninggalkan kalian. Hanya Allah yang tahu!

"Dan Hendaklah engkau merendahkan diri kepada keduanya kerana kasihan belas dan kasih sayang Mu dan Doakanlah untuk mereka dengan berkata : Wahai tuhan kami cucurilah rahmat kepada kedua ibu bapa kami sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil".( surah Al-Isra' ayat 24)

Jumaat, 2 Mac 2012

Anak Adalah Modal Untuk Ke Syurga

Saya suka memerhati dan
Menganalisa apa yang saya perhatikan
Untuk dijadikan sempadan dan pengajaran
Atau dijadikan sebagai pesanan




Saya memerhati. Ada diantara kita yang Allah anugerahkannya menjadi seorang ibu setelah dia sekian lama berdoa agar Allah mengurniakannya seorang anak. Lalu, Allah mengabulkan permintaannya. Namun, apabila anaknya yang masih kecil atau boleh dianggap remaja ‘buat hal’ a.k.a ada krisis perangai, lalu lidah si ibu itu seringkali memanggil anaknya dengan panggilan yang tidak baik dan memarahinya dengan kasar. Dan bukannya menasihati dengan memberi teguran mendidik.



Sedarkah, bahawa tidak lama dulu, dia pernah memohon kepada Allah untuk dikurniakan seorang anak. Dan kini Allah telah mengabulkan permintaannya.


Saya berasa cukup terkilan melihat keadaan sebegini. Memang benar, anak-anak banyak kerenah dan faelnya. Tetapi, perkataan sebegitu( yang tidak baik) sememangnya si ibu tidak boleh gunakan. Apatah lagi kata-kata itu boleh dianggap sebagai doa. Sebaiknya, si ibu seharusnya menggunakan kata-kata yang baik dalam nada tegas untuk menasihati anak. Dan ingatlah bahawa setiap anak-anak itu ada bezanya. Mungkin, si abang itu mudah dibentuk, tetapi adiknya susah sedikit. Apapun, itu adalah dugaan yang patut diatasi dengan sifat sabar yang proaktif bukannya secara marah-marah yang keterlaluan.


Dan…


Bersyukurlah kerana Allah memberikan gelaran ‘ibu’ di saat ramai lagi, isteri-isteri di luar sana yang masih tidak dianugerahkan seorang anak; seorang isteri yang mendamba tangisan dan tawa seorang kanak-kanak.



Bersyukurlah dan bersabarlah dalam mendidik anak-anak. Jangan terus melabelkan anak dengan macam-macam label yang menyebabkan si anak menganggap si ibu tidak menyayanginya. Anggaplah kerenah anak itu sebagai ujian Allah untuk memberikan ganjaran pahala yang besar. Dan gunalah teknik kreatif dalam mendidik anak-anak.



Anak bukan bebanan. Anak itu adalah modal untuk ke syurga.

Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,

'Apabila seorang manusia meninggal dunia, maka putuslah amalannya, kecuali tiga perkara: Sedekah jariahnya, ilmu yang memberi manfaat dan juga doa dari anak yang soleh. (Hadis riwayat Imam Ahmad).


p/s

(sebelum menjadi seorang ibu,sebaiknya persiapkan ilmu keibubapaan dan seeloknya baca buku Tarbiyatul Aulad karangan Dr Abdullah Nasih Ulwan. Selain itu, sifat sabar harus ditanamkan kerana mendidik anak-anak itu bukannya satu perkara yang mudah. Seorang Ibu seharusnya ada sifat sabar dan tabah juga kreatif dalam mendidik.)

-izzati anas-

helaian yang dilihat

jalan-jalan dari