Ahad, 12 Jun 2011

Sekilas Pandang berkenaan al-Isra' wa al-Mi'raj

Sudah menjadi suatu pegangan yang cukup sulit untuk disingkirkan daripada pemikiran masyarakat kita, iaitu, tanggal 27 Rejab, berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj yang menjadi satu simbol yang cukup berharga buat umat Islam seluruhnya. Mungkin sekali, jika sekali imbas, tiada yang pelik mahupun mencurigakan berhubung perkara tersebut. Namun, penelitian dan pengkajian, akan menemukan suatu ketidak puasan hati akan terdetik di dalam benak. Benarkah peristiwa Isra' dan Mi'raj berlakunya pada 27 Rejab seperti sangkaan kita selama ini? Shahihkan ia? Insya Allah, sama-sama kita teliti dan kaji, juga buat renungan bersama.



Berhubung kisah-kisah yang seringkali diceritakan berkenaan Isra' dan Mi'raj, terlalu banyak sekali kisah-kisah yang tidak sahih tersebar. Namun, fokus penulisan ini sekadar ingin membahaskan perihal keshahihan tarikh berlakunya Isra' dan Mi'raj. Adapun berhubung kisah-kisah yang tidak shahih yang diselitkan berhubung peristiwa bersejarah ini, seperti Baginda di Isra'kan daripada rumah Ummu Hani, kisah perempuan tua yang menjadi symbol bagi umur dunia, dan lain-lain akan ana sebut dan bahaskan di dalam buku "Himpunan Sirah-Sirah Yang Tidak Shahih (buku 2)" dengan izin Allah.
Ara 'ualam berkhilaf pendapat berkenaan tahun di Isra' Mi'rjkan Baginda Sallallahu'alaihiwasallam kepada beberapa pendapat:


1-Sebelum Baginda di lantik menjadi Rasul. Ianya merupakan pendapat yang syaz.

2-Setahun 2 bulan atau 14 bulan sebelum berlakunya peristiwa Hijrah.

3-Setahun 3 bulan atau 15 bulan sebelum Hijrah.

4-3 tahun sebelum Hijrah.

5-5 tahun sebelum Hijrah.

6-Ibn Sa'ad dan selainnya berpendapat pada setahun sebelum Hijrah. Pendapat inilah yang disebutkan dengan yakin oleh al-Imam al-Nawawi. Ibn Hazam menukilkan bahawa pendapat ini adalah ijma'. Akan tetapi al-Hafiz Ibn Hajar mengkritik, katanya:

"Dakwaan yang mengatakan ianya sebagai ijma' adalah tertolak kerana ada khilaf seperti yang telah disebutkan."

Al-Zuhri meletakkan tarikhnya berlaku setahun sebelum Baginda keluar berhijrah. Ibn Ishaq pula mengatakan bahawa ianya berlaku 10 tahun selepas Nabi dilantik menjadi Rasul, iaitu sebelum kewafatan Abu Thalib. Namun, pendapat ini adalah tidak tepat.

Sebetulnya, Isra' dan Mi'raj berlaku selepas kewafatan Abu Thalib dan Siti Khadijah. Hal ini seperti yang telah disebutkan oleh 'Aisyah bahawa Khadijah meninggal dunia sebelum di fardhukan solat lima waktu.


Kesimpulan berkenaan tahun Baginda Isra' adalah menurut pendapat yang lebih pasti adalah setahun sebelum Hijrah seperti pendapat keenam yang telah disebutkan tadi.
Adapun, berhubung dengan tarikh berlakunya Isra' dan Mi'raj pula. Al-Syaikh 'Abd al-Rahman al-Mubarakfuri menyebutkan di dalam kitab sirah beliau al-Rahiq al-Makhtum, yang akan ana nukilkan seperti berikut:

1-Pada tahun Baginda dilantik menjadi Rasul. Pendapat ini telah dipilih oleh al-Thabari.

2-5 tahun setelah Baginda Sallallahu'alaihiwasallam dilantik menjadi Rasul. Ini dirajihkan oleh al-Imam al-Nawawi dan al-Qurthubi.

3-Pada malam ke 27 daripada bulan Rajab tahun kesepeuluh kenabian.

4-16 bulan sebelum Hijrah, iaitu pada bulan Ramadhan tahun 12 kenabian.

5-Setahun 2 bulan sebelum Hijrah, iaitu pada bulan Muharram tahun 13 kenabian.

6-Setahun sebelum Hijrah, iaitu pada bulan Rabi' al-Awal tahun 13 kenabian.
Al-Syaikh menambah lagi di dalam mengklasifikasikan pendapat yang shahih berhubung peristiwa tersebut, kata beliau:


"Dan ditolak pendapat-penadat 3 yang terawal. Kerana Khadijah telahpun wafat pada bulan Ramadhan tahun ke 10 kenabian. Dan kewafatannya adalah sebelum difardhukan solat lima waktu. Adapun, pendapat ketiga lagi, maka aku tidak dapati pendapat yang rajah satu daripadanya. Tetapi, konteks di dalam surah al-Isra' menunjukkan bahawa al-Isra' berlaku sangat lewat."

Al-Syaikh Ibn 'Utsaimin merajihkan pendapat yang mengatakan bahawa ianya berlaku pada bulan Rabi' al-Awwal.

Bagi pendapat ana sendiri, ana merajihkan pendapat yang mengatakan pada bulan Rabi' al-Awwal. Akan ana buktikan.

1-Hanya tingaal pendapat 3 yang terakhir yang perlu diteliti, kerana riwayat 3 yang awal telah tertolak.

2-Lihat pada pendapat ke 4 yang mengatakan 16 bulan sebelum Hijrah iaitu pada bulan Ramadhan. Perhatikan. Al-Imam al-Hafiz Ibn hajar al-'Asqalani menyatakan bahawa Ijma' berlakunya hijrah pada bulan Rabi' al-Awwal seperti yang beliau sebutkan di dalam Fath al-bari, katanya:

"Berlakunya penghijrahan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam adalah pada bulan Rabi'ul Awal[1], (ianya) tanpa khilaf. Adapun peristiwa perubahan arah kiblat pula berlaku pada pertengahan bulan Rajab tahun kedua Hijrah berdasarkan pendapat yang shahih dan pendapat yang pasti oleh jumhur."[2]

Oleh itu, 16 bulan daripada bulan Rabi al-Awwal akan jatuh pada bulan Zul Hijjah, bukannya pada bulan Ramadhan. Maka pendapat ini tertolak.

3-Lihat pula pada pendapat yang ke 5 yang mengatakan berlaku setahun 2 bulan atau 14 bulan sebelum peristiwa Hijrah, iaitu pada bulan Muharram. Perhatikan, jika 14 bulan daripada bulan Rabi' al-Awwal daripada waktu peristiwa Hijtah, maka akan jatuh pada bulan Safar, bukannya pada bulan Muharram. Maka pendapat ini tertolak.


4-Tinggal satu lagi pendapat terakhir dan ana merajihkan pendapat ini. Ini kerana, akan genaplah setahun antara bulan Rabi' al-Awwal ketika berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj dengan bulan Rabi' al-Awwal ketika berlakunya peristiwa Hijrah.

Wallahua'lam

[1] Ini juga menjadi satu dalil bahawa peristiwa Hijrah Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam berlaku pada bulan Rabi'ul Awal, bukanlah pada bulan Muharam seperti yang disangka oleh kebanyakan masyarakat kita pada hari ini.

[2] Fath al-Bari oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Aqalani, jilid 1 muka surat 97, dan Hasyiah al-Sindi 'Ala Ibn Majjah oleh al-'Allamah al-Syaikh Muhammad bin 'Abd al-Hadi al-Sindi, jilid 2 muka surat 368.




* tulisan ini saya ambil dari tulisan sahabat saya yang kini melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar Mesir(Tanta)dalam jurusan usuluddin di tahun 2. beliau menggunakan nama pena sebagai Ibn Al-Razi Al-Tantawi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Click to view my Personality Profile page

helaian yang dilihat

jalan-jalan dari