Memaparkan catatan dengan label kehidupan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kehidupan. Papar semua catatan

Jumaat, 3 Februari 2012

Pulang ke Jalan Syurga

Waktu-waktu lalu yang saling berangkai telah melakar sebuah sketsa bagi seorang insan dengan warnanya tersendiri. Waktu –waktu yang sudah lepas tidak mungkin akan dikembalikan walau apapun gantiannya. Kerana tiada gantian untuk waktu. Waktu muda tidak akan pernah dialami oleh setiap insan sebanyak dua kali di dunia ini. Tidak akan pernah!



Bila kepala mendongak ke langit pekat di waktu malam yang berbintang. Sekilas pandang, mata akan tertumpu pada bintang-bintang yang begemerlapan. Cubalah,setiap dari insan mencongak berapakah bintang di birai langit sana. Cuba andaikan betapa waktu-waktu lalu kita telah habiskannya dengan dosa-dosa sebanyak butir-butir bintang di langit. Andai dapat dihitung bintang-bintang itu, cubalah hitung pula air lautan dari tujuh benua. apakah dosa-dosa itu telah berlalu tanpa ada pintaan taubat kepada Tuhan.



Cubalah kita tinggalkan hiruk piruk manusia. Terperuk di tempat yang sunyi tanpa ada mata-mata yang memandang. Ketika itu pejamkan mata, tarik nafas perlahan-lahan. Lalu Tanya pada diri, apakah yang telah kita lakukan sepanjang kita bergelar seorang mukalaf. Apakah kita telah melaluinya tanpa ada dosa sedikitpun bak setitis embun di waktu dinihari. Atau apakah dosa-dosa yang telah kita akui itu telah kita mohon ampun dari Allah; pencimpta segala makhluk?



( monolog: sungguh, bila mengimbau waktu-waktu yang baru pulang ke lipatan sejarah, bagaikan ada dosa-dosa yang telah dilakukan. Sepertinya, dosa-dosa itu telah menghitamkan hari-hari yang bakal dilalui. Sungguh, tanpa taubat…hari mendatang pasti akan begitu. Berjalan seperti masa lalu yang banyak dengan dosa-dosa. )





Ayuh, marilah kita sama-sama mengakui bahawa kita sudah tidak muda lagi. hari-hari yang bakal kita jalani telah memendekkan usia kita. Rumah kata pergi, kubur datang mari! Ayuh, kita sama-sama pulang ke jalan fitrah sebagai seorang insan kepada Tuhannya. Ayuh, marilah kita sama-sama pulang ke jalan syurga kerana asal usul datuk kita; nabi Adam adalah syurga! Jom, taubat!



Semoga hati-hati kita masih lagi ada satu rasa untuk bertaubat.

Semoga mata-mata kita masih diberi waktu untuk berlinangan air mata kerana taubat.

Semoga kita diberi kesempatan untuk bertaubat.

Semoga Allah masih mencintai kita…kerana dengan cinta-Nya pasti Dia tidak akan mencampakkan hamba yang dicintai-Nya ke neraka jahannam. Tanpa cinta-Nya, boleh diibaratkan hidup insan tidak akan begemerlapan selama-lamanya. Bagaikan bulan tidak pernah terbit diwaktu malam selama ia diciptakan!

Semoga Allah menerima taubat kita.



Firman Allah s.w.t dalam surah al-mu’minun ayat 2 yang bermaksud:

“turunnya al-Quran ini dari Allah yang Maha Kuasa lagi Maha Mengetahui. Yang Maha Mengampunkan dosa dan Yang Maha Menerima Taubat; yang Berat azab-Nya; yang Melimpahkurnia;tiada Tuhan selain Dia;kepada-Nya tempat kembali”

Isnin, 23 Januari 2012

permudahkan urusan kahwin anak-anak!






Minggu hadapan sepupu saya yang terdekat akan berkahwin. Terdekat, kerana rumah emak saudara saya;bondanya hanya beberapa meter sahaja dari rumah saya. Sepupu saya itu seorang pemuda. Belum habis belajar lagi dan merupakan pelajar tahun akhir di peringkat ijazah sarjana muda di UITM Shah Alam. Dan apabila semester baharu dibuka, beliau akan berpraktikal.



Teringat pula, di saat saya turut ke majlis merisik bagi pihaknya bersama beberapa sanak saudara. Di sana ada perbincangan. Walhasilnya, majlis tersebut, boleh dikatakan majlis dua dalam satu iaitu merisik dan pertunangan. Simplekan?


Yup, memang simple tapi tetap mengikut proses adat (even adat tu tempatnya no 2). Abah saya jadi pembuka bicara dalam majlis tersebut. Hehe. Saya tertawa dalam hati kerana abah nampaknya seperti sudah berpengalaman. Walaupun anak-anaknya belum lagi menghadapi proses seperti itu. dalam majlis itu, sempat abah berjenaka agar dipercepatkan perkahwinan sepupu saya itu. wajah sepupu saya itu jadi tersenyum memanjang. Sportingkan abah saya?



Bagi abah dan ibu, perkahwinan anak-anak itu satu keperluan bagi anak-anak. Jadi, mereka tidak menghalang bagi anak-anak mereka walaupun berusia muda untuk mengambil jalan untuk menikah. Duit itu tidak menjadi masalah. Katanya, majlis perkahwinan tidak perlulah ‘grand’. Buat sesimple mungkin kerana majlis perkahwinan yang simple dan mudah itu memberi barakah. Tidak perlu berhabis wang untuk mendapatkan pujian orang ramai. Wang hantaran pula, ibu dan abah sememangnya tidak meletakkan harga. Murah itu kan tanda barakah! Sportingkan ibu dan abah saya?



Mengapa saya menceritakan ini semua? Ini disebabkan saya agak terkilan apabila mendengar ada ibu dan ayah sahabat yang tidak membenarkan berkahwin muda / awal. Sedangkan si anak itu sememangnya mahu bernikah. Lainlah kalau si anak itu masih mahu meneruskan pengajiannya dan tidak mahu punya komitmen lagi untuk berkeluarga.



Ada yang merintih:
Nak kahwin, ibu bapa tak bagi…
Tapi bila tak nak kahwin, ibu bapa suruh kahwin..
Inilah ujian atau lumrah kehidupan :)



Penyelesaiannya?


Bawalah berbincang dengan ibu bapa. Mungkin mereka tidak membenarkan untuk berkahwin awal itu ada sebabnya. Jadi sebab-sebab itu harus diatasi oleh pasangan yang mahu berkahwin. contohnya, duit tidak cukup. Jadi, mulai hari ini, pasangan tersebut harus menabung. Tunjukkan komitmen! Jangan marahkan mereka pula!




Ps: apabila anda menjadi ibu bapa di kemudian hari, permudahkanlah urusan nikah anak-anak kalian. Jangan kerana bantahan anda yang membuta tuli, mereka berbuat dosa.


Ada juga ibu bapa yang membantah kerana tahu anak mereka tidak layak lagi berkahwin dari aspek agama (pelajaran agama masih tidak mencukupi, mahu berkahwin dengan orang jahat) itu tidak mengapa.




Semoga Majlis nanti baik-baik sahaja...

Izzati Anas a.k.a Tara Tiana
Naungan Kasih
23 Jan 12

Rabu, 11 Januari 2012

HARUS BUAT PROPOSAL KAHWIN!

Assalamualaikum


Musim cuti semester sudah pun bermula. Sudah pasti waktu yang terluang seharusnya diisi dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan berilmiah. Juga sudah pasti detik ini akan dihabiskan dengan keluarga tercinta. Ada juga sahabat yang mengambil peluang untuk mendirikan rumah tangga. Barakallahulakuma, saya ucapkan!


Sudah beberapa kali saya telah disoal mengenai Kahwin Awal a.k.a Kahwin semasa belajar (tidak termasuk pelajar sekolah menengah) oleh rakan-rakan mahupun adik-adik junior. Intipati pertanyaan mereka adalah kebaikan dan keburukan mengambil keputusan di alam studi. Secara jujurnya, saya tidak pernah mengalaminya. Jadi pandangan saya mungkin terbatas mengenai ini. Namun, saya punya pengalaman sahabat dan ibu saya juga berkahwin di waktu studi ketika menjadi siswi USM tak lama dulu. Malahan saya juga pernah mempunyai roommate yang sudah berkahwin ketika di tahun satu pengajian diploma dulu.Jadi, untuk meleraikan pertanyaan mereka mengenai kahwin di waktu studi, saya satukan pemerhatian-pemerhatian yang saya dapat daripada pengalaman ‘orang-orang yang berkahwin awal’ yang berada di sekeliling saya.

يا معشر الشباب من استطاع منكم البأءة فليتزوج فاءنه أغض للبصر و أحصن للفرج و من لم يستطع فعليه بااصوم فاءنه له وجاء

Maksudnya: “Wahai pemuda(belia) sesiapa yang mampu dikalangan kamu maka berkahwinlah, Sesunguhnya ia menundukkan pandangan kamu, memelihara kemaluan mu(kehormatan) dan bagi sesiapa dikalangan kamu yang tidak mampu dengannya adalah dengan berpuasa. Sesungguhnya ia adalah pencegahnya”.


Sebenarnya, saya tidak mahu mengulas panjang bab ini. Cuma,ingin saya tegaskan bahawa berkahwin awal atau lambat sekalipun tiada salahnya. Bukan kerana berkahwin awal, maka pengakhirannya adalah perceraian. Bukan kerana berkahwin awal, maka proses pembelajaran di university terbengkalai. Bukan kerana berkahwin awal, maka langkahan seharusnya tiada salah dan harus matang. Kerana apa jua perkara, akan terselit kelemahan lebih-lebih lagi jika perkara tersebut adalah perkara yang pertama kali berlaku dalam hidup. It’s nature.



Maaf untuk saya katakan. Ketika saya berpraktikal di Jabatan Bantuan Guaman tak lama dulu, pakcik Makcik pun ada yang bercerai. Matang atau tidak itu bukan jadi satu masalah besar. Cuma, matlamat perkahwinan itu harus ada seiring visi dan misi perkahwinan.Dan, insyaAllah…Allah akan bantu perjalanan bahtera perkahwinan! Kalau boleh sebelum mahu mengambil keputusan untuk berkahwin, buat proposal perkahwinan yang terkandung objektif, perjalanan perkahwinan yang bakal dilalui. Memeang kita hanya merancang namun Allah yang menentukan. Tapi, tak salah jika kita merancang untuk kearah keharminian rumahtangga yang bakal dilalui kelak.


Sabtu, 24 Disember 2011

Nak tak bertiga?

Assalamualaikum

Sengaja menulis ketika masih berada dalam tempoh study week kerana bagi saya menulis merupakan satu wadah yang boleh menghilangkan rasa tension. Tambah-tambah lagi, selain darupada menulis, berzikir kepada Illahi saya sudah tidak punya sesuatu lagi yang interesting untuk menyegarkan fikiran daripada terus diulit kusut.

Saya punya satu cerita…saya juga punya pendapat…cerita ini berlaku beberapa minggu yang sudah.

Ketika saya bersantai di dalam bilik sambil melakar draf jadual harian saya khusus pada waktu study week , roommate saya yang baru sahaja pulang dari kuliah terus bertanya satu soalan kepada saya. Terkaget mendengar pertanyaannya.

“ Ti, nak tak payung emas?”

Hah? Apa?

“nak tak payung emas?”

Saya terdiam seribu bahasa untuk beberapa minit. Bagaimanakah saya ingin menjawab persoalan ini sedangkan saya belum berkahwin. Kerana kata orang, seseorang yang belum berumah tangga, pasti akan menjawab persoalan yang berkaitan rumahtangga menurut hati bukan rasional dan secara realiti..

Akhirnya, bibir yang tadinya terkunci rapat cuba diuka perlahan-lahan.

“actually, dari dulu lagi, masa kat sekolah ustaz dan cikgu sering bertanyakan hal-hal inikepada pelajar termasuklah saya. Waktu tu saya jawab kat ustaz bila dia bagi permasalahan seorang kawannya yang ada kaitan dengan berpoligami. Dan saya jawab kat ustaz tu, kesetiaan suami tidak penting bagi seorang isteri. Tetapi, kejujuran suami itu sangat-sangat penting bagi isteri dan jawaban itu masih saya pegang sehingga kini.”

Jelas saya pada roommate.



Sebenarnya, saya tidak mahu berfikir atau bercakap atau menulis mengenai ini lagi kerana saya belum menempuhinya lagi alam itu. Saya tidak boleh mendabik dada dengan jawaban sebegini apabila ada yang mengatakan kepada saya : baguslah awak! Lagi-lagi, ini hanyalah jawaban dari seorang yang muda dan belum berpengalaman berumah tangga. Mungkin selepas berada dalam situasi yang berlainan, jawaban saya akan berubah.


Cuma, hak itu jangan dinafikan sama sekali andai suami itu punya kelayakan!


Saya jadi pelik akhir-akhir ini kerana apabila saya berpeluang mengunjungi blog-blog ustazah yang terkenal. Mereka menulis mengenai poligami. Ada yang bersetuju dengan berpoligami(kerana beliau juga merupakan isteri kedua kepada seseorang figura agama di Malaysia) dan ada juga ustazah yang tidak bersetuju secara tidak lansung(penulis novel keagamaan). Situasi ini pastinya akan mengelirukan pembaca. Sebaiknya, mereka yang tidak punya pengalaman usah bercakap banyak khususnya tentang ini. lagi-lagi yang membantah secara halus.

ok…that’s all..

Tahniah kepada sepupu saya(Rosmi ,24tahun) yang akan bergelar raja sehari… habis final exam( as a final year student) terus akad nikah yer! Sengaja wish awal…

Khamis, 1 Disember 2011

“Sudah kubuka Surat CintaMu”

Dugaan pasti melanda pada setiap batang tubuh yang melalui kehidupan. Namun, dugaan untuk setiap manusia itu berbeza walaupun seakan sama ceritanya. Ia berbeza bagi setiap individu yang berbeza. Dan pemikul ujian tersebut sudah tentu berbeza tahap sabarnya.

Dugaan itu kadang-kadang membuatkan seseorang tidak lena tidur. Tidak lalu makan. Setiap minit pasti berfikir bagaimanakah harus untuk menyelesaikannya. Nafas lagi sesak andai tiada teman pun yang membantu. Di saat itu, bibir terkunci rapat. Hanya hati yang bertaut doa meminta belas kasih Tuhan untuk menyegerakan jalan keluarnya.

Di saat mengatur doa, Tuhan sudah pun mengatur jawabannya. Hanya tunggu waktu sahaja, pasti doa itu akan terjawab. Sesungguhnya,Tuhan itu Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Daripada Dia datangnya dugaan , sudah tentu hilir pada masalahnya juga terletak pada-Nya.

Sahabat-sahabatku yang dilanda murung jiwa,

Ramai yang tersalah sangka akan dugaan. Mereka atau mungkin kita juga fikir, dugaan hanyalah perkara yang mereka tidak sukai berlaku pada diri mereka. sedangkan dugaan juga boleh berlaku ketika mereka dijemput bahagia. Dugaan seumpama ini sangat menguji jiwa mereka yang sedang leka dibuai bahagia.

Duhai sahabat-sahabatku, dunia bukan untuk ditangisi,

Kuatkanlah hatimu ketika dilanda dugaan dalam dugaan mahupun dugaan di dalam nikmat. Sambutlah ia dengan hamparan senyuman manis. Moga dalam hatimu akan tumbuh mawar sabar sebelum melalui denai redha.

Duhai saudara saudari yang kucintai,

Sesungguhnya, doa itu magis. Berdoalah! ratapilah akan dosa-dosa lalu agar diampunkan Allah. Takut-takut, dugaan yang datang itu adalah kerana dosa-dosa yang kita perbuat tak lama dulu. Mana tahu itu juga surat cinta dari Allah. Warkah yang membawa aksara-aksara pengampunan-Nya lantas mardhatillah pun beradu bila kita bersabar.

Ya Allah, di saat ini
HambaMu rebah di atas sejadah
Berteleku mengangkat kedua tangan merintih
Meminta ampun akan segala dosa-dosa
Yang lalu
agar dosaku yang melimpah
Itu terampun dengan luasnya sifat rahmatMu

Ya Allah,
Gagahilah diriku untuk bertaut pada dahan-Mu
Jangan biarkan dahan itu mereput
Seusai dugaan demi dugaan melanda
Diriku
Pegangilah tanganku dengan erat
Supaya aku tidak jatuh
Di saat aku melewati
Tanah-tanah yang berbukit
Kerana aku tahu di akhir laluan itu
Ada laluan sungai yang hening dan
Suasana pemandangan senja yang mengasyikkan
Amin..



“Cintailah diriku dengan sifat-Mu yang Maha Cinta
Redhailah diriku dengan Sifat-Mu yang Maha Pengampun”
Hamba-Mu;
Izzati Anas a.k.a Tara Tiana
Blok I , UniSZA
26 November 2011; sabtu

Ahad, 6 November 2011

anda memohon pinjaman PTPTN?

Assalamualaikum!

Sudah lama saya ingin berbicara; menulis mengenai ‘perbelanjaan dalam kalangan pelajar Universiti’ lebih-lebih lagi bagi mereka yang memperolehi pinjaman atau zakat.

Secara realitinya, saya melihat kebanyakan mahasiswa pada hari ini tidak segan-segan berbelanja wang tersebut secara berlebihan mahupun membuat bajet terlebih dahulu sebelum menggunakannya. Sedangakan wang tersebut diberikan khusus untuk pelajaran. Bukannya untuk bermewah-mewah; menukar handphone setiap kali semester baharu atau membeli pakaian yang mahal-mahal.

Cerita saya:

Sahabat saya : akak makan berapa ringgit sehari?
Saya : below rm 4.00..kalau biasanya rm 3.00..
Sahabat saya : ya Allah, sikitnya..family akakkan boleh tahan jugak …
lagipun akak pun tak buat sebarang pinjaman.

Saya : Alhamdulillah, semuanya rezeki dari Allah. Akak bersyukur
sangat. Abah ngan ibu akak pun suh makan banyak
banyak..jangan berlapar sangat.Tapi..akak ada reason
tersendiri kenapa akak tak guna duit tu untuk berbelanja
lebih…dah awak belanja berapa?
Sahabat saya : lebih kurang rm 8.00 tapi belom rm 10.00…tu pun hanya untuk
makan je.


REASONS saya :

1) Hati saya akan menjadi tidak enak jika saya berbelanja lebih daripada ‘skala bajet’ saya kerana saya akan berasa bersalah jika saya terlalu berbelanja sedangkan matlamat saya ke sana(unisza) adalah untuk mencari ilmu. Jika pada hari tersebut saya tidak fokus untuk belajar, biasanya saya akan kurangkan lagi untuk aktiviti ‘makan’…bak kata orang, itu sebagai denda!


2) Walaupun Allah telah memberikan saya keluarga yang sederhana…tidaklah terlalu kaya dan tidaklah terlalu miskin, namun…bagi saya itu bukanlah satu reason untuk membenarkan saya menggunakan wang perbelanjaan yang diberi oleh ibu dan abah saya secara berlebihan.berintegeritilah dalam berbelanja! itu prinsip saya;)

3) Selain itu, inshaAllah, wang yang terkumpul bolehlah untuk belanja sahabat-sahabat yang kurang makannya atau yang memerlukan bantuan. (MEMBERI KEPADA MEREKA YANG MEMERLUKAN AKAN MENJADIKAN SESEORANG ITU DIJAUHKAN SIFAT KEDEKUT)


KAWAN-KAWAN!

Kawan-kawan, kalian gunalah wang yang diberi ibu ayah / PTPTN/ ZAKAT dengan cermatnya. Namun, ini bukanlah kalian harus berlapar sehinggakan menimbulkan ‘gastrik’ atau penyakit-penyakit lain.Cuma, kalian harus ingat, bahawa wang tersebut bukan hanya untuk makan yang enak-enak atau membeli telefon bimbit baru atau pakaian yang mahal-mahal khusus untuk ke ‘annual dinner’. Namun ianya untuk pelajaran anda. Berintegritilah dalam berbelanja!


Pesan saya, sebelum berbelanja, tulislah dahulu bajet untuk perbelanjaan bagi setiap bulan. Dan lebihan tersebut, bersedakahlah kepada sahabat-sahabat yang memerlukan. Mana tahu, ketika kalian sedang kenyang, roommate kalian sedang berlapar! Justeru, belanja dia dengan sebungkus nasi…;)

Ok…;)

Ahad, 31 Julai 2011

dimana silapnya?

PENDAHULUAN

Ketika meniti pengajian diploma sebelum ini, saya mempunyai impian untuk terjun ke medan dakwah secara langsung. Walaupun, saya menyedari hakikat bahawa saya sendiri bukannya individu yang sempurna dalam segenap hal malah ilmu agama perlu dituntut sebanyak air di lautan lagi. Namun, saya berimpian sebegitu.

Dakwah itu banyak cara! Bukan hanya mengeluarkan dalil-dalil atau ceramah sahaja dipanggil berdakwah.

Saya akui, sebenarnya saya sangat berdukacita dengan suasana kampus sebelum ini. Walaupun, pelajar pengkhususan agama merupakan majoriti pelajar di sana, namun suasananya tetap mengikuti trend social yang mendukacitakan.

Di manakah silapnya?

Ketika majoriti pelajarnya hari hari membelek kitab-kitab agama dan usrah secara tertutup juga ada namun, di sana juga dihujani dengan hiburan yang melalaikan, perhubungan social antara lelaki dan perempuan yang tidak terbatas, membuka aurat di khalayak ketika di kampus sudah mula menjalar pelajar lelaki atau perempuan, surau-surau pula tidak dipenuhi dengan jamaah.

Di manakah silapnya?

Dari dulu, saya hanyalah seorang pelajar yang sering memerhati. Ya, saya memerhati dari jauh! Kalau ada cadangan-cadangan, lalu saya hanya utarakan kepada mereka yang ada jawatan dalam persatuan. Itu sahaja. dan saya berasa senang dengan itu.



1) PERTINGKATKAN FUNGSI USRAH



Entah mengapa, acapkali saya bertanya apakah fungsi usrah itu sendiri dan saya pernah mengkritik usrah yang dijalankan oleh pelajar yang bersifat ‘memilih bulu’. Maaf, agak terkasar sedikit kata-kata itu. Memang benar, usrah itu memberi impak positif kepada madu’ dan juga daie’. Usrah juga telah dilakukan oleh ikhwanul muslimin tak lama dulu. namun, sikap daie(khusus di kampus saya) yang memilih ahli usrahnya itu ada silapnya. Syarat untuk menjadi madu’ adalah tidak boleh couple, pakai jilbab labuh dan ada mata-mata yang akan mengawasi pergerakan bakal madu’ sebelum dipilih. Setelah merasakan bakal madu’ itu berkelayakan seperti malaikat, barulah dipilih! Dan saya pernah mengalaminya!

Sesungguhnya, sistem usrah perlu diperteguhkan lagi. Begitu juga dengan fungsi dan visinya. Bukan hanya menarik golongan yang sudah berpegang teguh kepada agama namun mampu menarik mereka yang sering membuka aurat , coupling (contohnya) ke dalam usrah. Nah, tiada lagi unsur assobiyyah!
Namun, bagaimanakah caranya?

2) PERLUKAN ORGANISASI YANG BERSISTEMATIK

Suatu ketika dulu, saya pernah berbincang tentang permasalahan yang saya ajukan sekarang dengan beberapa orang. Ya, dan solusinya adalah membentuk organisasi yang bersistematik dan berani. Organisasi yang memerlukan beberapa individu daripada berlainan pengkhususan dalam pengajian dan bergerak tanpa berselindung. Mengapa perlu individu yang berlainan pengkhususan? Ini kerana, mentaliti dan buah fikiran meraka saling berbeza. Dan tentunya, organisasi ini akan bergerak dengan interaktif bukan hanya untuk satu glongan semata. Contohnya, pelajar undang-undang diperlukan kerana hanya pelajar undang-undang yang tahu mengenai AUKU dan jika ada pihak mengatakan organisasi ini telah menyalahi AUKU, pasti akan dapat disangkal.


Dan jika, pihak universiti mengadakan hiburan yang melalaikan atau apa-apa yang bukan selari dengan Islam, organisasi inilah yang akan tampil ke hadapan dengan memberi komentar.Selain itu, aktiviti-aktiviti ilmu turut dijalankan. Bukan hanya tahu kritik semata-mata.

Namun, saya masih terkapai-kapai dengan organisasi impian saya dan sahabat saya itu. Pernah juga, sahabat saya itu menyuruh saya mencari beberapa sahabat untuk berbincang tentang cadangan ini dan mengatur strategi kerana dia akan menamatkan pengajiannya kerana dia berada di tahun akhir( ketika itu saya di tahun 2) Namun, puas mencari tiada yang berani. Dan sahabat saya itu sudah menyambung pengajiannya di KUIN.

Dan cadangan ini masih terkapai-kapai…

3) PERLUASKAN FUNGSI DAN KEMPEN SOLAT BERJEMAAH DI SURAU ATAU ‘APARTMENT’ MASING-MASING


Surau kelihatan sepertinya untuk mereka berkopiah atau bertudung litup semata. Persepsi sebegini perlu diubah dan mungkin dicambah dengan fungsi-fungsinya yang pelbagai. Mungkin juga perlukan pembaharuan dalam kempen. Erm, solat berjemaah meningkatkan akademik..dan tonjolkan tokoh pelajar yang sering ke surau yang seringkali mendapat dekan list..(contohnya). Tentu dengan ini, ramai yang berpusu-pusu ke surau untuk solat jemaah atau mungkin solat berjemaah di apartment masing-masing. Ini hanyalah satu cara untuk menarik perhatian sahaja. dan lama-kelamaan pergi ke surau untuk solat berjemaah (sambil dengar tazkirah) menjadi kebiasaan disulami dengan sifat ikhlas.



KESIMPULANNYA


Kadang-kadang saya berasa penulisan ini hanyalah sekadar berbicara tanpa cara untuk mempraktikkan. Adakah wasilah-wasilah ini tidak boleh diimplementasikan. Dan hakikatnya, saya berasa sedikit resah jika artikel ini dibaca oleh sahabat saya yang berada di kampus saya. Ya, kerana saya takut mereka tersalah faham dengan cara saya kerana kebanyakan daripada sahabat saya sendiri mengatakan saya terlalu agresif dan tidak berfikir panjang masalah yang akan berlaku jika terlampau agresif. Sedangkan agresif itu sebenarnya tiada salahnya kalau kena pada tempatnya. Mungkin juga ada yang fikir saya ini hanya tahu menulis tetapi tidak tahu realiti semasa. mungkin ada juga yang fikir bahawa saya telah dipengaruhi oleh suasana kampus lain.

Dan sekarang masyarakat kampus perlukan individu-individu yang agresif berani dengan risiko tetapi rasional pemikirannya saling bekerjasama dan tampil ke hadapan demi pembinaan sahsiah masyarakat kampus itu sendiri!



p/s:ini blog kedua saya berkenaan shariah law sahaja:http://shariahlawisthebest.blogspot.com/

Jumaat, 1 April 2011

terima kasih kerana nasihat!

assalamualaikum!


Sedang asyik saya memikirkan sesuatu, saya teringat akan beberapa peristiwa yang sama faktanya cuma berlainan waktu. Itulah peristiwa tatkala ditegur atau dinasihati oleh sahabat-sahabat termasuklah dari sahabat muslimin. Ketika itu, tiada sekelumit 'berasa hati' di dada. saya berasa senang hati dengan segala nasihat atau teguran tak kiralah teguran itu dibuat secara lembut atau sedikit 'keras'kerana kadang-kadang keras itu perlu untuk membuatkan seseorang itu mudah tersedar.


Saya hairan kerana muslimat( dalam konteks pelajar ) mereka tidak boleh menerima jika mereka ditegur oleh muslimin. Apakah di sana ada sikap 'assobiyyah' gender?


Di sini saya mengajak diri saya sendiri dan sahabat-sahabat yang lain bersyukur andai antara kita pernah ditegur kerana ada lagi yang kasih kepada kita. Mereka tidak mahu kita terlalai dek tiada yang berani memberi nasihat kepada kita. Lagi pula, biasanya peengur a.k.a pemberi nasihat akan berfikir panjang sebelum mengutarakan teguran tersebut takut-takut ada yang berasa hati.

oleh itu, bersenang hatilah bila ditegur atau ingin menegur!


saya...tak mudah terasa hati dalam bab ini.. malah berterima kasih kerana ada juga yang tak mahu saya terlalai..


smile always

Jumaat, 28 Januari 2011

OH,LELAKI!OH, WANITA!

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.

Sudah sebulan tamatnya latihan praktikal di Jabatan Bantuan Guaman di Kota Bharu. Begitu banyak pengalaman yang dikutip walaupun sebulan cuma tempoh untuk menjalani latihan praktikal yang diberikan oleh pihak Universiti. Pengalaman ini sememangnya berbaloi berbanding ketika saya menjalani praktikal di mahkamah majistret dan mahkamah tinggi pada semester 4 lepas kerana di sana hanya banyak kes yang berhubung jenayah dadah dan rogol.


Namun, di Jabatan Bantuan Guaman a.k.a JBG mempunyai signifikan yang tersendiri iaitu membantu mereka yang berpendapatan rendah untuk kes syariah mahupun sivil. Ketika saya di sana, saya diberikan begitu banyak ‘exposure’ tentang kes syariah berbanding sivil walaupun ketika ini,saya hanya seorang mahasiswi dalam bidang undang-undang sivil. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, saya sangat gembira kerana dapat menimba ilmu berkenaan syariah tambahan pula saya sudah berazam untuk menyambung pelajaran dalam bidang syariah selepas tamat belajar di Unisza. InsyaAllah.

Terlalu banyak kes syariah yang bertumpu hal-hal kekeluargaan yang begitu menyentuh hati saya. saban hari, ramai klien wanita yang bergelar ibu, mahupun mereka yang baru bergelar isteri datang ke sana untuk meminta nasihat peguam atau membuka kes mereka.


Tersentuh hati saya apabila mereka datang membawa seribu cerita duka. Ada yang ditinggalkan suami tak bertali selama 10 tahun. suaminya entah ke mana. Ada juga, seorang ayah yang tidak memberikan nafkah kepada anak dan isteri. ada juga tak sampai setahun berkahwin sudah bercerai. Ada juga klien yang membawa anak-anak kecil bersama ketika meminta khidmat nasihat yang sudah tentu kesnya berkisar penceraian. Saya renung wajah-wajah anak-anak itu. Sungguh sayu. Baru mengenal dunia sudah pun menjadi mangsa keadaan.

Kes-kes sebegini kadang-kadang menambah kerisauan di hati saya. apakah masa depan saya juga sebegitu ataupun indah-indah belaka? Penurunan kepercayaan saya kepada insan bernama lelaki semakin mencuram. Bukan semua lelaki tidak boleh dipercayai namun, sikap berhati-hati kepda mereka yang bergelar lelaki amat perlu sebagai langkah –langkah keselamatan.


Apabila menyebut mengenai perkahwinan, saya menjadi sedikit ‘trauma’ kerana memikirkan hal-hal yang sudah ada di depan mata saya. saya tidak menyalahkan perkahwinan namun sikap individu baik suami mahupun isteri itu memberi sedikit kegusaran di hati.

Konklusi awal yang dapat saya simpulkan adalah bakal suami dan bakal isteri kurang mengerti makna perkahwinan itu sendiri. Perkahwinan bukan hanya untuk suka-suka semata-mata. Namun, lebih daripada itu fungsinya.

Di sini saya quote kan kata-kata seorang pensyarah lelaki saya :

Perempuan perlu berfikir 100 kali untuk berkahwin berbanding lelaki


Pensyarah saya berkata sedemikian kerana realitinya wanita-wanita yang bergelar isteri banyak yang menjadi mangsa. Bukan suami yang menjadi mangsa!

Isteri banyak bersabar namun bagi saya kesabaran perlu ada hadnya. Tidak perlu seorang isteri bersabar apabila did era atau tidak diberikan nafkah yang munasabah oleh suami semata-mata masih mencintai suaminya. Jangan pegang istilah cinta itu buta! Cinta bukan begitu wahai isteri-isteri! Cinta bukan membuatkan seseorang menjadi sabar yang bodoh tetapi nafsu yang menjadikan seseorang sebegitu.

Wahai isteri-isteri, sabar itu ada hadnya. Mengapa sepuluh tahun ditinggalkan tanpa bertali, baru mohon fasakh? Baru mohon nafkah tertunggak?

Wahai bakal –bakal isteri, pelajarilah ilmu rumahtangga dan juga ketahuilah hak seorang isteri dan suami sebelum berkahwin. Berkahwin bukan hanya kerana atas dasar cinta yang mungkn cinta itu akan ranap setelah berkahwin namun, perkahwinan memerlukan seseorang memandang jauh ke hadapan. Persiapkan diri untuk mengharungi suka duka alam berumah tangga, jangan sampai sudah berumah tangga barulah mahu tahu tentang ilmu rumahtangga.

Teringat pula akan suatu ketika dahulu, apabila menghadiri usrah ketika belajar di Maahad Muhammadi lil-banat pada tahun 2008 ( tingkatan 6 sekejap sahaja), saya dan ahli usrah lain ditanya oleh ustazah mengenai perkahwinan. Relevankah bekerja ketika bergelar seorang isteri? Jawapan saya yang agak budak-budak ketika itu antaranya wanita perlu bekerja kerana jika suatu hari nanti dia ditakdirkan bercerai dengan suaminya, dia masih dapat bertahan daripada menyusahkan ahli keluarga lain.

Itu dulu…

Sekarang jawapan sudah berbeza, seorang wanita perlu belajar tinggi-tinggi dan bekerja sebelum berkahwin. Dan setelah berkahwin, seorang isteri perlu mengikut kehendak suaminya sama-ada suami mengizinkannya untuk bekerja mahupun tidak.
Mengapa saya katakan wanita perlu belajar tinggi-tinggi dan bekerja terlebih dahulu? Ini disebabkan saya berpendapat jika sebarang penceraian berlaku, seorang isteri boleh mencari pekerjaan dengan mudah tanpa perlu meminta bantuan ahli keluarga yang lain. Dia mampu berdikari tanpa suami disisi.

Cukuplah saya potretkan tuntas bahawa:

Setiap isteri perlu faham akan hak mereka dan tanggungjawab mereka untuk suami. Usah meminta yang lebih-lebih daripada suami. Namun, jangan pula membiarkan suami beesenang hati melepaskan segala tanggungjawabnya keatas isteri.

Rabu, 10 November 2010

marilah bermuhasabah walau sejenak

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim

Pada saat saya menulis entri ini, hati saya berdebar-debar… resah bagaikan tidak akan pernah menemui titik noktah. Saya bermuhasabah pada diri saya sendiri, menekuni kisah-kisah yang telah dilalui oleh saya apakah saya telah berbuat sesuatu yang Allah tidak redhai? Apakah saya telah berbuat kejahatan kepada manusia atau makhluk Khaliq yang lain? Apakah juga saya telah menzalimi diri saya sendiri dengan dosa ?



Sejenak saya berfikir dan inilah jawaban:



Sememangnya, saya seorang manusia yang pelupa tentang dosa dan leka dengan keindahan fatamorgana. Ya, semalam ada dosa, sebelum terampunnya dosa itu , pada hari ini saya telah membuat dosa baru. Astagfirullah!


Hati tidak tenang kerana mungkin saya telah meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya. Iman yang ada dalam hujung hati saya bagaikan ingin menangis. Sambil ia bertanya pada hati:

Engkau buat dosa lagi??? pintalah keampunan dari Allah sebelum Allah tidak redha denganmu.


Ya Allah, saya terlupa dengan perkataan redha Allah! redha Illahi itulah yang saya kejar. Andai saya dimasukkan ke dalam neraka kerana Allah redha akan itu , maka saya akan masukinya.Saya hanya pinta agar Allah meredhai diri saya sebagai hambaNya.



Ya Allah,

Aku tidak memandangnya kerana

Aku inginkan redhaMu

Aku tidak mahu ke sana kerana

Aku inginkan redhamu

Andai redhamu beredar dariku

Maka hinalah diriku, terumbang ambinglah diriku

Gentarlah seluruh badanku ketakutan,

Bagaikan sang Kekasih bersedih duka ditinggalkan

Kekasih yang dicintainya



Illahi,

Ampunkan aku

Astaghfirullah

Astaghfirullah



Sahabat yang saya cintai sekalian,



Marilah kita sama-sama mengejar redha Illahi. Ya, ganjarannya pasti syurga! Tetapi niatkan kerana inginkan redha Illahi, itu yang prioritinya ini kerana seseorang dimasukkan syurga bukan semata-mata kerana amal seseorang tetapi rahmat Illahi.

Di sini juga, saya mohon kalian memaafkan saya atas segala silap dan salah saya. Saya memohon maaf bukan kerana peperiksaan akan menjelma tak lama lagi. bukan! Tetapi, saya mohon maaf ini adalah salah satu cara untuk saya menuju redha Illahi. Hati tidakkan pernah tenang sehingga mati andai salah dan silap saya tidak dimaafkan oleh manusia-manusia walau seorang Cuma.

Akhirnya, saya pohon kepada sahabat sekalian mendoakan saya agar saya dipermudahkan untuk menjadi seorang abduh yang senantiasa merindui khaliq…


p/s- hati ini juga berasa bergetar, nafas turun dan naik apabila terbaca:

kata-kata Imam Al-Ghazali.

“Barangsiapa mengaku cinta syurga tetapi tidak beramal dengan ketaatan, maka dia adalah pembohong. Barangsiapa yang mengaku takut pada neraka tetapi tidak meninggalkan maksiat, maka dia adalah pembohong.”


ana alfaqirah Ilallah

ya Allah, jadikan hatiku ini lembut, mudah dilekuk dengan iman...siramilah hatiku dengan ikhlas jauhi aku dengan ria dan ujub. Aku takut Engkau tidak menerimaku kerana adanya sifat-sifat ini dalam diriku...amin
Click to view my Personality Profile page

helaian yang dilihat

jalan-jalan dari