Memaparkan catatan dengan label catatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label catatan. Papar semua catatan

Isnin, 2 April 2012

Takdir part 1

Takdir sedang mempersembahkan segala yang Allah sudah aturkan. Syukur. Alhamdulillah. Segala-galanya telah ditentukan oleh-Nya. Segala yang diatur-Nya pasti punya hikmah dan ibrah yang tersendiri.



Sebelum ini, saya pernah menceritakan pengalaman saya menjadi seorang mahasiswi yang bukannya dari pengkhususan agama di laman ini…masih ingat…saya pernah ‘gaduh-gaduh’ dengan classmate kerana hal itu wajib diperbetulkan. Pernah juga saya ‘gaduh-gaduh’ dengan presiden persatuan fakulti dek budaya mahasiswa Islam dalam fakulti semakin mengecewakan, pernah juga saya diumpat oleh classmate dek mereka bilang saya ini jumud, pernah juga saya buat hal tidak pergi ke event anjuran persatuan fakulti dek saya yakin di sana pasti ada percampuran antara lelaki dan perempuan tanpa batasan.



Namun, ketika ini, saya mula mensyukuri cabaran demi cabaran yang Allah aturkan untuk saya. bukan untuk mendabik dada bahawa saya sudah menghadapinya. Namun, ketika saya berada dalam situasi begitu, saya merasakan diri saya diberi kekuatan oleh Allah untuk menjadi kuat dan tabah walaupun saya keseorangan ketika itu. Perasaan kebersamaan dengan Allah itu ada. Itulah yang saya syukuri sangat.



Walau seluruh isi dunia meninggalkan insan, pasti Allah tidak akan pernah tinggalkan hamba-Nya.



Bersambung…


Khamis, 15 Mac 2012

ALLAH SEBAIK-BAIK PENOLONG


Allah ada bersama kita!

Ketika manusia lain berjalan sambil berteman, kita memandangnya dengan bahagia. Kata kita: alangkah bahagianya mereka mempunyai teman bicara.
Ketika manusia lain memandang kita dengan perasaan pesimis terhadap apa yang kita pegangi,kita bersedih hati. Kata kita: aku kini sudah tidak punya siapa-siapa lagi!.

Bertenanglah! Allah bersamamu!


Sahabat!


Saya pernah dibiarkan sendirian sepi oleh sahabat-sahabat saya sendiri. Dek kerana saya berpegang kepada prinsip bahawa saya tidak mahu membuat persembahan pada malam Annual Dinner bagi semester tersebut kerana persembahan yang mahu dibuat ada kaitan dengan suara wanita. Jadi, saya tegaskan bahawa saya mahu mengecualikan diri daripada sebarang persembahan untuk malam tersebut.

Dan untuk pertama kali saya dipandang sinis oleh sebahagian sahabat sekelas saya. Kata mereka, saya tidak up-to-date a.k.a jumud!

Sahabat!
Peribadi saya juga pernah diserang apabila saya menetapkan pendirian bahawa saya tidak mahu berkongsi kereta dengan kawan lelaki saya. Maksudnya, kawan lelaki menjadi pemandu untuk saya dan sahabat lain ke perpustakaan di Bandar untuk membuat sedikit research. Saya tolak. Saya tidak mahu saya ada rekod itu. dan saya ambil jalan mudah tanpa menyusahkan sesiapa dengan menaiki van. Selesai masalah!
Namun, ada suara sumbang mengatakan saya ini jumud lagi. marah-marah. Saya pun tidak tahu kenapa mereka emotional apabila saya memilih jalan yang saya pilih.

Sahabat!

Saya juga pernah disindir oleh ‘orang besar’ persatuan fakulti saya setelah memberi pandangan terhadap attitude sebahagian Flairians ketika itu di dewan kuliah utama. Saya hanya mampu tersenyum untuk tidak menangis. Ketika itu juga, tiada seorang pun menyambut komentar saya itu dengan sokongan secara zahir. Sepertinya saya bersendirian ketika itu tanpa sebarang kekuatan dari teman-teman.


Sahabat!


Ketika peristiwa demi peritiwa tersebut menghujani diri saya, saya berasa sangat sedih. Terasa diri saya ini tidak punya siapa-siapa. ketika air mata saya jatuh, entah mengapa satu perasaan yang mendamaikan terbit. Bagaikan jasad saya bersendirian namun terasa hadirnya Allah mendengar curahan hati saya. Lantas, saya tekadkan bahawa biarlah saya berpegang kepada apa yang saya pegang selama ini asalkan benar di hadapan Allah. Biarlah manusia mengungkapkan kata-kata nista asalkan Allah redha.


Sahabat!

Yakinlah bahawa Allah bersamamu di saat manusia mencemuhmu. Yakinlah bahawa Allah bersamamu ketika engkau berjalan sendirian tanpa sahabat. Yakinlah bahawa Allah adalah sebaik – baik penolong di saat dirimu memerlukan pertolongan.


Yakinlah!

Yakinlah pada Allah!

Yakinlah!

Sabtu, 3 Mac 2012

Pilihlah...kerana pilihan ada di tangan kita

Mungkinkah mimpi-mimpi indah ini adalah ujian buat kita? Mungkinkah ini adalah bicara Allah untuk kita memilih antara mengimplementasikan mimpi-mimpi indah ini dengan cara yang Allah redha(dan menjadikan mimpi ini satu realiti) atau kita hanya menanti waktu untuk bertahan dalam ujian?


Sesungguhnya, antara kita ada yang tidak tahan ujian begitu juga ada antara kita yang bisa mengambil option yang pertama. pilihan ada di tangan kita. Petunjuk sudah Allah berikan melalui kalam-Nya. Cuma, kitalah yang harus tsabat dengan pilihan kita.

Rabbi yassir wala tuassir yaa karim.
permudahkanlah urusan kami..ya Rabbuna.




menulis dengan hati:
-cahaya kemuliaanku-
Wan Nur Izzati

Jumaat, 24 Februari 2012

Subhanallah : Istimewanya Anugerah Ini

Menjadi seorang ibu itu tidak mudah. Dan perasaan seseorang apabila menjadi seorang ibu juga adalah satu perasaan yang sukar digambarkan. Subhanallah!

Begitu juga menjadi seorang kakak yang berperanan ‘sebagai seorang kakak’ juga tidak mudah dan perasaan apabila menjadi seorang kakak juga sememangnya sukar digambarkan. Subhanallah!

Apabila, seseorang dipilih oleh Allah untuk menjadi seorang kakak kepada adik-adiknya, satu perasaan untuk menjadi pelindung kepada adik-adiknya akan wujud. Begitu juga apabila salah seorang adiknya sakit, pasti hatinya gusar bagaimanakah untuk merawat adiknya yang sedang sakit.

Pendek kata, naluri seorang kakak seperti naluri seorang ibu. Ketika rumah bersepah yang sudah pastinya dilakukan oleh adik-adik yang kecil, si kakak inilah yang akan mengemas rumah tanpa perlu berleter. Kerana baginya, leteran itu akan menyebabkan sifat ‘kekakakan’ sebagai seorang kakak yang sabar terhakis.

Apabila, ibu bapa pergi bekerja, kakaklah yang sememangnya harus menggalas peranan sebagai ibu di rumah. Menyiapkan sajian untuk adik-adik, check their homeworks and everything kena lakukan. Selain itu, seorang kakak juga harus pandai berkomunikasi dengan adik-adik. Komunikasi ini penting untuk menjadikan hubungan adik beradik bertambah erat dengan sentiasa bertanya masalah mereka, bertanya pendapat mereka tentang sesuatu, dan tidak terlalu straight menegur mereka atau dengan kata lain harus berhemah dalam teguran apabila mereka melakukan kesalahan.

Ketika ini, Allah memberi peluang kepada saya untuk menjadi seorang kakak sulong kepada 6 adik. Lima lelaki dan seorang adik perempuan(bongsu). Subhanallah, indahnya perasaan menjadi seorang kakak. Subhanallah, indahnya perasaan apabila boleh melakukan sesuatu untuk adik-adik. Biar lelah sedikit, asalkan adik-adik dapat merasai kehadiran seorang kakak yang berperanan sebagai seorang kakak. Bukan menjadi seorang kakak yang tidak memainkan peranan seperti seorang kakak.

Pesan saya untuk mereka yang bergelar kakak!

Sungguh, usah suka berleter kepada adik-adik… andai masih ada adik yang kecil, bermainlah dengan mereka.Turunkan sedikit level ‘kematangan’ (namun harus ada hadnya) semata-mata ingin mereka tahu kalian bukan sekadar kakak tetapi mereka juga boleh berkongsi masalah dengan kalian.

saya akui masih banyak lagi yang sepatutnya saya lakukan sebagai seorang kakak…semoga Allah memberikan kesempatan untuk saya menjadi seorang kakak yang baik kepada adik-adik…


Istimewanya anugerah ini,
Adik-adik kurniaan Illahi,
Wan Muhammad Izzat…
Wan Muhammad Izzul…
Wan Muhammad Izzuddin…
Wan Muhammad Izzrusyaidi…
Wan Muhammad Irsyad…
Wan Nur Izzah…
Untuk kakak yang bernama Wan Nur Izzati!

Jumaat, 17 Februari 2012

kerana Allah, I luv U!



Berat hati untuk meninggalkan ibu dan abah. Walaupun sudah melangkaui umur 20 tahun. Kata orang, dah besar-besar, tak perlu sedih-sedih lagi untuk berpisah dengan ayah dan bonda. Kalau sedih- sedih, itu namanya manja!


Namun, kata saya, hanya mereka sahaja yang saya ada di dunia ini. hanya mereka sahaja yang saya ada yang saya percaya. Hanya mereka sahaja yang saya ada yang menyayangi saya. Jadi, tentulah saya akan berasa sedih untuk berpisah dengan mereka walaupun hanya seketika. Belum ada lagi ketika ini, seseorang yang sentiasa menyayangi saya dan doanya sentiasa ada untuk saya kecuali ibu dan abah saya.

Untuk sekian kalinya, saya hadirkan kalimah tulus ini
Ibu abah…kakak cintakan ibu abah kerana Allah


Kakak,
unisza

Rabu, 15 Februari 2012

wajah mereka ada cinta

Assalamualaikum!

Bangunan itu…
Wajah-wajah mereka…
Spirit…

Kenangan lalu menyapa lagi. Seakan baru sahaja berlalu. Bagaikan 10 tahun itu baru sahaja berlabuh. ingin sahaja kembali kepada 10 tahun lepas. Menjadi seorang gadis kecil yang polos.

Kenangan demi kenangan datang lagi. Mungkin kenangan itu mahu diriku mengambil sebarang pengajaran atau teladan dari peristiwa lalu untuk menjadi bekalan hari mendatang.


KENANGAN 1: BANGUNAN ITU SEKOLAHKU

Bangunan itu…

Sekolah buruk itu pernah menjadi sekolahku. Sekolahku yang bersebelahan dengan Sekolah Menengah untuk pelajar-pelajar cina yang bangunanya sungguh besar dan tersegam indah. Jauh bezanya dengan sekolahku. Sekolahku dulu hanya ada bangunan yang hanya siap yang asas sahaja. Kipas pun belum ada. Dan udara percuma dari Allah menjadikan kami berasa dingin sedikit ketika waktu matahari ada di atas kepala. Alhamdulillah.

Di sekolah itu,
Bangunannya tidak indah-indah,
Tanahnya berdebu-debu,
Bukan seperti sekolah sebelah,
Yang tidak punya tanah coklat,
Yang hanya ada tanah hitam bertar,
Tapi tetap kusyukuri,
Kerana sekolahku itu sekolah agama,
Sekolah yang memberi ajar tentang Islam,
Itulah sekolahku yang memberi cahaya,
Sekolah rendah islam an-Nur!

Sekolah itu, memberiku banyak sekali pengalaman yang tidak mungkin akan kukutip di tempat yang lain. Di sekolah itu, Tuhan telah memberiku sejuta pelajaran yang sungguh berharga dan tidak akan sama harganya dengan bintang-bintang di langit.

Semangat untuk belajar, persaingan sihat antara rakan sekelas,persahabatan yang tulus,cikgu-cikgu yang ikhlas mengajar itulah kenangannya. Ah, betapa indah jika dapat kuundur masa…

KENANGAN 2: MEREKA GURUKU

Masih kuingati, wajah-wajah guru yang pernah mengajarku. Cikgu Halimah, cikgu Haszarah,Ustaz Omar, Ustaz Saufi, Ustaz Nik, Ustaz Rosdi,Sir Mat Ali, Cikgu Zalini, Cikgu Azizah. Mereka banyak berjasa kepadaku dan rakan-rakan yang lain. Pengorbanan mereka mengajar kami tidak akan sama dengan nilai pendapatan yang mereka perolehi bulanan. Pengorbanan mereka sangat tinggi terhadap kami.

Cikgu Halimah, adalah individu yang sangat aku sayangi. Beliau mengajarku subjek matematik. Tidak pernah kudapat A dalam subjek itu. Namun, kesungguhan beliau mengajarku sehingga petang secara intensif meningkatkan prestasiku dan rakan-rakanku yang lain. Melihat kesungguhannya untuk mengajarku dan sahabat yang lain menjadikanku lebih bersemangat untuk belajar. Sehingga satu hari, aku hampir menitiskan air mata apabila mendapat A dalam subjeknya.

Cikgu saya sayang cikgu kerana Allah…


Ustaz Omar, cukup terkenal dengan sifatnya yang garang. Namun, garangnya bertempat. Alhamdulillah, diriku tak pernah lagi dimarahinya. Ustaz Omar merupakan ustaz yang mengajar dalam subjek bahasa arab dan al-quran.

Ibu berpesan padaku, agar aku menyayangi guru lebih-lebih lagi guru yang mengajar al-Quran. Al- quran itu membawa kepada kenalnya kita kepada Tuhan.

Ustaz, saya sayang ustaz kerana Allah…


Sekarang, apabila aku menjadi mahasiswi, aku jadi rindu kepada guru-guruku yang mendidikku agar diriku menjadi seorang manusia yang terdidik dan berjasa kepada ummah.

AKU;ANAK DIDIKMU:

Kini, aku mencari spirit yang hilang…aku mencari jalan pulang…untuk membalas segala jasa guru-guruku..untukku menjadi seorang murid yang selalu mendoakan guru-gurunya…sampai mati aku tidak akan melupakan dirimu…

Ya Allah, Engkau ampunkanlah dosa-dosa guru-guruku… bahagiakanlah mereka di dunia dan akhirat…kerana aku cinta mereka kerana-Mu, ya Allah.


Sungguh..aku merinduimu guru-guruku…
Anak didikmu
Izzati anas
Kelas 6 AMAL( UPSR 2002)
SRI AN-ANUR

Selasa, 31 Januari 2012

Thanks Allah! Alhamdulillah!



Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillah
Sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Penyayang;Allah


Syukur, kepada Dia, penciptaku atas segala nikmatnya yang diberikan kepadaku. Moga-moga aku menjadi hamba-Nya yang bersyukur. Bersyukur bukan hanya sekadar menyebut hamdalah semata-mata. Namun, haruslah diimplentasikan rasa syukur itu dengan gerak langkah.

Alhamdulillah, result peperiksaan lalu sudah keluar. Alhamdulillah, segalanya telah ditetapkan oleh-Nya. Syukur, walaupun aku hanyalah seorang hamba yang selalu berbuat dosa namun, Dia tetap memberikanku nikmat untuk kusyukuri. Bukan untukku egois. Ya Allah, jadikanlah nikmat ini adalah laluan untukku dekat dengan-Mu. Bukannya untuk kumenjauh daripada-Mu.

Untuk ini,
Syukur kepada Allah atas nikmat kurniaan ini. Alhamdulillah, Alhamdulillah,Alhamdulillah!


Terima kasih kepada agamaku Islam kerana salah satu matlamatku untuk belajar bersungguh-sungguh adalah untuknya.(inshaAllah)

Terima kasih kepada ibu kerana selalu berdoa untukku. Setiap kali ada test, pembentangan,kuiz exam akan kubagitahu ibuku untuk ibu berdoa kepada Allah agar dipermudahkan urusanku. Sungguh, doa ibu itu mustajab!

Terima kasih kepada abah kerana selalu berdoa untukku dan memberi kata-kata perangsang. Setiap kali sebelum final exam, abah mest tanya tentang carry mark untuk subjek yang susah bagi semester itu.

Terima kasih kepada lecturers. Jasamu dikenang selalu. Terima kasih atas segala ilmu yang dicurahkan dan bersabar melayan kerenahku.

Terima kasih kepada teman-teman sekelas juga teman rapat kerana selalu memberi
kata-kata semangat

Terima kasih kepada sumber inspirasiku kerana menjadikanku lebih bersemangat.



Ya Allah, sesungguhnya, segala nikmat dan dugaanmu itu adalah satu ujian. Nikmat itu menjadi ujian andai nikmat yang diberikan itu tidak disyukuri apatah lagi diri menjadi egois.

Kegagalan itu merupakan satu ujian andai kegagalan menjadikan diri pesimis terhadap ketentuan Illahi.

Semoga diriku termasuk dalam kalangan hamba Illahi yang bersyukur.


Syukur,Alhamdulillah

(bertawakal+ berdoa+ berusaha)

Dalam berusaha, elaklah daripada:
1) Meniru dalam final exam, test,kuiz
2) Mengumpat lecturers
3) Beraqidah bahawa usaha itu segala-galanya untuk berjaya(it’s definitely wrong)
4) Bertangguh dalam menyiapkan assignment
5) Layan Ibu Bapa secara tidak molek

Dalam berusaha PERLU:

1) Perlu berdoa kepada Allah
2) Berbuat baik kepada Ibu Bapa
3) Solat berjemaah di surau sambil dengar tazkirah
4) Beramanah dengan lecturers
5) Bersedekah(cthnya, belanja rakan makan)
6) Percaya bahawa bukan kerana usaha semata-mata , kejayaan itu akan diperolehi
7) Bersangka baik terhadap Allah




Thanks Allah!
Alhamdulillah!
Aku seorang hamba yang hina… semoga Allah mengampuniku.

note: inshaAllah, nak beli satu bendera Palestin yang kecil untuk dilekatkan di atas menja bacaan di bilik apartment kolej kediaman. Semoga bersemangat lebih untuk belajar.

Jumaat, 20 Januari 2012

Holiday

Assalamualaikum!

Sudah dua minggu bercuti. Lagi 4 minggu semester baharu akan dibuka. Tidak sabar rasanya untuk pulang ke kampus bagi meneruskan pembelajaran di sana. Ketika ini; cuti ini, saya tidak ‘bekerja’ di company abah dan juga di mana-mana. Saya menjadi ‘suri rumah’ sepenuh masa di Naungan Kasih tempat saya berteduh. Ramai sahabat yang mengagak saya akan bekerja di company abah namun itu salah kerana saya kurang ada minat dengan selok belok perniagaan.(mungkin kerana saya tak gemar subjek math ketika zaman sekolah dulu)

Menjadi ‘suri rumah’ sepenuh masa tersangat best.hehe. tugasnya adalah kemas rumah, jemur kain, masak dan apa-apa yang berkaitan dengan hal ehwal rumah. Alhamdulillah, dengan melakukan tugas ini dapatlah saya meringankan tugas ibu saya. Almaklumlah ibu saya guru dan pada petangnya ibu saya akan membantu abah dalam urusan company. Jadi, jika sebelum ini semua kerja-kerja rumah dilakukan oleh ibu sendirian (ketika saya berada di unisza), jadi, apabila saya pulang dari kampus, dengan cara inilah saya ringankan beban ibu.

Tinggalkan bab itu… dalam tempoh percutian ini juga, jadual sudah dirangka buku apa yang harus dibaca kerana banyak buku yang ditinggalkan oleh adik saya; izzat di bilik bacaan untuk bacaan adik beradik yang lain.Berapa juzu’ hafazan kena diulang semula walaupun hanya sempat menghafal beberapa juzu’ sahaja ketika berada di KOSTAQ dan juga menganalisis strategi dakwah untuk diri sendiri dan sahabat di unisza. Semoga apa yang saya ingin lakukan dalam percutian ini bukanlah hangat-hangat tahi ayam sahaja.

Semoga hati-hati kita dilindungi dari perasaan ria’, suuzzon, dan dendam.

Semoga para lecturer yang mengajar saya dipermudahkan urusan ‘tanda’ paper…lebih-lebih lagi kalau paper itu saya punya  . semoga Allah memberikan ganjaran pahala kepada mereka kerana bersusah payah memberikan ilmu kepada saya dan para pelajar lain.


rindu meja bacaan di room saya di kolej kediamaan unisza


* erm..selalu je ym saya available...tapi itu bukan beerti saya selalu ada kat depan laptop :)

Sabtu, 14 Januari 2012

Saya Berdoa untuk Pemuda Itu

Assalamualaikum

Waktu itu, saya sedang bersendirian dan sedang menghitamkan jawaban yang saya rasa tepat di atas kertas OMR. Ya, hanya saya seorang sahaja yang berada di sebuah bilik kecil itu. Bukan untuk apa-apa kecuali untuk menjawab soalan final exam bagi subjek Ilmu Wahyu dan Kemasyarakatan. Ya, saya sedang dikuarantinkan kerana pada hari tersebut 2 paper exam saya clash waktu. Dua-dua jam 8.30 pagi. Jadi, untuk jam 8.30 pagi, saya sudah menjawab paper bagi subjek Sistem Kewangan Islam.



45 minit sudah berlalu. Tiba-tiba, ada seorang pemuda India masuk diiringi oleh pegawai Jabatan Akademik. Oh, dia juga dikuarantin sama seperti saya. Saya mendengar butir-butir perbualan antara pemuda India dan juga pegawai tersebut. Nampaknya, pemuda India itu sakit. Jadi, dia mahu menduduki exam terlebih dahulu berbanding pelajar lain. Namun, pegawai itu seperti marah pula setelah pemuda tersebut menjelaskan bahawa dia dikehendaki oleh pihak klinik untuk treatment selepas exam tersebut. Namun. Nampak gayanya, pegawai itu tak percaya yang pemuda itu sakit.


Saya jadi sakit hati melihat layanan seorang pegawai Melayu kepada pemuda India itu. Dahla sakit, layanan terhadapnya pula jelik.



Kemudian, selepas berlalunya pegawai tersebut. Datang pula pegawai Melayu yang bergender perempuan. Yang tadi, pegawai yang bergender Lelaki. Si Pemuda itu menjelaskan lagi perkara yang sama bahawa dia ada treatment selepas exam. Jawab pegawai tersebut:

Bos saya cakap, awak kena keluar dari sini selepas pukul 2.00 petang sebab pelajar-pelajar lain tak ambil lagi exam ni.




Pemuda itu merayu lagi. waktu itu, saya jadi tidak fokus untuk menjawab soalan yang ada dihadapan saya. Saya jadi ingin bersuara.

Apakah tidak boleh ada pegawai Akademik mengiringi si sakit itu pergi ke klinik untuk make sure bahawa pemuda India itu tidak akan membocorkan soalan.



Tapi, suara saya hanya bersuara dalam hati. Saya tidak punya keberanian.



Pegawai tersebut keluar dari bilik. Bilik jadi sunyi. Saya menoleh sekilas kea rah pemuda itu kerana saya tahu ada ayat Allah yang menyuruh muslim dan muslimah menundukkan pandangan. Bukan apa hanya untuk pastikan dia tidak pengsan atau apa-apa. Lalu saya teruskan menjawab soalan yang masih tersisa untuk dijawab.


Dalam hati, ada satu suara yang berkata-kata:


Andai, dia itu Islam dan dia sabar akan kesakitannya. Pasti dia akan mendapat pahala sabar dan redha. Namun, waktu ini dia hanya mendapat kesakitan yang tiada ganjaran baik di sisinya. Ya Allah, engkau campakkanlah hidayah kepadanya dan Engkau kekalkanlah hidayah yang Engkau beri padaku ini sehingga nyawa terakhirku.



Selepas itu, sepertinya air mata saya sudah jatuh berderai. Dia umpama saudara saya. Saya tidak ada kuasa untuk memberikannya Islam kerana hidayah itu hanya milik Allah sahaja. Perlahan-lahan saya mengusap air mata yang berlinangan takut-takut pemuda itu nampak dan juga takut-takut air mata itu jatuh di atas kertas OMR.


Selepas itu, sesudah saya siap menjawab semua soalan. Saya minta untuk keluar terlebih dahulu dari pegawai Akademik. Oh, pemuda itu juga sudah siap menjawab soalan examnya juga. Cepat juga dia menjawab walaupun keadaannya sedang sakit.



Sebelum pulang saya sempat bertanyakan akan pemuda itu tentang kesihatannya. Dia memberi respon bahawa dia ada muntah-muntah. Sebenarnya saya segan untuk menyapanya. segan teramat. Cuma, saya ingin menyampaikan mesej kepadanya, bahawa setiap muslim itu mengambil berat akan setiap manusia yang lain termasuk mereka yang bukannya beragama Islam. Islam teaches muslims to care about others including for non Muslims. Untuk terakhirnya, saya berpesan padanya. Sabar..semoga cepat sembuh! Dan dia mengangguk sambil tersenyum.


Semoga dia sembuh, semoga Allah berikannya hidayah, semoga pegawai yang birokrasi tak lagi bersikap demikian!



Saya seorang muslimah! Alhamdulillah!Terima kasih Allah!
Izzati Anas

Sabtu, 7 Januari 2012

Review : 2011

Assalamulaikum.






Waktu berlalu bagaikan angin lalu....
Menyapa tanpa disentuh…
Pergi tanpa sebarang goresan…

Alhamdulillah. Selaut syukur dipanjatkan kepada Tuhan Pemilik Nyawaku. Bersyukur atas segala-Nya. Syukur; Alhamdulillah!

Satu semester sudah pun berlabuh. Tahun pun sudah pun berganti. Sekarang berada di awal tahun 2012. New beginning! Kadang-kadang timbul di benak fikir, ya Allah begitu cepatnya masa berlalu. Apakah mungkin esok hari adalah hari matiku?


Tahun yang berlalu sudah pasti banyak menitipkan titipan demi titipan pesan. Sudah pasti juga, cerita yang baru sahaja berlalu menjadi pengalaman hidup. Mungkin juga menjadi iktibar dan sempadan diri. Ketika sedang bermuhasabah diri, pasti ada yang memegang pena menulis dan melistkan azam tahun baharu atapun impian untuk dicapai pada tahun 2012m / 1433h.

JOM, SAYA BERCERITA!

Pada semester ini, sudah banyak perkara atau pengalaman yang telah saya lalui. kadang-kadang manis. Kadang-kadang pahit. Kadang-kadang tanpa rasa!

1) Handle program

Untuk semester ini, saya ditaklifkan untuk menghandle satu program di bawah sebuah persatuan universiti. Terdengar sahaja pertanyaan oleh YDP persatuan ketika itu . Hampir luruh jantung. Masakan tidak , saya tidak pernah ditaklifkan untuk handle sebarang program ketika bergelar mahasiswi. Kalau zaman jadi budak sekolah itu ada juga walau pun tak banyak. Cuma situasi zaman sekolah dulu-dulu dan sekarang adalah berbeza.Dan alhamdulillah, taklifan ini berpartner rupanya. Lega sedikit. Tidaklah terlalu rungsing.

Dalam tempoh ‘kerja’ untuk mengadakan program tersebut, tersangatlah banyak halangan. Halangan demi halangan dilalui. Sehinggakan air mata ini tumpah juga ketika berseorangan. Namun, Alhamdulillah’ ada adik partner yang banyak membantu. Dan akhirnya, program sudah dijayakan. Semoga program tersebut meninggalkan impak kepada peserta. Impak sehebat halangan yang telah dilalui!

Sedikit titipan pengalaman: sebelum saya memberikan kesanggupan untuk menerima taklifan ini, ramai yang memberikan kata sanggup untuk membantu saya yang serba kekurangan pengalaman. Namun, entah di manakah kata-kata itu. tapi, tak mengapa. Mungkin tanpa mereka, saya akan menjadi lebih independent dan tidak terlalu mengharapkan bantuan orang untuk kali kedua.



2) Pelajaran


Semester ini(yang baru berlalu) saya daftar untuk 9 subjek. Itulah bilangan subjek yang paling banyak yang saya ambil semenjak menjadi mahasiswi. Ingat time diploma dulu, bilangan subjek yang diambil hanyalah 7 subjek. Tak lebih dari itu. kesengejaan ambil banyak subjek ini adalah semata-mata nak habiskan degree secepat mungkin.(baca: saya kena betulkan niat). Yup, perancangan saya untuk habiskan pelajaran sehingga 30 tahun sahaja. Master atau phd kena ambil before 30. Kalau tak, planning hidup saya berantakan sedikit.(kita hanya merancang, Allah yang menentukan).


Erm, ada subjek yang buatkan saya sedikit ‘down’di awal semester. Subjeknya tentulah yang diajar dalam bahasa arab! Bahasa arab saya lemah! Walaupun masa diploma dulu dah ada subjek Arabic for law untuk 3 semester berturut-turut. Dan Alhamdulillah result ketika itu boleh buatkan saya tersenyum sepanjang minggu. Malahan saya juga datangnya daripada sekolah agama yang belajar bahasa arab. Aduh, di manakah silap saya yang membuatkan level Arabic saya semakin merundum. inshaAllah, masa cuti ni kena belajar bahasa arab secara intensif.

Dan klimaks keseronokan dalam pembelajaran semester ini adalah sesi pembentangan. Sebabnya dalam sesi pembentangan, brainstorming itu harus ada dek soalan-soalan yang ditanya oleh rakan sekelas bertubi-tubi. Kecekapan menjawab soalan itulah yang menyeronkkan dan mencabar.


Bersambung…

Isnin, 19 Disember 2011

MUNGKIN YANG TERAKHIR

Assalamualaikum!

Dek hambatan waktu yang sering sahaja mencemburui, saya jadi jarang-jarang menulis di laman maya ini…


Dua minggu lagi, saya akan menduduki peperiksaan akhir untuk semester ini sebagai pelajar tahun 1(semester 1) Fakulti Kontemporari Islam (FKI). Sungguh mendebarkan, menggusarkan hati dan macam-macam lagi. Tambahan pula, inilah kali pertama menduduki final exam sebagai bukan seorang pelajar undang-undang( yang tak lama dulu panggilan ‘budak law’ begitu sinonim dengan tuan empunya diri ini). erm, bahasa arab pun belum lagi mencapai skala yang harus dicapai bagi setiap pelajar FKI.


Terkejut dan kaget apabila melihat jadual final exam! Sangat padat! Satu hari ada dua exam (pagi petang) untuk tiga hari berturut-turut. Sebelum ini(ketika diploma tak lama dulu) jadual tak pernah sepadat ini. dan buat pertama kalinya juga akan menduduki exam untuk satu subjek secara individu(kuarantin) kerana subjek yang saya ambil clash waktu.


Sekarang ini, saya sedang cuba untuk menenangkan diri setelah melihat jadual final exam. Mencari jalan dan merangka waktu untuk digunakan sebaik mungkin. Dan mungkin juga tempat untuk saya menelaah atau mengulangkaji pelajaran juga bertukar tempat. Bukan lagi di bilik. Tetapi di surau. Ya, surau Farabi! Jika ketika diploma dahulu, surau habibah akan menjadi rumah kedua saya. Namun, pada kali ini, surau farabi akan menerima saya sebagai ‘ahli’.


Semoga, saya dapatkan betulkan niat sebelum revision bagi setiap sebjek. Study/revision bukan semata kerana nak exam.

Usah kerana exam,
Solat berjemaah ditinggalkan.

Usah kerana exam,
Kaki tidak lagi menjejaki surau

Usah kerana exam,
Yang tersenyum jadi masam gelabah

Usah kerana exam,
Diri menjadi nafsi-nafsi

Usah kerana exam,
Kebergantungan pada usaha terlampau

Usah kerana exam,
Allah diketepikan usaha didahulukan

Rabbi yassir wala tu’assir ya karim

Doakan saya;) wish me luck;)



Pesan saya: jangan meniru dalam final exam, kuiz, test atau apa-apa sahaja. Erm, final exam pun ada yang meniru dengan pelbagai taktik.. Walau belum ditangkap namun Allah maha Melihat! Keberkatan itu penting.



Saya anti meniru test, exam, kuiz, assignment!
Blok I
UniSza

Selasa, 22 November 2011

yang belum kita tahu

Assalamualaikum

Helaian maya ini sudah lama tidak dilakar tulisan. Puisi-puisi juga jarang –jarang menutur kata. Tanda pemilik helaian ini sibuk dengan aktiviti pengajian di kampus. Seperti biasa, kehidupan dilalui dengan mendatar dan kadang-kadang ada juga cabaran mengejutkan jiwa ini yang sedang ralit dengan kehidupan sendiri.


Hari ini saya sudah tidak tahu bagaimana untuk menulis lagi

Hari ini juga saya tidak tahu untuk berpuisi seperti hari-hari yang lalu

Hairan saya akan diri saya…

Apakah jiwa ini sudah berubah malah tidak lagi menjadi diri yang lalu?

Saya juga tidak tahu.

Saya juga hairan dengan diri saya..

Entah…

Mungkin dalam proses menjadi seorang yang dewasa

Meneliti harapan lalu dalam hidup satu persatu

Jika tak lama dulu saya ingin berumur 21 tahun

Dan sekarang saya sudah pun berumur 21 tahun

Jika tak lama dulu saya ingin menyambung pengajian dalam bidang syariah

Dan sekarang Allah telah memakbulkannya

Namun,

Impian saya dalam bercita-cita sedikit berubah

Jika tak lama dulu peguam syariah atau pensyarah itu sebagai cita-cita

Dan sekarang saya sedang jatuh cinta dengan institusi perbankan islam

Antara cabang syariah

bila fikir-fikir pula

ketepikan soal cita-cita untuk sementara

teruskan pengajian setinggi yang boleh

baru fikir apa yang patut

tapi tak terkilan

kalau tak berprofesion untuk masa mendatang

moga dapat bergelar ibu yang berintelektual


hidup seharusnya berimpian

tetapi impian seharus ada impian A dan impian B

jika tak menjadi impian A

impian B masih berguna

back up itu harus ada

untuk setiap impian

moga tidak terkilan

jika impian tidak termakbul

mungkin punya hikmah

yang belum kita tahu






Sabtu, 6 Ogos 2011

Imbas...

Assalamualaikum!

Imbas kembali ke tahun 2006

Ketika tahun 2006, saya telah dilantik menjadi setiausaha 2 dalam badan pengawas sekolah merangkap penolong setiausaha.

Dan pada bulan 6 tahun yang sama, saya dan beberapa exco pengawas lagi di’tugas’kan oleh pihak sekolah untuk ke kem kepimpinan yang dianjurkan oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK). Maksudnya, setiap sekolah dibawah YIK wajib menghantar pelajar-pelajar (especially pengawas) ke kem kepimpinan tersebut.

Dan antara aktiviti di sana adalah sesi soal jawab iaitu seorang wakil sekolah akan berdiri di hadapan, dan sesiapa sahaja boleh bertanyakan tentang kepimpinannya di sekolah.NOTA: (aktiviti ini tidak bercampur dengan lelaki).

Saya jadi berdebar apabila fasilaltator memberitahu mengenai aktiviti tersebut. Mana tidaknya. Bercakap di hadapan pimpinan pelajar sekolah-sekolah lain yang hebat-hebat...
Tangan jadi sejuk. Jantung berdegup kencang.

“ Wan Nur Izzati BT Wan Nor Anas, setiausaha badan pengawas dari sekolah Smua Sullamiah sila ke hadapan.” Salah seorang fasilitator memanggil nama.
Saya terus jadi gelabah. Aduh, macamana ni.

“ suara saya serak”. Saya bagi alasan. Dan kebetulan suara saya sudah serak sejak hari pertama di kem tersebut.

“ tak pe. Serak-serak pun. Sila ke hadapan”. Fasilitator terus bagi arahan. Dan saya terus mengatur langkah untuk ke hadapan.

Setelah saya memperkenalkan diri dan sekolah. Saya juga memberitahu hadirin bahawa sekolah saya merupakan sekolah bercampur antara lelaki dan perempuan(kelas bercampur lelaki dan perempuan). Begitu juga dalam kepimpinan badan pengawas. Setiausaha 1 badan pengawas juga adalah lelaki! Ini bermaksud, saya perlu berhubung secara direct dengan setiausaha 1 kerana tugas saya adalah membantu setiausaha1 dalam membuat sebarang tugasan yang berkaitan.

Selepas itu, ramai yang bertanyakan saya tentang ‘keprofesionalan’ bertugas dengan lelaki. Dan rakan –rakan yang bertanya itu adalah datangnya dari sekolah yang tidak bercampur. Ada juga yang bertanya soal hati (bagaimana untuk menjaga hati) apabila bekerjasama dengan lelaki. Aduh, macam-macam soalan yang ditanya. Namun semuanya berteraskan ‘keprofessionalan kerjasama antara lelaki dan perempuan dalam organisasi’.

Jenuh juga untuk menjawab soalan-soalan tersebut.

ke tahun 2011

Kini,Baru saya mengerti mengapa persoalan itu timbul. Ya, kadang-kadang ada ‘orang-orang’yang rasa syak dalam bekerjasama antara lelaki dan perempuan dalam organisasi atau dalam mengadakan seseuatu aktiviti. Soal ‘hati’ jadi timbul.

Dalam Islam juga sudah menggariskan batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Itu muktamad! namun, bukannya langsung mengharamkan lelaki dan perempuan bekerjasama dalam sebuah organisasi(kea rah kebaikan) selagi batas-batas pergaulan itu dijaga. Kerana, mungkin idea lelaki dan perempuan berlainan, jadi kedua-dua gender ini diperlukan dalam organisasi untuk memberi buah fikir yang berkualiti.

Dan bagi saya, apabila berada dalam sebuah organisasi, setiap orang wajar bersikap professional. Tidak ‘sengaja’ segan-segan untuk memberi pendapat (lainlah kalau tak de idea nak bagi, jadi seeloknya diam) namun harus jaga tatatertib sebagai seorang muslim.

begitu juga dalam membantu muslim/muslimah di jalan dakwah.


Ketika kita terjatuh
Di dada tanah berdebu sampah
Kaki jadi terseliuh
Kepala jadi tunduk ke bawah
Hanya suara bersuara meminta tolong
Suara hanya bersuara dalam hati
Dalam samar-samar
Ada yang menghulur tangan
Untuk membantu
Dalam hati kita berdetik:

Mengapakah dia tolong aku?
Walhal aku belum pernah kenal dengannya
Mengapa dia berbisik nasihat dan kata –kata juang kepadaku?
Siapakah aku kepadanya?

Wahai ‘kita-kita’!
Kenapa terus ada syak wasangka dalam hati?
Sedangkan kita semua wajib membantu
Saudara seislam kita yang sudah susah
Yang haus dengan kata –kata semangat
Yang tandus dengan kelembutan ukhuwwahfillah
Usah ditanya mengapa
Usah ditanya kenapa
Kerana dalam ukhuwwah ada
Kasih sayang
Namun dalam ukhuwwah
Ada juga ‘keprofessionalan’

Khamis, 21 Julai 2011

aku; kakak yang paling tua

Aku
seorang kakak yang paling tua
antara adik-adik

aku
yang lahir terlebih dahulu setelah lena membuai
panjang dalam rahim ibu

kerana aku yang paling tua
ibu kita selalu berpesan
kepadaku:

andai adik-adik tidak mahu berbuat demikian,
kakaklah yang harus berbuat terlebih dahulu


kerana aku kakak yang paling tua
abah kita selalu berbisik kepadaku:

yang paling tua seharusnya mengalah terlebih dahulu
kepada adik-adik tanda yang tua itu matang fikiran


adik-adikku
antara kita bermacam ragam warna
ada yang tegas kerana kasih pada saudara
ada yang marah-marah tetapi halus jiwanya
ada yang pendiam tetapi diam-diam berisi
ada yang suka menangis tetapi keras hatinya
ada yang suka merengek tanda pingin dilindungi
ada yang manja tetapi lincah orangnya

walau kita bukan sama namun
apabila ada diantara kita yang diejek oleh temannya
pasti kita-kita akan bangun dan berteriak:

hei, mengapa engkau mengejek saudaraku!

hei, mengapa engkau mengejek abangku!

hei, mengapa engkau mengejek adikku!

ya, walau kita berbeza tetapi hati-hati kita saling terikat
untuk saling mengasihi dan perhubungan ini
tidak akan pernah terputus
sampai tiba hari kiamat!


adik-adikku,
kakak akan selalu ada
dibelakangmu
untuk menjadi pelindungmu


andai ketika dirimu terkena hujan
ingin sahaja kakak menjadi payung
agar dirimu tidak kebasahan


andai dirimu terkena terik mentari
ingin sahaja kakak menjadi awan
melindungimu dari panas membahang

andai dirimu disinggahi kesedihan
ingin sahaja kakak menjadi panglipurlara
agar dirimu tak lagi sedih-sedih

andai dirimu mendapat khabar bahagia
ingin sahaja kakak menjadi kamera
untuk merakam saat bibirmu tersenyum indah


kakak yang paling tua,tiada yang paling tua dariku:

izzati anas

Jumaat, 6 Mei 2011

Din, Chayoik! Rabbi yassir wala tu'assir ya Kariim

Bismillahirrahmanrrahim

Rabbi yassir wala tu’assir yaa Kariim


Matanya kelihatan seperti menyembunyikan sesuatu. Wajahnya seperti ada riak-riak sedih dan kata-katanya tidak sepetah dulu. Dan dia adalah adik saya , izzudduin a.k.a Din.


din dan izzah


Pada petang tadi, saya dan seisi keluarga pergi menjenguknya yang kini bersekolah di Mahhad Thfiz Sains di Kok Lanas. Dan semestinya setiap hari jumaat adalah rutin keluarga akan menjenguknya di sana.


Tadi, Din tidak seperti kebiasaan. Tidak galak untuk bercerita(walaupun dia sebenarnya seorang yang pendiam). Namun, hari ini, dia tak banyak cakap. Lalu, saya mengasak soalan demi soalan , takut-takut dia ada masalah di sekolahnya.


Oh, rupa-rupanya dia sedikit stress. Ya, stress kerana hafalannya tidak cukup target untuk beberapa helaian muka surat al-Quran yang perlu dihafalnya. Oh, adikku kini sudah mula stress!


Ya, saya tahu bagaimana stressnya seseorang yang menghafal al-Quran kerana bukan mudah untuk menghafalnya. Peristiwa sewaktu saya menuntut di tingkatan satu dan dua di Kostaq ak.a sekolah menengah agama Imtiaz masih saya simpan dalam ingatan apabila saya pernah dirotan dan berdiri di luar kelas kerana tidak ingat hafalan untuk ditasmi’. itulah ranjaunya tetapi akhirnya kemanisan dapat dikecapi walaupun hanya sempat beberapa juzu'. Ya, sewaktu itu, memang saya stress tambahan lagi berada jauh dengan ibu dan abah. Keluaga di Kelantan dan saya di Terengganu!
Dan daripada pengamatan saya,sebenarnya mereka yang tidak ingat untuk hafalan mereka bukannya kerana mereka malas untuk menghafaz. Cuma ingatan yang dikurnia itu berbeza. Ada sahabat saya akan ingat semuka penuh dalam beberapa jam sahaja. Dan ada juga sahabat saya yang memeng rajin menghafal tetapi tidak mudah mengingat. Namun, apapun, kesungguhan itu penting.

Berbalik pada cerita Din, saya hanya sempat memberikan kata-kata semangat padanya. Juga berpesan agar solat hajat every day. Jangan tinggal! Hanya itu sahaja yang dapat saya bantu selain berdoa kepada Allah agar Din dimudahkan untuk menghafal kalam-Nya. Kesungguhan itu pasti membuahkan berjuta pahala. Itu yang pasti!


Teringat pula, bila Din pernah bercerita ( 3 bulan yang lepas kut), ada kawannya menangis dalam toilet kerana tak ingat hafalan. Ya Allah, sampai begitu sekali ! saya tanya Din:Din pula camne? Dia hanya menjawab: tak nangis lagi…


Ya Allah Engkau berikanlah ingatan yang kuat kepada adikku , Din dan mereka yang sedang menghafaz kala-kalamMu. Permudahkanlah , ya Allah… permudahkanlah…

Rabbi yassir wala tu'assir ya Kariim



Jangan putus asa yer dik!

Sabtu, 30 April 2011

CATATAN TERAKHIR SEBELUM

Assalamulaikum

Terlalu lama meninggalkan laman maya ini…tanpa sebarang kata-kata terlafaz ; tanpa sebarang aksara tertulis dek kerana saya masih dalam fatrah peperiksaan akhir bagi semester ini juga sebagai pelajar tahun akhir.

Sedikit catatan:

Saya sudah membuat application UPU. Antara listnya


1) Sarjana Muda syariah dan undang-undang di Universiti Malaya
2) Sarjana Muda syariah di Unisza
3) Sarjana Muda sains politik di Ukm
4) Sarjana Muda akaun di Usim



Semoga Allah menentukan yang terbaik untuk saya juga cita-cita saya. dan sekarang saya masih lagi diberi waktu saki baki untuk ‘menghayati bagaimana menjadi seorang budak law… dan sememangnya menjadi salah seorang ‘budak law’ begitu banyak asam garamnya. Apakah asam garamnnya? insyaAllah, saya akan menceritakan serba sedikit pengalaman saya sebagai seorang mahasiswi undang-undang sivil selepas tamat peperiksaan.



Teringat kata-kata ibu apabila sebelum ini saya mengeluh kerana panjangnya waktu saya untuk menuntut ilmu… antara yang ibu cakap: entah-entah dapat jodoh kat sana…hehehe (x jadi nak mengeluh..)

Kata abah..x pe kak..sabar

Saya juga buat keluhan yang sama pada adik, izzat (yang muda setahun dari saya) saya kerana dia akan menamatkan pengajiannya (sarjana muda) pada usia 21 tahun,insyaAllah(tahun depan)..saya?


Katanya, tak pe kak..biasalah tu, standart kat Malaysia semuanya camtu..jangan berkire sangat sangat ngan abang…abang duk Jordan lain..

Ok..kakak sayang ibu abah

Kakak kasih adik-adik kakak

Juga buat sahabat di Unisza..ada jodoh kita jumpa lagi…kalau tiada jodoh mungkin ini pertemuan yang terakhir buat kita semua. Senyum selalu. Saya ada untuk kkalian…main hoona!

Salam terakhir yang mungkin terakhir;
law is a part of my passions in life
Wan nur izzati wan nor anas
21 tahun
1 mei 2011

Selasa, 1 Mac 2011

setelah lama berehat

Assalamualaikum

Sudah lama rasanya tidak menekan punat papan kekunci dek assignment yang bertimbun dan minggu ini telah memasuki frasa test week. Akibatnya rasa sedikit canggung untuk menulis. Sebenarnya, banyak perkara yang berlaku dalam beberapa minggu ini. Bermula daripada demam pilihan raya kampus UniSZA sehinggalah perkahwinan.


Pilihan raya kampus unisza sememangnya suram berbanding dengan university lain. Namun, ada beberapa insiden yang kadangkala mendebarkan dan membangkitkan semangat apabila HEP sudah mengeluarkan taringnya. Just nak bagitahu, HEP a.k.a HEPA tidak boleh sesuka hati menyenarai hitamkan nama pelajar yang mereka tidak suka. Ini sudah diberitahu oleh mereka yang merangka Auku ketika ceramah mengenai Auku berlangsung di DKU beberapa semester yang lalu.


Andai HEPA mahu juga mem’blacliskan’ nama pelajar yang mereka tidak suka , ingatlah bahawa di kampus ini mempuyai mereka yang belajar undang-undang a.k.a yang tahu undang-undang. Dan mereka tidak bodoh undang-undang!

Sememangnya, saya mahu ke rapat umum. Namun, tugas sebagai seorang pelajar harus saya pikul terlebih dahulu berbanding aktiviti lain. Banyak juga cerita-cerita yang ‘aneh-aneh’ yang saya dengar daripada kawan mengenai rapat umum.


Selesai sudah berbicara sepintas lalu mengenai piliharan raya kampus. Dan cerita kedua mengenai kahwin. Lagi-lagi kahwin. Maklumlah umur saya dan sahabat handai saya sudah meningkat. Jadi, berita mengenai perkahwinan akan sentiasa ada buat beberapa tahun ini.

Erm, secara realitinya, sudah ramai kawan saya yang mendirikan rumahtangga. Itupun, kawan –kawan daripada sekolah menengah. Dankhabar yang terbaru, kawan sekolah rendah saya a.k.a Adli Jihad akan mendirikan rumahtangganya pada Mac ini. Barakallahulakuma! Beliau sahabat yang pertama batch saya di sekolah rendah Islam Annur yang akan mendirikan rumahtangga. Terkejut juga mendengar berita ini namun saya tabik hormat kerana walaupun masih muda berani mengambil jalan untuk menghalalkan perhubungan dengan berkahwin.


Sedikit info tentang beliau: beliau berumur 21 tahun dan masih belajar di Mesir dalam jurusan kedoktoran.

Rasanya setakat ini sahaja coretan yang ala kadar ini. Dan insyaAllah, dalam entri yang akan datang saya akan memasukkan assignment yang saya dan kawan saya telah siapkan yang bertajuk Dilemma Syarie Counsel in Dealing with Conversion Cases’.


Sungguh menarik tajuknya. Dilemma peguam syrie untuk membela mereka yang mahu murtad. Dan pada masa kini, sudah ada peguam syarie yang sudah berani membela mereka yang mahu murtad seperti peguam kepada Fatimah Tan ( sekarang ini sudah disahkan murtad setelah memeluk Islam).

Ok…salam semangat

Khamis, 23 Disember 2010

PERHATIAN: STATUS SUDAH BERUBAH = CIK KEPADA PUAN

Assalamualaikum!
Bismillahirrahmanirrahim.

Setanggi cinta mewangi di atmosfera bumi
Menyentuh rongga-rongga sanubari
Antara Hawa dan Adam
Mengubah haram menjadi halal
Dalam satu lafaz sakinah
‘ aku terima nikahnya…’





Alhamdulillah, tanggal 25 disember 2010 a.k.a pada hari sabtu depan, sahabat a.k.a senior saya Nik Khadijah akan melangsungkan perkahwinannya begitu juga pensyarah saya untuk subjek Land law ;Mdm Nor Aida.Barakallah!



Alhamdulillah, dengan izin Illahi mereka telah dipertemukan dengan pangiran hati. Tiada lagi rahsia jodoh. Tabir sudah tersingkap. Begitulah takdir Illahi yang penuh misteri.

Saya masih ingat, buat pertama kali Mdm Nor Aida masuk ke kelas dan sebelum bermulanya kuliah, beliau sempat berkenalan dengan kami(para pelajar). Ketika kami sedang berta’ruf, beliau agak terkejut apabila mendapat tahu salah seorang daripada kami sudah berkahwin. Beliau kelihatan kaget kerana kebanyakan daripada kami berumur dalam lingkungan 20 tahun. kami cuba memberi peluang untuknya meneka siapakah gerangan yang sudah berkahwin.


Tahu tak siapa? Orang yang pertama beliau teka ialah….

“ awak ker izzati?” Tanya beliau. Saya tergamam dan malu. Saya?
“Tidak…” jawab saya.

Tambah beliau lagi,
“ biasanya, mereka yang berjilbab labuh , nampak wara’ ni kahwin awal.”

Dalam hati saya berkata:
Malunya… calon pun tak de apatah lagi kahwin. Tak semestinya pakai tudung labuh kahwin awal…

Apapun , saya doakan agar Kak Nik dan Mdm Nor Aida bahagia dalam menempuh onak cabaran yang pasti ada dalam setiap bahtera cinta. Bukan bahtera cinta andai tidak pernah dilanda ombak, bukan bahtera cinta andai setiap purnama berima dingin.
***************
Izzati, awak bila lagi? ini jugalah antara soalan yang cukup famous atau question of the year pada tahun ini. Walaupun bagi saya waktu ini adalah waktu yang masih awal lagi untuk ditanya soalan sebegitu kerana Saya masih muda!

Ada yang Tanya lagi…

Izzati apakah antara ciri-ciri ‘future husband awak? Aduh! Soalan yang sukar. Cuma, yang hanya saya boleh jawab adalah…bukan ciri – ciri tentang ‘dia’ yang saya suka tetapi untuk ciri yang sebaliknya.

Saya senaraikan antara sifat-sifat lelaki yang saya tak suka:


1) lelaki yang suka mendekatkan dirinya kepada perempuan yang disukainya dengan cara bersms atau menelefon,

2) jiwang karat,

3) suka hantar mesej yang tak penting a.k.a yang ada ayat-ayat yang agak jiwang sebab saya saya rasa saya adalah fitnah baginya lagipun saya tidak suka ayat yang jiwang

4) tak bersahaja kerana menunjukkan itu bukan dirinya sebenar


5) bercakap lembut (seperti dibuat-buat) dengan perempuan

6) suka memuji(setiap hari memuji..contohnya, cantik, comel) kerana pujian itu adalah sesuatu yang saya tidak sukai.


7) tiada prinsip hidup

8) mudah meluahkan perasaan suka kepada wanita sebab bagi saya lelaki yang ‘gentle’ dia akan bagitahu ibu dan bapa perempuan tersebut akan perasaannya


setakat itu sahaja. kalau ada penambahan akan ditambah lagi... maaf, entri ini bukannya formal ... jadi, ada ayat-ayat yang agak sempoi digunakan


p/s: doakan agar adik saya yang no.2 dipermudahkan pertemuan dengan jodohnya…Amin.

Isnin, 6 Disember 2010

SETELAH JARI JEMARI BERHENTI MENARI UNTUK SEDETIK


Assalamualaikum
Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah … saya titipkan hamdalah kepada Tuhan yang selayaknya untuk disyukuri atas segala nikmat yang dikurniakan kepada hamba-Nya.

Sahabat yang saya cintai,

Sudah lama rasanya , jari jemari saya tidak menekan punat kekunci untuk menulis sesuatu di halaman ini dek saya dihambat masa untuk menelaah pelajaran kerana peperiksaan akhir semester telah bermula. Dan Alhamdulillah, dua tiga hari yang lepas, tempoh peperiksaan telah berakhir.

Semasa tempoh peperiksaan tersebut, saya seperti tidak percaya kerana dengan izinnya dapat menulis jawapan 2 booklet selama 2 jam setengah untuk setiap lima subjek. Bagaikan bukan saya yang menulis… seperti ada satu kuasa yang membuatkan saya menulis jawapan tersebut. Ya, dengan kuasa Illahi.

Bukan ingin mendabik dada, apatah lagi jawapan tersebut belum tentu betul dan tepat. Tetapi, kadang-kadang sebagai seorang pelajar kita lupa kepada Allah seuasai menduduiki jawapan. dalam hati pasti ada yang berkata” aku dapat jawab dengan usaha aku”. Bagi saya itulah perkataan yang kurang ajar dan zalim kepada Allah. tidakkah tanpa izin Illahi kita boleh menjawab soalan itu dengan mudah? Dan bagaimana setelah kita berusaha namun ketika di dalam dewan peperisaan kita tidak dapat menjawab soalan tersebut dengan mudah?

Ucaplah hamdalah, implementasikan syukur dalam setiap ketaatan

Di sini juga saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat tahun baharu hijrah ;1432h kepada sahabat sekalian. Semoga amalan dan ilmu kita semakin bertambah daripada tahun yang sudah.Dan kurang sebulan lagi, kita juga akan memasuki tahun baharu masihi;2011.

Tahun 1432h dan 2011m beerti usia saya akan menginjak ke 21 tahun. Usia yang signifikan dengan remaja dewasa. Alhamdulillah, jika dahulu saya berharap sangat saya dapat merasai bagaimana rasanya berumur 21 tahun. Dan kini, Allah telah memilih saya untuk itu. Saya sudah dewasa!


Saya juga berharap, pada usia 21 tahun, Allah akan makbulkan doa saya tentang itu. Doa apa? It’s secret … haza sir. Cuma, saya mohon sahabat sekalian ‘aminkan’ doa saya semoga diperkenankan Illahi.

Dan terakhirnya, selamat melangkah tahun baharu dengan langkahan berima kekuatan, meninggalkan kejahilan silam.

Saya,
Alfaqirah ilaLlah
Tara tiana a.k.a Izzati Anas
Unisza

* ahad depan bermulanya praktikal di BBG..

Khamis, 19 Ogos 2010

USAH BERKECIL HATI

assalamualaikum!



Dan tolong menolonglah kamu dalam ( mengerjakan ) kebajikan dan takwa, dan janganlah kamu tolong menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan ".


( Al-Maidah : 3 )

usah berkecil hati apabila ditegur sikap. Ucaplah hamdalah apabila ditegur kerana masih ada yang sudi menegur dirimu. sesungguhnya setiap daripada muslim itu adalah bersaudara.
Click to view my Personality Profile page

helaian yang dilihat

jalan-jalan dari