Dirimu si anak yatim…
Ditinggalkan ayahanda untuk selama-lamanya…
Mungkin dirimu akan bertemu lagi dengan ayahanda
Namun pertemuan itu bukan di sini
Mungkin di Jannah kelak
Wahai dirimu; si anak
yatim…
Sesungguhnya, diriku sangat terkesan apabila melihat
coretanmu di sana. Coretanmu membuatkan diriku berlinangan air mata. Pilu. Sesungguhnya
ketika diriku sedang berbahagia bersama keluarga, ada insan yang bersedih hati
mengenangkan masa lalunya bersama seorang ayah. Dan insan itu adalah dirimu
dik. Maaf, izinkan diriku membahasakan diriku sebagai kakak. Juga izinkan
diriku membahasakan dirimu sebagai adik.
Wahai adikku,si anak yatim…
Usah berduka dengan apa yang telah diaturkan oleh-Nya. Dia telah
mengatur sebaiknya untuk dirimu dik walaupun dirimu berasa sangat sedih. Iya,
memang terasa berat sekali apabila dirimu si anak tunggal yang tidak punya adik,
kakak mahupun abang kehilangan ayah tempat untuk bermanja. Manakala Ibumu pula berada jauh di samping orang
yang tersayang. Bagaikan dirimu tidak punya siapa-siapa di dunia ini untuk
meluah rasa gundah mahupun bergelak ketawa seperti orang lain. Bersabarlah dik.
Seandainya dirimu mengetahui hikmahnya, sudah tentu dirimu mensyukuri akan
takdir ini dengan lafaz hamdalah sebanyak bintang di angkasa.
Wahai adikku…kini engkau punya seorang kakak..
Izinkan diriku menjadi kakandamu. Walaupun dirimu tidak
mengenaliku. Namun, kuingin tahu bahawa kini engkau punya seorang kakak! Aku ingin
menjadikan dirimu sebagai adikku kerana aku tidak mahu ada antara manusia yang
hidupnya sepi tanpa belaian kasih seorang kakak. Panggilah diriku…kakak! Aku ingin sekali
mendengar engkau memanggilku dengan panggilan itu…kakak! Dan engkau menyambung
perkataan itu sambil berteriak kepada teman-temanmu dengan bicara: lihat,
kawan-kawan..Saya ada seorang kakak! Ini dia kakakku; Saya tidak lagi sendiri
di dunia ini!
Dik…
Untuk terakhirnya, kakak mahu dirimu belajar
bersungguh-sungguh di Unisza ini. padamkan kesedihanmu dengan kejayaan yang
akan dikecapi kelak. Biar orang tahu, si anak yatim juga boleh berjaya lagi
soleh bahkan dirimu akan dijadikan model kepada mereka yang punya keluarga.
Dik, Percayalah pada diri sendiri. Dan percayalah kepada Allah.
Dia tidak akan membuatkan susah untuk sepanjang hayatmu. Dia sangat mencintaimu.
Dan Rasulullah juga sangat mencintai seseorang seumpamu; seorang anak yatim.
Dik, letakkan pergantungan pada Allah. Pasti Dia akan
membalasnya dengan sesuatu yang baik. Tawakal itu penting!
Dik, kakak doakan agar dirimu akan punya seorang ‘abang’
untuk menjaga dirimu untuk kakak kerana Kakak tidak bisa menjagamu dari dekat
dek kita adalah dua insan berbeza sifat dan gender. Andai ‘abang’ itu masih
tidak kunjung tiba, cukuplah bagi kakak , Allah yang akan menjaga dirimu untuk
kakak.
Dik, tibalah waktu kakak mengundur diri, kakak doakan dirimu
tidak lagi kesepian kerana dirimu sudah punya Allah! pasakkan dalam hatimu
bahawa Allah itu sudah cukup untukmu dik.
K, …inshaAllah, kakak akan memerhatikanmu dari jauh. Dan mendoakan
kebaikan untukmu.
Kini, dirimu punya seorang kakak!
Dan kini diriku bertambah seorang adik!
Kakakmu yang jauh di mata,
Izzati Anas