Selasa, 31 Ogos 2010


Aku khuatir jutaan bintang
Pada dada gelap malam yang tiada gerimis
Itulah timbangan dosaku



Aku khuatir senyumku di dunia
Adalah senyuman terakhir
Tiada senyuman ketika hari jumpaku dengan Khaliq



Aku bimbang amalku adalah sia-sia
Kerana aku tidak pasti masihkah dalam hatiku ada sekelumit rasa ria’, sezarah ujub
Pasti amalku yang sedikit itu tidak diterima



Wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Tuhan yang mencipta pelangi selepas gerimis senja
Tuhan yang mencipta manusia berpasangan
Tuhan yang tahu akan segalanya
Jangan pernah Engkau tinggalkan diriku sendiri
Walau ada dosa terpalit padaku
Aku memohon meminta maghfirah
dariMu agar aku bukanlah hambamu yang rugi
sepanjang hayatku





-Tiada yang hina di sisi Allah melainkan diriku seorang-
Izzati anas

Bingkisan daripadaku untuk Sahabat remaja

Bismillah wassalamualaikum!




Usah menapak di situ lagi
Ayuh! Bangkit berjuang
Hilangkan resah
Damaikan gundah
Dunia


Wahai remaja Islam
Usah berbicara kisah
Berkasih
Andai kasih tidak disemai untuk Islam
Usah berbicara tentang
Penyanyi idola
Andai Rasulullah tidak dijadikan idola
Usah berfikir tentang
Senang sentiasa
Andai tidak membantu pejuang Islam


Marilah sahabat sekalian, usahlah kita mengikut ideology bawaan barat bahawa hidup remaja harus bersuka ria secara murahan. Sepatut dan seharusnya setiap daripada kita bangkit menuntut ilmu untuk dijadikan bekalan dalam memperjuangkan Islam.


‘berkasih tanpa ada halal’, rempit, ‘lagha’, itu bukanlah sesuatu yang harus dilalui oleh setiap remaja Islam. Itu bukan sesuatu yang diajar oleh Islam.


Ayuh! Bangkitlah bersama, kita gunakan akal yang dikurniakan oleh Allah untuk menentang suntikan racun musuh Islam.


"Semoga akan muncul sultan Muhammad al-Fateh yang kedua daripada golongan remaja pada hari ini".



Izzati Anas
-Masa remaja sekali sahaja dan mati itu juga sekali sahaja, jadi pilihannya terletak di tangan anda-



*Semasa penulisan ini ditulis, saya telah mendapat panggilan dari ibu dan abah bahawa adik saya telah selamat sampai di KLIA . Alhamdulillah ya Rahman. Alhamdulillah ya Rahim. Penantian selama setahun untuk bertemunya, sudah direalisasikan oleh Allah. Alhamdulillah!

Isnin, 30 Ogos 2010

Ulangan Entri - Ayuh gentarkan Batil bersama

PENDAHULUAN


Situasi sekarang sangat gawat. Dunia sudah gawat. Kegawatan bukan sahaja daripada aspek ekonomi dunia pertama, kedua atau ketiga tetapi daripada aspek mentaliti umat Islam pada hari ini. Saya tidak mahu mengupas isu ini dengan lebih mendalam. Namun, saya hanya ingin memberi buah fikiran mengenai organisasi Islam dalam kampus hari ini atau lebih dikenali sebagai oraganisasi usrah.


Saya akui, usrah adalah satu program dakwah yang sangat baik. Menyerapkan unsur-unsur kebaikan;keagamaan dalam diri madu’. Namun, sejak kebelakangan ini, keadaan telah berubah. Kalau dahulu program ini secara terang-terangan. Namun, hari ini untuk mengembalikan keadaan sebegitu bagaikan menanti kucing bertanduk dua. Saya katakan ini kerana saya melihat di universiti saya sendiri dan juga di tempat pengajian lain.




Seringkali kita mendengar ‘amar makruf nahi mungkar’ pari materia(dalam bahasa latin) atau persamaan maksud dengan berbuat baik dan mencengah kemungkaran. Dua perkara yang berbeza tetapi mempunyai matlamat yang satu. Dalam skop organisasi-organisasi Islam di kampus hari ini sedikit terbelakang daripada 10 tahun sebelum ini. Mengapa? Kerana dalam hati-hati pejuang ini, mereka ada sedikit kegentaran dengan pihak HEP.


Kata mereka” nanti.. nama saya akan di blaclistkan” atau “ kalau kita buat secara terang-terangan nanti organisasi kita susah untuk mendapatkan kerjasama daripada pihak HEP untuk melaksanakan sesuatu program” atau “ pada permulaan Islam, Rasulullah saw menyebarkan dakwah baginda secara rahsia, jadi sekarang tak apa kalau kita buat macam tu”.


Inilah mentaliti sebahagian daie-daie kita di pelbagai kampus setelah saya bertanyakan kepada kawan –kawan saya yang berada di pelbagai kampus seluruh Malaysia.


Wahai daie-daie yang mulia,



Sememangnya, situasi kita gawat. Gawat kerana banyak dugaan dan ugutan yang kita terima daripada pihak –pihak tertentu. Sememangnya, inilah cubaan ke atas kita. Mengapakah kita sering takut walaupun kita yakin dengan ayat Allah yangbermaksud:

“ Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar”



Ayuh, langkahkanlah kaki-kakimu seperti langkahan kaki mahasiswa-mahasiwa Indonesia. Mereka menggulingkan kerajaan Indonesia. Tetapi, kita bukan mahu menggulingkan HEP ( dalam konteks yang kecil) namun kita hanya mahu merubah corak pemikiran para mahasiswa agar selari dengan Islam yang sebenar.


SAYA KECEWA

Saya kecewa apabila ada diantara ‘orang kuat’ usrah tidak berani untuk menonjolkan diri mereka kepada orang ramai. Saya begitu pelik dengan fikiran mereka apabila ada diantara mereka menyatakan bahawa :


“ Jangan bagitahu kawan-kawan awak ye ..yang kita buat usrah. Kalau diorang tanya ke mana awak pergi, katakan pada mereka awak ada discussion group” bagitahu Daie’ kepada Madu’.


Beginikah pejuang Islam. Mengajar untuk melakukan satu penipuan . Hanya memberikan nasihat kepada ahlinya sahaja tanpa perlu membimbing mereka yang ‘ free hair’; couple atau sebagainya. Tidakkah mereka terfikir bahawa mereka merupakan segolongan yang terlalu mementingkan diri .


Saya berikan satu illustrasi mengenai ini:

Di satu tempat. Di sana ada satu usrah dijalankan. Bilangan madu’ mungkin 3 orang dan beserta seorang daie’. Dan tidak jauh di tempat duduk mereka ada satu pasangan yang sedang memadu asmara.

Pembaca sekalian, adakah anda dapat menjangkakan apakah tindakan ahli usrah ini?
Ya, mereka tidak menegur pasangan tersebut malah mengumpatnya. Apakah Islam mengajar untuk umatnya mementingkan diri walau nyawa tidak diancam bahaya?
Saya sungguh terkesan dengan sikap ini.


USAH KAMU MENGUMPAT

Sebenarnya, satu dugaan bagi orang-orang yang kelihatan baik adalah mengumpat. Mereka akan mengumpat orang yang mereka rasakan tidak baik tanpa memberi pengajaran kepada mereka yang diumpati.


Usah kamu marah jika di universiti tempat kamu belajar dipenuhi maksiat jika kamu sendiri tidak berbuat apa-apa untuk mencegahnya;mengubatinya. Jangan benarkan lidah kamu untuk berkata-kata jika kamu berselindung di bawah organisasi yang kamu katakan “walau kami nampak seperti tidak memainkan peranan tetapi kami tetap ada di sebalik itu”. Ah, itulah alasan yang tidak memberikan satu faedah!



AYUH, BANGKITLAH!

Marilah kita bersatu hati; bersatu keberanian bangkit menyebarkan dakwah Islam. Kita bukan ingin melakukan sesuatu yang mungkar atau sesuatu yang bertentangan dengan AUKU. Tidak! Kita hanya ingin mengawal perlakuan para mahasiswa daripada goyah imannya; atau mengawal kegawatan sosialnya.


Berhentilah untuk menjadi penakut kerana hari ini kita hidup di mana orang di sekeliling kita adalah beragama Islam bukan seperti permulaan Islam di zaman Rasulullah. Di mana pada waktu tersebut bilangan mereka yang memeluk Islam hanyalah buleh dibilang dengan jari. Tetapi, circumtances kita pada hari ini sudah berbeza.



PERJUANGAN TIDAK MENUNTUT BILANGAN PEJUANG; NAMUN PERJUANGAN MENUNTUT KEBERANIAN KITA!



izzati
-faqir di sisi Allah-

Antara Fesyen dan Suruhan

Bismillah wassalamualaikum!


PERTAMA:


Kini, busana muslimah semakin galak direka cipta oleh pereka fesyen. Suasana ini merupakan satu suasana yang baik. Tetapi, suasana ini dicemari oleh beberapa ‘circumtances’. Contohnya, busana muslimah hanyalah menitikberatkan dalam soal pemakaian jilbab atau tudung walau hakikatnya baju yang dipakai oleh model tidak menepati hukum syara’.


Sebenarnya, saya bukanlah berhasrat untuk menulis mengenai ini. Namun, di sini saya mahu timbulkan kegusaran saya terhadap pakaian korporat untuk muslimah. Baru-baru ini, saya telah membuat tinjauan mengenai pakaian korporat muslimah di pusat membeli belah namun hampa kerana boleh dikatakan semua pakaian korporat bagi wanita tidak menepati syariat. Apalah yang cantik sangat baju-baju bagi wanita ketat dan sendat. Kalau boleh, labuhkan baju yang pendek dan besarkan baju yang sendat. Harus diingatkan, sekarang wanita Islam yang profesional perlukan ‘designer’ yang betul-betul faham tentang aurat.




Apakah seorang peguam tidak perlu untuk berpakaian secara menutup aurat?

Apakah seorang arkitek wanita dikecualikan daripada menutup aurat?

Pasti jawapannya tidak bukan?

Pekerjaan sebagai peguam, arkitek , setiausaha atau sebagainya merupakan satu fardhu kifayah. Tetapi, alangkah ruginya, jika pekerjaan tersebut dicemari oleh insan yang berpakaian yang tidak menutup aurat.


Harapan saya, semoga akan hadir seorang pereka fesyen yang tahu akan hukum mentutup aurat sepenuhnya suatu hari nanti dan akan mengubah fesyen untuk muslimah ke pejabat dengan mengikut garisan yang ditetapkan oleh syara’. Semoga dengan kehadirannya nanti akan menjadi satu ikutan pereka fesyen yang lain. Amin wa

InsyaAllah.

KEDUA:


Di sini, juga saya gubah satu puisi khusus untuk muslimah yang saya kasihi. Semoga kita sama-sama diberikan kekuatan untuk melaksanakan perintah Allah dengan sebaik mungkin.


Labuhkan pakaianmu wahai wanita!
Usah kerna nafsu engkau turutkan
Hukum Tuhan engkau dustakan!


Wahai wanita
Kasihku padamu seperti
Kasihku pada diriku sendiri
Betapa aku malu engkau memperlakukan sebegitu
Pada hiasan yang diberikan Tuhan untuk engkau batasi
Tetapi
Engkau egois!
Egois pada Tuhan yang meminjamkan
Nyawa untuk engkau sedut udara;
Nafas untuk engkau lihat indahnya dunia


Wahai saudari seislamku
Aku juga wanita
Aku juga muslimah
Dan akan aku bataskan
Hiasan itu
Dalam kurungan helaian labuh
Kerna itulah
Perintah dan suruh
Daripada al-Khaliq,Allah

Jumaat, 27 Ogos 2010

KASIHMU SENTIASA ADA UNTUKKU

Bismillah
Assalamualaikum!


“Sujud tanda syukur atas segala kurnia-Nya. Terima kasih ya Allah, kerana Engkau menganugerahkan aku dua butir mutiara indah di sisiku”


Ibu dan abah. Itulah mutiara hatiku. Andai hilangnya mutiara-mutiara itu dari genggamanku, maka tiada lagi butir mutiara yang dapat menggantikannya.


Ibu dan abah. Merekalah yang membesarkan diriku sehingga kini. Merekalah yang mendidikku dengan ajaran agama tanpa meninggalkan ajaran dunia. Merekalah yang memberikan aku sebuah kehidupan yang ceria sentiasa. Alhamdulillah, ya Allah, kerana Engkau meminjamkan mereka kepadaku. Sungguh, itulah anugerah yang terindah untukku.


Sesekali, ingatanku berputar pada masa-masa lalu. 13 tahun dahulu, ujian kesakitan menimpaku. Kesakitan itu membuatkan aku tidak ke sekolah selama beberapa bulan. Ibu dan abah telah banyak menghabiskan waktu dan membelanjakan wang untuk mengubatiku. Ya, itu hanyalah ikhtiar dan kesembuhan adalah milik Allah. Sepanjang tempoh itu, ibu dan abah telah banyak bersabar dengan kerenahku. Mereka sentiasa ada di sebelahku.


Aku masih ingat ketika aku di pembaringan ibu dan abah tidak henti-henti membacakan yasin untukku hampir hari-hari begitu. Rentetan pengorbanan ibu dan abah ketika itu aku akan simpan dalam memoriku sehingga hari matiku.


Dan ketika dewasa ibu pernah ceritakan kepadaku bahawa pernah pada suatu hari aku memanggil adikku izzat untuk berada di sisiku, kerna aku fikir kematian akan menjemputku ketika itu.


Tetapi, itulah takdir. Allah masih mamberikan sekudus nafas untukku menggamit rasa di dunia ini.

Sedih pula apabila mengingati episod lalu…



Alhamdulillah, apabila beberapa tahun aku dalam ujian kesakitan, tiba-tiba Allah menganugerahkan kesihatan kepadaku. Syukur. Syukur walhamdulillah!



Itu baru satu cerita daripada koleksi diari hidupku dan dengan sesungguhnya, banyak lagi pengorbanan mereka terhadapku dan adik-adikku yang lain. Tidak dapatku terjemahkan dengan roman aksara .


Terima kasih duhai ibu dan abah!
Kasihmu sentiasa ada untukku
Cintamu engkau ukir dalam hatiku
Terima kasih duhai abah, ibu!


Sahabat yang masih ada ibu dan abah di sisimu,



Jagalah mereka sebaiknya. Ingatilah pengorbanan mereka. Ingatilah keringat mereka untuk menjadikan dirimu sebagai insan yang soleh bukan toleh. Selain ingin melihat dirimu menjadi insan yang berbakti pada agama dan Negara. Usah diragu pengorbanan yang telah mereka lakukakan untuk mendewasakan kalian!



- Izzati –
Buah hati ibu abah

TEBRPANCAR KABUS MENUTUP SENYUMU

Bisikan kabus dalam nuansa hatimu
Menerpa sanubariku
Menerjah ruang tawaku
Tetiba
Menyepi sebentar



Nun di sana
Bila angin membawa khabar syahdu
Bahawa dirimu dilanda gundah sendirian
Tatkala ‘izzahmu dihadapan manusia
Jatuh buat seketika



Engkau yang kupanggil sahabat!
Ingin kupaksikan kata-kata ini
Di atas pentas yang berbeza
Bahawa
Sakitmu deritaku
Tawamu gembiraku
Tangismu sedihku
Kerna kita adalah saudara semuslim
Biarpun dirimu tidak pernah peduli akan hadirnya diriku
Di sini


Cukuplah bagiku
Sekiranya dirimu tahu bahawa
Ada lagi bayangan insan yang peduli akan sedihmu
Termasuk diriku


terakhir
Doaku sentiasa ada
Mengiringi setiap hembusan nafasmu
Semoga engkau tabah mengharungi segala
Macam ranjau



Tara tiana
-Insan yang selalu sendiri-




Alunan kata-kata ini saya ukirkan kepada kalian yang bersedih hati tatkala bermacam dugaan menerpa diri. Kesedihan bertambah lagi apabila tiada insan bernama sahabat berada bersama.


Ingatlah bahawa saya ada di samping kalian! Walau kalian tidak pernah tahu akan kehadiran saya. Semoga Allah merahmati kalian dan juga saya. Amin…

Jumaat, 20 Ogos 2010

BINGKAI KASIH DARI BUNDA

Bismillahirrahmanirrahim
Dengan Nama Allah yang Maha pengasih lagi Maha Penyayang


Duhai anakandaku sayang,
Akan
Bunda gunakan pena cinta untuk melakar
Rantaian roman yang saling memintal
Menjadi sebuah puisi sepi yang berbingkai kasih
Khusus untuk tatapanmu anakku

Hayatilah dengan nafas yang dalam;dengan lafaz yang bersemi


Duhai anakandaku
Engkau titipan dari Tuhan
Tanda engkau amanah buat bunda


Duhai Kasihku
Engkau adalah cinta buat bunda
Engkau lahir dari sebuah cinta
Yang halal yang tiada larangan dari Tuhan



Engkau Permata hati bunda
Lewat dari dulu
Bunda selalu bermohon dari Tuhan yang Maha Penyayang
Agar dititipkan penyejuk mata buat bunda
Agar bunda tidak kesunyian
dari mendengar esak dan tawa seorang bayi kecil
Dan kini pinta bunda telah terjawab dengan
Lahirnya dirimu.
Segala puji bagi Allah atas kelahiranmu




Anakandaku engkau adalah jantungku,
Engkau adalah kehidupan buat bunda
Akan bunda rawat sakitmu
Akan bunda beri kasihmu
Akan bunda ajar tentang ajaran agama
Akan bunda hindar dari salah ajaran
Akan bunda senyum kerana engkau bersenang hati
Akan bunda pujuk kerana engkau bersedih duka
Akan bunda tadah tangan
Pada Tuhan
Agar dirimu menjadi seorang abid yang alim
Agar dirimu menjadi penyelamat umat
Dari dosa noda nestapa
Dan
Semoga dirimu menjadi penyelamat bunda
Dari bahang panas neraka



“ berdoalah senantiasa agar mendapat zuriat yang soleh dan solehah agar mereka memandu kita ke syurga abadi”
Click to view my Personality Profile page

helaian yang dilihat

jalan-jalan dari