Isnin, 31 Mei 2010

Suasana Hiba di Kamar Mahkamah Tinggi

ASSALAMUALAIKUM!

Pada hari ini saya ingin berkongsi pengalaman sedih dengan pembaca sekalian. Pengalaman ini saya kutip apabila mendengar ‘judgement’ di Mahkamah Tinggi pari materia High Court.



Tadi, perasaan hiba menyelubungi suasana dalam kamar Mahkamah Tinggi (1). Tiba-tiba semua pendengar perbicaraan tersebut kaku apabila mendengar keputusan mahkamah. Di sini, saya tiada niat untuk mempertikaikan keputusan mahkamah. Tetapi,saya hanya ingin tekankan bahawa hanya Allah yang tahu apaakah keputusan yang diberikan oleh mahkamah benar atau tidak. Di sini saya hanya ingin menyentuh aspek kasih sayang keluarga dengan tertuduh / orang kena tuduh (OKT).


Sebelum perbicaraan bermula, hati saya tersentuh melihat kasih sayang ibu dan bapa Si Tertuduh terhadapnya tiada pudar. si Ibu apabila bertemu dengan anaknya lalu dipeluk dan dicium dan membisikkan kata-kata semangat. Si ibu itu tadi duduk di belakang kerusi anaknya(tertuduh) sebelum anaknya berada di kandang pesalah. Saya nampak tangan si Ibu itu seperti mengurut-urut bahu si Anaknya.


Selepas Yang Arif Hakim membaca keputusan mahkamah bahawa tertuduh akan dihukum gantung sampai mati kerana didakwa mengedar dadah. Kata hakim lagi, pihak pembelaan tidak dapat memberikan mahkamah syak yang munasabah dalam kes ini.


Mata saya tertumpu kepada ibu dan ayah tertuduh. Saya tidak dapat membayangkan perasaan ibu dan ayah si tertuduh. Apabila si Anak itu keluar dari kandang pesalah, si Ibu dan si Ayahnya bangun lalu dicium, dipeluk anaknya. Sungguh, inilah kali pertama saya menitiskan air mata di dalam kamar mahkamah.



Sememangnya orang kata jika kita mudah menangis kita tidak layak menjadi peguam. Itulah apa yang diungkapkan oleh kawan saya tadi. Namun, apakah kerana menjadi peguam kita tidak lagi ada nilai-nilai kemanusiaan. Apakah kita perlu memastikan hati kita menjadi keras barulah kita boleh menjadi peguam. Tidak!dan sesekali tidak!


Saya sedih, jika pesalah itu tadi tidak bersalah tetapi didapati bersalah kerana kekurangan evidence untuk menyangkal dakwaan Public Prosecutor.
Pembaca yang saya kasihi sekalian,
Saya hanya ingin menitip beberapa moral daripada cerita di atas:

1) Jangan pernah menyentuh, mengambil , memberi dadah kepada sesiapapun( untuk dielakkan menjadi kambing hitam)
2) Jangan melibatkan diri dengan dadah
3) Jangan mudah percaya dengan orang yang berada di sekeliling anda
4) Jangan mudah untuk menolong orang dalam kes menghantar barang kepada seseorang yang tidak dikenali takut-takut barang tersebut dipercayai dadah




Seksyen Kesalahan/jenis dadah dan Hukuman

39B AKTA DADAH BERBAHAYA 1952
* Memiliki 15 gm atau lebih heroin dan/atau morfin
* Memiliki 1000 gm atau lebih candu masak atau mentah
* Memiliki 40 gm kokain atau lebih
* Memiliki 200 gm atau lebih ganja
* Memiliki 2000 gm daun koka atau lebih
* Memiliki 50 gm atau lebih Amphetamine Type Stimulants (ATS) contoh; syabu pil ecstasy

hukumannya :Mati Mandatori

39 (A) (2) AKTA DADAH BERBAHAYA 1952
* Memiliki 5-15 gm heroin atau morfin
* Memiliki 250-1000 gm candu
* Memiliki 50-200 gm ganja
* Memiliki lebih 15-40 gm kokain
* Memiliki lebih 750 gm daun koka
* Memiliki 30-50 gm Amphetamine Type Stimulants (ATS) contoh; syabu atau pil ecstasy
HUKUMAN: Tidak kurang lima tahun penjara atau dipenjara seumur hidup dan diwajibkan tidak kurang 10 rotan sebatan


39 (A) (1) AKTA DADAH BERBAHAYA 1952
* Memiliki 2-5 gm heroin atau morfin
* Memiliki 100-250 gm candu
* Memiliki 20-50 gm ganja
* Memiliki 5-15 gm kokain
* Memiliki 250-750 gm daun koka
* Memiliki 5-30 gm Amphetamine Type Stimulants (ATS) contoh; syabu atau pil ecstasy

HUKUMAN:Tidak kurang dua tahun penjara tetapi tidak lebih 5 tahun dan diwajibkan sebatan rotan antara 3 hingga 9 kali -sama-




Isnin, 24 Mei 2010

MENADAH KASIH SEMALAM



"Apabila mentari hilang sirnanya, apakah bisa aku pinta cahaya?
Apabila rembulan hilang cahayanya, apakah bisa aku mohon untuk melihat bentuknya?
"




Dulu
Tawa selalu dalam hati
Senyuman di bibir sendiri


Dulu
Terlalu Sukar untuk
Melihat siang bermain hujan
Atau
Mentari menampakkan cahayanya di malam gempita


Kini
Tangis menjadi nyanyian dalam hati
Tawa hambar menutup luka


Kini
Hujan sedang bermain-main di waktu
Mentari menegak di ubun-ubun
Dan
Pada waktu mentari terbenam
Terasa dingin diulit bayu malam


Aduhai diri,
Apakah ini nasib malangmu?


Mereka sudah lain
Tiada melihat dirimu seorang sahaja
Mereka sudah lain
Tiada lagi kasih seperti semalam
Mereka sudah lain
Tiada lagi masa untuk berceloteh
Mereka sudah lain
Tiada lagi masa untuk mendengar


Oh,
Sepinya diri
Seperti terasing di sini
Sedangkan di sinilah
Dahulunya
Kukecapi bahagia
Kudapat kasih
Kutadah cinta

Jumaat, 14 Mei 2010

JAWAPAN DARIPADA KOMENTAR SAUDARI NAJWA AIMAN.

Najwa Aiman berkata...
berahsia dlm bjuang bkn bmakne pengecut,
namun..
ade bnyk bnda yg plu difahami dlm konsep bjuang..
bdakwah x semestinya menzahirkan,
"AKU MASUK USRAH UTK BERDAKWAH!".

sememangnye dlm bjuang x dinafikan plu berani..

tp, bukanlah smpai berani itu memakan diri sendiri,
bukanlah brani itu membawa masalah kpd pjuangan Islam yg kita bawa..

org yg benar2 bjuang mempunyai strategi..
jika dizahirkan pergrakan..
mudahlah strategi diketahui musuh,
bukankah menghalang perjuangan?

cuba kita fikirkan..
berahsia sambil dpt mnjalankan dkwah dgn lancar,
sekaligus dpt belajar dgn baik [dpt melaksanakan tggjwb sbg pelajar juga]..

tp.. tidak berahsia, usaha dakwah terbantut, xdpt meneruskan tggjwb sbg pelajar, bukankah kemaslahatan lbih plu dititikberat?

konsep menipu n berhelah plu dibezakan..
dalam konsep dakwah tiade istilah menipu..
cuma berhelah..
fahamilah ape konsep berhelah krn Rasulullah sndiri menggunakan konsep berhelah..

JAWAPAN SAYA:




Bismillah

Terima kasih atas komentar yang diberi oleh saudari. Saya cukup hargai.


Saudari, saya setuju apa yang dikatakan oleh saudari, tetapi bukanlah secara hakiki
.

Sebenarnya, ramai mereka yang beranggapan seperti saudari. Namun, ada sebilangan besar yang tidak gemar dengan cara tersebut. Kerana apa? Kerana kita tidak perlu lagi bersembunyi menentang batil dan menjalankan ma’ruf secara takut.


Memang betul, nabi Muhammad SAW menjalankan dakwah secara sirr atau pari materia rahsia. Tetapi, itu merupakan taktik pada awal permulaan Islam. Itu merupakan satu taktik. Tetapi sekarang kita bukan lagi di awal perkembangan Islam. Tidak lagi!
Saudari mengatakan lagi, berani boleh memakan diri. Ya, betul kalau berani tersebut tidak berteraskan konsep dakwah. Namun, lihatlah konsep berani yang dibawa oleh Umar al-Khatab ketika mahu berhijrah dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Sekarang, kita memerlukan manusia seperti Umar al-Khatab!

Saudari,


Saudari menyebut mengenai berdakwah secara tidak rahsia akan menyebabkan usaha dakwah akan terbantut.Di sini saya mahu bertanya, apakah saudari maksudkan dengan usaha dakwah akan terbantut kerana AUKU. Kalau betul tanggapan saya. Saya akan katakan apa yang saudari katakan tidak tepat kerana saudari sendiri tidak faham apakah isi kandungan AUKU. Dalam AUKU, tidak ada satu seksyen yang mengatakan usrah itu satu kesalahan dan tidak ada satu seksyen pun mengatakan pihak HEP ada kuasa pun untuk menyenarai hitamkan nama-nama mahasiswa yang mereka tidak senangi.


Saudari, anda perlu faham bagaimana rasa terkilannya saya apabila ahli usrah ( secara sembunyi) lebih mementingkan diri mereka sendiri melebihi kepentingan ummah.
Sebagai contoh , saya mempunyai seorang kawan yang tidak tahu langsung mengenai kegiatan usrah di kampus kami. Pada suatu hari, dia mengatakan bahawa dia sungguh mahu mendekatkan diri dengan agama walaupun dia bukanlah bertudung litup labuh. Namun, dia tidak tahu untuk ke mana selain mendengar ceramah agama(yang sekali sekala diadakan) dan ceramah di surau. Tiada hala tuju untuk dia menambah ilmu dan tiada seorang pun yang mahu memberi kata nasihat mengenai Islam yang benar kepadanya. Dia pernah mengatakan kepada saya bahawa dia berada dalam dilema. Dilema untuk menjadi baik atau statik dengan kehidupan sekarang.


Jadi, situasi ini silap siapa? Saya ulangi persoalan buat kali kedua, jadi ini silap siapa walaupun bukan 100% ? dan saya yakin, bukan kawan saya seorang sahaja yang mengalaminya tetapi ramai lagi.


Ahli usrah hanya tahu kepentingan diri masing-masing ( kononya kemaslahatan umum) tanpa mengetahui bahawa ramai orang di luar sana menantikan kehadiran ahli usrah untuk membangkitkan semangat mereka untuk menjadi lebih baik.
Kesimpulannya, tidak ada gunanya mengatakan bersembunyi itu taktik kerana taktik tersebut memakan diri organisasi usrah itu sendiri.

“ jangan yang hak itu menjadi penakut kepada yang batil”

saudari,

saya bukanlah marah kepada komentar saudari kerana apa yang saudari tulis sama pemikiran dengan kebanyakan 'orang kuat' organisasi usrah di kampus. saya sangat terkilan. Persoalan di akhirnya, saya tidak faham kepada siapa yang kita perlu takut dan apakah dengan mengadakan usrah secara sirr akan menjadikan para mahasiswa menjadi lebih beriman atau hanya ahli usrah sahaja yang menjadi wara' tanpa peduli dengan mahasiswa yang sedang dalam dilema diri samaada terus statik dengan keadaan diri yang menghadapi kebejatan sosial atau semakin baik?

Kalau dengan mengatakan bahawa para mahasiswa yang sedang dalam dilema ini akan menjadi baik dan lebih beriman jika diteruskan usrah secara sirr, ya teruskan dakwah secara sirr walaupun dakwah tersebut hanya untuk golongan ( yang berjilbab labuh dan berkopiah kepala sahaja).

Wassalam

Rabu, 12 Mei 2010

AYUHLAH, BANGKITLAH PEJUANG KECIL YANG BERHATI KECIL!

ASSALAMUALAIKUM!







PENDAHULUAN


Situasi sekarang sangat gawat. Dunia sudah gawat. Kegawatan bukan sahaja daripada aspek ekonomi dunia pertama, kedua atau ketiga tetapi daripada aspek mentaliti umat Islam pada hari ini. Saya tidak mahu mengupas isu ini dengan lebih mendalam. Namun, saya hanya ingin memberi buah fikiran mengenai organisasi Islam dalam kampus hari ini atau lebih dikenali sebagai oraganisasi usrah.


Saya akui, usrah adalah satu program dakwah yang sangat baik. Menyerapkan unsur-unsur kebaikan;keagamaan dalam diri madu’. Namun, sejak kebelakangan ini, keadaan telah berubah. Kalau dahulu program ini secara terang-terangan. Namun, hari ini untuk mengembalikan keadaan sebegitu bagaikan menanti kucing bertanduk dua. Saya katakan ini kerana saya melihat di universiti saya sendiri dan juga di tempat pengajian lain.






Seringkali kita mendengar ‘amar makruf nahi mungkar’ pari materia(dalam bahasa latin) atau persamaan maksud dengan berbuat baik dan mencengah kemungkaran. Dua perkara yang berbeza tetapi mempunyai matlamat yang satu. Dalam skop organisasi-organisasi Islam di kampus hari ini sedikit terbelakang daripada 10 tahun sebelum ini. Mengapa? Kerana dalam hati-hati pejuang ini, mereka ada sedikit kegentaran dengan pihak HEP.


Kata mereka” nanti.. nama saya akan di blaclistkan” atau “ kalau kita buat secara terang-terangan nanti organisasi kita susah untuk mendapatkan kerjasama daripada pihak HEP untuk melaksanakan sesuatu program” atau “ pada permulaan Islam, rasulullah menyebarkan dakwah baginda secara rahsia, jadi sekarang tak apa kalau kita buat macam tu”.


Inilah mentaliti sebahagian daie-daie kita di pelbagai kampus setelah saya bertanyakan kepada kawan –kawan saya yang berada di pelbagai kampus seluruh Malaysia.


Wahai daie-daie yang mulia,



Sememangnya, situasi kita gawat. Gawat kerana banyak dugaan dan ugutan yang kita terima daripada pihak –pihak tertentu. Sememangnya, inilah cubaan ke atas kita. Mengapakah kita sering takut walaupun kita yakin dengan ayat Allah yangbermaksud:

“ Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar”


Ayuh, langkahkanlah kaki-kakimu seperti langkahan kaki mahasiswa-mahasiwa Indonesia. Mereka menggulingkan kerajaan Indonesia. Tetapi, kita bukan mahu menggulingkan HEP ( dalam konteks yang kecil) namun kita hanya mahu merubah corak pemikiran para mahasiswa agar selari dengan Islam yang sebenar.


SAYA KECEWA


Saya kecewa apabila ada diantara ‘orang kuat’ usrah tidak berani untuk menonjolkan diri mereka kepada orang ramai. Saya begitu pelik dengan fikiran mereka apabila ada diantara mereka menyatakan bahawa :


“ Jangan bagitahu kawan-kawan awak ye ..yang kita buat usrah. Kalau diorang tanya ke mana awak pergi, katakan pada mereka awak ada discussion group” bagitahu Daie’ kepada Madu’.


Beginikah pejuang Islam. Mengajar untuk melakukan satu penipuan . Hanya memberikan nasihat kepada ahlinya sahaja tanpa perlu membimbing mereka yang ‘ free hair’; couple atau sebagainya. Tidakkah mereka terfikir bahawa mereka merupakan segolongan yang terlalu mementingkan diri .


Saya berikan satu illustrasi mengenai ini:

Di satu tempat. Di sana ada satu usrah dijalankan. Bilangan madu’ mungkin 3 orang dan beserta seorang daie’. Dan tidak jauh di tempat duduk mereka ada satu pasangan yang sedang memadu asmara.

Pembaca sekalian, adakah anda dapat menjangkakan apakah tindakan ahli usrah ini?
Ya, mereka tidak menegur pasangan tersebut malah mengumpatnya. Apakah Islam mengajar untuk umatnya mementingkan diri walau nyawa tidak diancam bahaya?
Saya sungguh terkesan dengan sikap ini.


USAH KAMU MENGUMPAT

Sebenarnya, satu dugaan bagi orang-orang yang kelihatan baik adalah mengumpat. Mereka akan mengumpat orang yang mereka rasakan tidak baik tanpa memberi pengajaran kepada mereka yang diumpati.


Usah kamu marah jika di universiti tempat kamu belajar dipenuhi maksiat jika kamu sendiri tidak berbuat apa-apa untuk mencegahnya;mengubatinya. Jangan benarkan lidah kamu untuk berkata-kata jika kamu berselindung di bawah organisasi yang kamu katakan “walau kami nampak seperti tidak memainkan peranan tetapi kami tetap ada di sebalik itu”. Ah, itulah alasan yang tidak memberikan satu faedah!



AYUH, BANGKITLAH!

Marilah kita bersatu hati; bersatu keberanian bangkit menyebarkan dakwah Islam. Kita bukan ingin melakukan sesuatu yang mungkar atau sesuatu yang bertentangan dengan AUKU. Tidak! Kita hanya ingin mengawal perlakuan para mahasiswa daripada goyah imannya; atau mengawal kegawatan sosialnya.


Berhentilah untuk menjadi penakut kerana hari ini kita hidup di mana orang di sekeliling kita adalah beragama Islam bukan seperti permulaan Islam di zaman Rasulullah. Di mana pada waktu tersebut bilangan mereka yang memeluk Islam hanyalah buleh dibilang dengan jari. Tetapi, circumtances kita sudah berbeza.



PERJUANGAN TIDAK MENUNTUT BILANGAN PEJUANG; NAMUN PERJUANGAN MENUNTUT KEBERANIAN KITA!

KENALI HARUN YAHYA




Nama asal beliau ialah Adnan Oktar. Dilahirkan di Ankara, Turki pada tahun 1956. Nama penanya Harun Yahya yang diambil sempena nama Nabi Harun dan Nabi Yahya sebagai mengingati dan menghormati perjuangan kedua-dua Nabi Allah itu memerangi kekufuran.


Sewaktu di Universiti, beliau aktif dalam perbincangan dan perdebatan mengenai fahaman Darwinisme dan Materialisme yang telah menjadi pegangan hidup ramai para penuntut dan pensyarah.


Beliau menghabiskan waktunya dengan membaca beratus-ratus buah buku dalam penyelidikan terutama tentang teori Evolusi. Berbekalkan pengetahuan yang mendalam mengenai penipuan teori tersebut, beliau berjaya melemahkan kredibiliti teori tersebut.


Sedikit demi sedikit, beliau berjaya membawa perubahan pemikiran berdasarkan ilmu yang pasti dan sains yang tulen. Sambil merintis semula jalan ke arah cara berakhlak berasaskan pengakuan bahawa Tuhan adalah Maha Pencipta. Kejayaan ini membimbangkan sesetengah pihak. Setelah menerbitkan buku yang berjudul ‘Benda-benda Hidup dan Evolusi’ dan Judaisme dan Freemason’ dalam tahun 1986, beliau telah dipenjarakan selama 19 bulan. Jenayahnya? Boleh diandaikan kerana beliau pernah berkata
“ Saya dari bangsa Ibrahim, dari kaum Turki.”


Padahal “jenayah” sebenarnya ialah kerana beliau berdakwah menyeru kepada Hak , mengingati orang tentang kewujudan Allah serta menetang kemungkaran dan cara hidup yang merosakkan diri.


Pada tahun 1990, beliau mengasaskan Yayasan Penyelidikan Sains yang memberi manfaat kepada beribu-ribu orang termasuk ramai golongan profesional. Pada waktu itu, buku –buku yang pernah diterbitkan terlebih dahulu pada tahun 1988 sudah pun berjaya melemahkan pengaruh golongan Evolusionis. Seminar-seminar antarabangsa diadakan di seluruh Turki.


Allah Maha Pemurah kerana sering mengurniakan kita ‘penyelamat’ daripada kalangan manusia yang dapat mengurangkan kerosakan yang dilakukan oleh syaitan-syaitan dan sekutunya. Dan jelaslah bahawa beliau adalah satu kurniaan bagi negara Turki khususnya dan bagi dunia umumnya.




Dipetik daripada Buku Petanda Maha Pencipta

Dan diedit oleh tara tiana

Ahad, 9 Mei 2010

ISTERI UNTUK SUAMIKU ( MENGIKUT PERSPEKTIF ISLAM DAN UNDANG-UNDANG SYARIAH MALAYSIA)BAHAGIAN DUA

Assalamualaikum!




Sebelum ini saya ada menulis entri mengenai poligami dan sewaktu saya mencari bahan untuk membuat rujukan mengenai hal ini, saya terjumpa satu artikel mengenai poligami. Saya kira artikel tersebut secara lahiriyyahnya lengkap dan mudah untuk memberi kefahaman kepada pembaca sekalian dan berkaitan dengan undang-undang di Malaysia. Dan tulisan di bawah ini saya petik dan saya mengedit sedikit tulisan tersebut dari laman web www.islam.gov.my


Pendahuluan

Fitrah untuk hidup secara berpasangan merupakan satu lumrah kehidupan manusia. Bagi memenuhi dorongan biologi ini umat Islam terikat dengan peraturan perkahwinan yang berteraskan syariat. Perkahwinan bahagia berteraskan kasih sayang dan kemesraan menjadi motivasi dan penggerak ke arah kesempurnaan hidup di dunia dan di akhirat. Sebaliknya perkahwinan yang retak akan menghasilkan simpton-simpton ketidakteguhan peribadi yang membawa kesan negatif bukan sahaja kepada diri bahkan juga masyarakat.

Perkahwinan secara mudahnya boleh diklafikasikan kepada dua bentuk yang
utama iaitu monogami

dan poligami( bigamy). Monogami ialah perkahwinan di antara seorang lelaki dan seorang perempuan, manakala poligami merupakan perkahwinan seorang lelaki dengan beberapa orang wanita pada satu-satu masa.





Artikel ini akan memfokuskan kepada isu poligami kerana ia sering menimbulkan pro dan kontra di dalam masyarakat termasuk di kalangan umat Islam. Kaum lelaki mendabik dada mendakwa poligami sebagai hak mereka, manakala kaum wanita pula berkeras enggan dimadu dengan berbagai-bagai alasan. Lantaran itu topik ini cuba digarap dengan melihat konsep poligami mengikut hukum syarak dan perlaksanaannya mengikut undang-undang syariah di Malaysia.


Poligami Menurut Islam


Islam adalah agama fitrah yang mengiktiraf kepelbagaian keperluan dan kehendak manusia dalam hidup berpasangan. Berasaskan kepada keadaan inilah Islam membenarkan poligami yang merupakan amalan masyarakat turun temurun sejak sebelum kedatangan Islam lagi. Bagi memastikan amalan poligami secara yang lebih adil dan dapat menjamin kesejahteraan hidup ummah seluruhnya, Islam telah menetapkan syarat-syarat tertentu yang menghadkan amalan yang bebas sebelum ini dan mengambil jalan pertengahan yang lebih wajar. Syariat Islam menetapkan bahawa seorang lelaki boleh berkahwin dengan
lebih dari seorang perempuan tetapi tidak melebihi empat orang.

Asas pensyariatan yang menjadi dalil utama di dalam keharusan berpoligami
ialah firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’, ayat 3 yang bermaksud :

“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim
(apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah (dengan) perempuan perempuan lain yang kamu berkenan, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau memadailah dengan hambahambaperempuan yang kamu miliki. Itu adalah lebih dekat (untuk mencegah)supaya kamu tidak melakukan kezaliman ”.


Menurut Dr. Muhammad al-Bahi dalam bukunya yang diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Fathurrahman (1988), poligami bukanlah suatu prinsip yang wajib dilaksanakan di dalam syariah Islam sehingga boleh menyebabkan berdosa jika tidak mengamalkannya. Poligami hanya merupakan perkara harus dan satu rukhsah (keringanan) dalam keadaan darurat.


Jelasnya di sini walaupun bahasa yang digunakan di dalam ayat di atas berunsur perintah, ia bukanlah membawa kepada makna wajib dilaksanakan. Bahkan jika diamati ia boleh membawa kepada suatu tegahan dan haram hukumnya jika suami yang berpoligami tidak berupaya berlaku adil dan mengakibatkan penganiayaan terhadap isteri yang dikahwini.


Syarat Poligami

1. Berkemampuan Untuk Menanggung Nafkah Isteri-isteri

Suami berkewajipan menanggung nafkah isteri zahir dan batin tidak kira sama ada dia mempunyai seorang isteri atau lebih. Nafkah zahir yang dimaksudkan di sini ialah dari aspek makan-minum, pakaian, kediaman dan perubatan. Nafkah batin pula ialah suami berkeupayaan dalam memberi layanan seks kepada isteri.

Di dalam Mazhab Syafi’e, terdapat dua pendapat mengenai kadar pemberian
nafkah kepada isteri iaitu :

i. Melihat keadaan suami sahaja tanpa mengambil kira keadaan isteri,
ii. Melihat keadaan kedua-dua suami dan isteri iaitu dinilai menurut
kesanggupan suami dan perlu diberi menurut keadaan isteri.

Dalam hal ini pendapat kedua adalah lebih sesuai dan menepati konsep keadilan memandangkan dalam banyak keadaan seseorang suami itu mempunyai isteri
yang datang dari berbagai-bagai status kedudukan yang berbeza. Abu al- ‘Aynayn dalam buku al-Ziwaj wa al-Talaq fi al-Islam berpandangan bahawa sebarang penambahan boleh diberikan kepada salah satu isteri dalam soal pemberian nafkah. Walaupun begitu ia tidak boleh diamalkan jika boleh membawa kepada perselisihan dan tidak puas hati di antara isteri.

2. Berlaku Adil Kepada Isteri-isteri

Menurut Abu al-‘Aynayn, keadilan bermaksud penyamarataan terhadap semua
isteri tanpa wujud pilih kasih di antara mereka. Ia termasuk interaksi yang baik di
antara suami isteri yang meliputi perbuatan, tutur kata dan akhlak. Keadilan ini wajib dijelmakan di dalam perkara-perkara ikhtiari dan lahiriah yang melibatkan beberapa aspek iaitu nafkah, pakaian, penempatan, giliran bermalam dan musafir. Perasaan dan kasih sayang pula tidak termasuk di dalam tuntutan keadilan kerana ianya di luar kawalan manusia dan bersifat relatif. Walaupun begitu suami tetap dilarang daripada menzahirkan secara jelas tentang perbezaan ini berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’, ayat 129 yang bermaksud :
“ Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun
kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya). Oleh itu janganlah kamu cenderung (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti tergantung (di awang-awangan). Jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

2.1. Adil Dalam Menyediakan Kediaman

Sebagaimana pemberian nafkah, suami juga perlu menyediakan tempat tinggal isteri baik dalam keadaan monogami atau poligami. Apabila berpoligami,kediaman isteri seboleh-bolehnya hendaklah diasingkan sebagai suatu inisiatif untuk mengelakkan perselisihan keluarga dan perasaan cemburu menular di kalangan isteri. Menurut ‘Abd al-Nasir Tawfiq al-‘Attar dalam bukunya Ta’addud al-Zawjat min al-Nawahi al-Diniyyah wa al-Ijtima’iyyah wa al-Qanuniyyah,pengasingan ini bergantung kepada kemampuan seseorang suami yang mana tidak semestinya disediakan sebuah rumah untuk setiap isteri bahkan dibolehkan juga disediakan bilik-bilik berasingan dalam satu rumah yang sama. Walaubagaimanapun dari segi psikologi, menempatkan ister-isteri dalam rumah yang sama akan memudahkan mereka berselisih faham yang boleh melukakan perasaan.

2.2. Adil Dalam Giliran Bermalam

Suami wajib menentukan kadar giliran bermalam yang adil di antara isteri-isterinya tanpa mengira sama ada isterinya itu isteri muda, isteri tua dan sebagainya. Suami berdosa jika memberikan giliran lebih banyak kepada salah seorang isteri berbanding dengan isterinya yang lain. Walaubagaimanapun ‘Abd al-Nasir Tawfiq al-‘Attar berpandangan kelonggaran boleh diberikan pada malam-malam awal perkahwinan dengan isteri baru tanpa perlu diqadha balik kepada isteri tua. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Anas r.a. dengan katanya yang bermaksud :

“ Di antara sunnah ialah apabila seorang lelaki berkahwin dengan anak dara lalu
dia bermalam dengannya selama tujuh malam. Sekiranya janda, selama tiga malam ”. (Riwayat Muslim)

Di samping itu keadilan dalam giliran malam ini masih juga relatif sifatnya dan perlu dinilai mengikut situasi seseorang isteri. Ia boleh dilonggarkan apabila ada kerelaan daripada mana-mana isteri tersebut. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang diriwayatkan dari al-Bukhari yang bermaksud :

“ Sawdah telah memberikan giliran beliau kepada Aisyah dan Rasulullah telah bermalam bersama Aisyah dengan giliran beliau dan Sawdah ”.

2.3. Adil Dalam Musafir

Munurut pendapat Imam Syafie, suami wajib membuat undian di antara isteri-isteri
sekiranya beliau menginginkan salah seorang dari mereka menemaninya bermusafir. Dengan itu suami tidak wajib menggantikan giliran bermalam kepada isteri yang sepatutnya mendapat hak pada masa musafirnya. Berbeza keadaannya jika undian tidak dibuat dan tiada kerelaan mana-mana isteri, suami wajib mengqadha giliran bermalam kepada isteri yang tidak memperolehi haknya pada masa musafir tersebut. Perkara berkenaan undian ini disebut oleh Aishah r.a. menerusi hadis riwayat al-Bukhari yang bermaksud:

“ Nabi SAW apabila keluar bermusafir, baginda akan menjalankan undian di antara isteri-isterinya ”.

Bagaimanapun mazhab Hanafi berbeza pandangan dalam hal ini dengan mengatakan suami tidak wajib membuat undian untuk memilih isteri yang menemaninya ketika musafir.


Poligami Dalam Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia


Dalam undang-undang keluarga Islam di Malaysia, poligami dibenarkan dengan syarat suami hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Ini diperuntukkan dalam seksyen 23(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984. Menurut seksyen 23(3) AUKI 1984, permohonan suami hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu akuan. Akuan tersebut hendaklah mengandungi alasan-alasan mengapa perkahwinan poligami ini patut dan perlu, keadaan kewangan suami dengan memberi butir-butir komitmennya dan kewajipan dan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan serta bilangan tanggungan termasuk orang yang akan ditanggungnya berikutan dengan perkahwinan baru yang dicadangkan. Selain
dari itu pemohon juga kena menyatakan sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isteri telah diperolehi mengenai perkara tersebut.

Mahkamah dalam memberi pertimbangan akan mengambil kira empat syarat kebenaran untuk berpoligami sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 23(4) AUKI 1984, iaitu :

1. Perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu memandang kepada keadaan isteri dari segi kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila.

2. Pemohon mempunyai kemampuan mengikut kehendak syarak untuk menanggung semua isteri dan tanggunggannya termasuk orang yang bakal ditanggungnya berikutan dari perkahwinan yang baru.

3. Pemohon berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isteri mengikut kehendak hukum syarak.

4. Perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syar’ie kepada isteri.

Persoalan sama ada keempat-empat syarat di atas perlu dipenuhi kesemuanya dalam satu-satu permohonan telah diputuskan dalam kes Aishah lwn Wan Mohd Yusof, [1990] 3 MLJ 1x dan [1991] JH VII, yang dibicarakan dalam Jawatan Kuasa Rayuan Mahkamah Syariah Selangor. Hakim membuat keputusan bahawa keempat-empat syarat yang disebut di bawah Sek. 23(4) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor adalah sama pentingnya dan hendaklah dibuktikan berasingan oleh pihak suami.

Perkara sama juga telah diputuskan oleh Jawatankuasa Ulang Bicara Selangor
dalam kes Rajamah lwn Abd Wahab, [1990] JH 171. Oleh sebab suami gagal membuktikan bahawa dia dapat memenuhi kesemua syarat dan keperluan dalam Sek 23(4) tersebut, Mahkamah menolak permohonan suami untuk berpoligami.

Hakikatnya syarat yang dikenakan dalam undang-undang bukan bertujuan untuk mengharamkan poligami kerana mengharamkannya bertentangan dengan hukum syarak. Namun ia dijadikan sebagai satu mekanisme untuk mengawal kaum lelaki daripada menyalahgunakan keharusan berpoligami sesuka hati mereka. Sebagai pengiktibaran yang paling baik dapat dilihat dalam kes Ruzaini lwn Nurhafizah, [2002] JH 79 memperlihatkan bagaimana adilnya hakim dalam membicarakan kes permohonan berpoligami. Walaupun mendapat keizinan dari isteri untuk berkahwin lagi satu, mahkamah tetap tidak meluluskannya kerana sangsi dengan kemampuan suami untuk berlaku adil dengan kedua-dua isteri dan tanggungan.

Seterusnya bagi mengelakkan penganiayaan terhadap wanita, AUKI 1984 juga memperuntukkan penalti bagi lelaki yang tidak memperolehi kebenaran Mahkamah tetapi tetap juga berkahwin lagi secara poligami. Seksyen 123 menyebut bahawa lelaki yang berpoligami tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu dari Mahkamah adalah melakukan kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Namun begitu, bilangan lelaki yang berkahwin poligami tanpa kebenaran mahkamah terus berlaku dan lebih banyak berbanding yang dilakukan mengikut prosedur mahkamah syariah. Contoh terbaru ialah perkahwinan di antara Datuk Noridan Spee Yee dan Siti Insiah Abdul Wahab yang dilakukan di Thailand seperti yang dilaporkan dalam Harian Metro bertarikh 20 Mac 2006. Pasangan tersebut asalnya dijadual bernikah di Padang Serai, Kedah tetapi gagal mendapat kebenaran Pegawai Agama Daerah Kulim akibat tidak menyerahkan dokumen yang diperlukan dalam permohonan poligami. Persoalannya ialah banyak masalah yang akan timbul kelak apabila pernikahan dibuat tetapi tidak didaftar dan disahkan oleh mahkamah. Antara masalah yang akan berlaku ialah status isteri muda dan juga anak-anaknya yang akan tergantung. Keadaan menjadi lebih teruk apabila suami meninggal dunia yang mengakibatkan mereka tidak dapat menuntut harta pusaka disebabkan tidak ada bukti pernikahan. Selain itu, masalah yang mungkin berlaku ialah suami tidak boleh menjalankan tanggungjawab dengan sempurna. Sebagai contoh isteri muda hanya dapat berjumpa suami secara sembunyi-sembunyi seminggu ataupun sebulan sekali.

Akhirnya ini juga akan mempengaruhi perkembangan emosi isteri dan anak kerana merasakan kehidupannya tidak sama dengan orang lain dan ini akan mendatangkan pula masalah sosial.

Bagi menjaga dan memelihara hak isteri daripada menjadi mangsa ketidak
adilan oleh suami, undang-undang juga menerusi Seksyen 128 AUKI 1984 memperuntukkan bahawa seorang suami yang tidak memberi keadilan yangsewajarnya kepada isteri telah melakukan satu kesalahan dan boleh didenda tidak lebih daripada satu ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Peruntukan ini selaras dengan ajaran Islam yang menekankan pentingnya kaum wanita itu dilindungi dari penyalahgunaan amalan
poligami yang sememangnya dihalalkan ini. Penekanan perlu dibuat supaya suami memberikan keadilan yang secukupnya kepada isteri.


Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, beberapa kesimpulan dapat dirumuskan iaitu :

1. Poligami menjadi bukti kesempurnaan hukum Islam kerana dapat mengelakkan manusia daripada melakukan zina dan perlakuan membela perempuan simpanan yang pastinya menzalimi diri dan wanita. Namun begitu poligami diharuskan untuk dinikmati dan digunakan dengan penuh tanggungjawab. Ukuran tanggungjawab digariskan dengan terang melalui amalan keadilan. Adil di sini menyentuh soal giliran, pemberian nafkah zahir dan batin, makan-minum, pakaian, jaminan keselamatan dan tempat tinggal. Justeru itu, haram berpoligami bagi lelaki yang tidak dapat memenuhi tuntutan tersebut.

2. Poligami bukanlah dipelopori oleh agama Islam sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah masyarakat Islam dan bukan Islam. Ia sebenarnya telah diamalkan zaman berzaman oleh masyarakat China,Yunani, Kristian dan Yahudi.

3. Kecacatan poligami sebenarnya bukanlah dari segi prinsip tetapi lebih kepada perlaksanaannya oleh sesetengah lelaki yang menyimpang dari landasan syariat. Ini terbukti daripada statistik menunjukkan bahawa 80 peratus pengadu yang mengadu masalah rumah tangga terdiri daripada kaum wanita. Ia secara tidak langsung memberi pengertian bahawa krisis rumah tangga berpunca daripada kelalaian pihak suami (Utusan
Malaysia, 16 September 2005).

4. Syarat yang ketat ditetapkan dalam undang-undang keluarga Islam bukanlah bertujuan mengharamkan poligami. Ia dirangka bagi menjaga ketenteraman rumah tangga dan mengelak dari penindasan serta kezaliman suami terhadap isteri. Ia juga bagi mengelakkan timbulnya fitnah dan polemik dalam masyarakat yang akan merendahkan martabat agama Islam. Kaedah fiqh ada menyebut:

“ Pemerintah hendaklah bertanggungjawab meletakkan maslahah Negara dan kepentingan rakyat dalam dasar pentadbiran dan pemerintahannya ”.




Sabtu, 8 Mei 2010

SITUASI JIWANG KARAT SEBELUM BERKAHWIN

assalamualaikum!







Alhamdulillah, segala puja dan puji hanya untuk Tuhan langit dan bumi serta alam semesta; selawat serta salam moga-moga Allah sampaikan kepada Nabi Muhammad SAW, penghulu Bani Adam, penutup para nabi dan rasul AS. “Janganlah kalian menjadikan makamku sebagai tempat perayaan, berselawatlah kepadaku kerana selawat kalian akan sampai kepadaku dari mana pun kalian berada.

Pada hari ini, saya ingin membincangkan mengenai situasi “ Jiwang Karat” yang sering berlaku.


PENDAHULUAN

Sebenarnya istilah jiwang karat tidak mempunyai definisi sebenar. Dua perkataan tersebut sudah tersedia apabila digabungjalinkan bersama antara jiwang dan karat. Bagi pendapat saya, jiwang karat adalah seseorang yang mencintai seseorang secara mengikut perasaan; pasangan yang sanggup melakukan apa sahaja tanpa melihat sudut pandang jauh akibat yang akan menimpa dirinya.


JIWANG KARAT SEBELUM BERKAHWIN

Biasanya, pasangan yang belum mendirikan rumah tangga akan mengalami proses ‘Jiwang Karat’ sama ada daripada wanita atau lelaki. Mereka akan melebihkan perasaan mereka daripada melebihkan hal-hal yang lebih penting; cemburu yang terlampau terhadap pasangan mereka serta sedia untuk mengorbankan apa sahaja untuk pasangan mereka walaupun mereka terpaksa berdepan soal maruah.

Contohnya 1:

Aria : kenapa tak telefon saya hari ini?

Aris : saya sibuk hari ni.

Aria : ala…awak ni selalu busy. Saya ni awak tak hiraukan. Kerja tu juga yang awak pentingkan.

Aris : awak ingat saya ni tak de keje lain ke selain telefon awak? Bil telefon bukan awak yang bayar.


Ini merupakan satu illustrasi pasangan yang ‘Jiwang Karat’ yang terlampau obses terhadap pasangannya. Sebenarnya ‘ Jiwang Karat’ ini tidak akan menjadi jiwang karat jika dilakukan bukan secara ‘substantial’ atau kerap.

KEBURUKAN JIWANG KARAT

Sebenarnya banyak keburukan ‘ Jiwang Karat’ .

1) Soal maruah dipinggirkan ( didominasi oleh wanita)
2) Mudah ditipu oleh pasangan
3) Sukar untuk berdikari
4) Mudah berputus asa
5) Perceraian setelah berkahwin






Apabila pasangan terlalu mengharapkan pasangannya untuk sentiasa fokos terhadapnya atau selalu berkorban untuknya akan merasakan pasangannya tidak seperti sebelum berkahwin. Fizikal yang sama tetapi orang yang berbeza. Mungkin, sebelum berkahwin, pasangannya selalu akan memberi bunga atau hadiah atau sebagainya. Namun, selepas berkahwin ianya tidak menjadi satu kebiasaan.

Jadi, secara automatiknya dia akan berasa kasih sayang sudah terhakis setelah berkahwin padahal komitmen pasangannya lebih luas skopnya daripada sebelum berkahwin seperti komitmen terhadap keluarga atau kos saraan hidup.


KONKLUSI


Berhentilah menjadi seorang yang berjiwa jiwang karat. Tiada gunanya. Jika anda seorang yang berjiwang karat, maka berubahlah. Fikirkan implikasinya.


• Artikel ini hanyalah satu artikel pendek. Saya menulis ini setelah diberi inspirasi oleh salah seorang pensyarah undang-undang saya yang selalu memberi nasihat dan panduan kepada pelajar-pelajarnya untuk tidak menjadi seorang yang berjiwa “ jiwang karat”.

Jumaat, 7 Mei 2010

ANUGERAH CINTA DARIPADA ILLAHI













BUNGA-BUNGA BAHAGIA SUDAH TIBA DI NAUNGAN KASIH

ASSALAMUALAIKUM!







Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurniaNya, saya sudah selamat menyempurnakan minggu peperiksaan dengan pelbagai macam dugaan. Setelah 3 minggu, menghadapi suasana yang agak getir untuk menghadapi peperiksaan, sekarang sudah tiba saya bersama keluarga tercinta. Alhamdulillah.

Kini , bermulalah satu penghidupan yang bermakna bagi saya; di naungan kasih.
Kini, bunga-bunga bahagia sudah tiba di nanungan kasih.




• Buat adikku yang jauh, kakak dan keluarga di sini menanti kepulanganmu. Dengan kepulanganmu di sini, maka lengkaplah kebahagiaan di nanungan kasih.

Rabu, 5 Mei 2010

BERSIMPUH DI BAWAH MENTARI DHUHA

Assalamualaikum!

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.






Alhamdulillah, segala puji bagi Allah;Tuhan yang menguasai alam semesta. Dengan sifat ar-rahman dan juga ar-rahimnya kita masih diberi kesempatan dikurniakan nikmat iman dan hidayah. Sesungguhnya, hanya Dia yang Maha Memberi kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Firman Allah taala dalam surah al-Dhuha; ayat satu yang bermaksud:
“Demi waktu Dhuha”

Dhuha, adalah satu waktu yang dikurniakan oleh Allah kepada hambaNya. Waktunya sangat mendamaikan. Dan pada waktu itu kita umat Islam disunatkan untuk mendirikan solat sunat Dhuha. Pada kali ini saya ingin menulis berkaitan kelebihan mendirikan solat sunat Dhuha kerana ramai antara kita ( termasuk penulis sendiri) kadang-kadang memandang enteng untuk menyempurnakan solat sunat Dhuha. Mungkin ini disebabkan kita hanya merasakan ianya bukan satu kewajipan tetapi hanya sunat.


Tulisan di bawah ini adalah sumber daripada dipetik: http://blogs.udm.edu.my/drkuzaki/2008/01/20/kelebihan-solat-dhuha



******************************************
Kelebihan

Setiap amalan kebajikan pasti memperoleh ganjaran setimpal daripada Allah s.w.t.. Pun begitu, ia mestilah dilengkapi dua syarat utama iaitu ikhlas dan menepati syariat.Setiap ibadat yang disyariatkan juga pasti tersirat hikmah dan fadilat yang tersendiri. Cuma usah pula hikmah dan fadilat ini yang diutamakan. Dibimbangi ia menjadi suatu tabiat di mana kita beramal lantaran hikmat semata-mata bukan lahir daripada rasa keinsafan diri.

“Namun demikian, terdapat nas-nas hadis nabawi yang menggesa umatnya melakukan amalan solat sunat Dhuha dengan disebutkan fadilatnya bagi menambahkan semangat dan keinginan untuk melakukan amalan mulia ini.

“Di antaranya hadis riwayat Abu Dzar bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: Setiap orang menjelang pagi, berdasarkan tulang temulang sendi memerlukan sedekah. Tiap-tiap tasbih itu sedekah, tiap-tiap tahmid sedekah, tiap-tiap tahlil adalah sedekah dan tiap-tiap takbir adalah sedekah. Menyeru makruf adalah sedekah, mencegah mungkar adalah sedekah. Semuanya itu sama nilainya dengan dua rakaat solat Dhuha.

Selain itu, solat ini juga adalah tanda kesyukuran seorang hamba yang dikurniakan lengkap sendi tulangnya sebanyak 360 batang pada setiap pagi yang dilaluinya. Justeru, dhuha atau pagi yang penuh nikmat Ilahi itu disyukuri dengan menyembah Allah, simbolik kepada terima kasih seorang hamba kepada Penciptanya.

Hakikatnya, umat Islam perlu memahami kedudukan solat ini. Pertama, sebaik-baiknya, ia dilakukan di rumah agar dapat dikerjakan dengan lebih sempurna. Jadi, jika di tempat bekerja, lakukan dengan menggunakan masa yang sebaik mungkin.

Kedua, sifat solat ini ringkas dan mudah dilaksanakan di mana-mana tempat (baik di surau atau bilik sendiri). Masanya pula hanya mengambil masa empat hingga lima minit. Jadi, apalah salah kalau ia dibudayakan.

Ketiga, pada dasarnya ia adalah sunat hukumnya malah Baginda jua tidak melaksanakannya dalam bentuk yang konsisten. Hal ini diterangkan oleh Aishah: Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w. mendirikan sembahyang sunat Dhuha. Sesungguhnya aku mendirikan sembahyang Dhuha walaupun Rasulullah meninggalkannya. Tetapi pada hakikatnya Baginda suka melakukannya, ini adalah kerana Baginda bimbang jika selalu mengamalkannya, orang ramai akan mewajibkan ke atas diri mereka. (Riwayat Muslim).

Oleh itu lakukan solat ini di rumah atau di tempat kerja selagi mana ia tidak memberatkan atau menghalang tugas-tugas lain yang lebih utama dan penting.



Ruang waktu dan waktu afdal


Sesuailah dengan namanya dhuha yang bermaksud pagi. Jadi ruang waktunya bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari atau disebut dalam kitab-kitab fikah sebagai tinggi matahari daripada pandangan jauh sekadar satu al-Rumh atau batang lembing yakni kira-kira dua meter. Waktu solat ini pula berakhir sebelum menjelang waktu Zuhur. Jadi, secara mudahnya dapat difahami bahawa batas waktu solat sunat Dhuha ini antara pukul 7 pagi hingga 1 petang.

Berkenaan waktu afdalnya pula iaitu ketika sinar matahari kian panas berdasarkan sepotong hadis Nabi s.a.w. yang dirakamkan oleh Zaid bin Arqam. Rasulullah s.a.w. menjelaskan: Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya. Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang (Kitab al-Majmu’ karangan Imam Nawawi).

Justeru, waktu sedemikian eloklah dilaksanakan solat tersebut, apatah lagi pada saat itu badan memerlukan ‘rehat sebentar’ setelah penat bekerja. Maka disarankan juga sekiranya masa tersebut diisi sekadar empat hingga lima minit dengan sujud menyembah Ilahi sama ada di rumah atau di tempat kerja dengan syarat tidak mengetepikan perkara-perkara atau urusan yang wajib dan utama daripada yang sunat.

Bilangan rakaat

Yang masyhur di kalangan para ulama adalah paling minimum dua rakaat sahaja dan bilangan yang maksimum adalah lapan rakaat. Cuma terdapat juga pendapat sebilangan ulama yang mencadangkan bilangan yang paling afdal iaitu empat rakaat (dilakukan secara dua kali salam). Ini bersandarkan hadis Aishah (Riwayat Imam Abu Daud) menjelaskan bahawa Nabi melakukannya sebanyak empat rakaat. Begitu juga hadis Qudsi yang disampaikan oleh Nu’aim yang bermaksud: Wahai anak Adam! Usahlah dikau lemah daripada mengerjakan empat rakaat Dhuha. Demikian itu pasti melengkapi kebajikan genap satu hari yang dikau jalani. (Riwayat Imam Abu Daud dengan sanad yang sahih)

Solat ini juga diriwayatkan berjumlah enam rakaat (tiga kali salam) seperti hadis Nabi yang disebutkan oleh Jabir bin Abdullah. (Riwayat Imam al-Tabarani)

Dalam pada itu, ada juga riwayat yang dirakamkan oleh Anas bin Malik menjelaskan bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Barang siapa yang menunaikan solat sunat Dhuha sebanyak 12 rakaat maka nescaya Allah s.w.t. akan membina sebuah mahligai di dalam syurga kelak. (Riwayat Imam al-Tirm

Bilangan yang masyhur adalah antara dua hingga lapan rakaat. (Kitab al-Majmu’ karangan Imam Nawawi).



Cara melaksanakannya


Banyak bahan media cetak yang boleh dirujuk bagi mengetahui cara melakukan solat sunat Dhuha ini merangkumi bacaan-bacaan dalam solat hinggalah dalam sujud dan doa setelah selesai ibadat tersebut.

Cuma secara asas dan mudahnya berdasarkan hadis-hadis Nabi, solat sunat Dhuha ini dilakukan seperti solat-solat lain, cuma bacaan yang dianjurkan Baginda s.a.w. selepas al-Fatihah, menurut hadis yang disampaikan oleh Uqbah bin Amir, ialah surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat kedua. (Riwayat al-Hakim)

Namun begitu, perkara (bacaan dalam solat) ini adalah sesuatu yang subjektif dan tidak statik. Maka tidak perlulah hanya terikat dengan kaifiat tertentu dan bacaan tertentu. Apa yang penting, solat tersebut diniatkan dengan betul, syarat-syaratnya dipenuhi dan rukun-rukunnya disempurnakan sebaik-baiknya. Begitu jugalah dengan doa selepas solat tersebut.



Para sahabat yang komited

Antara mereka yang paling komited dengan amalan solat sunat ini ialah Abu Darda’, Abu Hurairah dan Abu Zar al-Ghifari. Mereka komited lantaran wasiat dan pesanan Nabi s.a.w. kepada mereka ditambah pula dengan sifat mereka yang kuat beribadat.





********************************************




Ayuh!
Marilah kita bersama-sama bersimpuh
Di bawah mentari Dhuha
Bersujud dan ruku’ di bawah satu kiblat
Satu matlamat
Mengutip mutiara dalam beribadat
Semoga Dhuha
Menjadi saksi
Lambang setia hamba pada Tuannya

Ahad, 2 Mei 2010

SELAMAT JALAN SAHABAT; ENGKAU YANG KUPANGGIL KAKAK!





Teriak esak dalam
Pelukan terakhir
Rasanya tidak mahu dilepaskan
Sehingga nyawa diterbangkan





Sesungguhnya
Bertemu itu lebih manis daripada madu
Berpisah itu lebih pahit daripada hempedu
Selamat tinggal sahabat
Selamat jalan engkau yang kupanggi kakak
Selamat sejahtera kuucapkan

Kakak!
Kak farhana
Kak Shazana
Kak Hilmiah
Namamu akan terpahat dalam hati
Wajahmu akan kuukir dalam ingatan


**********************************
Air mata tumpah juga akhirnya ketika menulis kata-kata ini. Betul kata orang, sudah adat andai ada pertemuan di situ pasti ada perpisahan. Namun, begitu sukar untuk diluahkan betapa susahnya untuk bertemu saudara seperti mereka bertiga. Pada masa hadapan, mungkin saya akan sendirian di sini, dibumi pengajian ini. Begitu terasing. Tidak ada lagi kata-kata semangat seorang sahabat;kakak. Namun, saya berharap saya akan bertemu dengan insan seperti mereka. Doakan saya. Hargailah persahabatan kerana Allah.

perginya pelangi


Assalamualaikum


Pelangi sudah pergi
Meninggalkan diriku sendiri
Kehadiranmu sangat dinanti
Ketiadaanmu sangat dirasai

Pada hari ini saya sudah kehilangan pelangi saya. Pelangi sudah meninggalkan diri saya. Pelangi yang membuatkan saya tersenyum di kala duka, pelangi yang mengajar saya supaya dekat dengan Tuhan, pelangi yang memberi aspirasi ketika saya lemah. Merekalah sahabat saya. Walaupun sahabat saya tersebut adalah senior dan bukan satu fakulti dengan saya tetapi Allah mempertemukan kami dalam suasana mahabbah, mawaddah dan sakinah. Di surau habibahlah kami dipertemukan. Di surau itulah kami bersama-sama sujud dan rukuk kepada Illahi. Indahnya ukhuwwah kerana Allah. Coretan ini saya dedikasikan kepada :

Saudari nur farhana abdullah
Saudari hilmiah yunus
Saudari nur shazana adam


Buat Saudari farhana
Saya masih ingat ketika saya bertemu dengannya pada waktu asar. Ketika itu saya sendirian termenung di jendela. Beliau menegur saya dan bertanyakan nama saya. Di saat itulah permulaan ukhuwwah kami. Beliau seorang yang sangat ‘caring’ mengenai saya. Beliau mengajar saya tentang hadis, mengajak saya ke majlis-majlis ilmu. Senyumannya sangat membahagiakan hati saya.

“ akak, izati...rindu akak. Sem depan kita tak boleh pergi dengar ceramah bersama-sama, makan sama-sama, dengar cerita akak. Rindu sesangat kat akak..semoga kita bertemu lagi.kalau bukan di dunia tetapi di akhirat. InsyaAllah. Kalau akak dengar berita bahawa izzati telah diambil nyawa, akak sedekahkan alfatihah untuk izzati ye.”


Saudari nur shazana dan saudari hilmiah
Akak berdua kita pun dipertemukan di di surau habibah. Ingat lagi waktu tu waktu maghrib. Akak walaupun kita bukan satu fakulti tetapi kita studi sesama di surau ketika ‘study week’. Senyumanmu berdua akan izzati ingat. Buat kak ana dan kak yah, kalian mengajarku mengenai keceriaan, persahabatan.


Kalian bertiga merupakan kakak dan sahabat yang sangat baik.


Selain itu saya juga ingin dedikasikan coretan ini buat:


Saudara khairul azwad
Saudara fakhrurazi
Saudara ehsan
Saudara sobirin


“ kalian , terima kasih kerana kalian telah memberikan banyak ilmu kepada jemaah surau habibah termasuklah saya. Walaupun kalian tidak pernah kenal siapa saya dek kerana kita tidak pernah berbicara, tidak pernah bersuara dan saling tidak kenal antara satu sama lain. Tetapi, kalian banyak mengajar ilmu agama kepada saya. Kalian juga akan meninggalkan saya. Sekejap lagi tidak akan saya dengar kalian mengajar di surau Habibah khususnya. Tidak lagi mendengar suara –suara kalian memperdengarkan azan .

Saudari dan saudara saya ibaratkan kalian umpama pelangi. Kehadiranmu dinanti oleh diriku dan pemergianmu cukup terasa buat diriku.

Salam maaf,
Daripada saya
Seorang jemaah di surau Habibah
Click to view my Personality Profile page

helaian yang dilihat

jalan-jalan dari