Ahad, 24 Oktober 2010

Takluk Cinta




Assalamualaikum!



Sesekali aku merenung ke arah gugusan bintang begemerlapan. Hembusan dingin malam menyentuh lembut. Alangkah indahnya andai aku bisa menuturkan kata-kata yang bersarang dalam sanubariku seperti angin lalu begitu sahaja. Tidak menyakitkan bahkan menyenangkan hati yang mendengarnya. Alangkah indahnya andai aku bisa mencantumkan gugusan perkataan menjadi satu kalimah yang indah bunyi untuk memberitahu lafaz yang tersimpan dalam jiwaku. Namun, berkatalah benar walaupun pahit itu sudah sebati dengan diriku. Tidak mungkin aku menundukkan prinsip ini hanyalah semata-mata kerana sebab satu ini. Tidak mungkin!



Alangkah rumitnya jika masalah hati ini bertandang. Solusinya pasti dengan hati juga. Hati dan iman memainkan peranan penting seiring fikiran yang selari dengan syara’.



Wahai saudaraku,



Aku menulis ini khusus untukmu dan kaum sepertimu. Bukan untuk wanita jua bukan untuk perempuan. Aku menulis helaian ini kerana aku mempunyai impian terhadapmu. Impian yang tinggi kerana aku tidak mahu engkau jatuh tersadai akibat tersalah ucap cinta.

Wahai saudaraku,

Aku mengerti cinta manusia itu indah. Tetapi cinta Illahi pasti lebih indah.



Berbalik kepada cinta manusia, aku akan rungkaikan sedikit sahaja kerana inilah pandanganku terhadap seorang Adam yang ingin meluahkan cintanya kepada Hawa bahkan untuk menjadikannya sebagai seorang pendamping hidup.




Islam itu adalah agama yang syumul tentang apa-apa perkara sekalipun. Pasti juga islam telah menggariskan adab-adab seorang pria ingin menyunting seorang puteri. Tetapi, pada hari ini sudah lain. Adab –adab ini disampingkan. Bagaikan dengan bertanya kepada empunya tuan itu adalah dianggap sebagai ‘gentleman’. Tidak penakut atau pengecut. Itu salah bagimu tekaanmu, wahai saudaraku. Salah semata-mata.



Bagiku, andai engkau ingin melafazkan butir hasratmu itu kepada empunya diri hendaklah menggunakan orang tengah. Tidak perlu tergesa-gesa menyampai hasrat secara ‘direct’. Ataupun beritahulah hasrat itu kepada orang tua gadis tersebut. Itulah bagiku adalah jalan yang mengelakkan kemaksiatan daripada tumbuh meliar dan tanpa disedari hilang barakah untuk pertama kali memulai perhubungan ( untuk berkahwin).



Kemudian, andai hasratmu itu diterima baik oleh gadis idaman serta keluarganya, maka seharusnya elakkan daripada berhubung yang tidak penting secara kerap walau apapun metod. Itu untuk mengelakkan hilang barakah.




Andai engkau ingin mengenali gadis tersebut dengan dekat gunalah pendekatan orang tengah yang boleh dipercayai untuk mengetahui segalanya tentang gadis tersebut. Itu lebih elok. Atau ingin berjumpa dengan wanita tersebut hendaklah wanita tersebut ditemani oleh mahram yang tahu tentang hokum hakam Islam.



Bagiku, lelaki yang bisa melaksanakan apa yang sudah diperkatakan di sini adalah seorang yang begitu diidamkan oleh wanita solehah. Inilah dia lelaki yang dicirikan sebagai lelaki yang gentleman;takutkan Allah;takutkan maksiat. Inilah pandanganku juga pandangan beberapa sahabatku yang lain.




Itulah serba sedikit yang aku boleh ungkapkan. Maaf kerana aku tidak membawakan ayat daripada al-Quran atau hadis untuk dijadikan dalil. Tetapi, kutegaskan sekali lagi bahawa ini hanyalah pandanganku dan beberapa sahabatku . sebelum melafazkan kata cinta kepada seseorang, belajarlah dahulu tatacara atau adab untuk itu. Kerana salah tingkah itu kadang-kadang menyebabkan hasrat itu ditolak mentah-mentah oleh wanita (yang ingin dikahwini).




Kerana itu aku menulis,
Ana al-faqirah

Jumaat, 22 Oktober 2010

BETAPA PUITIS TAKDIR TUHAN

Malam terus merangkak dingin
Mata belum tewas untuk mengulit lena
Dingin terus mencengkam tubuh




Kisah-kisah mereka
Berada kemas dalam dakapanku
Begitu puitis takdir Tuhan untuk mereka
Betapa Illahi itu Maha Penyayang
Memberi hidayah kepada setiap hamba
Air mata pasti bercucuran pergi
Syukur atas segala hidayah



Aku ingin mencintai-Mu
Seperti kekasih mencintai kekasihnya
Bahkan lebih daripada itu



Aku ingin merindui-Mu
Seperti ibu merindukan bayinya
Bahkan lebih daripada itu



Aku ingin melafazkan segalanya
Segala cinta dan rindu yang sedang bersarang
Begitu berat untuk menuturkan
Dalam setiap tingkah
Walau sememangnya
Dalam hati kecilku berbisik
Ya Allah……………… aku rindukan-Mu
Duhai Illahi………….aku mencintaimu dan selalu ingin mencintai-Mu

Khamis, 21 Oktober 2010

SEBENARNYA AKU CINTA PADAMU



Bercakap soal cinta pasti kedengaran suara-suara nakal yang berkumandang. Kata mereka, cinta itu antara Adam dan Hawa. Benar, itu adalah antara kategori cinta. Tetapi, cinta yang sebetulnya dan seharusnya diletakkan sebagai cinta tertinggi hanyalah cinta kepada Allah.

Begitu senangkah untuk mencintai Allah?


Sukar sekali. Sukar untuk jiwa yang mencari cinta untuk mencintai selain daripada Allah. begitu payah sekali untuk merindui Allah apabila cinta itu diletakkan pada jalan yang salah. Namun, apabila ditanya tentang cinta akan Allah, semua pasti akan menggangkat tangan tanda mencintai Allah?

Cinta yang dilafazkan itu kadang-kadang bukanlah satu manefastasi daripada hati. Cinta yang dilafazkan oleh lisan belum tentu hatinya juga berkata seperti itu.

Bagaimana untuk mencintai Allah?


Wadah untuk cinta kepada Allah haruslah dicari jalan; cara yang bagaimana untuk kita bisa mendampingi cinta Tuhan? Bagi saya, dengan membaca al-quran; ayat-ayat cinta daripada Allah itulah yang akan menumbuhkan cinta dalam jiwa setiap manusia.

Kemudian, lihatlah betapa kasih dan cinta Allah kepada manusia dengan memberi pelbagai rahmat kepada setiap hamba-Nya tidak kira hamba-Nya itu baik atau sebaliknya. Pencinta-Nya atau pendosa. Namun, Dia tidak peduli akan semua itu. Dia tetap mengabulkan doa hamba-hamba yang terus beroa dan mengharap kepada-Nya.

Cinta Tuhan itu bukan dusta. Tidak pernah berdusta. Alangkah indahnya dan untungnya bagi jiwa yang sudah ada rasa cinta kepada Illahi. Betapa mereka berhati-hati dalam setiap bicara dan perbuatan kerana khuatir tingkah mereka tidak disukai oleh Illahi. Tidak disukai oleh tuhan yang dicintai mereka. Seperti kekasih yang tidak akan sesekali melakukan sesuatu yang bisa membuatkan pasangannya terguris hati. Ah, betapa indahnya jika sanubari kita semua ditautkan dengan cinta Illahi.

Yang pasti Allah sudah mengimplementasikan cinta-Nya kepada hambanya, Cuma kita yang belum memanifestasikan cinta untuk-Nya. Begitu sombongkah kita? Begitu besarkah cinta kita untuk makhluk yang sama dengan kita.

Justeru itu, kita harus menjari jawapannya. Bagaimana ingin kita pupuk cinta itu untuk Allah. dan mencintai manusia itu hanyalah untuk bersama-sama mamperoleh cinta Illahi.

Terakhirnya, saya tinggalkan sebuah lirik nasyid yang dipopularkan oleh kumpulan Raihan. Marilah kita sama-sama menghayatinya.


Sebenarnya hati ini cinta kepada Mu
Sebenarnya diri ini rindu kepada Mu
Tapi aku tidak mengerti
Mengapa cinta masih tak hadir
Tapi aku tidak mengerti
Mengapa rindu belum berbunga

Sesungguhnya walau ku kutip
Semua permata di dasar lautan
Sesungguhnya walau ku siram
Dengan air hujan dari tujuh langit Mu
Namun cinta tak kan hadir
Namun rindu takkan berbunga

Ku cuba menghulurkan
Sebuah hadiah kepada Mu
Tapi mungkin kerana isinya
Tidak sempurna tiada seri

Ku cuba menyiramnya
Agar tumbuh dan berbunga
Tapi mungkin kerana airnya
Tidak sesegar telaga kauthar

Sesungguhnya walau ku kutip
Semua permata di dasar lautan
Sesungguhnya walau ku siram
Dengan air hujan dari tujuh langit Mu
Namun cinta tak kan hadir
Namun rindu tak akan berbunga
Jika tidak mengharap rahmat Mu
Jika tidak menagih simpati
Pada Mu ya Allah

Tuhan hadiahkanlah kasih Mu kepadaku
Tuhan kurniakanlah rinduku kepada Mu
Moga ku tahu
Syukur ku hanyalah milik Mu

Bulan Berbicaralah!





Bulan berbicaralah!
Seluruh dunia menantikan kesaksianmu
Bahawa engkau menjadi saksi di mahkamah keadilan dunia
Katakanlah kepada seluruh isi lautan dan dunia
Betapa kejamnya si zionis yahudi!
Menyiat-nyiat kulit mereka
Yang bernama muslim
Beban bukti itu terletak di pundakmu!



Katakanlah!
Bahawa zionis yahudi itu bukan pendamai sebenar
Manifestasi segala mala fide dalam hati mereka



Berbicaralah! Berbicaralah!
Usah gentar!

Rabu, 20 Oktober 2010

AWAN IRINGILAH AKAN DIA






Dari jauh kuminta awan mengiringimu
agar dirimu terlindung daripada terik mentari
Namun ucapan kasih hanya
Engkau ucap untuk awan



Dari sana kuminta tanah keras
Agar dirimu tidak akan tergelincir jatuh
Namun senyumanmu hanya
Untuk kepingan tanah



Dari utara kuminta hujan
Turun ketika kemarau panas
Namun engkau hanya ucap syukran
Untuk titisan hujan



Dari jauh kuminta dia
Tanya khabarmu
Sakitmu
Sedihmu
Pada fikiranmu
Hanya dia sahabatmu
Namun engkau tidak pernah mengetahui
Aku disebalik tanyanya

Isnin, 18 Oktober 2010

IZINKAN AKU BERSAMAMU




Aku rebah di bumi sahara
Di bawah terik mentari
Bermuhasabah mencari wadah
Untuk kembali berfitrah sebagai seorang abduh

Aku pandang ke kanan
Kulihat di sana ada kafilah durrah sofiah
Kutemui di sana punya pengembara hurrul maqsurah


Aku melambai kepada mereka
Tanda aku ingin mengikuti
Aku ingin nafasku seiring disamping mereka
Tunggu !!!
Jeritku.
Aku ingin bermusafir bersamamu!
Jawab mereka ;
Kamu tidak layak untuk bersama kami
Kamu itu pendosa
Kami ini hanyalah bermusafir untuk mencari redha Allah
Lihatlah butir-butir pasir di sini
Dan apakah kamu kira dosamu ini sekadar itu?


Tuhan,
Kerdilnya hamba disamping mereka
Bagaikan langit dan bumi
Bagaikan bulan dan mentari
Tidakkan pernah berpadu walau semalam Cuma


Illahi
Hamba ingin menjejaki mereka
Walau debu-debu pasir hinggap di mata hamba
Angin sahara menerjah menghalang
Lemah lutut untuk melangkah
Tetapi itu bukan alasan
Untuk hamba berpaling pergi
Dari-Mu

Ahad, 17 Oktober 2010

OMBAK RINDU BUAT NENDA-NENDA YANG TELAH PERGI; SEMOGA DAMAI KALIAN DI SANA

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh


Kutuju khusus tulisan ini buat nenda-nendaku yang telah tiada di sisiku kerana telah dijemput pulang mengadap Illahi. Semoga nenda-nendaku berada bersama mereka yang
yang diredhai Illahi.


Kutulis serpihan-serpihan aksara ini hanyalah untuk memakna arca rindu seorang cucu kepada nenda-nendanya.

Nenda-nendaku yang kurindui,

Sesungguhnya, pada saat cucunda menulis warkah ini untuk nenda sekalian , ketahuilah bahawa cucunda sangat merindukan kalian. Rindu teramat. Sukar untuk cucunda mengungkapkannya dalam sehelai kertas.


Dan kini, cucunda teringin sekali untuk memanggil nama –nama nenda sekalian dan panggilan tersebut akan bersahut dengan senyuman. Oh, betapa cucunda pingin melihat senyuman kalian!



Untuk nenda yang cucunda panggil We,

Nenda, sehingga kini cucunda masih ingat nenda pernah menjaga cucunda. Nenda membawa cucunda bersama cucunda izzat mandi di masjid Kota yang berhampiran dengan rumah nenda. Di sana, nenda memandikan kami.


Nenda, cucunda juga masih ingat ketika nenda tidur di atas lantai, cucunda dan cucunda izzat bermain main (menyentuh) telinga nenda, menyentuh wajah nenda hanyalah semata-mata untuk membuatkan nenda bangun bermain bersama kami. Tetapi, kini, kami tidak dapat membangunkan nenda lagi. Nenda telah pergi jauh daripada kami.

Untuk nenda yang cucunda panggil Mek,


Nenda, walaupun hayat cucunda bersama nenda tidaklah panjang, tetapi, cucunda tahu nenda pernah menjaga cucunda ketika bunda ada urusan untuk beberapa waktu. Pasti, ketika itu nenda tidak dapat tidur pada malam hari kerana bimbang nyamuk- nyamuk akan mengganggu cucunda.

Nenda tahu, cucunda ada sekeping gambar ketika nenda memegang cucunda. Maka , andai rindu sudah tidak tertahan, pasti cucunda akan menatap foto itu untuk mengubati sedikit rindu.

Untuk nenda yang cucunda panggil Ayoh,

Nenda , ketika nenda meninggalkan alam fana ini, cucunda baru mengenal dunia. Terlalu awal nenda pergi meninggalkan cucunda.

Nenda, ayahanda dan bunda sering bercerita tentang nenda. Kata mereka, nenda seorang yang cukup menjaga ukhuwwah antara manusia. Kata bunda, nenda seorang yang peramah. Kata ayahanda, nenda seorang yang cukup ‘open minded’.

Nendaku sekalian,




Ketahuilah bahawa rindu ini tidak akan pernah pudar seperti laut tidak akan pernah berpisah dengan ombak. Rindu ini akan cucunda bawa sehingga nafas terakhir. Semoga nenda sekalian damai di sana. Terakhirnya,cucunda di sini hanya bisa mengunggkapkan doa sejahtera untuk nenda sekalian. Cucunda rindu akan kalian!

Ya Allah, damaikanlah nenda-nendaku di sana. Kumpulkanlah mereka bersama orang-orang yang soleh. Lihatlah kebaikan –kebaikan yang pernah mereka lakukan ketika berada di dunia.

Ya Allah, kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihi bunda dan ayahandaku.
Amin…


Cucundamu,
Kakak a.k.a. izzati
Unisza Kampus Gong Badak
Kuala Terengganu

Engkau kecundang ketika membina sebuah masjid barakah!





Mulia !
Nikah itu bahagia
Menuju nikah itu mulia
Kerana dua insan dari benua berbeza
Saling mengikat janji setia untuk saling membina
Sebuah masjid bertahtakan intan fitrah.

Awas!
Nikah itu tiada utuh
Selagi tiada barakah

Awas!
Mulaikan satu ikatan
Dengan tapak barakah
Pasti nikah itu membawa berkat

Awas!
Berwaspadalah dalam berhubung
Selagi lafaz sakinah(ijab qabul) belum terucap
Jauhilah berhubung tanpa ada yang wara’
Memerhati dan menasihati
Jauhilah daripada bertutus warkah
Untuk hal ehwal remeh
Nanti tiada barakah
Tiada indah nikah
Walau fitrah nikah
Itu indah



Untuk mereka yang sedang berada dalam ‘tempoh ta’ruf’, saya nasihatkan kalian agar jauhilah daripada mengenali pasangan masing-masing tanpa ada yang wara’ dan syadid mengawasi.


Usahlah berhubung andai tiada maslahat untuk berbuat demikian.


Ingatlah, membina masjid adalah satu perkara yang mulia namun kebiasaannya ramai yang kecundang dalam mengenali pasangan (sebelum nikah) dengan cara yang tidak selari dengan tuntutan Islam.





Ana alfaqirah ilallah

Sabtu, 16 Oktober 2010

Bawalah Perutusan Cinta Ini

Tangisan mereka yang menderita
Masih terngiang-ngiang di umbu telingaku
mana ibuku…?
Mana ayahku…?

Memecah kesunyian batin
Ironisnya,
Aku selalu leka dengan cinta
Ah! Aku selalu leka akan kehendak dunia


Nun di sana
Mereka disakiti, ditendang, dimaki, dicaci,
diratah maruah persis binatang
Letupan bom memecah sunyi lewat malam
Si anak kecil itu sambil memegang boneka berteriak :
Mana bunda kami? Mana ayahanda kami?
Bunda…………….!
Ayah……………….!

Lalu si anak kecil menyapu dahi bunda dan ayahandanya
Yang dipenuhi darah merah yang memancut keluar
Kata si anak kecil itu lagi:
Jahanam!
Zionis yahudi itu bangsat!



Oh, di sana saudaraku sakit!
Tulang belulang mereka merata
Percikan darah merah mengalir merah di lautan mediterranian


Terbanglah tinggi wahai merpati putih
Merawat kesengsaraan mereka walau kejap cuma
Terbanglah! Bawakan perutusan cinta ini
Kepada mereka


Khabarkan kepada saudara islam di sana
Yang sedang terpenjara di dalam sangkar dunia
Nun jauh di sebalik tembok tinggi
Ciptaan zionis yahudi
Bahawa aku dan umat dunia melihat dan terasa akan kesengsaraan mereka
Lalu kami mengangkat tangan beramai-ramai
mengaminkan qunut nazilah pada setiap ketika

Sabtu, 2 Oktober 2010

al-Hubb merubah kaktus menjadi kapas

Assalamualakum!



"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir" (Surah Ar-Ruum, 30:21)





Cinta adalah cinta
Yang bisa merubah musibah menjadi muhibah
Yang bisa merubah sakit menjadi sihat
Yang bisa merubah duka menjadi tawa
Yang bisa merubah mendung menjadi terik memancar
Yang bisa merubah kaktus menjadi kapas
Itulah hakikat cinta









Maaf untuk pra-tulis ini kerana saya bukan selayaknya untuk menulis mengenai kasih atau cinta manusia. namun, akhir-akhir ini saya melihat ramai teman yang berada disamping saya menjadikan ‘cinta’ itu bagaikan tema hidup sesebuah kehidupan. Kalau tidak berpasangan sebelum nikah seperti dirinya tidak laku dan tidakkan pernah laku. Astaghfirullah!


Ya, saya akui cinta itu memang mengemudi arus lautan dunia. Namun, cinta itu hanyalah cinta kepada Allah. Cinta yang berteraskan Illahi bukan nafsu. Cinta nafsu melihat yang salah adalah pengorbanan; melihat yang benar adalah kejumudan. Berlainan pula dengan cinta kepada Illahi. Cinta illahi itu bagai bunga mekar di pagi hari dan akan terus mekar walaupun disirami racun duga. Cinta Illahi yang memenuhi ruang sukma pasti memilih kebarakahan dalam perhubungan manusia.


Beberapa hari ini saya banyak membuat pemerhatian untuk dijadikan hipotesis awal.

Pemerhatian pertama

“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).” (Surah al-An’am, 6:116)


Ada sebilangan remaja menjadikan cinta itu adalah subjek hidup mereka. Bagi mereka merencah cinta sebelum nikah tiada salahnya. Berdua-duaan tanpa segan silu dan mengungkapkan perasaan yang melalaikan bagaikan perkara biasa. Ah, apakah cinta itu semurah sampah yang berlonggokan. Lepas guna buang !


Pernah saya mendengan seseorang berbicara dengan pasangannya yang belum halal bagaikan pijak semut tidak mati. Ada juga mereka yang buat-buat tidak tahu kalau ada yang dianggap wara’ berada di sekitar mereka. Apakah ini panorama suasana yang harus dibanggakan oleh anak mudi sekarang?


Pemerhatian kedua

Cinta ana dan anti. Kadang-kadang saya berasa meluat melihat adegan pelajar yang belajar agama. Bagaikan mereka tidak tahu ayat al-Quran:
"Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk" (Surah Al-Isra', 17:32)

Mereka seakan-akan sengaja mengaburi nafsu mereka dengan agama. Berkiriman mesej ala-ala pendakwah dan banyak lagi. ada juga diantara mereka, menundukkan pandangan apabila bertemu ajnabi lain tetapi apabila berhadapan dengan kekasih hati terus mata meliar ke batang tubuh pencintanya.

Oh, cinta anta dan anti ini memainkan hal agama untuk matlamat salah!

Saya bagaimana pula?

Ada yang berpendapat saya ini seseorang yang tidak punya perasaan. Namun jawaban ada pada saya. Yang pasti, saya tidak pernah bercinta dan tidak mahu bercinta sebelum nikah( andai jodoh ada di dunia).

Cinta itu nikah
Bukannya cinta sebelum nikah

Nafsu itu sebelum akad
Bukannya nafsu selepas ijab qabul



Jika sudah berkenan, nah berkahwinlah!


"Kami tidak melihat dua orang yang saling mencintai kecuali dengan pernikahan" (Hadis Riwayat Ibnu Majah, disahihkan oleh Syaikh Nasiruddin Al-Albani diSilsilah no 624)

Bagi saya, cinta untuk kahwin bukanlah perkara mainan. Ini bersangkutan ukhrawi. Bukan hanya duniawi semata. Dan seseungguhnya, haruslah ada kebarakahan untuk menjamin kebaikan berterusan sehingga akhirat.

Perkahwinan adalah ikatan sebuah cinta. Cintanya halal tiada hijab. Cintanya menumbuhkan pahala berlipat. Rindunya mengibarkan arca sebuah cinta sejati. Kasihnya menggoreskan bahawa fitrah insani sudah dipenuhi.


Berkahwinlah! Segala urusan rezeki adalah urusan Allah. kita hanya harus berusaha dan bertawakal. Usah diragui akan sifatnya Illahi; ar-Rahman dan ar-Rahim.

Jumaat, 1 Oktober 2010

Diari Maaf Untuk Semua

Maaf kututurkan
Untukmu fuqara’ yang hampir di sisiku
Maaf kerna aku mungkin tidak pernah tahu akan kesusahanmu


Maaf kulanjutkan
Untukmu yatim tiada ayah tiada bonda
Maaf kerana aku mungkin tidak pernah menghiasi pusara sepimu dengan cinta


Maaf kubentangkan
Untukmu pak cik dan makcik yang dibiar sepi oleh anak-anakmu
Maaf kerana aku mungkin tidak mengerti rindumu kepada penawar sepimu


Maaf kuhulurkan
Untukmu jiran tetanggaku
Maaf kerana aku mungkin hanya sesekali bertanya khabar sakitmu


Maaf kuhembus
Untukmu pejuang Islam
Maaf kerana aku mungkin leka dengan duniaku sehingga diari juangmu penuh dengan sengsara


Maaf kutadahi
Untukmu daie
Maaf kerana aku mungkin tidak tahu lukamu dihina

Maaf kupantulkan
Untukmu muslim
Maaf kerana aku mungkin pernah menjadi fitnah(tipu daya) padamu


Maaf kubiaskan
Untukmu muslimah
Maaf kerana aku mungkin tidak membawamu ke jalan hakiki


Maaf kupohon
Untukmu Abah dan Ibu
Maaf kerana anakandamu ini belum menjadi setaat Ismail kepada ayahandanya Ibrahim


terakhir

Maaf kugoreskan
Untukmu diriku sendiri




salam maaf untuk semua
maaf kuhulur harap bersambut

ana alfaqirah ilallah

di bawah langit Tuhan, kudamba maghfirah


Astaghfirullah…

Astaghfirullah…astaghfirullah…

Sempit…

Sakit…

Seksa…


Astaghfirullah…astaghfirullah…

Astaghfirullah…astaghfirullah…

Tidak sanggup kuputar ingat kisah dosa lalu

Astaghfirullah…astaghfirullah…

Dosa semalam terimbas kembali

Betapa setiap butir pepasir pantai itu dosaku

Kecut dadaku menahan bimbang

Peluh dingin menitis hiba

Seram sejuk teringat kealpaan lalu

Astaghfirullah… astagfirullah..

Hitam pekat dosa mewarnai awan fitrah

Ruang langit itu memandang tingkah dosaku


Astagfirullah..astagfirullah…

Kudus maghfirah kudamba kesekian kali

Menyentuh sukma tunduk meminta

Biarlah debu salah pergi berlalu

Untuk kulangkah menjadi hamba taat


Tunduk sujud hanya pada-Mu

Astaghfirullah… astagfirullah… astaghfirullah…

Astaghfirullah… astagfirullah… astaghfirullah…
Click to view my Personality Profile page

helaian yang dilihat

jalan-jalan dari