Khamis, 1 Disember 2011

“Sudah kubuka Surat CintaMu”

Dugaan pasti melanda pada setiap batang tubuh yang melalui kehidupan. Namun, dugaan untuk setiap manusia itu berbeza walaupun seakan sama ceritanya. Ia berbeza bagi setiap individu yang berbeza. Dan pemikul ujian tersebut sudah tentu berbeza tahap sabarnya.

Dugaan itu kadang-kadang membuatkan seseorang tidak lena tidur. Tidak lalu makan. Setiap minit pasti berfikir bagaimanakah harus untuk menyelesaikannya. Nafas lagi sesak andai tiada teman pun yang membantu. Di saat itu, bibir terkunci rapat. Hanya hati yang bertaut doa meminta belas kasih Tuhan untuk menyegerakan jalan keluarnya.

Di saat mengatur doa, Tuhan sudah pun mengatur jawabannya. Hanya tunggu waktu sahaja, pasti doa itu akan terjawab. Sesungguhnya,Tuhan itu Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Daripada Dia datangnya dugaan , sudah tentu hilir pada masalahnya juga terletak pada-Nya.

Sahabat-sahabatku yang dilanda murung jiwa,

Ramai yang tersalah sangka akan dugaan. Mereka atau mungkin kita juga fikir, dugaan hanyalah perkara yang mereka tidak sukai berlaku pada diri mereka. sedangkan dugaan juga boleh berlaku ketika mereka dijemput bahagia. Dugaan seumpama ini sangat menguji jiwa mereka yang sedang leka dibuai bahagia.

Duhai sahabat-sahabatku, dunia bukan untuk ditangisi,

Kuatkanlah hatimu ketika dilanda dugaan dalam dugaan mahupun dugaan di dalam nikmat. Sambutlah ia dengan hamparan senyuman manis. Moga dalam hatimu akan tumbuh mawar sabar sebelum melalui denai redha.

Duhai saudara saudari yang kucintai,

Sesungguhnya, doa itu magis. Berdoalah! ratapilah akan dosa-dosa lalu agar diampunkan Allah. Takut-takut, dugaan yang datang itu adalah kerana dosa-dosa yang kita perbuat tak lama dulu. Mana tahu itu juga surat cinta dari Allah. Warkah yang membawa aksara-aksara pengampunan-Nya lantas mardhatillah pun beradu bila kita bersabar.

Ya Allah, di saat ini
HambaMu rebah di atas sejadah
Berteleku mengangkat kedua tangan merintih
Meminta ampun akan segala dosa-dosa
Yang lalu
agar dosaku yang melimpah
Itu terampun dengan luasnya sifat rahmatMu

Ya Allah,
Gagahilah diriku untuk bertaut pada dahan-Mu
Jangan biarkan dahan itu mereput
Seusai dugaan demi dugaan melanda
Diriku
Pegangilah tanganku dengan erat
Supaya aku tidak jatuh
Di saat aku melewati
Tanah-tanah yang berbukit
Kerana aku tahu di akhir laluan itu
Ada laluan sungai yang hening dan
Suasana pemandangan senja yang mengasyikkan
Amin..



“Cintailah diriku dengan sifat-Mu yang Maha Cinta
Redhailah diriku dengan Sifat-Mu yang Maha Pengampun”
Hamba-Mu;
Izzati Anas a.k.a Tara Tiana
Blok I , UniSZA
26 November 2011; sabtu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Click to view my Personality Profile page

helaian yang dilihat

jalan-jalan dari