Ahad, 27 Jun 2010

Cerita dari Naungan Kasih- Kerana Baju Kot, Adik Mula Berimpian


Assalamualaikum



Pengalaman menjadi seorang kakak kepada 6 orang adik adalah suatu perkara yang indah. Bukan mudah untuk menjadi ‘kakak’ kepada 5 orang adik teruna dan seorang adik perempuan( adik bongsu) krana mereka mempunyai pelbagai ragam. Dan kadang-kadang saya juga akan berperangai seperti mereka.


Namun, bukan pengalaman menjadi seorang kakak yang ingin saya kongsikan di sini. Tetapi, saya ingin berkongsi cerita mengenai Kerana Baju Kot, adik saya mula berimpian. Adik yang saya meksudkan di sini ialah Irsyad; adik saya yang kelima yang baru berusia 7 tahun.


Pada sabtu malam yang lepas, saya dan keluarga saya pergi membeli belah di Kamdar yang terletak di tengah Bandar Kota Bharu. Di saat saya dan ibu membelek-belek helaian kain demi kain, tiba-tiba adik saya yang saya panggil Irsyad bertanya kepada ibu sambil memegang baju kot. ‘ ibu, bule dok irsyad nok beli baju kot? Ibu saya menjawab: tok leh.


Namun, akhirnya baju kot dibeli juga. Itupu kerana abah melihat kesungguhan Irsyad untuk memiliki baju tersebut. Kesungguhan bagaimanakah yang dimaksudkan oleh abah? Panjang jawapannya.


Semasa dalam perjalanan pulang ke rumah, saya memberitahu Irsyad bahawa hanya seseorang yang berpelajaran sahaja yang layak memakai baju kot di alam pekerjaan. Hanya orang yang pandai sahaja yang dapat bekerja dengan memakai baju kot. Dia mengangguk tanda faham.


Di rumah pula, saya menyuruh Irsyad untuk mencuba baju kot tersebut. Sebaliknya Irsyad mengatakan kepada saya , ‘ nanti Irsyad pandai baru Irsyad nak pakai”. Nampaknya adik saya telah sematkan kata-kata saya bahawa hanya orang yang pandai sahaja dapat pakai kot. Saya tersenyum sendirian. Tersenyum kerana adik saya sudah ada keinginan untuk Berjaya dalam pelajaran walaupun dia sendiri tidak mengetahui erti kejayaan sebenar. Sesungguhnya, dengan ilmu darjat menentukan darjat seseorang.
Kadang-kadang , seorang kakak perlulah memberi peranan dalam kehidupan adik-adik, bermesra dengan mereka dan juga berbincang masalah yang dihadapi oleh mereka.
Sekarang, saya sudah menjadi cikgu sementara kepada si cilik; Irsyad sebelum saya berangkat pergi ke Universiti Sultan Zainal Abidin untuk memulakan sesi perkuliahan yang baru pada 11 Julai nanti.


• Baru baru ini saya ada bertanya Irsyad sama ada dia sayangkan saya atau tidak. Jawapannya pastilah Ya. Kan saya seorang kakaknya.Hehe. Saya tanya lagi, kenapa? Dia menjawab, ….sebab kakak suka ajar Irsyad dalam pelajaran.

Jumaat, 25 Jun 2010

Hati-Hati Mereka Sudah Lain


Kini semuanya sudah lain
Ibarat sudah tiada penawar untuk berubat
Seakan-akan dunia akan kiamat
Tiada lagi senyuman
Dan hanya lara mengunjungi hati



Pada siapakah untukku mengadu?
Pada siapakah untukku meletakkan kepalaku dipundaknya?
Pada siapakah untukku mengatakan betapa hati ini sakit?
Apakah perlu aku memendam rasa sehingga hati ini ada benci?



Bila lidah berdamai dan
Hati berterus terang
Pada ketika itu juga
Aku dipersalahkan bagaikan hanya aku sendiri yang salah
Yang lain tiada salah
Salahkah aku?
Apakah salah berbicara dari hati ke hati?
Apakah hati yang sakit ini salah
Sedangkan hati ini dulunya segar tiada hiba



Kini aku sudah pasrah
Kubawa lari hati yang lara
Kerna hati-hati mereka bukan untukku lagi
Biar sedih dan pedih kutanggung sendiri

Isnin, 21 Jun 2010

KUHIDU RESAHMU DARI JAUH

Assalamualaikum kuhulurkan salam terlebih dahulu buat sahabatku yang jauh. Dari negeri sana kudapat hidu satu perkhabaran bahawa engkau kini sedang berduka lara menangisi kisah sayu. Sahabat, jika dahulu aku pernah menulis aksara-aksara mengenaimu di helaian helaian maya. Jadi, pada mentari siang kali ini, aku ingin menulis sekali lagi mengenaimu di ruangan ini.


Sahabat yang aku cintai dari dulu sehingga kini





Sebentar tadi, aku mendengar suaramu di corong telefon. Dirimu menelefonku dari jauh, dari negeri yang berbeza denganku. Lantas, kusedari nada suaramu agak berlainan ketika dirimu memberi salam kepadaku menandakan engkau dilanda gelisah yang tiada tara. Bagaikan tiada penawar di sisimu. Lalu jiwaku berbisik, apakah engkau sahabatku kini dilanda ujian yang tidak terperi sakit?
Dan ketika engkau menceritakan mengenai si Dia kepadaku; seorang insan yang hamper denganmu. Lalu aku pasti kerana dialah engkau kini tangis. Semasa bibirmu bergetar berbicara mengenainya padaku, tiba-tiba dirimu terdiam sepi dan kudengan engkau menangis teresak-esak. Batinmu sedang sakit sahabatku! Maafkan aku kerana aku masih di sini membiarkan dirimu bersedih sendirian tanpa teman setia di sisimu..


Sahabatku yang kuibaratkan seperti Pelangi,



Engkau seorang perawan muda yang solehah sedang bertarung dengan perasaanmu sendiri. Sakit kerana pernah mencintai seseorang , sedih kerana orang yang dicintaimu tidak tahu mengenai perasaanmu, dilema antara rasa manisnya bersahabat atau berkasih.



Aku tahu engkau seorang yang sukar untuk membuka jendela hatimu pada sesiapapun. Walau bagaimanapun dia. Tetapi, dengan izin Allah, hatimu tertaut dengan si Dia yang kita pernah gelarkan sebagai ustaz;temanmu sendiri. Sungguh, dirimu sedang berperang dengan rasa dan nalurimu. Aku tahu, engkau tidak minta untuk berkasih sebelum ijab dan qabul. Engkau mahu melayari bahtera cinta selepas dirimu memakai inai di jari, ketika cincin disarungkan pada jari manismu, selepas lafaz nikah diucapkan dan bersaksikan hadirin.


Sahabatku yang aku kasihi,




Payah untuk kukatakan padamu perihal ini. Namun, cukup kukatakan padamu, rawatlah dukamu dengan segera terlebih dahulu. Jangan biarkan hatimu tertutup untuk mencintai seseorang yang lain daripadanya. Benar begitu mudah untuk mengatakan kumbang bukan seekor. Tetapi untuk melupakan begitu susah bukan seperti angin berlalu begitu sahaja. Ia mengambil masa yang lama mungkin bertahun lamanya. Pesanku, janganlah engkau mengambil masa sehingga berkurun-kurun lamanya untuk membuka sekeping hatimu kepada yang lain andai dirimu disunting oleh jejaka lain.


Sahabatku yang sentiasa tersenyum indah,



Senyumlah wahai sahabatu. Senyumanmu memberikan seribu kebaikan kepada dirimu juga mereka yang berdekatan dengan dirimu. Berdoalah kepada Allah untuk jodohmu. Selagi nyawa belum diambil, selagi itulah ada kemungkinannya jodohmu dengan si Dia ada atau sebaliknya. Letakkan pengharapanmu kepada Rabb; Dia yang Maha Pencinta.
Aku , sahabatmu sentiasa berdoa untuk kebaikanmu. Aku juga menadah doa agar suatu hari nanti dirimu akan menjadi pengantin yang bahagia di hari pernikahanmu. Bahagia memperoleh suami yang baik, soleh dan penyayang. Dan aku ingin akan menjadi pengapit disisimu.



Sahabatku,
Sapukanlah air matamu
Hapuskanlah dukamu
Aku di sini
Sentiasa ada untukmu
Walau jauh beribu batu
Kutetap berdoa
Untukmu bahagia



Daripada,
Sahabatmu yang sentiasa mengingatimu,
Sehingga hari matiku:
Aku:
Nur izzati,
Naungan kasih
Kota Bharu

Ahad, 20 Jun 2010

DILEMA FOTO - FOTO MUSLIMAH



Assalamualaikum!



Saya menulis tulisan ini yang merupakan pendapat sendiri dan bukannya hukum atau pendapat para ulama’. Mungkin betul mungkin salah. Penulisan kali ini berkisar mengenai pemaparan gambar (perempuan) di laman blog-blog. Saya menyentuh isu ini kerana saya melihat isu ini penting walaupun dianggap remeh oleh kebanyakan orang.

2 PERSEPSI

Saya melihat ada 2 persepsi golongan mengenai muslimah memaparkan gambar dalam blog atau apa sahaja. Pertama, golongan yang terlalu syadid dan kedua golongan yang tidak terlalu syadid.

Dan dalam hal ini saya suka mengambil jalan pertengahan. Bukan terlalu syadid dan juga tidak terlalu syadid.

Kenapa? Saya akan menjadi syadid mengenai hal ini sekiranya gambar-gambar yang dipertotonkan lebih banyak fitnah atau gambar tersebut tidak menepati syara’. Dan saya tidak akan syadid sekiranya gambar tersebut menutup aurat/ berkumpulan/ ada tujuan tertentu.


Dan saya telah meneliti mengenai hal ini serta ingin saya kongsikan tulisan yang saya petik dalam laman web di bawah ini bersama kalian.


Assalamualaikum ustaz,
Apa hukum muslimah meletakkan gambar mereka yg menutup aurat di dalam laman sosial (eg facebook, friendster) atau blog peribadi tanpa tujuan dharuri?
Jawapan:
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول لله وعلى آله وصحبه أجمعين
وبعد,
Ada beberapa sudut yang perlu dibincang dalam isu ini antaranya ialah perhiasan yang dibenarkan didedahkan oleh seorang wanita , isu saranan menundukkan pandangan kepada kaum lelaki ,isu niat dan isu fitnah.
Firman Allah SWT:

Bermaksud :dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahirdaripadanya; (terjemahan sebahagian ayat 31 surah al-Nur )

Dalam tafsir Ibnu Kathir dinukilkan beberapa pandangan mengenai perhiasan tubuh yang diberi pengecualian antara:
عن ابن عباس: { وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا } قال: وجهها وكفيها والخاتم

Ibnu Abbas mengatakan antara perhiasan berkenaan ialah wajah , kedua tapak tangan dan cincin.Beliau membawa dalil :
عن عائشة، رضي الله عنها؛ أن أسماء بنت أبي بكر دخلت على النبي صلى الله عليه وسلم وعليها ثياب رقاق، فأعرض عنها وقال: “يا أسماء، إن المرأة إذا بلغت المحيض لم يصلح أن يُرَى منها إلا هذا” وأشار إلى وجهه وكفيه

Daripada Aishah R.A bahawa Asma’ bte Abu Bakar menemui Nabi SAW dalam keadaan berpakaian agak nipis lantas Nabi SAW berpaling daripadanya dan berkata “wahai Asma’ sesungguhnya apabila sampai peringkat umur baligh , tidak harus dirinya dipandang kecuali ini sambil menunjuk kepada muka dan tapak tangannya.(sunan Abi Daud 4014)

Dalam isu menundukkan pandangan Allah SWT berfirman:

Bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan.(Terjemahan ayat 30 surah al-Nur)

Mengikut sebahagian ulama muka dan tapak tangan adalah termasuk dalam perhiasan yang diberi keizinan oleh syara’ untuk didedahkan .Namun falsafah mengapa ia diberi keizinan ialah seperti diungkap oleh al-Hafiz Ibnu Kathir
قال : { وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا } أي: لا يُظهرْنَ شيئا من الزينة للأجانب، إلا ما لا يمكن إخفاؤه.
“Janganlah mendedahkan perhiasan berkenaan kepada lelaki asing kecuali yang tidak mungkin atau sukar untuk di sembunyikan”

Maka dengan itu , sengaja meletakkan gambar walaupun menutup aurat didalam laman sosial (eg facebook, friendster) atau blog peribadi tanpa tujuan dharuri hendaklah dijauhi lebih-lebih jika gambar itu ada unsur tabarruj , aksi yang merangsang dan membawa kepada fitnah yang lebih besar kepada diri sendiri mahupun keluarga .
Kecuali ada maksud tertentu yang diterima oleh shara’ tetapi dengan penampilan yang cukup beradab seperti bersama-sama rakan yang lain dalam sesuatu program atau bersama suami .
Hadith menyebut :
انما الأعمال بالنيات
Hanyasanya amalan itu itu dinilai berdasar kepada niat
Kaidah feqh menyebut :
الأمور بمقاصدها
Sesuatu perkara itu berdasarkan kepada tujuannya.
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
والله أعلم بالصواب
Disediakan oleh:
Ustaz Zamri Hashim
Sekretariat MUIS
muis.ismaweb.ne

Sabtu, 19 Jun 2010

Abe...Lihatlah ibu , abah... !adik-adik kita dah besar

Assalamualaikum!


Entri pada kali ini khusus untuk adikku yang jauh; yang kupanggil Abe. Abe,lihatlah foto-foto ini;foto keluarga. Sekarang sudah kebiasaan bagi famili kita beriadah pada waktu petang. Nanti Abe pulang ke rumah kita main badiminton sama-sama yer. Kakak tahu Abe gemar bermain badminton pada waktu petang sebelum berangkat ke Jordan.

foto-foto ini kakak ambil selepas beriadah( bermain badminton).


Lihatlah...ibu, abah dan adik-adik kita..




Ibu yang kita cintai



Abah yang kita cintai




izzah,kakak dan Irsyad dan di...mereka dah besar..



izzuddin dan Izzah... cute tak izzah?





Kakak ..he3



kakak dan kereta ibu



rusyaidi bersama Izzah




* Abe..kakak saje je letak gambar ni lebih awal ( abe kan pergi umrah tak balik lagi)

* izzul tiada sebab dia tidak turun beriadah bersama

Jumaat, 18 Jun 2010

sebenarnya Engkau Memang Cantik

Assalamualaikum!

Pagi tadi, saya telah ke kedai buku bersama ibu. Ibu mencari-cari ‘white board’ untuk dibelinya dan saya pula membelek belek buku-buku yang ada di situ. Sebenarnya saya ingin membeli buku yang disyorkan oleh sahabat saya iaitu buku yang ditulis oleh Dr Asri ; mantan mufti Negeri Perlis. Tetapi masih tidak menemuinya. Mungkin buku tersebut ada dijual di Jaafar Rawas yang terkenal sebagai gedung jualan buku agama di Kelantan.


Semasa saya membelek buku-buku tersebut, saya memandang sebuah buku. Judul buku tersebut sangat menarik perhatian saya tambahan ‘cover’ hadapannya dihiasi wajah seorang muslimah yang berniqab. Lalu saya mencapainya. Saya memerhatikan sinopsis buku tersebut. Wah, sungguh menarik kandungan buku ini. Sangat istimewa khusus untuk wanita Islam. Itulah buku yang beritintakan judul “ Engkau Memang Cantik” tulisan Burhan Sodiq. Bukunya sangat murah harganya iaitu RM 15.00 berbanding buku –buku lain. Lalu, saya pun membeli buku tersebut.
Di kulit buku tersebut ada tertulis :


KERANA KAMU TIDAK PERNAH TAHU BETAPA CANTIKNYA DIRIMU.


Antara sinopsis buku tersebut ialah
Menjadi muslimah adalah anugerah yang paling indah. Peribadi muslimah sejati akan memberi impak kepada dunia, dan selalu memberi makna bagi sesama muslim....
Buku ini juga membahagikan 4 bab iaitu Manusia Indah Bernama Muslimah, Lalu Aku harus Bagaimana?, Engkau Memang Cantik dan Negative Thinking No Way!
Secara tulusnya ,saya menyarankan kepada setiap muslimah harus memiliki buku ini kerana Muslimah, Engkau Memang Cantik!
.

Rabu, 16 Jun 2010

Menanti Jawapan Degupan Rahsia




Degupan degupan rahsia
Semakin padu
Terasa sesak di dada
Sukar untuk menyambung setiap helaan nafas


Semakin saat berhimpun detik
Degupan jantung semakin
Tidak keruan
Akal Mula berilusi
membelakangkan realiti
mulailah resah
gelisah
sedih
sebelum menggapai
jawapan kepada degupan rahsia

nurkilan
Tinta tara tiana
12.38 tengahari
17 Jun 2010



Ulasan : kadang-kadang setiap insan akan mengalami satu perasaan berdebar( tidak sedap hati/gundah ) . Perasaan ini ada kalanya hadir tanpa insan mengetahui makna di sebalik kehadirannya. Lalu, insan akan berfikir yang bukan-bukan di luar batasan realiti dan pasti perasaan berdebar ini akan menjadikan jiwa insan gelisah, sedih, tidak tentu arah.
• Kekadang saya pun merasai hal yang sama...dan saya juga pasti setiap daripada anda pasti pernah mengalaminya.
Click to view my Personality Profile page

helaian yang dilihat

jalan-jalan dari