Isnin, 28 September 2009

BISIKLAH UCAPAN CINTA

BISAKAH KUBERDIRI TANPAMU DI SISIKU,

BISAKAH KUBERLAGU SUKA TANPAMU DI WAJAHKU,

BISAKAH KUTENANG TANPAMU DI PANDANGANKU,

BISAKAH KUSENDIRI TANPA HEMBUSAN NAFASMU,

BISAKAH KUHIDUP TANPAMU…IBU, ABAH

Sebenarnya, ibu dan abah atau pelbagai panggilan yang kita panggil lagi seperti umi, abi dan sebagainya merupakan dua insan yang sangat berjasa kepada kita yang bergelar seorang anak. Tanpa mereka siapalah kita. Mungkin bagi pembaca sekalian ayat ini merupakan satu ayat yang klise. Tetapi tidak bagi penulis. Ayat ini memberi sejuta erti kepada penulis yang bergelar seorang anak.

Di sini,penulis hanya ingin memberikan saranan kepada pembaca semua. Apakata mulai hari ini, cubalah membisikkan tiga perkataan ini kepada ibu bapa kita. Tiga perkataan keramat yang mampu membuatkan mereka tersenyum. Tiga perkataan tersebut ialah saya cinta ibu! Saya cinta abah!. Bisikkan melalui kata-kata/ short messages service , faks atau sebagainya.

* kakak cinta akan ibu! Kakak cinta akan abah!

Jumaat, 25 September 2009

ADIKKU, SELAMAT BERJUANG!































Assalamualaikum dan salam kasih sayang buat semua pembaca blog ini.

Pembaca yang saya kasihi,

Ingatkah semua kepada entry yang lepas berkenaan dengan adik saya yang akan berangkat ke Universiti Mu’tah, Jordan? Pada tulisan kali ini saya ingin menceritakan serba sedikit perasaan saya apabila berpisah dengan adik yang saya cintai untuk beberapa tahun.

Pada hari ini, hampir 2 minggu adik saya meninggalkan Malaysia untuk menuntut ilmu di perantauan. Tanggal 15 September 2009 bersamaan 25 Ramadan 1430, adik saya ( Wan Muhammad Izzat) telah berangkat ke Jordan. Beliau bertolak dari lapangan terbang Pengkalan Chepa ke KLIA dan terus ke Jordan. beliau bertolak dari lapangan terbang di Pengkalan Chepa pada pukul 6.45 pagi.

Pembaca yang saya cintai sekalian,

Perasaan ini sayu dan hiba tatkala berada di lapangan terbang (Pengkalan Chepa) kerana terpaksa melepaskan adik yang tersayang merantau ke negara orang. Manik – manik basah bagaikan mengalir tanpa dipaksa tatkala bersalaman dengannya. Kata- kata tidak lagi mampu berbicara. Mungkin perpisahan ini merupakan perpisahan (tempoh yang panjang) kali pertama antara saya, keluarga dengan beliau. Sebenarnya, saya tidak tahu bagaimanakah untuk menggambarkan perasaan saya dalam tulisan ini. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

Namun, saya pendamkan juga perasaan ini kerana perpisahan ini merupakan satu jihad baginya. Jihad untuk menuntut ilmu agama. Selain itu, beliau pergi menimba ilmu ke sebuah tempat yang sangat bersejarah. Di bumi sanalah tika dulu dikenali sabagai bumi Syam tempat Rasulullah berdagang. Di sanalah berlakunya peperangan Mu’tah.

Dalam tulisan ini, saya letakkan sebahagian foto – foto terakhir kami sekeluarga sebelum beliau berangkat ke KLIA.

Buat adikku,

Teruskan perjuangan suci ini. Jangan biarkan dirimu tersungkur sebelum berjuang. Anggaplah semua dugaan itu sebagai cabaran yang akan menggandakan pahalamu.Adikku, kami sekeluarga amat merinduimu dan dirimu sentiasa ada dalam doa kami.

Jumaat, 11 September 2009

hadis ini penawarku





Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barokaatuh

ألحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى ألهوصحبه أجمعين

Saya mulakan penulisan pada kali ini dengan hadis yang bermaksud:

DARIPADA ABU HURAIRAH R.A BERKATA RASULULLAH SAW BERSABDA: ISLAM BERMULA DENGAN KEADAAN DAGANG (ASING) DAN IA AKAN KEMBALI ASING. MAKA BERUNTUNGLAH ORANG – ORANG YANG ASING.

Pembaca yang saya cintai,

Hadis ini telah membawa satu pengertian yang cukup indah kepada saya khususya. Hati dan jiwa saya akan berasa tenang dan resah akan hilang apabila teringat akan hadis ini.

Sebenarnya saya mempunyai kisah di sebalik hadis ini. Dalam ruangan ini, izinkan saya bercerita serba sedikit tentang kehidupan saya setelah saya mempelajari hadis ini daripada seorang ustazah (Ustazah Rahimah) ketika saya menuntut di Sekolah Maahad Muhammadi ( p) Jalan Merbau.

Sebelum ini, saya hanya memakai tudung 3 segi yang labuh sahaja. Dan pada suatu hari, Ustazah Rahimah mengajar mengenai hadis ini dan beliau memberikan penerangan yang jelas sehinggakan air mata saya hampir tumpah. Sehinga kini kata – katanya terngiang – ngiang di telinga saya. Katanya, “pada masa sekarang dunia serba moden dan umat Islam semakin hilang identiti Islam kerana mengikuti arus kemodenan. Dan di sini (di sekolah) kamu masih lagi memakai jilbab tetapi di luar sekolah atau apabila kamu berjaya memasuki universiti apakah kamu akan terus memakai jilbab? Di sini apa yang ustazah nak bagitahu ialah Islam pada mula kedatanganya kelihatan asing dan akan kembali asing. Maksud kembali asing di sini ialah apabila kamu memilih untuk memakai jilbab kamu akan dipandang aneh, apabila kamu membataskan pergaulan antara lelaki kamu dianggap tidak tahu bersosial dan sebagainya. Jadi hal seperti ini telah berlaku sekarang. Dalam ayat terakhir hadis ini berbunyi beruntunglah bagi orang – orang yang asing. Andai kamu semua ingin beruntung berpeganglah pada ajaran pada ajaran Islam. Dan dalam konteks sekarang, ustazah mahu kamu meneruskan pemakaian jilbab sehinggalah kamu memasuki alam universiti dan pekerjaan. Andai ada yang memandang serong kepada kamu anggaplah hadis ini sabagai penawar.”

Pembaca yang saya kasihi,

Hadis inilah yang menjadi penawar tika hati saya sedang berduka. Berduka tatkala dianggap ‘semacam’ apabila saya melawan arus kemodenan yang menjerat, tatkala berkata yang hak tetapi yang jahil mempersoalkan, tatkala disindir kerana membataskan pergaulan dengan kaum lelaki. Walau apapun, ranjau atau cubaan, hadis inilah yang menjadi penenang jiwa kerana saya ingin menjadi orang yang beruntung (insyaAllah) seperti akhir ayat hadis ini “beruntunglah orang – orang yang asing”.

Di sini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Ustazah Rahimah kerana beliau telah banyak mengajar saya mengenai ilmu akhirat (walaupun saya hanya menuntut ilmu dengannya hanya dalam tempoh 5 bulan sahaja). Selain beliau, ibu bapa saya (yang saya amat cintai)juga telah banyak memberi dorongan kepada saya untuk menjadi insan yang lebih baik daripada sebelum ini.

Tuntasnya, semoga dengan penulisan kali ini pembaca semua akan mendapat manfaat walaupun sedikit. Semoga kita semua menjadi lebih baik daripada semalam.

Tara tiana

Rabu, 9 September 2009

SEMOGA PULANGNYA NANTI MENJADI PEMBELA AGAMA


Assalamualaikum dan salam mawaddah,

Pada tulisan kali ini saya ingin berkongsi khabar gembira kepada semua pembaca. Alhamdullah, dengan izin Allah. Adik saya (Wan Muhammad Izzat) akan berlepas ke Jordan untuk menyambung pengajian dalam bidang pengajian di Universiti Mu’tah, Jordan. Beliau akan berlepas pada 15 september ini pada pukul 5.00 pagi ( dari lapangan terbang Pengkalan Chepa ke klia sebelum berlepas ke Jordan).

Saya masih ingat lagi ketika adik saya mendapat tawaran masuk ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA / IIUM) sesi 2009/2010, pada bulan jun lepas. Beliau bermati – matian tidak mahu ke sana dengan beberapa alasan dan beliau juga mempunyai pendapat tersendiri mengenai universiti terkenal itu.

Kini, yang pasti adik saya akan berangkat ke bumi Anbiya’,Jordan dengan membawa satu cita iaitu ingin menuntut ilmu yang berpaksikan agama . Semoga beliau pulang ke tanah air dengan membawa sejuta ilmu di dada.

Pembaca yang saya kasihi sekalian,

Hati ini menjadi sayu tatkala membaca sajak hasil tulisannya dalam blog beliau. (www.alkutawisyah.blogspot.com). Dan sememangnya sajak ini akan bermain difikiran saya tatkala beliau pergi jauh ke perantauan. Di bawah ini merupakan sajak tulisannya yang berbunyi :

Sekejap lagi aku akan ke sana

Merantau pulang entah bila

Atau mungkin tak akan pulang selama-lamanya

Kerana bukankah syahid itu cita?

Selamat tinggal ibu abah dengan lelahnya aku dewasa

Selamat tinggal kakakku, Izzati dan adik-adik saudara mara

Selamat tinggal teman-temanku Umar dan Zul Fadhli bersamamu kubahagia

Selamat tinggal guru-guru yang banyak berjasa

Selamat tinggal pak cik-pak cik yang bersujud bersama

Selamat tinggal kampungku Kampung Kota

Selamat tinggal Kota Bharu kota sentosa

Selamat tinggal semua

Doakan daku sentiasa

Moga-moga menjadi manusia

'Abid dan 'alim hakiki

Menegakkan kalimah Allah dengan berani

Lalu bangkit bertemankan bidadari

Selamat tinggal.

Semoga beliau pulang ke tanah air dengan selamatnya sebagai pembela Islam. InsyaAllah.




# dalam tulisan mengenai sms cinta itu, saya ada berjanji akan memberi penjelasan tetapi sehingga sekarang saya tiada kelapangan waktu untuk meneliti dalil – dalil dan juga untuk mengkaji mengenai hal ini dengan lebih mendalam. Hal ini disebabkan saya mempunyai banyak tugasan dan komitmen lain. Walaupun begitu, andai saya ada kelapangan waktu, InsyaAllah, saya akan mengotakan janji saya.#

Selasa, 8 September 2009

Pendapat Mengenai Isu di Shah Alam

Assalamualaikum dan salam cinta buat semua pembaca.

Pada hari ini saya ingin berkongsi pendapat mengenai permasalahan yang berlaku di Shah Alam baru – baru in dan masalah itu masih berlanjutan sehingga kini. Masalah yang dibicarakansaya di sini ialah destinasi untuk pembinaan kuil yang berdekatan penempatan orang -orang melayu. Dan apa yang lebih gawat, ada sebilangan penduduk tempatan dan ‘orang yang berkepentingan peribadi’ telah melatah secara melulu dengan menyembelih kepala lembu dan diarak. Apakah pendapat pembaca mengenai situasi yang berlaku sekarang?

Menurut Perlembagaan Persekutuan perkara 3 mengatakan: agama Islam adalah agama persekutuan, tetapi agama – agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana – mana bahagian persekutuan. Jadi dalam konteks sekarang, agama lain seperti hindu bolehlah diamalkan termasuklah pembinaan kuil.

Dalam agama islam pula, Islam telah melarang penganutnya tidak menghormati agama lain. Seperti contoh, umat Islam tidak boleh meroboh tempat – tempat ibadat penganut agama selain agama Islam.

Pada pendapat peribadi saya, orang – orang melayu adalah bangsa yang cukup sensitif mengenai hal – hal agama, bahasa dan lain – lain. Namun, pada masa yang sama, mereka yang berarak membawa kepala lembu ( lembu dianggap tuhan oleh penganut hindu dan menyembelih kepala lembu seumpama menghina tuhan mereka)itu telah melakukan kesalahan dari segi agama Islam iaitu tidak menghormati agama lain.selain itu, telah memberi kesan besar dari segi persepsi penganut agama lain terhadap Islam.

Manakala, pembinaan kuil sepatutnya dibina di kawasan yang mempunyai majoriti penduduk beragama hindu.

Jadi dapatlah saya simpulkan di sini bagi mengelakkan masalah ini timbul pasa masa akan datang yang memungkinkan peritiwa 13 Mei berlaku lagi ialah pabila pihak tertentu ingin membina rumah – rumah ibadat selain masjid dalam kawasan majority penduduk Islam haruslah dielakkan atau berbincang dahulu dengan para penduduk dan menjelaskan alasan - alasan yang menyebabkan pembinaan rumah ibadat itu perlu didibina di situ.

Kedua, penduduk islam pula perlulah mencari alternatif lain bagi menyuarakan bantahan mereka tanpa menyakiti hati penganut bukan islam. Jangan dek kemarahan kita maruah Islam tergadai. Walaupun begitu, ini bukanlah bermaksud penganut agama lain boleh memijak kepala penganut Islam atau penganut Islam tidak perlu sensitif mengenai isu – isu keagamaan.

Harapan saya, biarlah masalah ini diselesaikan dengan cara yang baik dan tidak ada keganasan melampau. Bagi penduduk Islam pula, anda haruslah bersabar, bertenang dan berbincang baik – baik dan don’t be a child. Manakala bagi penduduk beragaam hindu pula anda seharusnya tahu sensitiviti penduduk Islam khususnya dan umat Islam amnya.

Dan terakhirnya, sya ada memetik tulisan di bawah ini dalam satu laman web mengenai agama Islam di Amerika. Jadi, selepas pembaca semua membaca artikel di bawah dan kaitkan dengan isu yang kita bincangkan sekarang.

Nasreel Khalib,Illinois.
Mon | Sep 07, 09 | 3:31:20 pm MYT

Salam Ramadhan buat semua. Saya mengikuti perkembangan isu kuil di Shah Alam dari jauh dengan penuh minat.

Dalam kita menerima kunjungan Ramadhan yang mulia ini, kita dikejutkan dengan tindakan yang sangat menyedihkan oleh segelintir masyarakat Melayu Islam dalam protes mereka terhadap cadangan pembinaan kuil di syeksyen 23 Shah Alam.

Mereka bertindak menghina agama Hindu dalam keadaan yang sangat ekstrem - sesuatu yang dilarang oleh Islam itu sendiri. Tidak pernah kita diajar oleh Rasulullah agar menghina agama-agama lain.

Alasan yang dipersoalkan beberapa penduduk setempat sangat mudah, mengapa perlu dibina kuil di kawasan yang majoritinya penduduk Melayu Islam.

Sebentar tadi saya membaca yang proses pemindahan kuil ini telah dibekukan disebabkan oleh kekecohan yang berlaku semasa sesi dialog diantara kerajaan negeri dan penduduk setempat.

Kebetulan pada ketika ini saya berada di bumi Amerika atas urusan kerja. Sudah hampir tiga bulan saya disini bersama keluarga.

Menyambut Ramadhan bersama penduduk minoriti Islam Des Plaines Illinois. Saya dapat melihat sesuatu yang amat 'ganjil' disini, di tengah-tengah bumi Amerika yang penduduk Islamnya tidak sampai 1%, tersergam masjid yang indah dan selesa.

Malah Masjid ini juga hanyalah beberapa ratus meter jaraknya dari sebuah gereja Katholik. Tidak pula kelihatan masyarakat Kristian disini berdemo dan membantah kewujudan Masjid disitu.

Malah apa yang lebih dikagumi ialah setiap kali waktu solat Jumaat, akan ada beberapa orang pegawai Polis 'mat saleh' bukan Islam yang akan mengawal lalulintas dan parking didalam kawasan Masjid.

Mungkin, itu perkara biasa, seminggu sekali. Tetapi apabila bermulanya Ramadhan, saya dapat melihat bagaimana mereka bertugas setiap malam. Kebetulan Ramadhan tahun in berlangsung di hujung musim panas, maka waktu Isya'nya sedikit lewat dari Malaysia. Pegawai-pegawai Polis ini masih lagi bertugas menjaga lalulintas dan parking sehinggalah Terawikh tamat pada jam hampir 11.30 malam.

Keliru saya memikirkan situasi di sini apabila dibandingkan dengan situasi kuil di Shah Alam. Malu dengan perbuatan dan sikap segelintir umat Islam di Malaysia. Apakah mungkin masyarakat Kristian di Amerika ini lebih baik dari Umat Islam di Malaysia?

Dimanakah keadilan dan keindahan Islam yang ingin kita tonjolkan? Apakah mungkin masyarakat bukan Islam dapat melihat keindahan Islam dalam situasi ini.

Saya bersyukur dan berterima kasih kepada beberapa pimpinan PAS yang telah berani menyatakan kebenaran dalam keadaan yang sukar ini terutamanya kepada YB Khalid Samad, Dato' Mahfuz, Dr Mariah dan beberapa yang lain.

Pun begitu, saya berharap lebih ramai lagi pemimpim-pemimpin Islam dari parti PAS terutamanya yang akan tampil kehadapan bagi memberi sokongan kepada kerajaan Negeri Selangor dan menyatakan pendirian Islam dalam isu pemindahan kuil ini.

Masyarakat sedang memerhatikan, apakah benar slogan keadilan Islam yang dilaung-laungkan. _

Biarlah keasingan berbicara

Sebuah pertemuan

Telah berlabuh di situ

Antara 2 insan

Antara Ana wa anta

Sebuah lakaran pertemuan

Tanpa jalinan perkenalan

Tanpa seulas senyuman

Tanpa kita tahu

Itu anta dan ini ana.

Biarlah begitu,

Biarlah kita saling asing

biarlah hanya keasingan itu

berbicara bukan kita saling berbicara

Semoga pertemuan ana wa anta

Di alam asing menemukan

Titik noktah

Tanpa meninggalkan kesangsian di hati

Apakah ana milik anta ?

Atau apakah anta milik ana?

اللهم ارزققنا حبك وحبا من يحبك ومن عملن صالحين يقربون الى حبك

Click to view my Personality Profile page

helaian yang dilihat

jalan-jalan dari