“Wahai anak muda, berkahwinlah. Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (daripada gelojak nafsu)” (Hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari).
“Dan kahwinkanlah orang yang sendirian antara kamu dan orang yang layak (berkahwin) daripada hamba sahayamu yang lelaki dan hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nur, ayat 32).
******* ***** ****** ****** ********
Dia sedang berteleku di atas sejadah sambil mengangkat tangan berdoa. Lama dia berdoa. Sesekali air mata beriringan setiap butir-butir bisikannya terlafaz. Melalui doa, dia meletakkan segala pengarapan kepada Tuhan yang maha Pengatur. Malam itu gelap pekat tanpa cahaya rembulan menerangi , dia mencurahkan segala isi hatinya kepada Tuhan yang maha Tahu. Dia seperti tidak dapat menahan gelora di hati lagi. ketika tiada siapa yang bangkit dari tidur kerana lena diulit dingin malam, dia masih di situ berdoa. Dalam doanya dia mengadu:
Ya Rabb Tuhanku yang maha mendengar lagi maha Melihat. Tuhan yang tahu akan segala dalam batinku. Tuhan, kini jiwaku hiba sekali memikirkan akan hal ini. Mungkin,padaMu waktu ini tidak sesuai untukku berfikir tentang ini. Tetapi, suara hatiku mula berkata-kata dan akal ligat untuk memahaminya.
Jodoh! Adalah suatu yang telah ditetapkan olehMu. Itu aku tahu. Tetapi, hatiku sudah mula bertanya akan diriku. Aku bila lagi? sedangkan ada teman-temanku mula mendirikan rumahtangga. Apatah lagi, ada diantara mereka sudah memiliki buah hati masing-masing. Ya Allah, bahagianya kulihat mereka. Mereka memperoleh pahala yang berlipat kali ganda untuk sesuatu ibadah sedangkan orang yang sendirian sepertiku hanyalah mendapat pahala asalnya sahaja. Malah mereka juga dapat menundukkan pandangan mata dan nafsu daripada terjerumus ke lembah yang hina. Aku sungguh cemburu dengan mereka.
“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangan mereka...”(Surah an-Nur, ayat 31).
Ya Allah, ampunkanlah dosaku andai cemburuku itu adalah satu kekhilafan.
Ya Allah, apakah aku masih ada peluang untuk menjadi suri dalam hati seorang lelaki yang bernama suami? Sedangkan aku ini tidak punya hal-hal istimewa pun berkenaan diriku. Malah aku seorang yang banyak kekurangan fizikal walaupun aku bukan termasuk dalam kalangan orang kurang upaya. Ya Allah, bukan aku tidak bersyukur akan semua nikmat yang Engkau berikan padaku. Alhamdulillah akan segalanya. Tetapi, perasaan ini timbul kerana padaku seseorang pasti mahukan seorang yang indah di matanya. Dan aku bukanlah daripada mereka yang sedap mata memandang.
Itulah antara bisikan sedih yang diadu olehnya kepada Illahi. Dia yang bernama Aisya Zahra masih menangis teresak-esak di atas sejadah itu tanpa disedari oleh ahli rumahnya. Hatinya sedang merintih. Dan dia sudah merintih pada Tuhan. Dan sememangnya dia tahu Allah lah tempat yang tepat untuk meluahkan sesuatu kegusaran dan apa sahaja kerana Dialah Tuhan yang maha Mengetahui.
Setelah itu, dia bangkit untuk bersahur. Dalam hatinya, dia berbisik yakin bahawa Allah mendengar doanya yang tulus itu. Dan dia yakin, bahawa dengan barakahnya Ramadan , InsyaAllah Allah pasti akan membalas jawaban pada doanya sebentar tadi.
“ Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir”
Bersambung…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan