Sabtu, 25 Disember 2010

LAMBAIAN AKHIR

Assalamualaikum!

Penghujung Disember sudah hampir berakhir. Menutup lembaran lama untuk membuka lembaran kitab baharu.


Untuk tahun 2011, saya akan ‘renovate’ blog ini supaya tampak lebih matang daripada sebelum ini, insyaAllah.Sepanjang dua tahun ini, saya menulis dalam blog ini, saya telah memfokuskan lebih kepada wanita, cinta, keluarga, persahabatan dan kehidupan sebagai pelajar bukan daripada aliran agama di universiti.



Wanita dan cinta sangat berkaitan. Kerana cinta, sebahagian wanita sanggup menurunkan ‘gred’ kehormatannya. Kehormatan tidak semestinya jatuh apabila di ‘rape’ atau sebagainya. Tetapi, hanya berjalan berdua-duaan dengan lelaki ajnabi juga boleh menjatuhkan gred maruah.



Jadi, kerana itulah saya menulis tentang wanita dan cinta. Saya tidak mahu sahabat-sahabat mahupun saya sendiri yang terlibat dalam kancah cinta itu. Sudah beberapa kali dalam penulisan lalu, sudah saya tekankan bahawa cinta itu merupakan satu perasaan yang semua insan tidak terlepas daripadanya, namun bagaimana cinta itu diekspreskan itu ada hukumnya. Samaada haram, halal atau harus atau juga makruh.

Ada juga yang bertanyakan akan diri saya; apakah saya pernah jatuh hati dengan seseorang? Senang je jawapannya. Jawab saya, siapapun dia hatta seorang ustaz… dia tetap manusia. dan manusia tidak terlepas untuk sukakan seseorang kerana itu lumrah bagi setiap anak Adam. Begitu juga saya. titik!


Keluarga dan persahabatan juga menjadi tema dalam penulisan saya. keluarga merupakan satu inspirasi saya dalam segenap aspek. Tiada yang menyayangi saya sehebat mereka. Tiada yang cinta akan saya sehebat cinta mereka.


Persahabatan pula saya dapat tuntaskan bahawa, seorang sahabat yang setia tidak semestinya di sisi, namun kehadiran doanya selalu dirasa pada setiap waktu.

Sahabat-sahabat sekalian,

Untuk tahun2011 ini, saya punya impian tersendiri apabila memikirkan tentang cita-cita dalam hidup. Apakah yang saya mahu dalam hidup ini atau apakah yang patut saya lakukan untuk umat masyarakat? Itulah persoalan yang sering timbul di benak fikiran saya. saya tidak mahu menghabiskan waktu dengan begitu sahaja kerana saya tahu di atas pundak saya sudah tergalas tanggungjawab.

Untuk tahun ini juga, saya akan menamatkan pengajian saya dalam diploma undang-undang (sivil) pada bulan 6 ini, InsyaAllah. Doakan saya agar saya dapat menyambung pengajian dalam bidang Syariah untuk sesi Julai 2011/2012 di UNISZA. Walaupun sivi dan syariah adalah dua jurusan berbeza namun ia di bawah bumbung yang sama iaitu UNDANG-UNDANG. Saya sukakan undang-undang kerana saya sendiri sudah gariskan undang-undang (prinsip) terhadap diri saya . saya tidak dapat hidup tanpa prinsip!



Lambaian Terakhir,
Tulus,
Izzati a.k.a insan

Khamis, 23 Disember 2010

PERHATIAN: STATUS SUDAH BERUBAH = CIK KEPADA PUAN

Assalamualaikum!
Bismillahirrahmanirrahim.

Setanggi cinta mewangi di atmosfera bumi
Menyentuh rongga-rongga sanubari
Antara Hawa dan Adam
Mengubah haram menjadi halal
Dalam satu lafaz sakinah
‘ aku terima nikahnya…’





Alhamdulillah, tanggal 25 disember 2010 a.k.a pada hari sabtu depan, sahabat a.k.a senior saya Nik Khadijah akan melangsungkan perkahwinannya begitu juga pensyarah saya untuk subjek Land law ;Mdm Nor Aida.Barakallah!



Alhamdulillah, dengan izin Illahi mereka telah dipertemukan dengan pangiran hati. Tiada lagi rahsia jodoh. Tabir sudah tersingkap. Begitulah takdir Illahi yang penuh misteri.

Saya masih ingat, buat pertama kali Mdm Nor Aida masuk ke kelas dan sebelum bermulanya kuliah, beliau sempat berkenalan dengan kami(para pelajar). Ketika kami sedang berta’ruf, beliau agak terkejut apabila mendapat tahu salah seorang daripada kami sudah berkahwin. Beliau kelihatan kaget kerana kebanyakan daripada kami berumur dalam lingkungan 20 tahun. kami cuba memberi peluang untuknya meneka siapakah gerangan yang sudah berkahwin.


Tahu tak siapa? Orang yang pertama beliau teka ialah….

“ awak ker izzati?” Tanya beliau. Saya tergamam dan malu. Saya?
“Tidak…” jawab saya.

Tambah beliau lagi,
“ biasanya, mereka yang berjilbab labuh , nampak wara’ ni kahwin awal.”

Dalam hati saya berkata:
Malunya… calon pun tak de apatah lagi kahwin. Tak semestinya pakai tudung labuh kahwin awal…

Apapun , saya doakan agar Kak Nik dan Mdm Nor Aida bahagia dalam menempuh onak cabaran yang pasti ada dalam setiap bahtera cinta. Bukan bahtera cinta andai tidak pernah dilanda ombak, bukan bahtera cinta andai setiap purnama berima dingin.
***************
Izzati, awak bila lagi? ini jugalah antara soalan yang cukup famous atau question of the year pada tahun ini. Walaupun bagi saya waktu ini adalah waktu yang masih awal lagi untuk ditanya soalan sebegitu kerana Saya masih muda!

Ada yang Tanya lagi…

Izzati apakah antara ciri-ciri ‘future husband awak? Aduh! Soalan yang sukar. Cuma, yang hanya saya boleh jawab adalah…bukan ciri – ciri tentang ‘dia’ yang saya suka tetapi untuk ciri yang sebaliknya.

Saya senaraikan antara sifat-sifat lelaki yang saya tak suka:


1) lelaki yang suka mendekatkan dirinya kepada perempuan yang disukainya dengan cara bersms atau menelefon,

2) jiwang karat,

3) suka hantar mesej yang tak penting a.k.a yang ada ayat-ayat yang agak jiwang sebab saya saya rasa saya adalah fitnah baginya lagipun saya tidak suka ayat yang jiwang

4) tak bersahaja kerana menunjukkan itu bukan dirinya sebenar


5) bercakap lembut (seperti dibuat-buat) dengan perempuan

6) suka memuji(setiap hari memuji..contohnya, cantik, comel) kerana pujian itu adalah sesuatu yang saya tidak sukai.


7) tiada prinsip hidup

8) mudah meluahkan perasaan suka kepada wanita sebab bagi saya lelaki yang ‘gentle’ dia akan bagitahu ibu dan bapa perempuan tersebut akan perasaannya


setakat itu sahaja. kalau ada penambahan akan ditambah lagi... maaf, entri ini bukannya formal ... jadi, ada ayat-ayat yang agak sempoi digunakan


p/s: doakan agar adik saya yang no.2 dipermudahkan pertemuan dengan jodohnya…Amin.

Jumaat, 10 Disember 2010

“ DI MANA ALLAH?”, TANYA SI KECIL BUAH HATIKU

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum

“ izzah, Allah suka kalau izzah pakai kain tudung”, ujar saya kepada adik bongsu saya yang kini hampir berumur 4 tahun.
“izzah, kalau izzah buat baik, Allah suka…nanti buleh masuk syurga dan dalam syurga ,izzah boleh minta apa sahaja yang izzah mahu.”, bagitahu saya kepada adik saya sewaktu bercanda dengannya.

Begitulah, cara yang saya pilih untuk menyemai pengetahuan tentang Allah, syurga atau sesuatu yang mudah mengenai aqidah kepada adik-adik saya( yang masih belum bersekolah). saya tidak mahu terlalu melulu untuk mengatakan bahawa Allah akan marah kalau mereka melakukan sesuatu yang salah. Ini adalah disebabkan, saya ingin menanamkan kepada mereka bahawa Allah itu Maha Cinta, Maha penyayang dan tidak Zalim kepada hamba-Nya.
Alangkah negatifnya persepsi mereka terhadap Allah andai sebelum mereka benar-benar kenal Allah saya telah menakut-nakutkan mereka dengan sifat-sifat Allah yang lain seperti al-Hakam , al-Muntaqim dan lain-lain.

Pernah satu ketika , adik saya yang masih kecil bertanya pada saya:

“ kak, mana Allah”, berulang-ulang tanyanya. Saya menjawab dengan semampu mungkin. Namun, bagi saya, jawapan yang saya utarakan itu belum cukup memuaskan. Waktu itu, saya fikir bagaimanakah cara yang terbaik untuk menjelaskan kepadanya dengan seringkas mungkin tetapi mudah difahami.
Alhamdulillah, pada hari ini, Allah menemukan saya sebuah buku yang bertajuk Bila Anak-Anak Bertanya Tentang Allah dan Alam Ghaib tulisan Muhammad Muhyidin. Buku inilah yang perlu saya hadam sebelum persoalan lain yang ditimbulkan oleh Si Kecil saya.


Sahabat sekalian,

Memang benar soalan Di Mana Allah itu sangat mudah untuk dijawab, tetapi andai persoalan itu ditanya oleh si kecil jawapannya menjadi terlalu sukar untuk dihamburkan. Jadi, untuk persediaan akan datang andai ditaklifkan menjadi seorang ibu atau bapa atau guru sekolah rendah, saya syorkan buku ini menjadi salah satu buku yang perlu anda hadam sebelum taklifan itu diletakkan atas pundak anda.

Apapun, selamat membaca!


Ingin jadi kakak solehah!
Kakak a.k.a Sulong

Isnin, 6 Disember 2010

SETELAH JARI JEMARI BERHENTI MENARI UNTUK SEDETIK


Assalamualaikum
Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah … saya titipkan hamdalah kepada Tuhan yang selayaknya untuk disyukuri atas segala nikmat yang dikurniakan kepada hamba-Nya.

Sahabat yang saya cintai,

Sudah lama rasanya , jari jemari saya tidak menekan punat kekunci untuk menulis sesuatu di halaman ini dek saya dihambat masa untuk menelaah pelajaran kerana peperiksaan akhir semester telah bermula. Dan Alhamdulillah, dua tiga hari yang lepas, tempoh peperiksaan telah berakhir.

Semasa tempoh peperiksaan tersebut, saya seperti tidak percaya kerana dengan izinnya dapat menulis jawapan 2 booklet selama 2 jam setengah untuk setiap lima subjek. Bagaikan bukan saya yang menulis… seperti ada satu kuasa yang membuatkan saya menulis jawapan tersebut. Ya, dengan kuasa Illahi.

Bukan ingin mendabik dada, apatah lagi jawapan tersebut belum tentu betul dan tepat. Tetapi, kadang-kadang sebagai seorang pelajar kita lupa kepada Allah seuasai menduduiki jawapan. dalam hati pasti ada yang berkata” aku dapat jawab dengan usaha aku”. Bagi saya itulah perkataan yang kurang ajar dan zalim kepada Allah. tidakkah tanpa izin Illahi kita boleh menjawab soalan itu dengan mudah? Dan bagaimana setelah kita berusaha namun ketika di dalam dewan peperisaan kita tidak dapat menjawab soalan tersebut dengan mudah?

Ucaplah hamdalah, implementasikan syukur dalam setiap ketaatan

Di sini juga saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat tahun baharu hijrah ;1432h kepada sahabat sekalian. Semoga amalan dan ilmu kita semakin bertambah daripada tahun yang sudah.Dan kurang sebulan lagi, kita juga akan memasuki tahun baharu masihi;2011.

Tahun 1432h dan 2011m beerti usia saya akan menginjak ke 21 tahun. Usia yang signifikan dengan remaja dewasa. Alhamdulillah, jika dahulu saya berharap sangat saya dapat merasai bagaimana rasanya berumur 21 tahun. Dan kini, Allah telah memilih saya untuk itu. Saya sudah dewasa!


Saya juga berharap, pada usia 21 tahun, Allah akan makbulkan doa saya tentang itu. Doa apa? It’s secret … haza sir. Cuma, saya mohon sahabat sekalian ‘aminkan’ doa saya semoga diperkenankan Illahi.

Dan terakhirnya, selamat melangkah tahun baharu dengan langkahan berima kekuatan, meninggalkan kejahilan silam.

Saya,
Alfaqirah ilaLlah
Tara tiana a.k.a Izzati Anas
Unisza

* ahad depan bermulanya praktikal di BBG..

Isnin, 29 November 2010

An Nur Bicara Kasih Tuhan

An-nur bicara Tuhan
Terselit seribu bicara pesan
Dari Tuhan untuk hamba-Nya

Bicara dalam An-nur penuh berisi cinta Illahi
Mengajar abduh dalam melayari sebuah bahtera hidup

Manusia!
Dalamilah setiap patah harf bicara An-Nur
Nescaya akan tersingkaplah cahaya
Menampakkan segala susur sejahtera bagi
Setiap langkahan menuju Illahi




An-Nur adalah satu surah yang berisi segala nasihat Allah kepada abduh.
Saya suka sekali mendengar dan menghayati surah ini.

Khamis, 11 November 2010

Kasih seorang adik kepada Kekandanya kerana Illahi

Assalamualaikum!








“ kak, tahu tak aurat antara ahli keluarga camna…?”, Tanya adik saya tatkala umurnya 13 tahun manakala saya 14 tahun.

“kak, nipis tu kain tudung kakak..”, tegurnya tatkala warna tudung yang saya pakai pada hari tersebut agak lembut.

“kak, menulislah…kalau abang ada ilmu tentang undang-undang abang akan tulis, kalau x,nanti kalau kita mati kita tak de sumbangan kat masyarakat. Kalau menulis, sumbangan itu akan ada dan takkan hilang”, pesannya ketika saya berada di tahun 1 pengajian undang-undang.

“kak, tv tu merosakkan. Kalau nak tengok boleh tapi upin dan ipin ker spongebob ker?”, begitulah kata-katanya kepada saya.


“kak, ulanglah hafazan kakak tu walaupun 4 juzu’”, pesannya


Itulah antara pesanan dan teguran adik saya yang masih saya ingat sampai saat ini walau banyak lagi pesanannya yang masih segar dalam ingatan. Sememangnya segala teguran dan pesanan itu adalah untuk kebaikan diri saya.

Bagi saya itulah KASIHNYA SEORANG ADIK KEPADA KEKANDANYA. Kasih kami terpatri untuk sama-sama mengejar redha Illahi.

Saya menulis ini bukan ingin memuji adik saya. Tidak sesekali! Tetapi hanya ingin memberikan contoh terdekat kepada sahabat-sahabat sekalian tentang kasih antara adik beradik. Saya pasti ramai yang akan mengungkapkan betapa mereka cintakan adik, abang dan kakak mereka. Tetapi, berapa ramaikah yang mengimplementasikan cinta kepada saudara kandungnya melalui perbuatan ( kea rah mencapai mardhatillah)? Apakah kata sayang itu hanyalah sekadar mainan di bibir sahaja tanpa ada usaha untuk bersama-sama menuju cinta Illahi?

Bukankah LOVE IS A VERB?


p/s-
tulisan ini sekadar memberikan persoalan kepada pembaca sekalian, apakah kita telah menunaikan hak kita kepada adik beradik kita?

Syukran jiddan adikku(http://alkutawisyah.blogspot.com) atas segala nasihat kepada kakak. insyaAllah, kakak akan turuti segala nasihat abe. Doakan kakak yer.

Rabu, 10 November 2010

marilah bermuhasabah walau sejenak

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim

Pada saat saya menulis entri ini, hati saya berdebar-debar… resah bagaikan tidak akan pernah menemui titik noktah. Saya bermuhasabah pada diri saya sendiri, menekuni kisah-kisah yang telah dilalui oleh saya apakah saya telah berbuat sesuatu yang Allah tidak redhai? Apakah saya telah berbuat kejahatan kepada manusia atau makhluk Khaliq yang lain? Apakah juga saya telah menzalimi diri saya sendiri dengan dosa ?



Sejenak saya berfikir dan inilah jawaban:



Sememangnya, saya seorang manusia yang pelupa tentang dosa dan leka dengan keindahan fatamorgana. Ya, semalam ada dosa, sebelum terampunnya dosa itu , pada hari ini saya telah membuat dosa baru. Astagfirullah!


Hati tidak tenang kerana mungkin saya telah meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya. Iman yang ada dalam hujung hati saya bagaikan ingin menangis. Sambil ia bertanya pada hati:

Engkau buat dosa lagi??? pintalah keampunan dari Allah sebelum Allah tidak redha denganmu.


Ya Allah, saya terlupa dengan perkataan redha Allah! redha Illahi itulah yang saya kejar. Andai saya dimasukkan ke dalam neraka kerana Allah redha akan itu , maka saya akan masukinya.Saya hanya pinta agar Allah meredhai diri saya sebagai hambaNya.



Ya Allah,

Aku tidak memandangnya kerana

Aku inginkan redhaMu

Aku tidak mahu ke sana kerana

Aku inginkan redhamu

Andai redhamu beredar dariku

Maka hinalah diriku, terumbang ambinglah diriku

Gentarlah seluruh badanku ketakutan,

Bagaikan sang Kekasih bersedih duka ditinggalkan

Kekasih yang dicintainya



Illahi,

Ampunkan aku

Astaghfirullah

Astaghfirullah



Sahabat yang saya cintai sekalian,



Marilah kita sama-sama mengejar redha Illahi. Ya, ganjarannya pasti syurga! Tetapi niatkan kerana inginkan redha Illahi, itu yang prioritinya ini kerana seseorang dimasukkan syurga bukan semata-mata kerana amal seseorang tetapi rahmat Illahi.

Di sini juga, saya mohon kalian memaafkan saya atas segala silap dan salah saya. Saya memohon maaf bukan kerana peperiksaan akan menjelma tak lama lagi. bukan! Tetapi, saya mohon maaf ini adalah salah satu cara untuk saya menuju redha Illahi. Hati tidakkan pernah tenang sehingga mati andai salah dan silap saya tidak dimaafkan oleh manusia-manusia walau seorang Cuma.

Akhirnya, saya pohon kepada sahabat sekalian mendoakan saya agar saya dipermudahkan untuk menjadi seorang abduh yang senantiasa merindui khaliq…


p/s- hati ini juga berasa bergetar, nafas turun dan naik apabila terbaca:

kata-kata Imam Al-Ghazali.

“Barangsiapa mengaku cinta syurga tetapi tidak beramal dengan ketaatan, maka dia adalah pembohong. Barangsiapa yang mengaku takut pada neraka tetapi tidak meninggalkan maksiat, maka dia adalah pembohong.”


ana alfaqirah Ilallah

ya Allah, jadikan hatiku ini lembut, mudah dilekuk dengan iman...siramilah hatiku dengan ikhlas jauhi aku dengan ria dan ujub. Aku takut Engkau tidak menerimaku kerana adanya sifat-sifat ini dalam diriku...amin

Ahad, 7 November 2010

Monolog Cinta Tentang Cinta pada yang Maha Cinta



Di sana dia berdiri lagi
Seperti malam-malam yang lain
Sambil matanya menyoroti selimut langit
Mencari-cari kelip-kelip sinar kejora
Untuk menemaninya bermonolog

Tiada! Dengus hati kecilnya
Bulan juga tiada!
Apakah malam pekat ini akan dilalui tanpa teman alamnya?

Hatinya bermonolog senyap
Bagai menagih simpati semesta
Lewat kata-katanya yang terbuku dalam tusuk batinya
Kedengaran seperti dia ingin meluahkan segalanya
Hanya pada Illahi tempat dia mengadu

(dalam hatinya dia berkata):
Wahai Tuhanku pemelihat abduhnya, lihatlah diriku sekarang sedang menatap langit sendirian. Tiada lagi teman alamku menemaniku untuk kali ini. Betapa sepinya hidup tanpa berteman walau hanya dengan alam.


Tuhan, aku tahu Engkau tidak akan pernah meninggalkan aku walau aku jauh terusir ke penjuru dunia atau seluruh isi dunia menghambatku pergi ke planet lain. Aku tahu Engkau dekat denganku dan Engkau tidak akan pernah beredar daripadaku kerana Engkau adalah Tuhanku yang Maha Penyayang.



Ya Rahim, izinkan aku bermonolog denganMu bukan seperti hari-hari yang lepas. Sungguh tidak tertanggung rasanya untuk menyimpan semua pedih dalam kantung hati. Walau aku tahu Engkau Maha Tahu akan semua perkara tentangku. Tetapi, aku hanya ingin pada malam ini bermonolog padamu tentang resah ini.



Monolog cinta
ini hanya kuungkapkan padaMu agar segala laraku pergi menghilang. Illahi, untuk beberapa kalinya, Alhamdulillah…Aku bersyukur kerana cintaMu padaku telah engkau manifestasikan melalui taburan hidayah dalam nuansa spritualku sebelum tanganku sempat menyentuh bayu angin cinta duniawi.

Ya Illahi
Kerana Engkau yang kupuja,
Aku menjauhi dia
di saat hatiku ingin berada bersama bayangannya

kerana Engkau pemilikku
aku berdagang merantau pergi
ketika hatiku berlabuh padanya

kerana Engkau Pemilik Cintaku
Aku menjauh bersembunyi dalam hutan belantara
pada waktu hatiku mendesak untuk melihatnya

kerana Engkau,Illahi
kurobek semua cinta duniawi daripada berdenyut seiring hembusan nafasku

Dalam monolog itu juga dia mengharap:




Illahi, aku tahu dia sebelum ini adalah fatamorgana untukku. Bukan halal untukku. Maka pintaku, engkau utuskanlah ‘dia’ yang halal untukku. Agar cintaku padaMu bertambah memuncak tinggi ketika aku dan ‘dia’ bersama-sama menjadi teman beribadah; teman menasihati . Sesungguhnya, aku tidak mahu memilih ‘dia’ atau mengenalinya kecuali Engkau memilihnya dan memperkenalkannya padaku.




Monolog cinta ini kuimplementasikan
Dalam sebuah pengharapan


Untuk beberapa detik, dia menuntun kakinya sambil bibirnya bergetar menyebut,
Allah pasti akan mengabulkan doaku
Amin




p/s- aminkan permintaanya

Khamis, 4 November 2010

LABUHILAH TABIRMU

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh
Bismillahirrahmanirrahim





Kugubah huruf-huruf Roman menjadi satu ayat bahkan sudah mula menjadi satu karangan

panjang . Tujuanku hanyalah satu apabila aku memintal huruf –huruf itu menyatu

yang kini menjadi tatapanmu adalah kerana aku mencintaimu, saudariku. Aku seorang

wanita dan aku mencintaimu saudariku. Cinta berukhuwwah kerana Illahi.


Sebelum itu, seharusnya aku memperkenalkan diriku padamu. Bak kata pepatah tak kenal

maka tak cinta. Aku seorang wanita biasa yang tidak terlalu istimewa berbanding

wanita lain. Sedikit kelemahan ada pada fizikku. Tiada rupa . namun, syukur

kupanjatkan kepada Illahi kerana bagi Dia, rupa itu tidak penting tetapi amalan dan

keihlasan itu penting bagi-Nya. Dan,sekarang aku cuba mentarbiahkan diriku agar

menjadi seorang wanita solehah walau susah dan payah untuk mamakai mahkota sebagai

wanita solehah.


Saudariku, engkau saudara seislamku,



Aku rungsng melihat muslimah-muslimah yang lain.Aku juga khuatir akan diriku dan

dirimu kerana siapa tahu hati dan prinsip yang selama ini dipegang roboh dek

persekitaran.


Saudariku, Kebanyakan daripada mereka sudah tidak segan silu mengenakan pakaian yang

mencolok mata yang sememangnya diharamkan Islam. Mereka juga mengagungkan cinta

seolah-olah cinta sebelum nikah itu bermaruah.

Sering akalku bertanya: apakah cinta , fesyen dan hiburan sahaja yang difikirkan

oleh sebilangan wanita Islam untuk ketika ini? Di manakah akal mereka yang cerdik

itu ? kenapa tidak digunakan untuk Islam dan bangsa?


Saudariku temanku,



Inti penting yang hanya ingin aku luahkan di sini hanyalah tentang maruah seorang

wanita. Jagalah maruahmu. Usah menjatuhkan maruahmu kerana nafsu. Itu bukanlah

imbalan yang layak untuknya. Maruah tidak boleh dijual beli. Malah tidak boleh

ditugar ganti seperti sistem barter dahulukala.


Cuba engkau bertanya pada dirimu, apakah engkau menginginkan sesuatu barangan yang

sudah digunakan oleh orang lain? Mahukah engkau dikategorikan sebagai barangan murah

yang sudah dipegang dan digunakan orang? Atau mahukah engkau menjadi barangan murah

seperti di pasar-pasar tani? Cuba engkau fikir, kenapa barangan itu murah bukan

mahal? Walhal barangan yang dijual di sana ada dijual di pasaraya atau hypermarket

dengan harga yang mahal.

Apakah engkau rungsing andai dirimu dibaluti maruah pasti engkau akan tidak laku?

Apakah itu soalan yang timbul dibenakmu wahai saudariku?


Saudariku, jodoh itu ditangan Tuhan. Dan apapun semuanya dalam genggaman Tuhan.

Jangan kerana nafsu, Islam engkau ketepikan. Ketahuilah, apabila dirimu mengikuti

lunas-lunas Islam tentang apapun, pasti Allah memberikan satu anugerah yang tidak

ternilai kepadamu.

Aku pasti, walau bagaimanapun wajahmu dan rupamu andai disulami agama dalam diri,

engkau adalah bidadari di bumi ini. Akan ada mereka yang ingin menyuntingmu. Jangan

kerana wajahmu biasa-biasa sahaja kalau dipandang usahlah menurunkan harga diri

kerana takut tidak laku. Berdoalah kepada Allah, pasti Allah akan mengabulkan. Cepat

atau lambat itu urusanNya. Kalau doamu itu tidak dimakbulkan pasti ada hikmah

disebalik itu. Sebagai seorang hamba, berdoa itu adalah kewajipan.


Cukuplah sekadar itu sahaja tulisanku. Berdoalah kepada Allah agar dirimu dan diriku

dilimpahi hidayah untuk segenap waktu. Ayuhlah, memilih jalan yang sudah tersedia

untuk mendapat mardhatillah.



Ikhlas daripadaku,
Aku hanya wanita biasa
Ana alfaqirah ilallah

Rabu, 3 November 2010

Tersingkap Labuhan Tabir

Betapa Engkau sudah aturkan

Jalan hidupku dan juga hidup mereka

Mengikut putaran tahuMu

Aku hanya bertatih merangkak menyelusuri alur denai takdirmu


Bila takdir mengangkat tabir labuhannya

Maka tersingkaplah cahaya memutih

berderai jatuh setiap butir mutiara hikmah

Yang selama ini dada selalu berkebun resah menjadi kian meluas

Yang selama ini wajah murung kelam kian mencerah sinar

Sama-sama melafazkan kata puji

Alhamdulillah,inilah hikmahnya


Baru kusedar bahawa

Takdir ini kalau penghadangnya ditolak tepi

Pasti ia ingin memberitahu

Cukuplah pengharapan itu kepada Illahi dan

Menyambut jawaban dengan luas hati

Baru aku tahu

Pengharapan, penyerahan itu selalu seiring

Tidak boleh ditinggal satu dipegang satu

Tidak boleh!


CARILAH KEDAMAIAN DALAM TAKDIRMU KERANA DI SANA ADA JAWAPANNYA

Selasa, 2 November 2010

MONOLOG WAKTU SENJA

Assalamualaikum!

Alhamdulillah , Alhamdulillah!

Saya kibarkan panji hamdalah di sini tanda mensyukuri setiap nikmat Illahi. Nikmat Iman dan nikmat Islam itu merupakan nikmat terbesar yang saya perolehi. Alhamdulillah!

Pada kebiasaanya, pada waktu petang saya akan berjalan bersendirian melewati jalan-jalan biasa yang hampir setiap hari saya akan melaluinya. bagi saya itulah salah satu cara untuk saya merehatkan minda setelah hampir seharian berada di dalam bilik kuliah.

Pada petang itu, kaki saya menuntuni seperti biasa,melewati jalan biasa ke destinasi yang sama sesekali pandangan meliar melihat pemandangan langit yang begitu memberikan rasa ta’jub saya kepada Illahi. Sungguh luas langit ciptaan Illahi dan sudah pasti rahmat Illahi sangat luas daripada itu. Subhanallah!

Sedang saya menekuni ciptaan Illahi, mata saya tertumpu pula kearah sekumpulan wanita. Mungkin umur kami hampir sebaya. Ada diantara mereka berjubah labuh dan ada juga yang mengenakan niqab. Mereka berjalan beriringan antara satu sama lain. Mata saya mula tunduk malu. Betapa kecilnya saya di hadapan mereka. Hati saya mula berbisik, inilah ciri-ciri wanita solehah dari aspek berpakaian . Dan sudah semestinya mereka juga adalah wanita solehah.

Tiba-tiba hati saya menangis kecil. Mengenangkan diri saya yang serba jahil dan kadang-kadang leka dengan kemanisan fatomargana dunia menyebabkan saya hilang fokus pengabdian diri kepada Illahi. Astaghfirullah!

Berbalik kepada sekumpulan wanita yang saya ceritakan tadi, saya berasa pasti dan yakin bahawa ukhuwwah antara mereka itu saling utuh kerana melihat kondisi mereka yang semuanya persis durrah sofiah. Pasti mereka saling memberi nasihat antara satu sama lain untuk kebaikan bersama. Alangkah indahnya juga, andai mereka yang berada di samping saya atau mereka yang mengenali saya secara jauh selalu memberikan teguran dan nasihat kepada saya untuk saya melangkah menjalani sebagai seorang wanita Islam;muslimah.

Sesungguhnya, saya akan menghargai mereka yang selalu memberi nasihat kepada saya. Itu tandanya mereka cakna tentang agama saya. Mereka tidak mahu saya jatuh tersungkur tanpa saya bangun semula. Satu perkataan yang hanya boleh saya sampaikan dari dalam sanubari saya kepada mereka hanyalah ucapan syukran. Dan selebihnya saya mohon kepada Illahi agar memberkati mereka dalam segenap waktu.

Pada waktu petang itu, seperti biasa saya akan melalui jalan yang sama untuk kembali ke kolej kediaman saya. Pada pada petang itu juga, seperti biasa pasti saya akan bermonolog sendiri mengimbas catatan hidup yang lalu untuk menegur diri sendiri.

Ahad, 24 Oktober 2010

Takluk Cinta




Assalamualaikum!



Sesekali aku merenung ke arah gugusan bintang begemerlapan. Hembusan dingin malam menyentuh lembut. Alangkah indahnya andai aku bisa menuturkan kata-kata yang bersarang dalam sanubariku seperti angin lalu begitu sahaja. Tidak menyakitkan bahkan menyenangkan hati yang mendengarnya. Alangkah indahnya andai aku bisa mencantumkan gugusan perkataan menjadi satu kalimah yang indah bunyi untuk memberitahu lafaz yang tersimpan dalam jiwaku. Namun, berkatalah benar walaupun pahit itu sudah sebati dengan diriku. Tidak mungkin aku menundukkan prinsip ini hanyalah semata-mata kerana sebab satu ini. Tidak mungkin!



Alangkah rumitnya jika masalah hati ini bertandang. Solusinya pasti dengan hati juga. Hati dan iman memainkan peranan penting seiring fikiran yang selari dengan syara’.



Wahai saudaraku,



Aku menulis ini khusus untukmu dan kaum sepertimu. Bukan untuk wanita jua bukan untuk perempuan. Aku menulis helaian ini kerana aku mempunyai impian terhadapmu. Impian yang tinggi kerana aku tidak mahu engkau jatuh tersadai akibat tersalah ucap cinta.

Wahai saudaraku,

Aku mengerti cinta manusia itu indah. Tetapi cinta Illahi pasti lebih indah.



Berbalik kepada cinta manusia, aku akan rungkaikan sedikit sahaja kerana inilah pandanganku terhadap seorang Adam yang ingin meluahkan cintanya kepada Hawa bahkan untuk menjadikannya sebagai seorang pendamping hidup.




Islam itu adalah agama yang syumul tentang apa-apa perkara sekalipun. Pasti juga islam telah menggariskan adab-adab seorang pria ingin menyunting seorang puteri. Tetapi, pada hari ini sudah lain. Adab –adab ini disampingkan. Bagaikan dengan bertanya kepada empunya tuan itu adalah dianggap sebagai ‘gentleman’. Tidak penakut atau pengecut. Itu salah bagimu tekaanmu, wahai saudaraku. Salah semata-mata.



Bagiku, andai engkau ingin melafazkan butir hasratmu itu kepada empunya diri hendaklah menggunakan orang tengah. Tidak perlu tergesa-gesa menyampai hasrat secara ‘direct’. Ataupun beritahulah hasrat itu kepada orang tua gadis tersebut. Itulah bagiku adalah jalan yang mengelakkan kemaksiatan daripada tumbuh meliar dan tanpa disedari hilang barakah untuk pertama kali memulai perhubungan ( untuk berkahwin).



Kemudian, andai hasratmu itu diterima baik oleh gadis idaman serta keluarganya, maka seharusnya elakkan daripada berhubung yang tidak penting secara kerap walau apapun metod. Itu untuk mengelakkan hilang barakah.




Andai engkau ingin mengenali gadis tersebut dengan dekat gunalah pendekatan orang tengah yang boleh dipercayai untuk mengetahui segalanya tentang gadis tersebut. Itu lebih elok. Atau ingin berjumpa dengan wanita tersebut hendaklah wanita tersebut ditemani oleh mahram yang tahu tentang hokum hakam Islam.



Bagiku, lelaki yang bisa melaksanakan apa yang sudah diperkatakan di sini adalah seorang yang begitu diidamkan oleh wanita solehah. Inilah dia lelaki yang dicirikan sebagai lelaki yang gentleman;takutkan Allah;takutkan maksiat. Inilah pandanganku juga pandangan beberapa sahabatku yang lain.




Itulah serba sedikit yang aku boleh ungkapkan. Maaf kerana aku tidak membawakan ayat daripada al-Quran atau hadis untuk dijadikan dalil. Tetapi, kutegaskan sekali lagi bahawa ini hanyalah pandanganku dan beberapa sahabatku . sebelum melafazkan kata cinta kepada seseorang, belajarlah dahulu tatacara atau adab untuk itu. Kerana salah tingkah itu kadang-kadang menyebabkan hasrat itu ditolak mentah-mentah oleh wanita (yang ingin dikahwini).




Kerana itu aku menulis,
Ana al-faqirah

Jumaat, 22 Oktober 2010

BETAPA PUITIS TAKDIR TUHAN

Malam terus merangkak dingin
Mata belum tewas untuk mengulit lena
Dingin terus mencengkam tubuh




Kisah-kisah mereka
Berada kemas dalam dakapanku
Begitu puitis takdir Tuhan untuk mereka
Betapa Illahi itu Maha Penyayang
Memberi hidayah kepada setiap hamba
Air mata pasti bercucuran pergi
Syukur atas segala hidayah



Aku ingin mencintai-Mu
Seperti kekasih mencintai kekasihnya
Bahkan lebih daripada itu



Aku ingin merindui-Mu
Seperti ibu merindukan bayinya
Bahkan lebih daripada itu



Aku ingin melafazkan segalanya
Segala cinta dan rindu yang sedang bersarang
Begitu berat untuk menuturkan
Dalam setiap tingkah
Walau sememangnya
Dalam hati kecilku berbisik
Ya Allah……………… aku rindukan-Mu
Duhai Illahi………….aku mencintaimu dan selalu ingin mencintai-Mu

Khamis, 21 Oktober 2010

SEBENARNYA AKU CINTA PADAMU



Bercakap soal cinta pasti kedengaran suara-suara nakal yang berkumandang. Kata mereka, cinta itu antara Adam dan Hawa. Benar, itu adalah antara kategori cinta. Tetapi, cinta yang sebetulnya dan seharusnya diletakkan sebagai cinta tertinggi hanyalah cinta kepada Allah.

Begitu senangkah untuk mencintai Allah?


Sukar sekali. Sukar untuk jiwa yang mencari cinta untuk mencintai selain daripada Allah. begitu payah sekali untuk merindui Allah apabila cinta itu diletakkan pada jalan yang salah. Namun, apabila ditanya tentang cinta akan Allah, semua pasti akan menggangkat tangan tanda mencintai Allah?

Cinta yang dilafazkan itu kadang-kadang bukanlah satu manefastasi daripada hati. Cinta yang dilafazkan oleh lisan belum tentu hatinya juga berkata seperti itu.

Bagaimana untuk mencintai Allah?


Wadah untuk cinta kepada Allah haruslah dicari jalan; cara yang bagaimana untuk kita bisa mendampingi cinta Tuhan? Bagi saya, dengan membaca al-quran; ayat-ayat cinta daripada Allah itulah yang akan menumbuhkan cinta dalam jiwa setiap manusia.

Kemudian, lihatlah betapa kasih dan cinta Allah kepada manusia dengan memberi pelbagai rahmat kepada setiap hamba-Nya tidak kira hamba-Nya itu baik atau sebaliknya. Pencinta-Nya atau pendosa. Namun, Dia tidak peduli akan semua itu. Dia tetap mengabulkan doa hamba-hamba yang terus beroa dan mengharap kepada-Nya.

Cinta Tuhan itu bukan dusta. Tidak pernah berdusta. Alangkah indahnya dan untungnya bagi jiwa yang sudah ada rasa cinta kepada Illahi. Betapa mereka berhati-hati dalam setiap bicara dan perbuatan kerana khuatir tingkah mereka tidak disukai oleh Illahi. Tidak disukai oleh tuhan yang dicintai mereka. Seperti kekasih yang tidak akan sesekali melakukan sesuatu yang bisa membuatkan pasangannya terguris hati. Ah, betapa indahnya jika sanubari kita semua ditautkan dengan cinta Illahi.

Yang pasti Allah sudah mengimplementasikan cinta-Nya kepada hambanya, Cuma kita yang belum memanifestasikan cinta untuk-Nya. Begitu sombongkah kita? Begitu besarkah cinta kita untuk makhluk yang sama dengan kita.

Justeru itu, kita harus menjari jawapannya. Bagaimana ingin kita pupuk cinta itu untuk Allah. dan mencintai manusia itu hanyalah untuk bersama-sama mamperoleh cinta Illahi.

Terakhirnya, saya tinggalkan sebuah lirik nasyid yang dipopularkan oleh kumpulan Raihan. Marilah kita sama-sama menghayatinya.


Sebenarnya hati ini cinta kepada Mu
Sebenarnya diri ini rindu kepada Mu
Tapi aku tidak mengerti
Mengapa cinta masih tak hadir
Tapi aku tidak mengerti
Mengapa rindu belum berbunga

Sesungguhnya walau ku kutip
Semua permata di dasar lautan
Sesungguhnya walau ku siram
Dengan air hujan dari tujuh langit Mu
Namun cinta tak kan hadir
Namun rindu takkan berbunga

Ku cuba menghulurkan
Sebuah hadiah kepada Mu
Tapi mungkin kerana isinya
Tidak sempurna tiada seri

Ku cuba menyiramnya
Agar tumbuh dan berbunga
Tapi mungkin kerana airnya
Tidak sesegar telaga kauthar

Sesungguhnya walau ku kutip
Semua permata di dasar lautan
Sesungguhnya walau ku siram
Dengan air hujan dari tujuh langit Mu
Namun cinta tak kan hadir
Namun rindu tak akan berbunga
Jika tidak mengharap rahmat Mu
Jika tidak menagih simpati
Pada Mu ya Allah

Tuhan hadiahkanlah kasih Mu kepadaku
Tuhan kurniakanlah rinduku kepada Mu
Moga ku tahu
Syukur ku hanyalah milik Mu

Bulan Berbicaralah!





Bulan berbicaralah!
Seluruh dunia menantikan kesaksianmu
Bahawa engkau menjadi saksi di mahkamah keadilan dunia
Katakanlah kepada seluruh isi lautan dan dunia
Betapa kejamnya si zionis yahudi!
Menyiat-nyiat kulit mereka
Yang bernama muslim
Beban bukti itu terletak di pundakmu!



Katakanlah!
Bahawa zionis yahudi itu bukan pendamai sebenar
Manifestasi segala mala fide dalam hati mereka



Berbicaralah! Berbicaralah!
Usah gentar!

Rabu, 20 Oktober 2010

AWAN IRINGILAH AKAN DIA






Dari jauh kuminta awan mengiringimu
agar dirimu terlindung daripada terik mentari
Namun ucapan kasih hanya
Engkau ucap untuk awan



Dari sana kuminta tanah keras
Agar dirimu tidak akan tergelincir jatuh
Namun senyumanmu hanya
Untuk kepingan tanah



Dari utara kuminta hujan
Turun ketika kemarau panas
Namun engkau hanya ucap syukran
Untuk titisan hujan



Dari jauh kuminta dia
Tanya khabarmu
Sakitmu
Sedihmu
Pada fikiranmu
Hanya dia sahabatmu
Namun engkau tidak pernah mengetahui
Aku disebalik tanyanya

Isnin, 18 Oktober 2010

IZINKAN AKU BERSAMAMU




Aku rebah di bumi sahara
Di bawah terik mentari
Bermuhasabah mencari wadah
Untuk kembali berfitrah sebagai seorang abduh

Aku pandang ke kanan
Kulihat di sana ada kafilah durrah sofiah
Kutemui di sana punya pengembara hurrul maqsurah


Aku melambai kepada mereka
Tanda aku ingin mengikuti
Aku ingin nafasku seiring disamping mereka
Tunggu !!!
Jeritku.
Aku ingin bermusafir bersamamu!
Jawab mereka ;
Kamu tidak layak untuk bersama kami
Kamu itu pendosa
Kami ini hanyalah bermusafir untuk mencari redha Allah
Lihatlah butir-butir pasir di sini
Dan apakah kamu kira dosamu ini sekadar itu?


Tuhan,
Kerdilnya hamba disamping mereka
Bagaikan langit dan bumi
Bagaikan bulan dan mentari
Tidakkan pernah berpadu walau semalam Cuma


Illahi
Hamba ingin menjejaki mereka
Walau debu-debu pasir hinggap di mata hamba
Angin sahara menerjah menghalang
Lemah lutut untuk melangkah
Tetapi itu bukan alasan
Untuk hamba berpaling pergi
Dari-Mu

Ahad, 17 Oktober 2010

OMBAK RINDU BUAT NENDA-NENDA YANG TELAH PERGI; SEMOGA DAMAI KALIAN DI SANA

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh


Kutuju khusus tulisan ini buat nenda-nendaku yang telah tiada di sisiku kerana telah dijemput pulang mengadap Illahi. Semoga nenda-nendaku berada bersama mereka yang
yang diredhai Illahi.


Kutulis serpihan-serpihan aksara ini hanyalah untuk memakna arca rindu seorang cucu kepada nenda-nendanya.

Nenda-nendaku yang kurindui,

Sesungguhnya, pada saat cucunda menulis warkah ini untuk nenda sekalian , ketahuilah bahawa cucunda sangat merindukan kalian. Rindu teramat. Sukar untuk cucunda mengungkapkannya dalam sehelai kertas.


Dan kini, cucunda teringin sekali untuk memanggil nama –nama nenda sekalian dan panggilan tersebut akan bersahut dengan senyuman. Oh, betapa cucunda pingin melihat senyuman kalian!



Untuk nenda yang cucunda panggil We,

Nenda, sehingga kini cucunda masih ingat nenda pernah menjaga cucunda. Nenda membawa cucunda bersama cucunda izzat mandi di masjid Kota yang berhampiran dengan rumah nenda. Di sana, nenda memandikan kami.


Nenda, cucunda juga masih ingat ketika nenda tidur di atas lantai, cucunda dan cucunda izzat bermain main (menyentuh) telinga nenda, menyentuh wajah nenda hanyalah semata-mata untuk membuatkan nenda bangun bermain bersama kami. Tetapi, kini, kami tidak dapat membangunkan nenda lagi. Nenda telah pergi jauh daripada kami.

Untuk nenda yang cucunda panggil Mek,


Nenda, walaupun hayat cucunda bersama nenda tidaklah panjang, tetapi, cucunda tahu nenda pernah menjaga cucunda ketika bunda ada urusan untuk beberapa waktu. Pasti, ketika itu nenda tidak dapat tidur pada malam hari kerana bimbang nyamuk- nyamuk akan mengganggu cucunda.

Nenda tahu, cucunda ada sekeping gambar ketika nenda memegang cucunda. Maka , andai rindu sudah tidak tertahan, pasti cucunda akan menatap foto itu untuk mengubati sedikit rindu.

Untuk nenda yang cucunda panggil Ayoh,

Nenda , ketika nenda meninggalkan alam fana ini, cucunda baru mengenal dunia. Terlalu awal nenda pergi meninggalkan cucunda.

Nenda, ayahanda dan bunda sering bercerita tentang nenda. Kata mereka, nenda seorang yang cukup menjaga ukhuwwah antara manusia. Kata bunda, nenda seorang yang peramah. Kata ayahanda, nenda seorang yang cukup ‘open minded’.

Nendaku sekalian,




Ketahuilah bahawa rindu ini tidak akan pernah pudar seperti laut tidak akan pernah berpisah dengan ombak. Rindu ini akan cucunda bawa sehingga nafas terakhir. Semoga nenda sekalian damai di sana. Terakhirnya,cucunda di sini hanya bisa mengunggkapkan doa sejahtera untuk nenda sekalian. Cucunda rindu akan kalian!

Ya Allah, damaikanlah nenda-nendaku di sana. Kumpulkanlah mereka bersama orang-orang yang soleh. Lihatlah kebaikan –kebaikan yang pernah mereka lakukan ketika berada di dunia.

Ya Allah, kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihi bunda dan ayahandaku.
Amin…


Cucundamu,
Kakak a.k.a. izzati
Unisza Kampus Gong Badak
Kuala Terengganu

Engkau kecundang ketika membina sebuah masjid barakah!





Mulia !
Nikah itu bahagia
Menuju nikah itu mulia
Kerana dua insan dari benua berbeza
Saling mengikat janji setia untuk saling membina
Sebuah masjid bertahtakan intan fitrah.

Awas!
Nikah itu tiada utuh
Selagi tiada barakah

Awas!
Mulaikan satu ikatan
Dengan tapak barakah
Pasti nikah itu membawa berkat

Awas!
Berwaspadalah dalam berhubung
Selagi lafaz sakinah(ijab qabul) belum terucap
Jauhilah berhubung tanpa ada yang wara’
Memerhati dan menasihati
Jauhilah daripada bertutus warkah
Untuk hal ehwal remeh
Nanti tiada barakah
Tiada indah nikah
Walau fitrah nikah
Itu indah



Untuk mereka yang sedang berada dalam ‘tempoh ta’ruf’, saya nasihatkan kalian agar jauhilah daripada mengenali pasangan masing-masing tanpa ada yang wara’ dan syadid mengawasi.


Usahlah berhubung andai tiada maslahat untuk berbuat demikian.


Ingatlah, membina masjid adalah satu perkara yang mulia namun kebiasaannya ramai yang kecundang dalam mengenali pasangan (sebelum nikah) dengan cara yang tidak selari dengan tuntutan Islam.





Ana alfaqirah ilallah

Sabtu, 16 Oktober 2010

Bawalah Perutusan Cinta Ini

Tangisan mereka yang menderita
Masih terngiang-ngiang di umbu telingaku
mana ibuku…?
Mana ayahku…?

Memecah kesunyian batin
Ironisnya,
Aku selalu leka dengan cinta
Ah! Aku selalu leka akan kehendak dunia


Nun di sana
Mereka disakiti, ditendang, dimaki, dicaci,
diratah maruah persis binatang
Letupan bom memecah sunyi lewat malam
Si anak kecil itu sambil memegang boneka berteriak :
Mana bunda kami? Mana ayahanda kami?
Bunda…………….!
Ayah……………….!

Lalu si anak kecil menyapu dahi bunda dan ayahandanya
Yang dipenuhi darah merah yang memancut keluar
Kata si anak kecil itu lagi:
Jahanam!
Zionis yahudi itu bangsat!



Oh, di sana saudaraku sakit!
Tulang belulang mereka merata
Percikan darah merah mengalir merah di lautan mediterranian


Terbanglah tinggi wahai merpati putih
Merawat kesengsaraan mereka walau kejap cuma
Terbanglah! Bawakan perutusan cinta ini
Kepada mereka


Khabarkan kepada saudara islam di sana
Yang sedang terpenjara di dalam sangkar dunia
Nun jauh di sebalik tembok tinggi
Ciptaan zionis yahudi
Bahawa aku dan umat dunia melihat dan terasa akan kesengsaraan mereka
Lalu kami mengangkat tangan beramai-ramai
mengaminkan qunut nazilah pada setiap ketika

Sabtu, 2 Oktober 2010

al-Hubb merubah kaktus menjadi kapas

Assalamualakum!



"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir" (Surah Ar-Ruum, 30:21)





Cinta adalah cinta
Yang bisa merubah musibah menjadi muhibah
Yang bisa merubah sakit menjadi sihat
Yang bisa merubah duka menjadi tawa
Yang bisa merubah mendung menjadi terik memancar
Yang bisa merubah kaktus menjadi kapas
Itulah hakikat cinta









Maaf untuk pra-tulis ini kerana saya bukan selayaknya untuk menulis mengenai kasih atau cinta manusia. namun, akhir-akhir ini saya melihat ramai teman yang berada disamping saya menjadikan ‘cinta’ itu bagaikan tema hidup sesebuah kehidupan. Kalau tidak berpasangan sebelum nikah seperti dirinya tidak laku dan tidakkan pernah laku. Astaghfirullah!


Ya, saya akui cinta itu memang mengemudi arus lautan dunia. Namun, cinta itu hanyalah cinta kepada Allah. Cinta yang berteraskan Illahi bukan nafsu. Cinta nafsu melihat yang salah adalah pengorbanan; melihat yang benar adalah kejumudan. Berlainan pula dengan cinta kepada Illahi. Cinta illahi itu bagai bunga mekar di pagi hari dan akan terus mekar walaupun disirami racun duga. Cinta Illahi yang memenuhi ruang sukma pasti memilih kebarakahan dalam perhubungan manusia.


Beberapa hari ini saya banyak membuat pemerhatian untuk dijadikan hipotesis awal.

Pemerhatian pertama

“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).” (Surah al-An’am, 6:116)


Ada sebilangan remaja menjadikan cinta itu adalah subjek hidup mereka. Bagi mereka merencah cinta sebelum nikah tiada salahnya. Berdua-duaan tanpa segan silu dan mengungkapkan perasaan yang melalaikan bagaikan perkara biasa. Ah, apakah cinta itu semurah sampah yang berlonggokan. Lepas guna buang !


Pernah saya mendengan seseorang berbicara dengan pasangannya yang belum halal bagaikan pijak semut tidak mati. Ada juga mereka yang buat-buat tidak tahu kalau ada yang dianggap wara’ berada di sekitar mereka. Apakah ini panorama suasana yang harus dibanggakan oleh anak mudi sekarang?


Pemerhatian kedua

Cinta ana dan anti. Kadang-kadang saya berasa meluat melihat adegan pelajar yang belajar agama. Bagaikan mereka tidak tahu ayat al-Quran:
"Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk" (Surah Al-Isra', 17:32)

Mereka seakan-akan sengaja mengaburi nafsu mereka dengan agama. Berkiriman mesej ala-ala pendakwah dan banyak lagi. ada juga diantara mereka, menundukkan pandangan apabila bertemu ajnabi lain tetapi apabila berhadapan dengan kekasih hati terus mata meliar ke batang tubuh pencintanya.

Oh, cinta anta dan anti ini memainkan hal agama untuk matlamat salah!

Saya bagaimana pula?

Ada yang berpendapat saya ini seseorang yang tidak punya perasaan. Namun jawaban ada pada saya. Yang pasti, saya tidak pernah bercinta dan tidak mahu bercinta sebelum nikah( andai jodoh ada di dunia).

Cinta itu nikah
Bukannya cinta sebelum nikah

Nafsu itu sebelum akad
Bukannya nafsu selepas ijab qabul



Jika sudah berkenan, nah berkahwinlah!


"Kami tidak melihat dua orang yang saling mencintai kecuali dengan pernikahan" (Hadis Riwayat Ibnu Majah, disahihkan oleh Syaikh Nasiruddin Al-Albani diSilsilah no 624)

Bagi saya, cinta untuk kahwin bukanlah perkara mainan. Ini bersangkutan ukhrawi. Bukan hanya duniawi semata. Dan seseungguhnya, haruslah ada kebarakahan untuk menjamin kebaikan berterusan sehingga akhirat.

Perkahwinan adalah ikatan sebuah cinta. Cintanya halal tiada hijab. Cintanya menumbuhkan pahala berlipat. Rindunya mengibarkan arca sebuah cinta sejati. Kasihnya menggoreskan bahawa fitrah insani sudah dipenuhi.


Berkahwinlah! Segala urusan rezeki adalah urusan Allah. kita hanya harus berusaha dan bertawakal. Usah diragui akan sifatnya Illahi; ar-Rahman dan ar-Rahim.

Jumaat, 1 Oktober 2010

Diari Maaf Untuk Semua

Maaf kututurkan
Untukmu fuqara’ yang hampir di sisiku
Maaf kerna aku mungkin tidak pernah tahu akan kesusahanmu


Maaf kulanjutkan
Untukmu yatim tiada ayah tiada bonda
Maaf kerana aku mungkin tidak pernah menghiasi pusara sepimu dengan cinta


Maaf kubentangkan
Untukmu pak cik dan makcik yang dibiar sepi oleh anak-anakmu
Maaf kerana aku mungkin tidak mengerti rindumu kepada penawar sepimu


Maaf kuhulurkan
Untukmu jiran tetanggaku
Maaf kerana aku mungkin hanya sesekali bertanya khabar sakitmu


Maaf kuhembus
Untukmu pejuang Islam
Maaf kerana aku mungkin leka dengan duniaku sehingga diari juangmu penuh dengan sengsara


Maaf kutadahi
Untukmu daie
Maaf kerana aku mungkin tidak tahu lukamu dihina

Maaf kupantulkan
Untukmu muslim
Maaf kerana aku mungkin pernah menjadi fitnah(tipu daya) padamu


Maaf kubiaskan
Untukmu muslimah
Maaf kerana aku mungkin tidak membawamu ke jalan hakiki


Maaf kupohon
Untukmu Abah dan Ibu
Maaf kerana anakandamu ini belum menjadi setaat Ismail kepada ayahandanya Ibrahim


terakhir

Maaf kugoreskan
Untukmu diriku sendiri




salam maaf untuk semua
maaf kuhulur harap bersambut

ana alfaqirah ilallah

di bawah langit Tuhan, kudamba maghfirah


Astaghfirullah…

Astaghfirullah…astaghfirullah…

Sempit…

Sakit…

Seksa…


Astaghfirullah…astaghfirullah…

Astaghfirullah…astaghfirullah…

Tidak sanggup kuputar ingat kisah dosa lalu

Astaghfirullah…astaghfirullah…

Dosa semalam terimbas kembali

Betapa setiap butir pepasir pantai itu dosaku

Kecut dadaku menahan bimbang

Peluh dingin menitis hiba

Seram sejuk teringat kealpaan lalu

Astaghfirullah… astagfirullah..

Hitam pekat dosa mewarnai awan fitrah

Ruang langit itu memandang tingkah dosaku


Astagfirullah..astagfirullah…

Kudus maghfirah kudamba kesekian kali

Menyentuh sukma tunduk meminta

Biarlah debu salah pergi berlalu

Untuk kulangkah menjadi hamba taat


Tunduk sujud hanya pada-Mu

Astaghfirullah… astagfirullah… astaghfirullah…

Astaghfirullah… astagfirullah… astaghfirullah…

Rabu, 29 September 2010

Hanya Dua Cerita

Assalamualaikum!


Sudah lama masalah ini berlaku. Cuma akhir-akhir ini sahaja berita itu digembar gemburkan oleh pihak media. Masalah ini bukan masalah baharu . Masalah ini dahulunya pernah terjadi dalam jumlah sedikit tetapi kini ia sudah berlaku di mana-mana. Masalah yang kini sudah berlarutan dan semakin menjadi-jadi.
Masalah ini ada kaitannya dengan masalah remaja. Masalah ini ada kaitannya dengan keturunan manusia. Masalah ini juga ada kaitan dengan nyawa manusia. Bila teruna dan dara bersatu di luar nikah maka berlakunya persenyawaan benih. Dan kemudiannya lahirlah seorang bayi yang comel lalu dibuang merata-rata tanpa belas kasihan.

………………………………………………………………………………………………………………………………

Mahasiswa IPTA buang bayi di belakang dapur


KUBANG PASU 19 Sept. – Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat menerima nasib malang apabila dibuang ibunya sendiri di belakang pintu dapur sebuah rumah di Taman Rasa Sayang di sini, semalam.

Tidak cukup dengan itu, seorang gadis dipercayai ibu bayi berkenaan telah berpura-pura kononnya ‘menemui’ seorang bayi di belakang rumah tersebut kira-kira pukul 8 malam semalam.

Difahamkan, bayi tersebut dibuang ibunya sendiri yang merupakan seorang penuntut di salah sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) di daerah ini.
Gadis tersebut yang berusia 20 tahun, dikatakan melahirkan bayi tersebut di rumahnya namun bertindak membuang bayinya di belakang rumah itu bagi mengelakkan perkara tersebut diketahui ramai.

Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Ibrahim Mohd. Yusoff memberitahu, bayi itu kemudiannya dibawa ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan.
Menurutnya, hasil siasatan, polis kemudian menahan seorang penuntut IPTA berusia 20 tahun pada pukul 9 malam bagi membantu siasatan.

“Pelajar terbabit ditahan di kawasan berhampiran dan dia ketika ini menerima rawatan di hospital sama,” katanya.

Ibrahim berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Bayi lelaki ditinggalkan di bawah jambatan



15/09/2010 9:12pm
Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR


IPOH 15 Sept. – Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui ditinggalkan di atas beberapa batang paip di bawah sebuah jambatan di Kampung Cegar, Bidor di sini petang ini.

Bayi malang itu ditinggalkan kira-kira 1.5 kilometer dari Taman Rekreasi Air Panas Sungai Kelah dan ditemui seorang wanita pada pukul 5.30 petang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Supritendan Abdullah Arshad berkata, bayi yang masih bertali pusat itu dalam keadaan sihat dan dibawa ke Klinik Kesihatan Sungkai untuk pemeriksaan lanjut. – Utusan

Menyambut 10 Malam Terakhir Ramadan..
.....................................................................................

Aduh! Ini baru dua cerita. Hati saya sudah mula menjerit. Apakah manusia (yang buang anak) kini sudah mula tandus nilai sayang dalam diri mereka. Sudahlah menjadi pendosa besar malah semakin galak menambah dosa membunuh pula. Astaghfirullah! Nauzubillah!

Tidak sanggup hati saya meletakkan gambar-gambar bayi yang dibuang di dalam laman blog ini. naluri keibuan mula merintih. Saya tidak tegar memperlakukan perbuatan itu kepada mana-mana bayi sekalipun walaupun ia bukan darah daging saya. Dan apatah lagi jika bayi tersebut adalah anak saya.

Ayuhlah! Kita hentikan segala macam masalah ini dengan mengikut apa yang digariskan oleh Allah di dalam kitab suci Al-Quran dan as-Sunnah.

Usahlah mencari penyelesaian yang lain tanpa kita ambil solusi itu dalam kitab al-Quran. Allah itu Maha Mengetahui akan segala hal tentang makhluknya.
.....................................................................................

Semalam,naluri keibuan saya mula menguntum mekar apabila melihat rakan sekuliah saya membawa anak kecilnya ke kelas. Subhanallah! Anaknya begitu comel sekali. Melihat dia tersenyum, saya mula turut tersenyum. Senyuman seorang bayi kecil bisa merobek kesedihan hati.


Hati terasa ingin punya anak sendiri pula.

Isnin, 27 September 2010

CEBISAN NOTA HARAPAN UNTUK PARA DAIE

Assalamualaikum!
Dengan Nama Allah saya memulakan pengarangan ini.

Sebenarnya dan sesungguhnya, sebelum ini,saya sengaja menceritakan sedikit sebanyak tentang kehidupan seorang siswa/siswi yang beraliran bukan pengajian Islam tetapi masih inginkan biah Islam mewarnai biah di kampus tempat saya belajar. Kenapa?

Kerana semoga sedikit pengalaman saya dan sahabat saya( yang datang bukan daripada fakulti pengajian Islam) telah dan akan saya cuba tulis di sini dapat menguatkan dan menghemburkan semangat dalam diri para daie sekalian khusus di bumi kampus saya yang tercinta.

Peristiwa satu:

Pada malam itu, saya dan sahabat saya (berlainan kursus tetapi tetap bukan pengajian Islam) berbincang tentang permasalahan kami. Kami saling mencurah rasa. Kami tidak mempersalahkan fakulti pengajian kami kerana di situ terletaknya ilmu. Cuma segelintir penuntutnya sahaja yang belum dapat menghayati Islam.
Sahabat saya memulakan ceritanya tentang pemakaian baju kosnya. Ya Allah! Sampai begitu sekali diwajibkan memakai pakaian yang kurang sopan. Masakan sahabat saya ingin memakai baju tersebut semata-mata kerana wajibnya peraturan tersebut. Air matanya gugur tanda dia seorang wanita yang ada prinsip beragama.


Peristiwa dua:

Ketika itu pergaduhan kecil berlaku. Perbalahan atas dasar agama. Apakah dibolehkan membuat persembahan nasyid ala-ala boria; bercampur lalaki dan perempuan. Astaghfirullah! Sebenarnya ingin mengadakan boria tetapi, kerana inginkan ada nama islam atau tampak sopan jadikan ia nasyid yang ala-ala boria.



Peristiwa ketiga:

Pernah seorang kawan saya menceritakan bahawa persatuan fakultinya mengadakan aktiviti-aktiviti yang melibatkan percampuran antara lelaki dan perempuan yang agak tidak dibatasi.




Peristiwa keempat:

Sahabat saya yang lain pula menceritakan kepada saya bahawa dia berasa serik dan kecewa untuk ke Annual Dinner persatuan mereka. Di sana, pelbagai macam fesyen yang digayakan boleh dilihat, pelbagai bentuk alatan muzik boleh dimainkan. Apatah lagi kalau soal tentang malunya wanita dan tunduknya pandangan lelaki.



Peristiwa kelima:
Sebenarnya saya juga ada cerita. Tetapi saya tidak mahu cerita. Cerita saya InsyaAllah akan disimpan dihati. Soal di hentam dikhalayak, soal diherdik oleh kawan, soal diboikot sudah dirasai. Cuma mungkin pengalaman saya sebelum ini tidak sebesar mana mungkin ianya kecil seperti i zarah –zarah atom berbanding sahabat-sahabat yang lain.



BANTULAH KAMI



Sejujurnya, kami insan yang lemah perlukan daie untuk kami melawan arus yang menjerat. Kami takut, kami akan terlalai, kami khuatir kami akan mengikuti arus membinasakan. Kami juga bimbang kami tidak tahan untuk itu. Sampai bila kami harus sedih dan bercelaru rasa untuk ke program program (berbentuk hiburan , sukan yang bercampur jantina) yang dijalankan oleh persatuan kami.



Bantulah kami…
Bantulah kami…
Semoga Allah memperlipatkan ganjaran kepada mereka yang sanggup membantu kami.




Kasihanilah mereka yang ingin tahu agama tetapi tidak diberi peluang
Usahlah berliqa’ hanya untuk mereka yang bertudung labuh atau berkopiah sahaja
Usahlah ada sir haaza dalam kalangan yang tahu agama
Andai itulah yang terjadi
Maka yang baik menjadi semakin baik, dan yang jahat menjadi semakin jahat



Bersangkalah baik kepada mereka yang kurang tahu agama kerana mungkin persekitaran hidupnya sebegitu. Maka, ajaklah mereka kepada kebaikan.




Pesanan: andai ada sesiapa yang ingin berbicara atau berdiskusi dengan saya tentang ini , saya mengalu-alukan. Boleh email saya: wnurizzati@yahoo.com



Dan


Saya juga mengucapkan syukran jazilan kepada para daie di sini kerana telah banyak memberikan ilmu kepada saya. Terima kasih kerana menjadi tulang belakang menyebarkan ilmu agama dan sanggup mengambil risiko untuk dibenci oleh mereka yang tidak inginkan Islam. Usah gentar wahai para daie! Allah ada bersama kalian. Saya menyokong apa yang kalian lakukan selagi di atas landasan Islam.




Andai ada yang membenci kalian, saya tetap menyokong kalian. Andai kalian bersedih hati kerana cacian atau hinaan , ingatlah tangisan kalian adalah derita bagi saya. Derita bagi saya kerana saya tidak bersama kalian dalam menerima tohmahan atau cacian tersebut. Semoga kalian tetap sabar dan sabbit dan menyebarkan dakwah.


Wallahua’lam.

Ana alfaqirah ilallah

DALAM SUKMAMU ADA TANGIS

Assalamualaikum!






saat hiba datang lagi memagari bahagia
pintu-pintu tawa sudah mula tertutup rapat
seakan-akan debu-debu kelam sahaja bertebaran di muka bumi



bila menyaksikan bintang di malam hari
seakan-akan tiada sinaran bintang di dada langit
bila menyaksikan bulan penuh di malam pekat
seakan-akan bulan tidak pernah menyapa di situ
ketika merenung awan bergerak perlahan
seakan-akan awan tidak pernah berlalu pergi
ketika merenung mega merah di kaki bukit
seolah-olah hari esok adalah hari mati
ketika melihat burung-burung melayang tinggi
seakan-akan ada sangkar fatamorgana memenjara



istigfarlah!
Beristighfarlah!
Sebutlah ia dengan astaghfirullah!





Dan kini
Dengarlah pula pula untuk aku berbicara
Pejamkan matamu rapat-rapat
dan perhalusilah bicaraku
Bicara dari hati ke hati
Betapa Allah kini sedang bertutur kepadamu
Berbicara tentang ikhlas,sabar dan redha
Pada nada yang berbeza
Bukan pada rentak yang sama
Apakah engkau belum mengerti?




Dan sekarang aku titipkan bicara tuhan kepadamu
Juga untuk manusia sekalian
”Allah tidak membebani seseorang itu melainkan kesanggupannya” (al-Baqarah:286)
“Janganlah kamubersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman”(al-Imran 139)





Perhatikanlah
Kalam Tuhan dengan lembut dan sabar
Nescaya akan engkau perolehi
Satu jawaban pada takdirmu




Maka
selamat tersenyum wahai sukma yang dirundung hiba
selamat disapa sabar wahai jiwa yang dilitupi awan mendung




tara tiana a.k.a izzati anas
senyum itu penawar bagi kesengsaraan
namun susah untuk tersenyum bila sengsara




Ahad, 26 September 2010

Dirimu Ada dalam Doanya

Tulisan ini kutujukan pada
Jiwa –jiwa yang dilanda duka
Insan yang sendirian
Tiada kekuatan untuk digali
Tiada kuasa untuk melawan kuasa
Tiada teman menyokong semangat juang
Tiada sahabat berfikrah sama
Melawan biah hancur

Sarananku,
Ayuh carilah sahabat sefikrah
Bukan tiada
Tetapi ada



Kadang-kadang
Pada pandanganmu
Dia tidak punya apa-apa
Ilmunya tidak tinggi
Dan ada sifatnya yang engkau tidak sukai
Lalu engkau katakan bahawa dia bukan sahabat yang punya satu fikrah
Dengan dirimu



Ketahuilah
Kadang-kadang dirimu belum cuba untuk mengenalinya
Kerana sangkamu
Dia seorang yang lemah
Dan tidak pernah berada di sampingmu
Ketika susah secara fizik



Sesungguhnya
Dalam banyak manusia
Akan ada terselit satu atau dua manusia
Yang mengambil berat tentang dirimu
Yang pingin membantu dirimu dalam perjuangan
Dan
Dia itu mungkin yang dirimu sedang cari



Masih ingatkah dirimu?
Ketika dahulu
Dia sudah pernah menghulurkan warkah berbau nasihat
Dia sudah pernah menghulurkan lembaran kata semangat
Tetapi dirimu tidak pernah ambil pusing tentang itu
Tidak pernah ada kata terima kasih untuknya
Sehinggakan dia berasa segala buat untukmu
Telah disalah ertikan
Dan sekarang dia telah menyepikan diri daripadamu





Lalu adilkah untukmu mengatakan bahawa
Dirimu tidak punya sahabat sefikrah dalam perjuangan?
Sedangkan
Dirimu pernah abaikan dia kerana bagi kita dia adalah watak sampingan…
dan dirimu pernah abaikan dia kerana ada sangka buruk dalam hatimu

SATUKAN HATI KITA DIBAWAH LANGIT YANG SAMA

Di sini saya hanya ada satu persoalan
Persoalan tentang perkaitan hakikat dan keberanian
Hakikat adalah kebenaran
Dan keberanian perlu ada untuk kebenaran



Ironinya sekarang
Keberanian tidak mengiringi kebenaran
Kebenaran sudah ditutupi oleh rasa gentar



Kata si penakut: kita adalah suatu kaum minoriti, andai kita bangkit melawan pasti kita dihukum
Kata si pengecut: melawan arus itu kerja gila! apa yang penting, kita baiki diri sendiri dahulu.

Kata saya : memang bilangan kita adalah minoriti tetapi kekuatan dan keberanian tidak pernah melihat bilangan manusia. Cuma kita hanya perlu bersatu padu. Apabila kita bersatu hati pasti ketakutan itu hilang dan keberanian terbina.



Wahai para daie, lupakah kalian tentang peristiwa peperangan Badar? Lupakah kalian bilangan muslimin ketika itu? Lupakah kalian bahawa pada ketika itu Allah menurunkan bantuan kepada muslimin untuk mencapai kemenangan? Jangan pernah kalian engkar akan hakikat itu?



Sesungguhnya,
Hanya satu simpulan perlu disimpulkan
Untuk mengurangkan kekusutan
Demi mencari solusi sejahtera
Dan itu adalah
Satukan hati-hati mereka yang cintakan kebenaran
Kumpulkan mereka di satu daerah
Lalu ukirkan peta yang penuh berstrategi
Untuk mencapai kata sepakat
Demi memakna arca kebenaran



‘tidak pernah ada istilah sirr haaza dalam diari juangku’
Izzati anas
UniSZA

Selasa, 14 September 2010

dulu kita punya waktu


Dulu kita punya waktu
Bersenda bersama
Membicarakan cerita hidup
Sehari-hari

Dulu aku cerita selalu kisahku
Dulu engkau dekat padaku
Sekarang aku selalu menutup kisahku dalam hati
Biarkan ia sepi tanpa disapa

Kini ,
Saban waktu
Bicara kita hanya tertentu
Senyum kita hanya sekelumit
Tiada lagi cerita kita
Hapus sudah atur hidup
Itu

Aku tahu sebabnya!
Aku tahu puncanya!

Sedetik lalu
Engkau tidak sibuk untuk duniawi
engkau tidak kejar raih permata
dan sekarang ?
jawaban itu ada padamu

andai kerana aku
engkau begitu
tinggalkanlah permata duniawi
biarkan kita hidup
seperti dulu
asalkan bahagia
membayangi kita

Sabtu, 4 September 2010

Cerpen : Hanya pada-Mu aku berbisik ( episod 1- Dia Aisya Zahra)

“Wahai anak muda, berkahwinlah. Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (daripada gelojak nafsu)” (Hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari).

“Dan kahwinkanlah orang yang sendirian antara kamu dan orang yang layak (berkahwin) daripada hamba sahayamu yang lelaki dan hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nur, ayat 32).

******* ***** ****** ****** ********





Dia sedang berteleku di atas sejadah sambil mengangkat tangan berdoa. Lama dia berdoa. Sesekali air mata beriringan setiap butir-butir bisikannya terlafaz. Melalui doa, dia meletakkan segala pengarapan kepada Tuhan yang maha Pengatur. Malam itu gelap pekat tanpa cahaya rembulan menerangi , dia mencurahkan segala isi hatinya kepada Tuhan yang maha Tahu. Dia seperti tidak dapat menahan gelora di hati lagi. ketika tiada siapa yang bangkit dari tidur kerana lena diulit dingin malam, dia masih di situ berdoa. Dalam doanya dia mengadu:


Ya Rabb Tuhanku yang maha mendengar lagi maha Melihat. Tuhan yang tahu akan segala dalam batinku. Tuhan, kini jiwaku hiba sekali memikirkan akan hal ini. Mungkin,padaMu waktu ini tidak sesuai untukku berfikir tentang ini. Tetapi, suara hatiku mula berkata-kata dan akal ligat untuk memahaminya.




Jodoh! Adalah suatu yang telah ditetapkan olehMu. Itu aku tahu. Tetapi, hatiku sudah mula bertanya akan diriku. Aku bila lagi? sedangkan ada teman-temanku mula mendirikan rumahtangga. Apatah lagi, ada diantara mereka sudah memiliki buah hati masing-masing. Ya Allah, bahagianya kulihat mereka. Mereka memperoleh pahala yang berlipat kali ganda untuk sesuatu ibadah sedangkan orang yang sendirian sepertiku hanyalah mendapat pahala asalnya sahaja. Malah mereka juga dapat menundukkan pandangan mata dan nafsu daripada terjerumus ke lembah yang hina. Aku sungguh cemburu dengan mereka.


“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangan mereka...”(Surah an-Nur, ayat 31).

Ya Allah, ampunkanlah dosaku andai cemburuku itu adalah satu kekhilafan.



Ya Allah, apakah aku masih ada peluang untuk menjadi suri dalam hati seorang lelaki yang bernama suami? Sedangkan aku ini tidak punya hal-hal istimewa pun berkenaan diriku. Malah aku seorang yang banyak kekurangan fizikal walaupun aku bukan termasuk dalam kalangan orang kurang upaya. Ya Allah, bukan aku tidak bersyukur akan semua nikmat yang Engkau berikan padaku. Alhamdulillah akan segalanya. Tetapi, perasaan ini timbul kerana padaku seseorang pasti mahukan seorang yang indah di matanya. Dan aku bukanlah daripada mereka yang sedap mata memandang.




Itulah antara bisikan sedih yang diadu olehnya kepada Illahi. Dia yang bernama Aisya Zahra masih menangis teresak-esak di atas sejadah itu tanpa disedari oleh ahli rumahnya. Hatinya sedang merintih. Dan dia sudah merintih pada Tuhan. Dan sememangnya dia tahu Allah lah tempat yang tepat untuk meluahkan sesuatu kegusaran dan apa sahaja kerana Dialah Tuhan yang maha Mengetahui.
Setelah itu, dia bangkit untuk bersahur. Dalam hatinya, dia berbisik yakin bahawa Allah mendengar doanya yang tulus itu. Dan dia yakin, bahawa dengan barakahnya Ramadan , InsyaAllah Allah pasti akan membalas jawaban pada doanya sebentar tadi.



“ Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir”






Bersambung…

Jumaat, 3 September 2010

SOAL HATI:BEBASKAH KITA?

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum!

Merdeka!merdeka! merdeka!
Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan Negara yang ke-53.

Alhamdulillah, atas segala nikmat yang Allah kurniakan kemerdekaan selama 53 tahun. Merdeka daripada penjajahan demi penjajahan ke atas Negara kita Malaysia.

Namun, sebahagian daripada rakyat Malaysia, seakan-akan lupa akan nikmat kebebasan daripada cengkaman penjajah dengan masih ketiduran di tilam yang empuk dibuai mimpi-mimpi indah. Dan sekarang, tanda-tanda kejatuhan Negara mula tampak. Ya, pada dasarnya merdeka itu adalah merdeka daripada sudut penjajahan. Tetapi , erti merdeka yang luas sudah disempitkan oleh golongan-golongan tertentu. Dan ada juga golongan yang berfikir bahawa: Negara sudah bebas dari cengkaman penjajah, jadi kita boleh buat apa sahaja yang kita mahu; bebas melakukan kerosakan di tanah air sendiri.

Soal hati, apakah erti kemerdekaan sebenarnya. Apakah merdeka itu hanya sekadar fizik sahaja iaitu merdekanya sebuah Negara daripada penjajahan? Apakah sekadar itu sahaja? Bagaimana pula dengan pemikiran-pemikiran sebahagian daripada mereka yang beraliran barat( tidak Islam)? Dan Apakah dengan menularnya gejala sosial yang tidak baik dalam kalangan muda mudi sekarang dikatakan bahawa kita sudah merdeka?
Soal hati dan suara hati akan menjawab dengan saksama.

Di bawah ini saya selitkan foto-foto sambutan kemerdekaan yang diadakan oleh Kerajaan Negeri Kelantaan pada 31 Ogos baru-baru ini. Inilah antara wasilah atau cara yang tepat untuk kita mensyukuri nikmat kemerdekaan bukannya dengan menyembutnya dengan nyayian atau sebagainya.





Click to view my Personality Profile page

helaian yang dilihat

jalan-jalan dari