Assalamualaikum!
Bismillahirrahmanirrahim
mereka menyelak lembaran-lembaran ulama’;
menelaah tulisan-tulisan mutiara ;
menadah kilauan ilmu berguna;
mereka berdampingan sheikh-sheikh mujtahid;
mereka mengukir bicara agama;
ah, aku cemburu!
Aku ingin menjadi seperti mereka,
Kerana aku pasti,
Mereka lebih dekat dengan Tuhan semesta alam
Allah tuhan yang Satu!
Cemburunya saya kepada rakan – rakan saya yang sedang menuntut jurusan pengajian Islam di universiti-universiti tempatan malahan di universiti luar negara. Kini, mereka sedang mengutip mutiara-mutiara indah sebagai bekalan pada hari yang mendatang.
Cemburunya saya kepada mereka kerana mereka adalah insan-insan yang dipilih oleh Allah untuk menuntut dan mendalami ilmu – ilmu ad-Din. Sungguh mulia! Mereka menyelak helaian-helaian kitab ulama’; mereka berdampingan para ulama’; mereka mendengar bait-bait hak; mereka menjernihkan hati mereka dengan alunan kalam Illahi; mereka membilang biji-biji tasbih taqwa;mereka menghayati indahnya Islam.
Tatkala ketika ini, saya hanya menyelak lembaran undang-undang ciptaan manusia; bergelumang dengan dunia lalai; dilema antara kebenaran dan kebatilan.
Namun, mujur cemburu saya ini diberi sentuhan penawar. Penawar daripada seorang pensyarah yang sangat saya hormati iaitu ustaz shafie. Pernah hati saya dilanda cemburu dan rendah diri apabila berhadapan dengan mahasiswa atau mahasiswi pengajian Islam. Cemburu kerana keistimewaan mereka di sisi Allah; rendah diri kerana saya faqir dalam ilmu agama. Dalam satu majlis ilmu, ustaz shafie pernah berkata , jangan rasa hina atau rendah diri kalau kita bukan pengajian Islam. Tentu, Allah sudah ada perancanganNya. Mungkin, melalui jurusan yang kita ambil itu kita akan membantu umat islam kelak. Inilah penawar; inilah madu dalam hempedu.
InsyaAllah, saya akan buktikan bahawa walaupun saya bukanlah termasuk daripada penuntut jurusan pengajian Islam tetapi saya dapat membantu umat Islam dalam meniti solusi kekeliruan ummah pada masa kini kerana saya berpendapat tanggungjawab ini seharusnya digalasi oleh setiap batang tubuh umat Islam kerana kita semua beragama Islam.
Di mana sahaja kita berada jadikan Al-Quran & As-Sunnah sebagai pembimbing..Allah tidak akan menguji seorang hamba-Nya yang mereka tidak mampu..Selamat berjuang di mana saja akak berada untuk menegakkan agama-Nya..sebarkan dakwah Rasulullah semampu kita agar mendapat syafaatnya..
BalasPadam