Jumaat, 21 Ogos 2009

CERPEN :CATATAN SEORANG DAIE KECIL

kisah dakwahku bermula di sini…

syukur dalam duka

suka dalam sendu

senyum dalam cacian

tawa dalam tangisan

semuanya kutelan

agar bisa kutapakkan

dan kutegakkan

kalimahMu yang agung

Disini…

Kisahku bermula di bumi kolej X. Walaupun ada ujian dan ranjaunya dalam menyatakan hak dan menentang kebatilan tetapi itu hanyalah dugaan yang kecil andai dibandingkan dengan pejuang lampau. Syukran Ya Allah engkau telah menyediakan satu jalan untukku. Jalan yang akan mendekatkan diriku dengan dirimu.

Semester 2

Pertama

Hatiku sedih melihat situasi di sini. Ada pasangan yang belum berkahwin tetapi telah mempunyai pasangan masing – masing seperti mereka yang telah berkahwin. Di sini juga, ada yang memakai kopiah, berjilbab labuh. Situasi di sini sudah bercampur baur. Ada mereka yang wara’ dan juga mereka yang tidak kenal akan hukum Allah.

Aku termenung sendirian, memikirkan situasi di sini termasuklah dalam bilik kuliah. Teman – temanku sibuk mencari pasangan kerana bagi mereka hidup di Universiti perlulah mempunyai pasangan nanti orang kata tak laku. Pelik betul pemikiran mereka. Islam melarang keras dalam mendekati zina untuk kemaslahatan mereka tetapi mereka sendiri yang ingin menjahanamkan diri masing masing.

Alhamdulillah Allah telah memberikanku satu idea. Kuambil tulisan yang melarang orang yang belum berkahwin bercouple dan membuat salinan untuk setiap rakan rakanku. Moga mereka tersedar yang mereka sebenarnya sedang mendekati zina.

Terkejut rasanya, apabila ramai rakan sekelasku yang jantinanya berlawanan dengan diriku tidak setuju dengan tulisan tersebut. Sedih rasanya. Rakan perempuan sekelasku diam. Kesimpulan awal yang boleh kubuat ialah misiku tidak berjaya dan terdapat juga rakan rakanku yang mencabar tulisan tersebut.

Kudiam sepi

Tanpa kata kata

Hati remuk tanpa bicara

Bibir tidak mampu lagi tersenyum

Melihat mereka mencabar

Ayat ayatMu

Sedang Engkaulah Maha Memberi

Apa yang mereka inginkan

_________________________________________________________

Kuambil keputusan ini suatu keputusan yang putus. Ku ingin berdakwah agar diri ini dan rakan rakan lain menjadi muslim yang sejati.

Kedua

Pensyarah bahasa arab telah memberi kami satu assignment berkenaan hukum hudud. Kumpulanku telah bertungkus lumus dalam menyiapkan assignment ini. pada hari pembentangan tersebut dengan izin Allah , aku telah memberi penjelasan kepada rakan rakan. Ada sebilangan mereka berkata yang aku hanya berpolitik. Mereka telah salah faham. Ada juga yang menyatakan undang undang Malaysia bukanlah teruk sangat. Ya Allah apa nak jadi ni? Sejak hari itu, mereka memperliku sebagai seorang yang suka berceramah dan berpolitik. Padahal diriku bukan untuk berpolitik tetapi menyatakan yang hak. Sesungguhnya politik ada dalam agama kerana Islam itu syumul.

Ya Allah,

Berikan mereka cinta

Agar bisa mereka menghayati

cintaMu pada diri mereka

agar mereka tahu

bahawa Engkaulah Penolong mereka tika mereka

kesusahan dan kesempitan

diriku bertekad hendak menulis artikel artikel berkenaan agama. Andai mereka tidak mahu mendengar apa yang kukatakan biar mereka membaca apa yang kutulis. Walaupun artikel itu aku yang tulis tetapi semua itu datangnya daripada Allah.

Artikel pertamaku telah tertampal di ‘y space’ tetapi seperti tiada perubahan kecil yang kulihat pada rakan rakanku. Mungkin hidayah Allah belum sampai kepada mereka.

Tidakkan ku henti lalui

Jalan jalan ini

Sehingga nafas ini yang menghentikan

Sehingga nadi ini berhenti berdenyut

Sehingga mata ini tertutup

Sehingga tangan ini kaku

Sehingga suaraku bisu

________________________________________________________________________

Ketiga

Pada malam yang lepas, ada perjumpaan antara MPP dan Fakulti A dan ada 2 lagi fakulti yang ku tidak ingat. Disana, semua pelajar boleh memberi komen dan cadangan kepada MPP. Pada malam itu, Allah telah memberiku satu semangat untukku berdiri dan pergi kea rah mikrofon. Dadaku berdebar. Dengan lafaz basmalah aku teruskan komenku tentang etika pemakaian di sini yang semakin mencolok mata dan mengenai Couple. Alhamdulillah hatiku rasa puas bukan kerana aku ingin menunjuk pandai tetapi kerana sudah lama aku pendamkan perkara ini.

Namun, ada seorang mahasiswi telah kehadapan dan membela diri dan menyatakan sebab – sebab dia dan rakan lain memakai seluar jean. Nak tahu apa yang alasannya? Alasannya ialah pada waktu kuliah ,kursusnya memerlukan memakai seluar jean untuk mengelakkan bahaya. Pelik sungguh! Pada malam itu dia pakai seluar jean dan ketat dan bukannya pada waktu kuliah.

Selepas kupulang dari perjumpaan tersebut, aku baru tahu bahawa mahasiswi yang mencabar apa yang kuluahkan itu adalah jiran bilikku. Lain benar wajahnya sampai ku tidak perasan. Selepas ku solat Isya’ , aku terdengar jiran sebelahku mengumpat diriku. Mulanya ku ingin menangis tetapi aku kuatkan semangat ini kerana apa yang terjadi adalah kehendak Allah.

Ini jalanku,

Tidakkan kubiar

Hak itu jatuh

Walau diri ini dihina

Sedang

Batil itu diatas

Bergelak ketawa

________________________________________________________________________

Keempat

Beberapa minggu lagi, majlis makan malam tahunan fakulti akan diadakan. Setiap kelas diwajibkan mempersembahkan persembahan.

Petang tersebut, semua rakan sekelasku berbincang mengenai persembahan dan majoritinya ialah membuat persembahan boria ala nayid. Mereka ini sungguh pelik.. kerana mereka sanggup menghalalkan cara untuk mencapai matlamat. Sanggup menukarkan nama boria kepada ala nayid dan persembahan itu bercampur. Untuk menunjukkan mereka tersebut tahu agama, pelajar perempuan berada di belakang lelaki ketika membuat persembahan.

Sebelum mereka memberi kata sepakat mengenai itu, aku menyuarakan bantahan mengenainya. Aku katakan dalil dalilnya. Tidak seorangpun yang mengiyakan apa yang kusuarakan. Pada petag tersebut, mereka umpama patung bertopengkan manusia. Air mataku seperti sudah tertumpah ketika aku berbahas dengan seorang rakan lelaki kelasku. Sedih mereka tidak mengendahkan apa yang kukatakan. Aku fikir akan ada yang akan bangun untuk menyokongku tetapi sedih kerana tidak ada seorangpun bangun tanda setuju.

Gugur air mata ini

Bila Islam dibelitkan

Menitis embun mata

Bila Islam direndahkan

Sedang mereka mengaku bahawa mereka itu Islam

sedang mereka mengaku bahawa mereka menyembah Allah

biar diri keseorangan

menyelusuri lorong lorong ini

walau sepi tanpa kata semangat

seorang kawan

kerana aku yakin

Allah bersamaku

Kerana aku tahu

Allah menjadi Penolongku.

kelima

selepas kejadian tersebut, aku mengambil keputusan untuk memberi warkah kepada semua rakan sekelasku. Dalam surat itu, aku menasihati rakan rakan perempuan dan lelaki. Bukan aku berasa diri ini alim tetapi kerana aku tidak ingin rakan rakanku berada di landasan yang salah. Aku juga berharap rakan rakanku dapat memberi nasihat kepadaku. Warkah itu berbunyi:

Assalamualaikum buat sahabat yang saya hormati.

Sahabat, terlebih dahulu saya ingin memohon maaf andai saya pernah bersikap atau berbicara kasar kepada sahabat. Sesungguhnya saya hanyalah manusia biasa dan hanya para rasul dan para nabi sahaja yang maksum.

Sahabat yang saya kasihi,

Maaf andai selepas saya menulis ayat ayat ini ada yang berkecil hati tapi apakan daya ‘ katakanlah yang hak walaupun pahit’.Saya melihat suasana di dalam kelas kita seperti roh - roh islam semakin gelap . Contohnya , pergaulan antara lelaki dan perempuan tanpa batasan walaupun tidak ada yang bersentuhan tetapi seperti sedikit bebas. Namun saya akui saya sendiri pun begitu, tapi mujur ada seorang rakan telah menegur saya dan saya menyedarinya. Sahabat, kita boleh berkawan walaupun jantina berlainan tetapi sahabat juga perlu tahu bahawa Islam telah menggariskan beberapa batasan dalam adab bergaul antara lelaki dan perempuan.

“Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari mereka maka mintalah kepada mereka dari sebalik hijab. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka” [al-Ahzaab 33: 53]

Selain itu, saya juga ingin tekankan tentang couple. Saya tahu, sahabat semua tahu apakah couple ini dibolehkan dalam Islam atau tidak. Tetapi ada diantara sahabat hanya buat tidak tahu. Sahabat, cinta itu mulia tapi jangan jadikan cinta itu seperti murahan. Maaf mungkin ayat ini terlalu kasar tetapi itulah realitinya. Sahabat, saya tahu ada juga dalam kalangan sahabat berdua duaan pada waktu malam. Di sini saya ada pertanyaan iaitu apakah sahabat betul – betul sayang kepada pasangan sahabat? Jika betul, jangan lakukan perkara seumpama itu kerana perkara itu mendatangkan dosa dan setiap dosa akan dibalas dengan hukuman api neraka. Jangan biarkan pasangan sahabat turut masuk ke kancah maksiat dan akhirnya ke neraka jika sahabat sayang akan pasangan sahabat.Apa yang saya boleh cadangkan kepada sahabat hanyalah sahabat perlu berkahwin . Itu sahaja tapi memang bukan mudah untuk berkahwin. Jadi, mohonlah kepada Allah agar Dia mempermudahkan sahabat untuk berkahwin.

Selain itu mengenai aurat ini khas untuk sahabat perempuan. Sahabat , aurat perempuan adalah seluruh tubuh badan kecuali muka dan tangan. Jadi, sahabat ( perempuan) tutuplah kesemuannya kerana Islam membataskan hanyalah untuk kemaslahatan sahabat dan semuannya. Saya sarankan,pakailah tudung tiga segi yang labuh dan tidak nipis. Saya percaya sahabat sudah tahu semua ini tetapi berubahlah walaupun perubahan itu kecil kerana kematian sudah hampir dengan kita semua dan apa yang pasti kita akan bertemu dengan kematian. Satu lagi, baju sahabat janganlah terlalu ketat dan sememangnya di dalam Islam pakaian bagi perempuan perlulah longgar.

Bagi sahabat lelaki pula, kalian adalah lelaki yang sememangnya gagah dan tidak mudah menangis. Sahabat, kalian mrupakan pemimpin bagi kaum hawa jadi sahabat perlu menjaga kaum hawa daripada fitnah dan tegurlah mereka apabila mereka berbuat kesalahan dari segi syara’. Jangan kalian biarkan diri kalian leka dengan kehidupan duniawi sahaja dengan sepikan ilmu ukhrawi. sahabat, saya berasa terkilan apabila ada diantara sahabat apabila saya berbicara agama ada yang buat acuh dan tidak acuh dan ada juga yang langsung tidak mengiyakan. Sahabat, kalian carilah ilmu agama kerana pada suatu hari nanti kalian akan menjadi ketua keluarga dan masyarakat. Andai tidak mula dari sekarang, mungkin kalian tidak akan mempunyai kesempatan lagi untuk mencari ilmu agama.

Akhirnya saya berharap kuliah untuk semester depan akan diadakan tazkirah pendek dalam kelas bukan untuk satu atau dua hari tetapi setiap hari. Kalau sahabat boleh memberi komitmen kepada perkara lain mengapa hal ini tidak boleh?Saya juga percaya akan ada sahabat yang akan mencemuh saya apabila membaca warkah ini. Tetapi, itu tidak mengapa kerana bagi saya ,saya takutkan hanyalah Allah yang akan mencemuh saya di akhirat nanti. Sahabat, saya adalah manusia biasa yang banyak kekhilafan dan sememangnya saya adalah antara yang jahil dan tiada erti di sisi Allah. Jadi apa yang saya ingin katakan adalah walaupun saya menulis warkah ini untuk sahabat tetapi saya juga akan mengambil input – input ini untuk saya amalkan. Maaf dan maaf.

Ya Allah, hambamu ini telah menyampaikan sesuatu yang hamba rasa betul disisi agamaMu kepada sahabat hamba. Ya Allah, andai ada diantara perkara yang hamba sampaikan ini adalah tidak betul, ampunkanlah kekhilafan hamba. Ampun Ya Allah dan Ya Allah ya Tuhanku,limpahkan nurMu untuk hambamu ini dan sahabat – sahabat hamba. AMIN…

“ SEMAKIN JAUH PERJALANAN SEMAKIN DEKAT KEMATIAN…SEMAKIN BERTAMBAH BEBANAN,SEMAKIN KURANG PULA KEUPAYAAN…HANYA IMAN DAN KEYAKINAN MAMPU MENGAYUH PERAHU KEHIDUPAN… PENUH KETENANGAN, MEREMPUH UJIAN…TULUSLAH DENGAN TUHAN TELUSLAH SESAMA INSAN…

BERHIJRAHLAH KITA KE DAERAH KEBAIKAN”

INGATLAH PESANAN RASULULLAH S.A.W SEBAGAIMANA YANG DIRIWAYATKAN OLEH IMAM TARMIZI : HAMBA YANG BAIK IALAH MEREKA YANG BERAGAMA DAN MENYEDIAKAN BEKALAN AMALAN SELEPAS MATI. MANAKALA ORANG SOMBONG ADALAH MEREKA YANG MENGIKUT KEHENDAK NAFSU DAN MENGHARAPKAN BELAS KASIHAN ALLAH
SEMATA-MATA.

Sahabat yang mencintai diri kalian kerana Allah,

aisha zahra

Salam cinta semerbak..salam rindu mengharum…salam kasih mewangi buat sahabat – sahabatku.

p/s: mungkin ini adalah warkah terakhir daripada saya buat kalian. Andai ada yang tidak puas hati bolehlah menemui saya secara personal bagi(P) dan bagi (L) hantarlah surat. Apapun, saya menulis warkah ini bukan untuk mengatakan saya alim daripada kalian tetapi kerana saya mencintai kalian seperti saya mencintai diri saya sendiri.

________________________________________________________

Keenam

Selang beberapa hari aku memberi warkah tersebut, mereka membuat cadangan untuk mengadakan hari keluarga di pantai. Bercampur antara lelaki dan perempuan tetapi program tidak bercampur cuma aktiviti bbq sahaja bercampur. Bagiku, aku tidak bersetuju apabila mereka menginginkan aktiviti yang bercampur antara dua jantina tanpa ada yang lebih wara’ mengawasi. Aku sedih kerana walaupun ku bagi warkah tersebut tidak memberi kesan dalam hati rakan rakan. Mungkin ini satu percubaan untukku.

Celaan itu menjadi manis

Andai dicela dek menegakkan hak.

Pulauan itu menjadi tenang

Andai dipulau kerana benar

Hinaan itu menjadi pembakar semangat

Ketujuh

Hari ini merupakan hari terakhir untukku bermalam di bumi X.. cuti semester akan bermula esok. Semoga apa yang aku rancangkan untuk membuat sedikit ‘preparation’ dakwah semasa dirumah sebelum semester depan dibuka akan tercapai. Semoga semangatku tidak akan hilang dan luput.

Kulukis citaku

Dalam kanvas berwarna putih

Agar dapat kugunakan warna itu

Mengikut naluriku

Agar cita itu terus terlukis

Dan akan kukeringkan

Di jemuran panas

Agar warnanya tidak luntur.


Semoga cerpen ini memberi manfaat kepada kita semua. Bukan senang menjadi Daie kecil...walaupun terhadap diri sendiri mahupun berdakwah dalam anggota yang kecil.





( Tulisan ini tiada kena mengena dengan peribadi penulis. Namun, ada sedikit sahaja yang menyentuh peribadi penulis)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Click to view my Personality Profile page

helaian yang dilihat

jalan-jalan dari