Rabu, 15 Februari 2012

wajah mereka ada cinta

Assalamualaikum!

Bangunan itu…
Wajah-wajah mereka…
Spirit…

Kenangan lalu menyapa lagi. Seakan baru sahaja berlalu. Bagaikan 10 tahun itu baru sahaja berlabuh. ingin sahaja kembali kepada 10 tahun lepas. Menjadi seorang gadis kecil yang polos.

Kenangan demi kenangan datang lagi. Mungkin kenangan itu mahu diriku mengambil sebarang pengajaran atau teladan dari peristiwa lalu untuk menjadi bekalan hari mendatang.


KENANGAN 1: BANGUNAN ITU SEKOLAHKU

Bangunan itu…

Sekolah buruk itu pernah menjadi sekolahku. Sekolahku yang bersebelahan dengan Sekolah Menengah untuk pelajar-pelajar cina yang bangunanya sungguh besar dan tersegam indah. Jauh bezanya dengan sekolahku. Sekolahku dulu hanya ada bangunan yang hanya siap yang asas sahaja. Kipas pun belum ada. Dan udara percuma dari Allah menjadikan kami berasa dingin sedikit ketika waktu matahari ada di atas kepala. Alhamdulillah.

Di sekolah itu,
Bangunannya tidak indah-indah,
Tanahnya berdebu-debu,
Bukan seperti sekolah sebelah,
Yang tidak punya tanah coklat,
Yang hanya ada tanah hitam bertar,
Tapi tetap kusyukuri,
Kerana sekolahku itu sekolah agama,
Sekolah yang memberi ajar tentang Islam,
Itulah sekolahku yang memberi cahaya,
Sekolah rendah islam an-Nur!

Sekolah itu, memberiku banyak sekali pengalaman yang tidak mungkin akan kukutip di tempat yang lain. Di sekolah itu, Tuhan telah memberiku sejuta pelajaran yang sungguh berharga dan tidak akan sama harganya dengan bintang-bintang di langit.

Semangat untuk belajar, persaingan sihat antara rakan sekelas,persahabatan yang tulus,cikgu-cikgu yang ikhlas mengajar itulah kenangannya. Ah, betapa indah jika dapat kuundur masa…

KENANGAN 2: MEREKA GURUKU

Masih kuingati, wajah-wajah guru yang pernah mengajarku. Cikgu Halimah, cikgu Haszarah,Ustaz Omar, Ustaz Saufi, Ustaz Nik, Ustaz Rosdi,Sir Mat Ali, Cikgu Zalini, Cikgu Azizah. Mereka banyak berjasa kepadaku dan rakan-rakan yang lain. Pengorbanan mereka mengajar kami tidak akan sama dengan nilai pendapatan yang mereka perolehi bulanan. Pengorbanan mereka sangat tinggi terhadap kami.

Cikgu Halimah, adalah individu yang sangat aku sayangi. Beliau mengajarku subjek matematik. Tidak pernah kudapat A dalam subjek itu. Namun, kesungguhan beliau mengajarku sehingga petang secara intensif meningkatkan prestasiku dan rakan-rakanku yang lain. Melihat kesungguhannya untuk mengajarku dan sahabat yang lain menjadikanku lebih bersemangat untuk belajar. Sehingga satu hari, aku hampir menitiskan air mata apabila mendapat A dalam subjeknya.

Cikgu saya sayang cikgu kerana Allah…


Ustaz Omar, cukup terkenal dengan sifatnya yang garang. Namun, garangnya bertempat. Alhamdulillah, diriku tak pernah lagi dimarahinya. Ustaz Omar merupakan ustaz yang mengajar dalam subjek bahasa arab dan al-quran.

Ibu berpesan padaku, agar aku menyayangi guru lebih-lebih lagi guru yang mengajar al-Quran. Al- quran itu membawa kepada kenalnya kita kepada Tuhan.

Ustaz, saya sayang ustaz kerana Allah…


Sekarang, apabila aku menjadi mahasiswi, aku jadi rindu kepada guru-guruku yang mendidikku agar diriku menjadi seorang manusia yang terdidik dan berjasa kepada ummah.

AKU;ANAK DIDIKMU:

Kini, aku mencari spirit yang hilang…aku mencari jalan pulang…untuk membalas segala jasa guru-guruku..untukku menjadi seorang murid yang selalu mendoakan guru-gurunya…sampai mati aku tidak akan melupakan dirimu…

Ya Allah, Engkau ampunkanlah dosa-dosa guru-guruku… bahagiakanlah mereka di dunia dan akhirat…kerana aku cinta mereka kerana-Mu, ya Allah.


Sungguh..aku merinduimu guru-guruku…
Anak didikmu
Izzati anas
Kelas 6 AMAL( UPSR 2002)
SRI AN-ANUR

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

helaian yang dilihat

jalan-jalan dari