Ahad, 9 Mei 2010

ISTERI UNTUK SUAMIKU ( MENGIKUT PERSPEKTIF ISLAM DAN UNDANG-UNDANG SYARIAH MALAYSIA)BAHAGIAN DUA

Assalamualaikum!




Sebelum ini saya ada menulis entri mengenai poligami dan sewaktu saya mencari bahan untuk membuat rujukan mengenai hal ini, saya terjumpa satu artikel mengenai poligami. Saya kira artikel tersebut secara lahiriyyahnya lengkap dan mudah untuk memberi kefahaman kepada pembaca sekalian dan berkaitan dengan undang-undang di Malaysia. Dan tulisan di bawah ini saya petik dan saya mengedit sedikit tulisan tersebut dari laman web www.islam.gov.my


Pendahuluan

Fitrah untuk hidup secara berpasangan merupakan satu lumrah kehidupan manusia. Bagi memenuhi dorongan biologi ini umat Islam terikat dengan peraturan perkahwinan yang berteraskan syariat. Perkahwinan bahagia berteraskan kasih sayang dan kemesraan menjadi motivasi dan penggerak ke arah kesempurnaan hidup di dunia dan di akhirat. Sebaliknya perkahwinan yang retak akan menghasilkan simpton-simpton ketidakteguhan peribadi yang membawa kesan negatif bukan sahaja kepada diri bahkan juga masyarakat.

Perkahwinan secara mudahnya boleh diklafikasikan kepada dua bentuk yang
utama iaitu monogami

dan poligami( bigamy). Monogami ialah perkahwinan di antara seorang lelaki dan seorang perempuan, manakala poligami merupakan perkahwinan seorang lelaki dengan beberapa orang wanita pada satu-satu masa.





Artikel ini akan memfokuskan kepada isu poligami kerana ia sering menimbulkan pro dan kontra di dalam masyarakat termasuk di kalangan umat Islam. Kaum lelaki mendabik dada mendakwa poligami sebagai hak mereka, manakala kaum wanita pula berkeras enggan dimadu dengan berbagai-bagai alasan. Lantaran itu topik ini cuba digarap dengan melihat konsep poligami mengikut hukum syarak dan perlaksanaannya mengikut undang-undang syariah di Malaysia.


Poligami Menurut Islam


Islam adalah agama fitrah yang mengiktiraf kepelbagaian keperluan dan kehendak manusia dalam hidup berpasangan. Berasaskan kepada keadaan inilah Islam membenarkan poligami yang merupakan amalan masyarakat turun temurun sejak sebelum kedatangan Islam lagi. Bagi memastikan amalan poligami secara yang lebih adil dan dapat menjamin kesejahteraan hidup ummah seluruhnya, Islam telah menetapkan syarat-syarat tertentu yang menghadkan amalan yang bebas sebelum ini dan mengambil jalan pertengahan yang lebih wajar. Syariat Islam menetapkan bahawa seorang lelaki boleh berkahwin dengan
lebih dari seorang perempuan tetapi tidak melebihi empat orang.

Asas pensyariatan yang menjadi dalil utama di dalam keharusan berpoligami
ialah firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’, ayat 3 yang bermaksud :

“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim
(apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah (dengan) perempuan perempuan lain yang kamu berkenan, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau memadailah dengan hambahambaperempuan yang kamu miliki. Itu adalah lebih dekat (untuk mencegah)supaya kamu tidak melakukan kezaliman ”.


Menurut Dr. Muhammad al-Bahi dalam bukunya yang diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Fathurrahman (1988), poligami bukanlah suatu prinsip yang wajib dilaksanakan di dalam syariah Islam sehingga boleh menyebabkan berdosa jika tidak mengamalkannya. Poligami hanya merupakan perkara harus dan satu rukhsah (keringanan) dalam keadaan darurat.


Jelasnya di sini walaupun bahasa yang digunakan di dalam ayat di atas berunsur perintah, ia bukanlah membawa kepada makna wajib dilaksanakan. Bahkan jika diamati ia boleh membawa kepada suatu tegahan dan haram hukumnya jika suami yang berpoligami tidak berupaya berlaku adil dan mengakibatkan penganiayaan terhadap isteri yang dikahwini.


Syarat Poligami

1. Berkemampuan Untuk Menanggung Nafkah Isteri-isteri

Suami berkewajipan menanggung nafkah isteri zahir dan batin tidak kira sama ada dia mempunyai seorang isteri atau lebih. Nafkah zahir yang dimaksudkan di sini ialah dari aspek makan-minum, pakaian, kediaman dan perubatan. Nafkah batin pula ialah suami berkeupayaan dalam memberi layanan seks kepada isteri.

Di dalam Mazhab Syafi’e, terdapat dua pendapat mengenai kadar pemberian
nafkah kepada isteri iaitu :

i. Melihat keadaan suami sahaja tanpa mengambil kira keadaan isteri,
ii. Melihat keadaan kedua-dua suami dan isteri iaitu dinilai menurut
kesanggupan suami dan perlu diberi menurut keadaan isteri.

Dalam hal ini pendapat kedua adalah lebih sesuai dan menepati konsep keadilan memandangkan dalam banyak keadaan seseorang suami itu mempunyai isteri
yang datang dari berbagai-bagai status kedudukan yang berbeza. Abu al- ‘Aynayn dalam buku al-Ziwaj wa al-Talaq fi al-Islam berpandangan bahawa sebarang penambahan boleh diberikan kepada salah satu isteri dalam soal pemberian nafkah. Walaupun begitu ia tidak boleh diamalkan jika boleh membawa kepada perselisihan dan tidak puas hati di antara isteri.

2. Berlaku Adil Kepada Isteri-isteri

Menurut Abu al-‘Aynayn, keadilan bermaksud penyamarataan terhadap semua
isteri tanpa wujud pilih kasih di antara mereka. Ia termasuk interaksi yang baik di
antara suami isteri yang meliputi perbuatan, tutur kata dan akhlak. Keadilan ini wajib dijelmakan di dalam perkara-perkara ikhtiari dan lahiriah yang melibatkan beberapa aspek iaitu nafkah, pakaian, penempatan, giliran bermalam dan musafir. Perasaan dan kasih sayang pula tidak termasuk di dalam tuntutan keadilan kerana ianya di luar kawalan manusia dan bersifat relatif. Walaupun begitu suami tetap dilarang daripada menzahirkan secara jelas tentang perbezaan ini berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’, ayat 129 yang bermaksud :
“ Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun
kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya). Oleh itu janganlah kamu cenderung (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti tergantung (di awang-awangan). Jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

2.1. Adil Dalam Menyediakan Kediaman

Sebagaimana pemberian nafkah, suami juga perlu menyediakan tempat tinggal isteri baik dalam keadaan monogami atau poligami. Apabila berpoligami,kediaman isteri seboleh-bolehnya hendaklah diasingkan sebagai suatu inisiatif untuk mengelakkan perselisihan keluarga dan perasaan cemburu menular di kalangan isteri. Menurut ‘Abd al-Nasir Tawfiq al-‘Attar dalam bukunya Ta’addud al-Zawjat min al-Nawahi al-Diniyyah wa al-Ijtima’iyyah wa al-Qanuniyyah,pengasingan ini bergantung kepada kemampuan seseorang suami yang mana tidak semestinya disediakan sebuah rumah untuk setiap isteri bahkan dibolehkan juga disediakan bilik-bilik berasingan dalam satu rumah yang sama. Walaubagaimanapun dari segi psikologi, menempatkan ister-isteri dalam rumah yang sama akan memudahkan mereka berselisih faham yang boleh melukakan perasaan.

2.2. Adil Dalam Giliran Bermalam

Suami wajib menentukan kadar giliran bermalam yang adil di antara isteri-isterinya tanpa mengira sama ada isterinya itu isteri muda, isteri tua dan sebagainya. Suami berdosa jika memberikan giliran lebih banyak kepada salah seorang isteri berbanding dengan isterinya yang lain. Walaubagaimanapun ‘Abd al-Nasir Tawfiq al-‘Attar berpandangan kelonggaran boleh diberikan pada malam-malam awal perkahwinan dengan isteri baru tanpa perlu diqadha balik kepada isteri tua. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Anas r.a. dengan katanya yang bermaksud :

“ Di antara sunnah ialah apabila seorang lelaki berkahwin dengan anak dara lalu
dia bermalam dengannya selama tujuh malam. Sekiranya janda, selama tiga malam ”. (Riwayat Muslim)

Di samping itu keadilan dalam giliran malam ini masih juga relatif sifatnya dan perlu dinilai mengikut situasi seseorang isteri. Ia boleh dilonggarkan apabila ada kerelaan daripada mana-mana isteri tersebut. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang diriwayatkan dari al-Bukhari yang bermaksud :

“ Sawdah telah memberikan giliran beliau kepada Aisyah dan Rasulullah telah bermalam bersama Aisyah dengan giliran beliau dan Sawdah ”.

2.3. Adil Dalam Musafir

Munurut pendapat Imam Syafie, suami wajib membuat undian di antara isteri-isteri
sekiranya beliau menginginkan salah seorang dari mereka menemaninya bermusafir. Dengan itu suami tidak wajib menggantikan giliran bermalam kepada isteri yang sepatutnya mendapat hak pada masa musafirnya. Berbeza keadaannya jika undian tidak dibuat dan tiada kerelaan mana-mana isteri, suami wajib mengqadha giliran bermalam kepada isteri yang tidak memperolehi haknya pada masa musafir tersebut. Perkara berkenaan undian ini disebut oleh Aishah r.a. menerusi hadis riwayat al-Bukhari yang bermaksud:

“ Nabi SAW apabila keluar bermusafir, baginda akan menjalankan undian di antara isteri-isterinya ”.

Bagaimanapun mazhab Hanafi berbeza pandangan dalam hal ini dengan mengatakan suami tidak wajib membuat undian untuk memilih isteri yang menemaninya ketika musafir.


Poligami Dalam Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia


Dalam undang-undang keluarga Islam di Malaysia, poligami dibenarkan dengan syarat suami hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Ini diperuntukkan dalam seksyen 23(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984. Menurut seksyen 23(3) AUKI 1984, permohonan suami hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu akuan. Akuan tersebut hendaklah mengandungi alasan-alasan mengapa perkahwinan poligami ini patut dan perlu, keadaan kewangan suami dengan memberi butir-butir komitmennya dan kewajipan dan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan serta bilangan tanggungan termasuk orang yang akan ditanggungnya berikutan dengan perkahwinan baru yang dicadangkan. Selain
dari itu pemohon juga kena menyatakan sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isteri telah diperolehi mengenai perkara tersebut.

Mahkamah dalam memberi pertimbangan akan mengambil kira empat syarat kebenaran untuk berpoligami sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 23(4) AUKI 1984, iaitu :

1. Perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu memandang kepada keadaan isteri dari segi kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila.

2. Pemohon mempunyai kemampuan mengikut kehendak syarak untuk menanggung semua isteri dan tanggunggannya termasuk orang yang bakal ditanggungnya berikutan dari perkahwinan yang baru.

3. Pemohon berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isteri mengikut kehendak hukum syarak.

4. Perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syar’ie kepada isteri.

Persoalan sama ada keempat-empat syarat di atas perlu dipenuhi kesemuanya dalam satu-satu permohonan telah diputuskan dalam kes Aishah lwn Wan Mohd Yusof, [1990] 3 MLJ 1x dan [1991] JH VII, yang dibicarakan dalam Jawatan Kuasa Rayuan Mahkamah Syariah Selangor. Hakim membuat keputusan bahawa keempat-empat syarat yang disebut di bawah Sek. 23(4) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor adalah sama pentingnya dan hendaklah dibuktikan berasingan oleh pihak suami.

Perkara sama juga telah diputuskan oleh Jawatankuasa Ulang Bicara Selangor
dalam kes Rajamah lwn Abd Wahab, [1990] JH 171. Oleh sebab suami gagal membuktikan bahawa dia dapat memenuhi kesemua syarat dan keperluan dalam Sek 23(4) tersebut, Mahkamah menolak permohonan suami untuk berpoligami.

Hakikatnya syarat yang dikenakan dalam undang-undang bukan bertujuan untuk mengharamkan poligami kerana mengharamkannya bertentangan dengan hukum syarak. Namun ia dijadikan sebagai satu mekanisme untuk mengawal kaum lelaki daripada menyalahgunakan keharusan berpoligami sesuka hati mereka. Sebagai pengiktibaran yang paling baik dapat dilihat dalam kes Ruzaini lwn Nurhafizah, [2002] JH 79 memperlihatkan bagaimana adilnya hakim dalam membicarakan kes permohonan berpoligami. Walaupun mendapat keizinan dari isteri untuk berkahwin lagi satu, mahkamah tetap tidak meluluskannya kerana sangsi dengan kemampuan suami untuk berlaku adil dengan kedua-dua isteri dan tanggungan.

Seterusnya bagi mengelakkan penganiayaan terhadap wanita, AUKI 1984 juga memperuntukkan penalti bagi lelaki yang tidak memperolehi kebenaran Mahkamah tetapi tetap juga berkahwin lagi secara poligami. Seksyen 123 menyebut bahawa lelaki yang berpoligami tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu dari Mahkamah adalah melakukan kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Namun begitu, bilangan lelaki yang berkahwin poligami tanpa kebenaran mahkamah terus berlaku dan lebih banyak berbanding yang dilakukan mengikut prosedur mahkamah syariah. Contoh terbaru ialah perkahwinan di antara Datuk Noridan Spee Yee dan Siti Insiah Abdul Wahab yang dilakukan di Thailand seperti yang dilaporkan dalam Harian Metro bertarikh 20 Mac 2006. Pasangan tersebut asalnya dijadual bernikah di Padang Serai, Kedah tetapi gagal mendapat kebenaran Pegawai Agama Daerah Kulim akibat tidak menyerahkan dokumen yang diperlukan dalam permohonan poligami. Persoalannya ialah banyak masalah yang akan timbul kelak apabila pernikahan dibuat tetapi tidak didaftar dan disahkan oleh mahkamah. Antara masalah yang akan berlaku ialah status isteri muda dan juga anak-anaknya yang akan tergantung. Keadaan menjadi lebih teruk apabila suami meninggal dunia yang mengakibatkan mereka tidak dapat menuntut harta pusaka disebabkan tidak ada bukti pernikahan. Selain itu, masalah yang mungkin berlaku ialah suami tidak boleh menjalankan tanggungjawab dengan sempurna. Sebagai contoh isteri muda hanya dapat berjumpa suami secara sembunyi-sembunyi seminggu ataupun sebulan sekali.

Akhirnya ini juga akan mempengaruhi perkembangan emosi isteri dan anak kerana merasakan kehidupannya tidak sama dengan orang lain dan ini akan mendatangkan pula masalah sosial.

Bagi menjaga dan memelihara hak isteri daripada menjadi mangsa ketidak
adilan oleh suami, undang-undang juga menerusi Seksyen 128 AUKI 1984 memperuntukkan bahawa seorang suami yang tidak memberi keadilan yangsewajarnya kepada isteri telah melakukan satu kesalahan dan boleh didenda tidak lebih daripada satu ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Peruntukan ini selaras dengan ajaran Islam yang menekankan pentingnya kaum wanita itu dilindungi dari penyalahgunaan amalan
poligami yang sememangnya dihalalkan ini. Penekanan perlu dibuat supaya suami memberikan keadilan yang secukupnya kepada isteri.


Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, beberapa kesimpulan dapat dirumuskan iaitu :

1. Poligami menjadi bukti kesempurnaan hukum Islam kerana dapat mengelakkan manusia daripada melakukan zina dan perlakuan membela perempuan simpanan yang pastinya menzalimi diri dan wanita. Namun begitu poligami diharuskan untuk dinikmati dan digunakan dengan penuh tanggungjawab. Ukuran tanggungjawab digariskan dengan terang melalui amalan keadilan. Adil di sini menyentuh soal giliran, pemberian nafkah zahir dan batin, makan-minum, pakaian, jaminan keselamatan dan tempat tinggal. Justeru itu, haram berpoligami bagi lelaki yang tidak dapat memenuhi tuntutan tersebut.

2. Poligami bukanlah dipelopori oleh agama Islam sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah masyarakat Islam dan bukan Islam. Ia sebenarnya telah diamalkan zaman berzaman oleh masyarakat China,Yunani, Kristian dan Yahudi.

3. Kecacatan poligami sebenarnya bukanlah dari segi prinsip tetapi lebih kepada perlaksanaannya oleh sesetengah lelaki yang menyimpang dari landasan syariat. Ini terbukti daripada statistik menunjukkan bahawa 80 peratus pengadu yang mengadu masalah rumah tangga terdiri daripada kaum wanita. Ia secara tidak langsung memberi pengertian bahawa krisis rumah tangga berpunca daripada kelalaian pihak suami (Utusan
Malaysia, 16 September 2005).

4. Syarat yang ketat ditetapkan dalam undang-undang keluarga Islam bukanlah bertujuan mengharamkan poligami. Ia dirangka bagi menjaga ketenteraman rumah tangga dan mengelak dari penindasan serta kezaliman suami terhadap isteri. Ia juga bagi mengelakkan timbulnya fitnah dan polemik dalam masyarakat yang akan merendahkan martabat agama Islam. Kaedah fiqh ada menyebut:

“ Pemerintah hendaklah bertanggungjawab meletakkan maslahah Negara dan kepentingan rakyat dalam dasar pentadbiran dan pemerintahannya ”.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Click to view my Personality Profile page

helaian yang dilihat

jalan-jalan dari