Jumaat, 27 Ogos 2010

KASIHMU SENTIASA ADA UNTUKKU

Bismillah
Assalamualaikum!


“Sujud tanda syukur atas segala kurnia-Nya. Terima kasih ya Allah, kerana Engkau menganugerahkan aku dua butir mutiara indah di sisiku”


Ibu dan abah. Itulah mutiara hatiku. Andai hilangnya mutiara-mutiara itu dari genggamanku, maka tiada lagi butir mutiara yang dapat menggantikannya.


Ibu dan abah. Merekalah yang membesarkan diriku sehingga kini. Merekalah yang mendidikku dengan ajaran agama tanpa meninggalkan ajaran dunia. Merekalah yang memberikan aku sebuah kehidupan yang ceria sentiasa. Alhamdulillah, ya Allah, kerana Engkau meminjamkan mereka kepadaku. Sungguh, itulah anugerah yang terindah untukku.


Sesekali, ingatanku berputar pada masa-masa lalu. 13 tahun dahulu, ujian kesakitan menimpaku. Kesakitan itu membuatkan aku tidak ke sekolah selama beberapa bulan. Ibu dan abah telah banyak menghabiskan waktu dan membelanjakan wang untuk mengubatiku. Ya, itu hanyalah ikhtiar dan kesembuhan adalah milik Allah. Sepanjang tempoh itu, ibu dan abah telah banyak bersabar dengan kerenahku. Mereka sentiasa ada di sebelahku.


Aku masih ingat ketika aku di pembaringan ibu dan abah tidak henti-henti membacakan yasin untukku hampir hari-hari begitu. Rentetan pengorbanan ibu dan abah ketika itu aku akan simpan dalam memoriku sehingga hari matiku.


Dan ketika dewasa ibu pernah ceritakan kepadaku bahawa pernah pada suatu hari aku memanggil adikku izzat untuk berada di sisiku, kerna aku fikir kematian akan menjemputku ketika itu.


Tetapi, itulah takdir. Allah masih mamberikan sekudus nafas untukku menggamit rasa di dunia ini.

Sedih pula apabila mengingati episod lalu…



Alhamdulillah, apabila beberapa tahun aku dalam ujian kesakitan, tiba-tiba Allah menganugerahkan kesihatan kepadaku. Syukur. Syukur walhamdulillah!



Itu baru satu cerita daripada koleksi diari hidupku dan dengan sesungguhnya, banyak lagi pengorbanan mereka terhadapku dan adik-adikku yang lain. Tidak dapatku terjemahkan dengan roman aksara .


Terima kasih duhai ibu dan abah!
Kasihmu sentiasa ada untukku
Cintamu engkau ukir dalam hatiku
Terima kasih duhai abah, ibu!


Sahabat yang masih ada ibu dan abah di sisimu,



Jagalah mereka sebaiknya. Ingatilah pengorbanan mereka. Ingatilah keringat mereka untuk menjadikan dirimu sebagai insan yang soleh bukan toleh. Selain ingin melihat dirimu menjadi insan yang berbakti pada agama dan Negara. Usah diragu pengorbanan yang telah mereka lakukakan untuk mendewasakan kalian!



- Izzati –
Buah hati ibu abah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

helaian yang dilihat

jalan-jalan dari