Isnin, 21 Jun 2010

KUHIDU RESAHMU DARI JAUH

Assalamualaikum kuhulurkan salam terlebih dahulu buat sahabatku yang jauh. Dari negeri sana kudapat hidu satu perkhabaran bahawa engkau kini sedang berduka lara menangisi kisah sayu. Sahabat, jika dahulu aku pernah menulis aksara-aksara mengenaimu di helaian helaian maya. Jadi, pada mentari siang kali ini, aku ingin menulis sekali lagi mengenaimu di ruangan ini.


Sahabat yang aku cintai dari dulu sehingga kini





Sebentar tadi, aku mendengar suaramu di corong telefon. Dirimu menelefonku dari jauh, dari negeri yang berbeza denganku. Lantas, kusedari nada suaramu agak berlainan ketika dirimu memberi salam kepadaku menandakan engkau dilanda gelisah yang tiada tara. Bagaikan tiada penawar di sisimu. Lalu jiwaku berbisik, apakah engkau sahabatku kini dilanda ujian yang tidak terperi sakit?
Dan ketika engkau menceritakan mengenai si Dia kepadaku; seorang insan yang hamper denganmu. Lalu aku pasti kerana dialah engkau kini tangis. Semasa bibirmu bergetar berbicara mengenainya padaku, tiba-tiba dirimu terdiam sepi dan kudengan engkau menangis teresak-esak. Batinmu sedang sakit sahabatku! Maafkan aku kerana aku masih di sini membiarkan dirimu bersedih sendirian tanpa teman setia di sisimu..


Sahabatku yang kuibaratkan seperti Pelangi,



Engkau seorang perawan muda yang solehah sedang bertarung dengan perasaanmu sendiri. Sakit kerana pernah mencintai seseorang , sedih kerana orang yang dicintaimu tidak tahu mengenai perasaanmu, dilema antara rasa manisnya bersahabat atau berkasih.



Aku tahu engkau seorang yang sukar untuk membuka jendela hatimu pada sesiapapun. Walau bagaimanapun dia. Tetapi, dengan izin Allah, hatimu tertaut dengan si Dia yang kita pernah gelarkan sebagai ustaz;temanmu sendiri. Sungguh, dirimu sedang berperang dengan rasa dan nalurimu. Aku tahu, engkau tidak minta untuk berkasih sebelum ijab dan qabul. Engkau mahu melayari bahtera cinta selepas dirimu memakai inai di jari, ketika cincin disarungkan pada jari manismu, selepas lafaz nikah diucapkan dan bersaksikan hadirin.


Sahabatku yang aku kasihi,




Payah untuk kukatakan padamu perihal ini. Namun, cukup kukatakan padamu, rawatlah dukamu dengan segera terlebih dahulu. Jangan biarkan hatimu tertutup untuk mencintai seseorang yang lain daripadanya. Benar begitu mudah untuk mengatakan kumbang bukan seekor. Tetapi untuk melupakan begitu susah bukan seperti angin berlalu begitu sahaja. Ia mengambil masa yang lama mungkin bertahun lamanya. Pesanku, janganlah engkau mengambil masa sehingga berkurun-kurun lamanya untuk membuka sekeping hatimu kepada yang lain andai dirimu disunting oleh jejaka lain.


Sahabatku yang sentiasa tersenyum indah,



Senyumlah wahai sahabatu. Senyumanmu memberikan seribu kebaikan kepada dirimu juga mereka yang berdekatan dengan dirimu. Berdoalah kepada Allah untuk jodohmu. Selagi nyawa belum diambil, selagi itulah ada kemungkinannya jodohmu dengan si Dia ada atau sebaliknya. Letakkan pengharapanmu kepada Rabb; Dia yang Maha Pencinta.
Aku , sahabatmu sentiasa berdoa untuk kebaikanmu. Aku juga menadah doa agar suatu hari nanti dirimu akan menjadi pengantin yang bahagia di hari pernikahanmu. Bahagia memperoleh suami yang baik, soleh dan penyayang. Dan aku ingin akan menjadi pengapit disisimu.



Sahabatku,
Sapukanlah air matamu
Hapuskanlah dukamu
Aku di sini
Sentiasa ada untukmu
Walau jauh beribu batu
Kutetap berdoa
Untukmu bahagia



Daripada,
Sahabatmu yang sentiasa mengingatimu,
Sehingga hari matiku:
Aku:
Nur izzati,
Naungan kasih
Kota Bharu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

helaian yang dilihat

jalan-jalan dari